Thursday, 24 July 2014

Rahsia nafsu songsang terbongkar

  • Wan Abd Aziz
  • Wan Abd Aziz

KUALA TERENGGANU - Usia baru menjangkau 15 tahun, tetapi kerana dipercayai terpengaruh dengan video lucah, seorang remaja lelaki memaksa sepupu lelakinya berusia lima tahun lakukan perkara sumbang dalam kejadian di Kijal, Chukai, Kemaman.

Rahsia remaja tersebut yang bernafsu songsang terbongkar selepas kelakuan jijiknya itu disedari ibu mangsa yang juga ibu saudara suspek, kira-kira jam 12.35 tengah hari, 17 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum itu, ibu mangsa yang sedang berehat di rumahnya telah dimaklumkan seorang lagi anak saudaranya yang ternampak mangsa bersama suspek berada di kawasan semak belakang sebuah rumah.

Katanya, ibu mangsa yang bimbang kejadian tidak diingini bergegas ke lokasi dimaksudkan dan tergamam apabila melihat anaknya sedang melakukan perkara tersebut.

“Suspek yang terkejut dengan kehadiran ibu saudaranya segera memberhentikan perbuatan terkutuknya itu.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek yang tinggal berhampiran rumah mangsa sememangnya rapat dengan mangsa dan sebelum ini sering bermain dengannya, malah suspek juga dikatakan kerap membawa mangsa ke dalam semak itu,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, susulan kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Kijal kelmarin untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, siasatan sedang dijalankan dan usaha memburu suspek yang melarikan diri giat dilakukan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii. - Sinar Harian 

MH17: Sampel DNA anak mangsa diambil

Tan menaiki pesawat MH17 bersama anak perempuannya Jenny Loh (kiri) dan suami Fan Shun warga Belanda yang memiliki restoran di Rotterdam

GEORGE TOWN: Jabatan Perubatan Forensik Hospital Seberang Jaya telah mengambil satu lagi sampel DNA daripada anak kepada salah seorang mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines MH17.

Pasukan forensik itu tiba di kediaman , Tan Siew Poh, 85, di Lorong Delima Di Gelugor pada jam 2.45 tengah hari dan proses itu selesai kira-kira jam 3.45 tengah hari tadi.

Anak lelaki kepada Tan yang hanya mahu dikenali sebagai Loh itu, menolak sebarang temubual oleh wakil media namun selepas lebih sejam melihat wakil media menunggu di halaman rumahnya, beliau keluar dan meminta agar tidak diganggu pada masa ini.

Ketika diminta pengesahan sama ada benar ahli keluarganya yang maut dalam nahas MH17, Loh mengesahkan mangsa adalah ibunya dan memaklumkan sampel DNA telah diambil bagaimanapun tidak mengetahui bila mayat ibunya akan di bawa pulang.

Difahamkan Tan menaiki pesawat MH17 bersama anak perempuannya Jenny Loh Yan Hwa, 54 tahun dan suaminya Fan Shun Po, 60 tahun warga Belanda yang memiliki restoran di Rotterdam.

Setiap tahun pasangan itu menaiki penerbangan terus dari Rotterdam ke Hong Kong tetapi kali ini menaiki MH17 daripada Amsterdam ke Kuala Lumpur kerana ingin pulang ke Malaysia bersama ibunya yang datang menziarahi mereka di Rotterdam.

Tan adalah salah seorang daripada 298 penumpang yang terkorban dalam nahas MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Selain Tan, dua lagi anak kapal Nurshazana Mohd Salleh dan Sanjid Singh Sandhuyang yang berasal dari Pulau Pinang turut terkorban dalam nahas tersebut. - ASTRO Awani 

Pesawat Air Algerie yang hilang telah terhempas

Pesawat membawa 110 penumpang

KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat Air Algerie dari Burkina Faso ke Algiers telah terhempas, lapor Reuters.

“Saya boleh mengesahkan pesawat itu telah terhempas,” kata seorang seorang pegawai kerajaan Algeria kepada Reuters .

