Sunday, 1 March 2015

'Mak kami terjebak'

Ida melihat antara kandungan SMS yang dihantar wakil skim pelaburan yang mempengaruhi ibunya supaya melabur.

SUBANG JAYA – Lima beradik bingung memikirkan nasib ibu mereka yang terjebak dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan hampir RM1 juta walaupun hanya melabur sebanyak RM250.

Anak wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ida mendakwa, pulangan pelaburan itu meragukan itu kerana sejak terlibat dengan pelaburan itu empat tahun lalu, ibunya belum pernah menerima sesen pun hasil, malah wang terus dilaburkan secara tunai.

Lebih parah lagi, ibunya terpaksa menutup kedai runcit diusahakan kerana tiada lagi pusingan modal selain dipercayai meminjam wang daripada ceti haram untuk melabur.

Menurut Ida, ibunya mudah terpengaruh dan sanggup memasukkan wang ke dalam satu akaun bank milik persendirian yang didalangi skim berkenaan apabila disuruh.

“Saya hanya tahu emak masuk skim pelaburan yang dikenali sebagai ‘masuk dana’ itu beberapa bulan lepas. Saya terkejut bila dia tahu rupanya dah empat tahun emak melabur hampir RM13,000.

“Setiap kali kami adik-beradik tanya tentang pulangan, dia akan cakap nak dekat dapat dah tapi pengurusan skim pelaburan asyik minta dia masukkan duit dan beritahu proses pengeluaran pulangan ‘sangkut’ di pihak bank,” katanya.

Dia yang ragu-ragu dengan jawapan ibunya menyiasat isi kandungan sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar wakil skim pelaburan ke telefon bimbit ibunya.

Kata Ida, syarikat itu dipercayai berpangkalan di Shah Alam namun ibunya enggan mendedahkan lokasi sebenar selain menyembunyikan beberapa perkara lain apabila ditanya.

"Tapi setiap kali hendak ke pejabat pengurusan, ada kenderaan akan datang ambil mak di rumah. Saya rasa mereka sasarkan golongan yang tidak terdedah dengan dunia luar, selain mereka yang kemaruk untuk dapat wang cara mudah," katanya yang tinggal di satu kawasan terpencil di sebuah daerah di negeri ini.

Menurut Ida, dia tidak pasti ibunya dipukau ketika diajak menyertai skim itu, tetapi sehingga kini ibunya sering kehabisan wang meski menerima wang bulanan wang bulanan daripada anak-anak.

Mesin jahit dan beberapa peralatan rumah turut dijual ibunya dipercayai untuk menambah duit pelaburan.

Kata Ida, ramai mangsa yang turut menyertai skim itu malah difahamkan ada yang membuat pelaburan lebih 10 tahun namun tidak pernah mendapat pulangan dan pelbagai alasan diberikan pihak penganjur skim.

"Sebagai anak saya sedih emak saya diperdaya. Mereka tipu warga emas yang mudah dipengaruhi kononnya dapat pulangan ribuan ringgit dalam masa singkat. Tapi hasilnya tiada," katanya dengan nada kesal.

- Sumber: Sinar Harian 

'Saya kecil lagi ketika pertama kali papa ditahan'

Nurul Ilham Anwar

KAJANG - "Usia saya hanya berumur 11 tahun ketika kali pertama papa ditahan polis pada 1998," demikian kata Nurul Ilham Anwar.

Anak keempat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga mendakwa ketika itu, polis turut menggunakan kekerasan untuk menahan bapanya dengan menaiki sebuah van.

"Kerana kekerasan polis itu, saya tertinggal di rumah kerana saya pada usia muda itu masih tidak mengerti apa yang berlaku.

"Kemudian saya duduk dalam bilik papa sambil menggigil dan kebingungan," katanya pada majlis makan malam March to Freedom di pekarangan Pusat Khidmat Dun Kajang, di sini, malam ini.

Bagaimanapun katanya, keadaan agak berbeza pada 10 Februari lalu selepas Mahkamah Persekutuaan membacakan keputusan kes liwat II, iaitu perkara pertama yang terlitas dalam fikirannya hanyalah "Selamat Tinggal".

