Wednesday 5 February 2014

Exco Kedah guna Proton Perdana ganti Toyota Camry

Mukhriz Tun Dr Mahathir
Mukhriz Tun Dr Mahathir


ALOR SETAR - Semua Exco kerajaan negeri Kedah akan menggunakan kereta Proton Perdana 2.4 L sebagai kereta rasmi, menggantikan Toyota Camry yang dibeli semasa pentadbiran Pas.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, 10 buah kereta Proton Perdana itu akan digunakan bermula Mac ini, manakala Toyota Camry yang lama akan dijual kepada bekas Exco terdahulu pada harga berpatutan.

"Kita telah menilai lima jenama kereta untuk menggantikan kereta Toyota Camry ini dan akhirnya kita pilih Proton Perdana sebagai kereta rasmi exco... termurah daripada jenama lain (yang dinilai)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ganjaran kepada atlet Kedah yang memenangi pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 2013 di Kuala Lumpur.

Mengenai penjualan Toyota Camry kepada bekas Exco (semasa Kedah ditadbir oleh Pas), beliau berkata ia adalah amalan biasa yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Saya pula masih menggunakan kereta yang telah dibeli semasa zaman pentadbiran Ustaz Azizan (bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak) iaitu kereta jenis Mercedes Benz S Class kerana kereta ini masih lagi dalam keadaan elok," katanya.

Mukhriz berkata, selain lebih murah berbanding kereta jenama lain, kerajaan negeri juga bernasib baik kerana mendapat kereta Proton Perdana berkenaan dalam tempoh singkat.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan syarikat konsesi yang melakukan aktiviti pembalakan sehingga menyebabkan pencemaran supaya menukar blok pembalakan.

Beliau berkata, terdapat rungutan daripada penduduk terutama di Sik yang menghadapi masalah pencemaran sungai akibat pembalakan, justeru blok pembalakan perlu ditukar bagi mengelakkan keadaan lebih buruk berlaku.

Katanya selain masalah pencemaran sungai, tiada aduan lain diterima daripada aktiviti pembalakan itu. - Bernama

Restoran di Melaka tawar beriani percuma tiap hari

Restoran di Melaka tawar beriani percuma tiap hari
Pengusaha Restoran Nasi Beriani Haji Tamby, Muhammad Nazli Zainul Abidin, 35, menunjukkan nasi beriani bersama ayam masak merah ketika ditemui di Melaka hari ini. - Foto Bernama


MELAKA - Ketika masyarakat sibuk membincangkan kenaikan harga barang keperluan, sebuah restoran di Padang Temu di sini sedia menawarkan nasi beriani, nasi putih, dalca dan acar secara percuma setiap hari kepada pelanggan. 

Malah 'Restoran Nasi Beriani Haji Tamby' turut memberikan air sirap bandung percuma pada setiap Jumaat.

Pengusahanya, Muhammad Nazli Zainul Abidin, 35, berkata pelanggan yang menjamu selera di restoran berkenaan hanya perlu membayar untuk lauk pauk dengan harga berpatutan.

Katanya, kari kambing dijual pada harga RM6; kari itik RM7, dan ayam goreng RM4, berbeza dengan kebanyakan restoran yang menjual set nasi beriani pada harga antara RM10 hingga RM15. 

"Tidak dinafikan berniaga ini kita nak cari rezeki dan keuntungan tetapi bagi saya ia juga salah satu cara untuk menggembirakan orang ramai...mudah-mudahan Allah akan menggembirakan kita pula," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Beliau yang mengusahakan restoran tersebut bersama isterinya Amelia Tamby Hussin, 34, berkata langkah itu juga diharap memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

"Ada di antara pelanggan yang hanya memesan nasi beriani tanpa lauk serta air kosong, mungkin mereka ini orang susah, sekurang-kurangnya mereka boleh menikmati nasi beriani," katanya yang menggunakan beras basmati bagi menghasilkan nasi beriani.

Muhammad Nazli berkata sejak memulakan promosi itu dua minggu lepas, ia mendapat sambutan menggalakkan termasuk pelanggan dari luar Melaka dengan dua periuk besar nasi habis dipesan setiap hari.

Beliau berkata, promosi itu akan dilakukannya sepanjang tahun ini dan bakal dikekalkan untuk tahun mendatang sekiranya memperoleh rezeki yang bertambah. 

