Monday 19 May 2014

UiTM bukan milik UMNO, ia milik rakyat - Dyana Sofya

Calon DAP-Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud


KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) bukan milik UMNO atau Barisan Nasional (BN), dan para pelajarnya tidak perlu terikat kepada parti itu, kata calon DAP untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud.

"Sejak bila memasuki UiTM membuatkan kita ahli UMNO? Sangat ironik apabila UMNO mendakwa pelajar UiTM perlu menyokong UMNO, tetapi mereka sendiri yang tidak menggalakkan pelajar aktif dalam politik.

"Para pelajar sepatutnya bebas memilih pandangan dan pemikiran mereka sendiri, dan perlu diberi kebebasan untuk mengejar impian dan cita-cita mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Dyana, tidak ada parti politik yang berhak untuk menghalang impian dan aspirasi anak-anak muda Malaysia.

Katanya lagi, hak yang sama rata tidak bermakna orang-orang Melayu akan 'dirompak' hak mereka, sebaliknya ia memberi peluang pendidikan tinggi kepada mereka yang tidak mendapat peluang terutamanya yang tidak menyokong UMNO.

Ujar beliau, UiTM sebagai sebuah institusi awam tidah harus diletakkan di bawah ehsan sebuah parti politik kerana ianya milik rakyat dan bukannya milik UMNO.

Selain itu, Dyana turut menyatakan kekesalan kerana terdapat pelajar yang datang dari keluarga pemimpin UMNO yang kaya diberi tempat di UiTM, sedangkan ada pelajar yang miskin yang tiada kaitan dengan UMNO, dinafikan tempat di institusi tersebut.

"Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan jujur akan memperbetulkan 'ketidakadilan' ini... namun daripada menjadi terbuka kepada cadangan-cadangan yang membina, UMNO telah menuduh saya mahu memansuhkan UiTM," katanya.

Beliau juga kesal kerana UMNO telah bertindak menggunakan UiTM sebagai bahan untuk menyerang dirinya apabila serangan terhadap jantinanya telah gagal.

Semalam, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Razali Ibrahim telah mencabar Dyana menegur tindakan pemimpin DAP yang sering mempersoal hak istimewa orang Melayu yang dipersetujui dalam kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya jika DAP sanggup mempersoal dasar UiTM yang mengutamakan pengambilan pelajar Melayu, mengapa parti itu tidak menyuruh Universiti Tunku Abdul Rahman yang didakwannya dimonopoli satu kaum bukan Melayu, ditutup.

- Astro Awani 

Syarikat penerbitan nafi terbitkan buku kanak-kanak berunsur homoseksual

Buku cerita kanak-kanak yang didakwa mempunyai kandungan pedophilia.


KUALA LUMPUR: Syarikat penerbit buku Ladybug Publishing and Distribution sekali lagi terheret ke kancah kontroversi penerbitan buku apabila didakwa menerbitkan dua buah buku cerita kanak-kanak yang mempunyai unsur-unsur hubungan homoseksual dan juga pedophilia terhadap kanak-kanak.

Buku berbahasa Inggeris yang berjudul ‘Alfie’s Home’ dan sebuah cerita pendek berjudul ‘Daddy’s Roomate’ yang ditulis oleh Micheal Wilholte itu dikesan oleh pembaca buku tersebut mempunyai unsur-unsur hubungan gay dan hubungan seksual dengan kanak-kanak.





Pembaca-pembaca menyedari kandungan tersebut telah memuatnaik kandungan buku tersebut di lama sosial dan menggesa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat perkara tersebut.


Sementara itu, Syarikat Ladybug Publishing and Distribution dalam laman Facebooknya pada hari ini telah menafikan sekeras-kerasnya bahawa syarikat itu menerbitkan kedua-dua buah buku cerita kanak-kanak tersebut.


Satu laporan polis juga akan dibuat berhubung perkara tersebut.

Syarikat tersebut sebelum ini dikritik kerana menerbitkan dua buah buku pembelajaran pra-sekolah termasuk sebuah buku bertulisan jawi yang memaparkan contoh-contoh yang kurang sesuai bagi pembelajaran kanak-kanak sehingga menyebabkan beberapa ribuan cetakan buku keluarannya itu terpaksa ditarik dan dikaji semula oleh KDN.

- Astro Awani 

Warga emas maut selepas terjun dari tingkat 11

Warga emas terjatuh

GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh dari tingkat 11 pangsapuri di Batu Lancang Sabtu.

Mangsa yang berusia 60 tahun tinggal sendirian selepas bercerai dengan isterinya dipercayai mengalami gangguan perasaan sejak empat bulan lalu.

Dalam kejadian 3.40 petang itu mangsa sebelum itu bertindak berdiri di tepi tingkap rumahnya dan mahu terjun namun dipujuk anggota bomba yang bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan orang awam.

Anggota bomba mengambil masa empat jam memujuk mangsa namun gagal apabila lelaki itu nekad terjun.

Mangsa yang jatuh di atas tilam yang disediakan pasukan bomba masih bernyawa dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahab berkata pihak polis menerima maklumat kejadian 3.40 petang dan bergegas ke tempat kejadian dan membenarkan anggota melakukan kerja menyelamat.

Ahli keluarga dan kaunselor dari pihak PDRM cuba memujuk mangsa namun gagal.

Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di hospital Pulau Pinang.

Kes disiasat dibawah seksyen 309 kanun keseksaan atas cubaan membunuh diri.

- Astro Awani