Sebelum itu, Menteri Pengangkutan Burkino Faso, Jean Bertin Ouedrago berkata pesawat itu memohon kebenaran untuk mengubah haluan pada 0138GMT (9.38 p.m. EDT) kerana ribut di kawasan laluan.

Reuters juga melaporkan bahawa lebih separuh daripada penumpang pesawat itu adalah rakyat Perancis.

Dua pesawat pejuang tentera Perancis telah dihantar ke kawasan itu untuk mencari pesawat itu.

Ia dilaporkan bahawa pesawat penumpang itu hilang hampir sejam selepas ia berlepas dari Bukina Faso ke Algiers.

Menurut laporan AFP yang memetik kenyataan agensi berita kebangsaan APS, syarikat penerbangan itu telah menggerakkan satu pelan kecemasan untuk mengesan pesawat AH5017.

Menurut satu sumber, pesawat itu hilang hubungan apabila ia berada di ruang udara Mali ketika menghampiri sempadan Algeria.

“Pesawat itu berada tidak jauh dari sempadan Algeria apabila anak-anak kapal telah diminta untuk mengubah arah kerana kadar penglihatan yang tidak baik dan untuk mencegah risiko berlanggar dengan pesawat lain di laluan Algiers-Bamako," kata sumber itu.

“Hubungan hilang selepas mengubah arah.”

Pesawat itu dilaporkan membawa 110 penumpang, dan enam anak kapal.

Salah satu nahas pesawat yang paling buruk di Algeria berlaku pada bulan Februari tahun ini, apabila sebuah pesawat C-130 tentera yang membawa 78 orang terhempas di kawasan pergunungan ke timur laut negara itu, membunuh lebih daripada 70 orang. - Astro Awani

Ezany dedah wajah lelaki didakwa 'skandal' isteri di Facebook

Pada salah satu pos yang dikongsinya Ezany dikatakan telah pergi mencari lelaki tersebut di tempat kerjanya.

KUALA LUMPUR: Nampaknya semakin hari, kemelut rumah tangga pelakon Ezany Nizarif dan isterinya Lizda Nuryanti Abidin semakin meruncing.

Terkini, Ezany telah memuatnaik sekeping foto isterinya dan seorang lelaki di laman Facebook miliknya pada Selasa lalu.

Lelaki tersebut dipercayai ‘teman lelaki’ isterinya.

Pelakon itu sebelum ini pernah membuat laporan polis dan mendakwa isterinya dilarikan seorang lelaki tidak dikenali dan hanya menyedari ‘kehilangan’ isterinya ketika bangun untuk bersahur.

Bermula daripada situ, Ezany terus berkongsi perasaan menerusi laman sosial facebooknya.

Bagaimanapun, ada juga peminat yang tidak bersetuju dengan cara Ezany itu dan menganggap perbuatannya seperti membuka aib sendiri.

Namun, mungkin kerana tertekan dan tidak mampu menahan geram menyebabkan Ezany bertindak sejauh itu.

Malah, pada salah satu pos yang dikongsinya Ezany dikatakan telah pergi mencari lelaki tersebut di tempat kerjanya.

Walauapapun, kita mengharapkan kemelut rumahtangga Ezany dan Lizda dapat diselesaikan segera - Astro Gempak

Bot pancung bawa 28 penumpang karam di Tanjung Ketapang

JOHOR BAHRU: Sebuah bot pancung membawa 28 penumpang karam di kedudukan 15 batu nautika barat daya Tanjung Ketapang, Muar pagi tadi, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan.

Ketua Pengarah Operasi Maritim APMM, Kapten Maritim Ibrahim Mohamed berkata maklumat tentang kejadian itu diterima oleh VTS Klang, Bahagian Keselamatan Pelayaran, Jabatan Laut Semenanjung Malaysia di Pelabuhan Klang.