"Saya sedih apabila terfikir nasib anak-anak saya dan anak-anak adik-beradik saya.

"Saya sedih apabila melihat anak Nurul Izzah, Safiyah dan Harith yang sama umur dengan adik-beradik saya pada 1998 iaitu Iman dan Hana.

"Saya juga fikir kenapa cucu papa kena harungi kepahitan sepertimana kami dulu," katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

Yatt Hamzah: 'Doakan saya & suami'

Yatt Hamzah

TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja dunia seni hiburan dikejutkan dengan berita pelakon dan pengacara, Haryati Hamzah atau lebih dikenali sebagai Yatt Hamzah memfailkan penceraian terhadap suaminya, Abdul Mutalib Abdul Shukor di Mahkamah Rendah Syariah Gombak, baru-baru ini.

Yatt ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp memberitahu, dia tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu sementelah sibuk dengan misinya membantu rakyat Syria untuk bantuan musim sejuk bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Mapim di negara berkenaan.

Bagaimanapun Yatt sempat berpesan supaya mendoakan yang terbaik buatnya dan keluarga di dunia dan akhirat.

"Doa adalah senjata mukmin, saya perlukan kekuatan doa daripada anda semua. Tunggulah masa yang sesuai untuk diumumkan. Sekarang semuanya masih belum pasti.

"Tiada jawapan pun lagi dan tak ada apa yang boleh diberitahu. Yang pasti ALLAH SWT maha tahu apa yang manusia tak tahu," jelas pelakon berusia 35 tahun ini.

Dalam pada itu, Yatt memberitahu, dia mempunyai amanah lebih besar untuk digalas sekarang dan hanya akan respons mengenai perkara itu nanti.

"Apa pun, doakan saya jadi pemenang amanah yang amanah," katanya ibu kepada Suci Hanania Malika ini.

Yatt telah mendirikan rumah tangga bersama Abdul Mutalib pada 29 Mac 2009.

- Sumber: Sinar Harian 

Menara Condong Teluk Intan diisytihar Warisan Kebangsaan

MUHYIDDIN : Menara Condong Teluk Intan, yang dibina pada 1885, memiliki keunikan dengan konsep Pagoda yang menunjukkan pengaruh kekayaan budaya dan seni bina Cina seperti pada gerbang, bumbung genting dan hiasan jubinnya.

TELUK INTAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini mengisytiharkan Menara Condong Teluk Intan sebagai Warisan Kebangsaan.

Beliau berkata justeru itu, sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2015 ini, yang diadakan di Dataran Menara Condong di sini, amat istimewa dan mempunyai signifikan tersendiri kerana kerajaan memberi pengiktirafan kepada Menara Condong Teluk Intan sebagai Warisan Kebangsaan.

Muhyiddin berkata Menara Condong Teluk Intan, yang dibina pada 1885, memiliki keunikan yang amat ketara dengan konsep Pagoda yang menunjukkan pengaruh kekayaan budaya dan seni bina Cina seperti pada gerbang, bumbung genting dan hiasan jubinnya.

"Sejarah bangunan yang merupakan mercu tanda Bandar Teluk Intan ini unik kerana fokusnya adalah untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Ia dijadikan sebagai tangki air pada waktu kemarau dan juga mempunyai kemudahan memadam api.

"Jam yang terdapat pada menara ini juga merupakan lambang perpaduan rakyat Teluk Intan kerana ianya merupakan hasil sumbangan derma daripada penduduk tempatan pada ketika itu," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2015 di sini malam ini. 

Muhyiddin juga berkata Menara Condong ini juga menjadi satu daripada tarikan kepada pelancong yang berkunjung ke Perak seperti 'The Leaning Tower of Pisa' di Itali. 

"Tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Warisan Negara iaitu agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, dan juga kepada Kerajaan Negeri Perak khususnya Majlis Perbandaran Teluk Intan yang telah berjaya mendapatkan pengiktirafan Menara Condong Teluk Intan yang penuh sejarah ini, sebagai Warisan Kebangsaan," katanya. 

