Friday, 18 October 2013

Tukar milik kenderaan melalui dalam talian November ini

Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia


BANGI - Perkhidmatan tukar milik kenderaan kini boleh dilakukan secara dalam talian mulai 1 Nov ini di bawah perubahan sistem dari Sikap ke mySikap.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ismail Ahmad berkata namun sebelum itu, pembeli dan penjual kenderaan mesti mendaftar di kaunter JPJ untuk melakukan pengesahan biometrik sebelum menggunakan kaedah dalam talian.

"Melalui kaedah ini, ia dapat mengelak pemalsuan identiti pemilik serta memudahkan pengguna.

"Purata tahunan pengguna menggunakan perkhidmatan ini ialah 1.4 juta dan ini merupakan bilangan yang tinggi dan kritikal," katanya dalam sidang media di JPJ Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Beliau berkata melalui kaedah ini, pengguna boleh berurus niaga pada bila-bila masa dan mulai 1 Januari tahun hadapan pihaknya akan mengurangkan perkhidmatan di kaunter JPJ.

Selain tukar milik kenderaan, perkhidmatan lain yang boleh digunakan melalui portal mySikap ialah pembayaran cukai, saman, pembaharuan lesen dan mendapatkan maklumat mengenai senarai hitam.

Ismail berkata perubahan sistem itu juga ialah bagi menyahut seruan kerajaan yang ingin melihat 85 peratus perkhidmatan agensi kerajaan dilakukan menerusi dalam talian menjelang 2015.

"Sebelum ini kita hanya menggunakan kira-kira 35 hingga 40 peratus perkhidmatan secara dalam talian, namun meningkatkannya bagi menyahut seruan kerajaan," katanya.

- Bernama, Oktober 18

No comments:

Post a Comment