"Menurut maklumat awal VTS Klang, sebuah kapal kargo MSC Valeria yang melalui kawasan tersebut telah memaklumkan mereka sedang menyelamat dua mangsa yang sedang terapung," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata jumlah sebenar mangsa masih belum dapat dipastikan tetapi berdasarkan maklumat awal ia dipercayai sebanyak 28 orang.

Ibrahim berkata operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan dengan dua bot laju APMM telah digerakkan ke tempat kejadian.

Kejadian kira-kira 11.20 pagi itu merupakan susulan kejadian bot pancung membawa pendatang asing tanpa izin yang karam di perairan Tanjung Piai pada 14 Julai lepas dan mengorbankan 12 nyawa. - ASTRO Awani 

Mayat mangsa MH17 mungkin tidak dapat dibawa pulang sebelum Aidilfitri - Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangani buku takziah sebagai penghormatan ke atas mangsa pesawat MH17, di kediaman Duta Belanda hari ini - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: 43 mayat warganegara Malaysia mangsa nahas MH17 dijangka tidak dapat dibawa pulang ke tanah air sebelum sambutan Aidilfitri.

Ini kerana, mayat mangsa perlu melalui proses teknikal seperti identifikasi mayat dan ujian DNA. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata proses teknikal itu akan mengambil masa beberapa minggu atau berbulan lamanya.

Selain itu, proses identifikasi mangsa juga perlu dilakukan mengikut prosedur ketat dengan mengambil kira bukti bagi kemungkinan pendakwaan.

“Proses forensik dan identifikasi yang akan dijalankan perlu melihat dari segi pemadanan DNA di mana perlunya kerja-kerja intensif.

“Terutamanya, bukti mungkin diperlukan untuk proses pendakwaan di mahkamah," jelas beliau.

Justeru kata Najib, pihak kerajaan tidak boleh mengenepikan proses berkenaan.

Pada masa sama, Najib turut melahirkan rasa kesal kerana pasukan penyiasat antarabangsa masih tidak diberikan akses penuh ke kawasan kejadian.

Ditanya sama ada beliau akan bincangkan perkara itu dengan Alexander Borodai, komander puak pemisah pro-Rusia di kawasan tempat pesawat itu terhempas, Najib berkata, tidak buat masa ini.

“Tetapi saya akan bercakap, mungkin dengan Presiden Ukraine Petro Poroshenko dan akan menyampaikannya kepada Borodai,” kata Najib sambil menyatakan beliau sedar akan sensitiviti yang terlibat.

Najib berkata kepada pemberita selepas menandatangani buku takziah bagi memperingati 298 mangsa nahas pesawat MH17 di Kediaman Duta Belanda di Malaysia, Harry Molenaar, pada Khamis.

Sementara itu, dalam buku takziah MH17, Najib menulis beberapa baris ayat bagi menzahirkan rasa sedih dan takziah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia. - Astro Awani

Lelaki jalani hukuman mati, temui ajal hanya selepas 2 jam

Proses yang biasanya mengambil masa 10 hingga 15 minit berlanjutan sampai hampir dua jam

ARIZONA: Seorang banduan di Arizona, Amerika Syarikat mengambil masa dua jam untuk menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tercungap-cungap dan mendengus selepas menjalani hukuman mati.

Ini adalah insiden terbaru ketika masyarakat negara itu mempersoalkan pelaksanaan hukuman mati menggunakan suntikan beracun dalam sistem kehakiman jenayahnya.

Hukuman mati ke atas Joseph Wood, pesalah kes bunuh berkembar itu, bermula pukul 1.52 petang waktu Arizona di kompleks penjara. Dia disahkan meninggal dunia pada 3.48 petang, kata pejabat peguam negeri Arizona.

Proses yang biasanya mengambil masa 10 hingga 15 minit berlanjutan sampai hampir dua jam. Menurut saksi termasuk wartawan dan peguam Dale Baich yang mewakili Wood, lelaki itu nampak tercungap-cungap.

