PELARI 110 meter berpagar negara, Robani Hassan melahirkan rasa tidak puas hati dan kecewa selepas sekadar mencatat masa 14.39 saat pada acara akhir 110m berpagar pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
Menurut pelari senior itu, dia mengakui lariannya serba tidak menjadi serta kehilangan tumpuan pada jarak 50 meter terakhir.
“Hari ini (semalam) saya sangat tidak berpuas hati dengan larian saya. Mungkin kerana hilang fokus pada perlumbaan hingga mengakibatkan saya ketinggalan jauh.
“Banyak yang perlu saya perbaiki dari aspek teknikal dan kelajuan sebelum ke Sukan Sea. Kejohanan ini persediaan terbaik buat saya,” katanya semalam.
Sebelum ini Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dilaporkan tidak akan menghantar atlet kategori B.
Namun baru-baru ini, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong mengumumkan bersedia menanggung perbelanjaan bagi memberi peluang kepada atlet berstatus senior beraksi di Sukan Sea biarpun tidak melepasi syarat kelayakan.
"Insya-ALLAH, jika saya di beri peluang ke Myanmar, saya akan lakukan yang terbaik buat negara. Dalam kejohanan ini, rata-rata atlet yang bakal beraksi di Sukan Sea semuanya mengambil bahagian di sini. Jadi saya dapat lihat pesaing-pesaing saya di temasya dwi tahunan itu nanti,” katanya.
Untuk rekod, Robani pernah menghadiahkan pingat emas buat negara pada temasya Sukan Sea 2005 di Manila.
Sinar Harian