Meliah Md Diah yang berusia 100 tahun (kiri) memberi minum kepada anaknya Abd Rahman Saud, 62, yang juga orang kelainan upaya (OKU) ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Bukit Nambua, Mukim Belimbing Kanan di Kuala Nerang hari ini. Turut memerhati Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang yang turun padang melawat keluarga tersebut. Warga emas itu masih mempunyai kudrat yang kuat untuk menjaga dan menguruskan anak bongsu daripada empat baradik itu yang mengharapkan bantuan orang lain untuk bergerak selepas diserang penyakit sawan sejak kecil. Suaminya Saud Ismail meninggal dunia sejak 20 tahun lepas dan tiga anaknya turut meninggal dunia pada usia muda. Kegigihan dan kecekalan warga emas ini perlu dijadikan tauladan kepada orang ramai dalam menjaga dan menguruskan anak istimewa ini. - Foto Bernama
KUALA NERANG - Sudah 62 tahun, seorang ibu yang kini dipercayai berusia lebih 100 tahun membela anak lelakinya yang kelainan upaya (OKU).
Meliah Md Diah yang kematian suami 20 tahun lalu berseorangan menjaga anaknya Abd Rahman Daud, 62, di rumah mereka di Kampung Bukit Nambua, Mukim Belimbing, di sini.
Abd Rahman cacat anggota badan akibat diserang sawan sejak kecil.
Anak bongsu dari empat beradik itu hanya terbaring dan tidak boleh bercakap serta memerlukan bantuan ibunya untuk makan, mandi dan bergerak.
Adik-beradik Abd Rahman yang lain sudah meninggal dunia.
"Hari-hari mak cik suap nasi sebab dia tak boleh makan sendiri. Mak cik mandi dia, pakaikan baju dan dudukkan dia di beranda rumah berehat. Ada adik beradik mak cik mai jenguk(datang ziarah) dan tolong," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini, hari ini.
Ditanya mengenai usianya yang panjang, Meliah berkata beliau banyak memakan ulam dan makanan berebus.
"La ni (sekarang) cuma sakit tua saja, tak larat, telinga pun tak berapa nak dengar dan mata sikit kabur," katanya yang turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Mak Cik bersyukur sebab diberi nikmat kesihatan dan kekuatan untuk jaga anak istimewa ni. Kalau kata satu hari nanti Mak Cik pergi dulu (meninggal dunia), harap adik beradik lain dapat jaga dia (Abd rahman) dengan baik," katanya.
Namun nasib dua beranak ini mendapat pembelaan apabila menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Negeri, Badrol Hisham Hashim.
Badrol Hisham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang berkata, selain menyumbangkan keperluan harian, pihaknya akan membina sebuah rumah baharu bagi memudahkan dua beranak itu bergerak dan keluar masuk rumah tanpa perlu memanjat tangga.
"Kalau lihat rumah mereka agak uzur dan mereka terpaksa naik turun tangga. Kita akan bina rumah yang lebih selesa dan akan beri kelengkapan lain seperti kerusi roda," katanya yang turut meminta pihak korporat menghulurkan sumbangan.
Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut membantu dengan membuat kad pengenalan baharu untuk Abd Rahman yang kali terakhir dibuat pada Januari 1969 ketika berusia 17 tahun.
Ketua Unit Komunikasi Korporat JPN Kedah, Basharudin Ibrahim berkata kad pengenalan baharu itu akan siap dalam tempoh 10 hari lagi.
Bernama