Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan di kilometer 30, Jalan Seremban-Tampin, dekat Pekan Chengkau, petang semalam (24/11/2013)
CHENGKAU - “Saya lihat dengan jelas sebuah kereta dari arah Seremban terbang ke arah kanan jalan di hadapan mata saya sebelum merempuh sebatang tiang elektrik dan terbalik,” kata saksi kemalangan, Fatimah Mat, 51, ketika ditemui di lokasi kemalangan kilometer 30, Jalan Seremban-Tampin, dekat Pekan Chengkau, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.50 petang itu, mangsa yang memandu kereta Proton Gen2, Saliza Ros, 20, dan rakannya, Mohd Ridzwan Daud, 20, dalam perjalanan dari Nilai selepas menghadiri temu duga kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan majlis perkahwinan rakan mereka di Nilai.
Menurut Fatimah, dia yang masih terkejut dengan kejadian berkenaan beranggapan pemandu dan penumpang kereta yang terbabit dalam kemalangan berkenaan cedera teruk berdasarkan kesan rempuhan tiang elektrik.
“Bayangkan tiang elektrik yang dirempuh kereta berkenaan boleh tercabut bersama bongkah batunya dan terpelanting ke hadapan kereta.
"Sebelum ini laluan berkenaan sering berlaku kemalangan, namun ini pengalaman pertama saya melihat kemalangan di depan mata,” katanya.
Mangsa kemalangan, Saliza berkata, kemalangan itu berlaku sekelip mata dan dia hanya menyedari terbabit dalam kemalangan serta keretanya terbalik selepas dikejutkan dengan jeritan rakannya yang menyuruhnya mengucap.
Menurutnya, mereka cuba menyelamatkan diri, namun gagal membuka kereta dari dalam dan hanya berjaya menyelamatkan diri melalui bantuan orang awam.
“Saya dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga di Desa Permai Repah. Mujur semasa kejadian kami memakai tali pinggang dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius," katanya.
Sinar Harian