Justeru, beliau berkata kerajaan juga dalam proses mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa bagi menjadikan Menara Condong Teluk Intan sebagai satu daripada warisan Dunia UNESCO.

"Sesungguhnya, usaha mengekalkan dan memelihara warisan dan budaya merupakan tanggungjawab kita bersama.

"Diharap ia juga akan dapat mempromosi Teluk Intan sebagai pusat tarikan pelancong dalam dan luar negara di masa akan datang," katanya. 

- Sumber: Bernama 

Bakar papan tanda sekolah berang kematian pelajar

Papan tanda sekolah yang dipercayai dibakar dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal, semalam

BANTING - Dua lelaki dipercayai bertindak membakar papan tanda sebuah sekolah selepas dikatakan berang dengan kematian seorang pelajar tingkatan lima, kelmarin ketika latihan bola sepak sekolah.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi semalam, dua lelaki menaiki motosikal berusia lingkungan 20-an, menyimbah minyak petrol pada papan tanda sekolah tersebut dan membakarnya.

Saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Hayati, 54, berkata, api terus marak dan orang ramai mula berkumpul melihat kejadian sebelum dua lelaki terbabit melarikan diri.

“Tidak berapa lama kemudian, datang pula tiga lelaki berusia antara 20 dan 30-an menaiki sebuah kereta berwarna silver dan bertindak memaki-hamun pihak sekolah.

“Lebih teruk lagi, salah seorang daripada mereka dalam keadaan mabuk turut mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan. Keadaan ketika itu memang agak kelam-kabut berikutan waktu itu pelajar baru masuk berikutan ada aktiviti sekolah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Hayati berkata, kemudian, datang seorang lelaki lain cuba menghentikan keadaan ‘panas’ tersebut. Lalu, keadaan kembali tenang tidak beberapa lama kemudian.

Kelmarin, seorang pelajar tingkatan lima, N Arveen, 17, meninggal dunia selepas mengadu sakit kepala ketika menjalani latihan bola sepak di padang awam berhampiran sekolah itu. Mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Teluk Datuk, Banting.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak berkata, siasatan masih lagi dijalankan berhubung kematian pelajar terbabit.

Menurutnya, tiada laporan polis diterima berhubung kejadian kebakaran tersebut.

- Sumber: Sinar Harian 

Gambar putus kepala tiada kaitan

(Gambar kiri) Gambar sebenar kemalangan di Gurun, kelmarin. (Gambar kanan), Gambar ngeri kanak-kanak yang cuba dikaitkan dengan kemalangan kelmarin.

ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menafikan kaitan gambar seorang kanak-kanak perempuan yang tersebar di laman sosial ‘WhatsApp’ dengan kemalangan ngeri yang berlaku di Jalan Jeniang-Gurun, kelmarin.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Kedah, Nur Hafizah Mohammad Lukman berkata, gambar berkenaan tidak ada kena mengena dengan kemalangan di Gurun.
Menurutnya, berdasarkan gambar itu, tempat dan situasi yang berlaku berbeza.

“Kita percaya gambar membabitkan kanak-kanak itu berlaku di luar negara namun ada yang cuba hebahkan benda tidak benar.

“Gambar diambil anggota JBPM dan gambar tersebar di laman sosial jelas berbeza seperti lokasi kejadian kemalangan petang itu berumput hijau tetapi gambar kanak-kanak berkenaan di jalan tanah merah,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, di sini, semalam.

Sementara itu, penyebaran gambar itu turut menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai terutama penduduk yang sering menggunakan jalan berkenaan.

Melalui pemerhatian di satu kumpulan ‘WhatsApp’, lokasi kemalangan yang lebih dikenali sebagai kawasan Jentayu berdekatan ladang kelapa sawit itu sering dikenali sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan.