“Saya sudah saksikan beberapa hukuman mati tetapi saya tidak pernah tengok yang seperti ini,” kata Baich seperti dipetik oleh The Washington Post. “Hukuman mati yang saya saksikan sebelum ini tidak lama seperti ini.”

Peguam Wood memfailkan rayuan segera kepada mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mati itu ketika lelaki itu bertarung nyawa. Mereka juga menghubungi seorang hakim Mahkamah Agung untuk bantuan.

Rayuan itu difailkan pada pukul 3 petang atas alasan hak asasi Wood untuk dihukum mati tidak dengan kejam.

Wood bagaimanapun mati sebelum mahkamah memberi maklumbalas. Hakim Mahkamah Agung itu juga menolak permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Pada pukul 3.39 petang, menelefon tiga hakim yang membenarkan hukuman mati itu. Tetapi 10 minit kemudian Wood menghembuskan nafas terakhirnya.

Pihak peguam negeri mendakwa Wood telah tidak sedarkan diri sepanjang proses itu dan tidak menderita. "Dia berdengkur," kata Stephanie Grisham, jurucakap pejabat peguam itu yang juga menyaksikan kejadian itu. "Tidak ada tercungap atau mendengus. Itu yang sebetulnya. Dia hanya tidur."

Tetapi menurut peguam kalau betul sekalipun anak guam mereka itu telah tidur dan tidak sedar, kenapa proses itu mengambil masa yang panjang.

Gabenor Arizona, Jan Brewer melahirkan kebimbangan terhadap proses yang panjang itu. Beliau mengarahkan siasatan penuh tetapi pada masa sama berkata keadilan telah ditegakkan.
Wood, 55, dihukum mati pada 1991 kerana menembak mati teman wanitanya dan teman wanitanya itu pada Ogos 1989.

Mayat Wood dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Wood adalah seorang daripaxda enam banduan yang menunggu hukuman mati yang menyaman kerajaan Arizona berhubung kerahsiaan bahan kimia yang digunakan untuk pelaksanaan hukuman di Ohio dan Oklahoma. Rayuannya gagal pada Rabu apabila membenarkan hukuman itu dilaksanakan. -Agensi 

Akibat pasang CCTV tak berfungsi

cctv

JITRA - Syarikat swasta yang mahu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis perniagaan mereka diminta memastikan CCTV itu berfungsi dan bukan hanya memasangnya sebagai langkah untuk menakutkan penjenayah daripada merompak premis perniagaan mereka.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, ada sesetengah pemilik syarikat memasang CCTV yang tidak berfungsi dan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap premis perniagaan mereka, polis sukar untuk mendapatkan bukti dan identiti penjenayah.

Katanya, CCTV yang berfungsi akan memudahkan polis membuat siasatan sekiranya berlakunya jenayah seperti rompakan.

"Ini adalah (untuk) kebaikan kedua-dua pihak (polis dan pemilik syarikat). Polis dapat menyiasat dari pelbagai sudut mengenai kes jenayah yang berlaku dan identiti penjenayah.

Kadang-kadang kita lihat syarikat ada pasang CCTV dan bila kita nak lihat rekod tidak ada sebab CCTV tu hanya hiasan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Program SafeCam Partnership antara Polis dengan pemilik syarikat di Ibu pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini, hari ini.

Ahmad berkata, kesedaran di kalangan ahli perniagaan terhadap penggunaan CCTV amat rendah kerana mereka enggan mengeluarkan belanja yang besar untuk sistem keselamatan itu.

Sementara itu, beliau berkata menerusi program SafeCam Partnership, pihaknya akan memberi fokus kepada premis perniagan yang mengambil bahagian dan turut menasihatkan mereka tentang kesannya sekiranya CCTV tidak dipasang di tempat yang strategik.

Beliau berkata, pemilihan tempat untuk dipasang CCTV penting bagi memudahkan pihaknya melihat dalam pelbagai sudut dan sekaligus memudahkan pihaknya untuk mendapatkan identiti dan maklumat penjenayah.

"Kadang-kadang dalam kedai ada dua CCTV sahaja diletakkan dalam kedai dan luar. Kalau berlaku kes rompakan kita hanya dapat lihat penjenayah itu bertopeng sahaja. Kalau ada pelbagai sudut kita mungkin akan lihat muka penjenayah sebelum mereka pakai topeng dan kenderaan yang dinaiki," katanya.

Katanya setakat ini hanya lima daerah telah mengadakan MoU program tersebut iaitu Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim, Kuala Muda dan Langkawi, dan program itu akan diteruskan ke daerah lain dalam tempoh terdekat.

Program SafeCam merupakan kerjasama pihak swasta dan polis dalam pemasangan CCTV di kawasan tertentu dalam usaha mengurangkan jenayah. - Bernama

Bunuh staf Ambank: 8 Ogos keputusan pendakwaan

mahkamah

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Ogos depan sebagai keputusan akhir pendakwaan bagi kes pembunuhan yang melibatkan kakitangan Ambank cawangan Subang Sentral, Norazita Abu Talib, 37, yang mati ditembak, tahun lalu.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas berpuas hati terhadap hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Terdahulu, saksi pendakwa yang ke 16, bekas Penyelia Stor Senjata Syarikat Kawalan Prima, Mohamad Rahli Mohamed,37, yang sebelum ini tidak sihat hadir ke mahkamah untuk sesi soal balas dengan peguam bela, S Selvi berhubung kes ini.

Mohamad Rahli bersetuju dengan Selvi bahawa Syarikat Kawalan Prima tiada mengeluarkan sijil kehadiran dan menembak.

Dia juga bersetuju dengan soalan Ketua Unit Pendakwaan Negeri Selangor, Mohd Azari Haron, bahawa tertuduh, La Ode Ardi Rasila, 37,hadir untuk latihan menembak walaupun tiada sijil dikeluarkan.

Pengawal keselamatan warga Indonesia, La Ode, didakwa membunuh Norazita antara jam 6.00 petang hingga jam 6.30 petang di Bangunan Ambank, Jalan USJ Sentral, Subang Jaya pada 23 Oktober 2013.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Lelaki itu turut didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mohd Azari dan Asyraf Md Kamal bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya manakala tertuduh diwakili peguam bela, Chong Kak Sen serta S Selvi yang dilantik oleh Kedutaan Indonesia.

Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding berlangsung sejak 23 Jun lalu. - Sinar Harian 

Proton tawar pemeriksaan keselamatan 20 perkara percuma

PROTON mengambil serius keselamatan dan keselesaan pelanggannya.

KUALA LUMPUR: Sempena cuti Hari Raya Aidilfitri ini, Proton menawarkan pemeriksaan keselamatan 20 perkara secara percuma kepada pelanggannya di beberapa stesen Petronas terpilih.

Program anjuran bersama Petronas itu merupakan sebahagian daripada kempen Petronas Coffee Break.

Proton dalam satu kenyataan berkata selain pemeriksaan percuma, pelanggan juga akan diberikan nasihat mengenai aspek penyelenggaraan enjin dan kereta serta tunjuk ajar mengenai kaedah membezakan alat ganti tulen dan tiruan, selain hadiah sebagai tanda penghargaan.

"Proton mengambil serius keselamatan dan keselesaan pelanggannya. Melalui perkhidmatan dan tawaran yang disediakan pada kempen ini, kami berharap dapat menyumbang ke arah mewujudkan kesedaran kepada pelanggan dan pengguna jalan raya mengenai pentingnya penyelenggaraan kenderaan dan keselamatan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd Azmi Idris.

Katanya menerusi program ini, Proton berharap dapat membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang kerap berlaku pada musim perayaan.

Beliau berkata pada Khamis, pasukan Proton akan berada di Petronas 15.3 KM, stesen NKVE Damansara untuk pemeriksaan keselamatan percuma.

- Media Statement via Astro Awani