Disebabkan penyebaran gambar ngeri kanak-kanak itu, ada antara mereka mula rasa bimbang untuk melalui kawasan berkenaan terutama pada lewat malam kerana masih terbayang kecederaan dialami mangsa.

Nur Hafizah berkata, kejadian kemalangan petang kelmarin di jalan itu melibatkan kematian dua lelaki tempatan bersaudara berumur 23 tahun dan bapa saudaranya berumur lingkungan 30-an yang menaiki kereta Proton Wira.

Manakala seorang wanita yang memandu Mitsubishi Triton dari arah bertentangan dipercayai terbabas sebelum merempuh kereta mangsa berjaya diselamatkan hasil bantuan orang ramai sebelum kenderaan itu terbakar. Dia mengalami cedera parah.

- Sumber: Sinar Harian 

Pelancong China didakwa pengotor, Kuil Putih terpaksa bina tandas baharu

Tandas baharu akan dibina di Wat Rong Khun sebagai penyelesaian kepada aduan terhadap pelancong China yang didakwa kurang beretika di tandas.

BANGKOK: Sebuah kuil terkenal di utara Thailand akan membina tandas berasingan khusus buat pelancong dari negara China.

Wat Rong Khun, atau lebih dikenali sebagai Kuil Putih, di wilayah Chiang Rai akan menambah tandas baharu sebagai penyelesaian kepada aduan terhadap pelancong China yang didakwa ‘kurang beretika’ ketika di bilik air, kata seorang pegawai kuil pada Sabtu kepada agensi berita dpa.

Sebelum ini, kuil tersebut telah mengharamkan kehadiran pengunjung warga China selepas beberapa kumpulan pelancong China telah merosakkan tandas di situ.

"Mereka buang air besar di atas lantai, buang air kecil di dinding luar dan meninggalkan tuala wanita di dinding bilik mandi," kata seorang pegawai yang tidak mahu dikenali.

Pereka wat itu, Chalermchai Kositpipat, dalam satu wawancara televisyen berkata adalah "mustahil" untuk pelancong lain menggunakan bilik air selepas dikunjungi pelancong China.

Jadi, sebagai jalan penyelesaian, dia memilih untuk membina tandas yang baharu khusus buat kegunaan mereka.

- Sumber: Agensi 

'Harga minyak dah naik, kempen turun harga bagaimana pula?'


Orang ramai melahirkan kebimbangan kenaikan harga bahan api yang diumumkan kerajaan bakal mengakibatkan harga barang naik dua kali ganda.

KUALA LUMPUR: Orang ramai melahirkan kebimbangan bahawa kenaikan harga petrol dan bahan api yang diumumkan kerajaan pada Sabtu bakal mengakibatkan harga barang naik dua kali ganda.

Di media sosial, rata-rata mereka tertanya-tanya adakah kempen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk menurunkan harga barang masih diteruskan.

Ramai turut merasakan harga baru ini bakal membebankan pengguna ditambah dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) mulai 1 April ini.

Pada Sabtu, KPDNKK mengumumkan harga petrol RON95, RON97 dan diesel naik 25 sen seliter mulai 1 Mac 2015.

Pengumuman tersebut menjadikan harga baharu bagi RON95 adalah RM1.95, RON 97 RM2.25, dan Diesel RM1.95.












Australia, Malaysia, Indonesia cuba sistem pengesan pesawat terbaharu

Australia sedang menjalankan ujian percubaan sebuah sistem yang dapat meningkatkan keberkesanan tahap pengesanan pesawat di dasar laut.

SYDNEY: Australia pada Ahad dilapor sedang menjalankan ujian percubaan sebuah sistem yang dapat meningkatkan keberkesanan tahap pengesanan pesawat pada kedalaman yang lebih jauh di dasar lautan

Percubaan sistem pengesanan "pertama di dunia" ini dilakukan bersama Malaysia dan Indonesia bertujuan membolehkan pihak berkuasa agar dapat segera bertindak balas terhadap situasi tidak normal, seperti dalam kes kehilangan pesawat MH370.


Berita selanjutnya Akan nenyusul.
- Sumber: Astro Awani