Katanya, restoran yang telah beroperasi selama enam tahun itu sebelum ini pernah memberi minuman sirap percuma kepada pelanggan. - Bernama

Krisis Thai: Wartawan kacak Jepun curi tumpuan

Krisis Thai: Wartawan kacak Jepun curi tumpuan
Daijiro Enami


BANGKOK - THAILAND. Kehadiran seorang wartawan dari Jepun yang kacak di tengah-tengah krisis politik berpanjangan di Thailand menenggelamkan suhu tunjuk perasaan serta pilihan raya umum 2 Februari di negara itu.

Banyak gambar Daijiro Enami dikongsi melalui laman media sosial, Facebook, Twitter dan Instagram oleh rakyat Thailand selepas rakan-rakan media dan penunjuk perasaan memuatnaik gambar Daijiro membuat kerjanya atau tersenyum dengan wanita-wanita, lapor Bangkok Post.

Daijiro yang berusia 28 tahun itu merupakan wartawan untuk Fuji Television Network.

Dia telah menemubual pemimpin tunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban dan membuat liputan ketika pilihan raya umum di daerah Bung Kum, di mana Perdana Menteri Sementara, Yingluck Shinawatra mengundi.

Sinar Harian 

Devamany: "Kesavan's resignation letter is fake"



Perak State Assembly Speaker Datuk Seri S.K. Devamany on Wednesday, confirmed the letter of resignation allegedly from PKR Hutan Melintang assemblyman S.Kesavan is fake.

He also called the letter which his clerk received at about 2.30 pm on Tuesday evening as a fraud.

Devamany told Astro AWANI that upon receiving the letter, he had immediately contacted Kesavan to verify the content of the letter. He said Kesavan has denied resigning.

He said, “The legislative process we are in together is the very key for democratic system and also in the Perak administration”.

“This sort of issues should not damage our good name; irresponsible individuals like this should not get away with it. I leave it to the police for investigation,” he told reporters at a press conference in the Perak State Secretariat on Wednesday.

Kesavan on Tuesday had denied the allegation of him quitting PKR and denied sending any letter regarding his resignation to Devamany.

A copy of the resignation letter went viral online on Tuesday, promting PKR's communications director Fahmi Fadzil to issue a press statement, denying the matter.

kesavan
 

How much are you willing to pay for breakfast?

Price hikes are certainly inevitable, in line with a country's rapid development.

However, many are questioning the increase as it does not commensurate with their salary's slow increment.

Despite government efforts to curb these problems via monitoring and warnings, the prices of the goods or more precisely, the cost of living is still on the rise.

The abolishment of sugar subsidies was met by news of rising prices of food and drinks, which is closely related by the increase in oil prices.

As such, how much are we willing to spend for dining out? Join our poll on AstroAWANI and tell us what you think.

 
 
 
 
 
 
 
 
Source: Astro Awani 

Polis percaya dapat selesaikan kes bunuh anggota cawangan khas


KUALA TERENGGANU:  Polis percaya dapat menyelesaikan kes bunuh yang membabitkan seorang anggota Cawangan Khas yang ditemui mati dengan dua kesan tembakan di muka dan mata kanan dalam kejadian di Jalan Negeri Sembilan di ibu negara semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ini berikutan kejayaan polis menangkap seorang suspek lelaki tempatan berumur 30-an di Kuala Lumpur malam tadi.

"Kita yakin dapat menyelesaikan kes ini dan kita akan mengetahui sebab pembunuhan itu sebaik siasatan selesai dijalankan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya siasatan lanjut berhubung kes berkenaan masih dijalankan namun polis juga sedang meneliti motif pembunuhahan itu sama ada ia berkaitan dengan penguatkuasaan yang dijalankan anggota berkenaan.

Semalam anggota berpangkat Lans Koperal berumur 37 tahun itu dipercayai ditembak dari jarak dekat dengan mayatnya ditemui kira-kira 1.5 meter dari sebuah motosikal.

Mayat mangsa ditemui orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira 4.30 petang yang kemudian memaklumkannya di Balai Polis Travers.

Dalam pada itu, Khalid menyifatkan kes pembunuhan melibatkan anggota polis adalah terpencil memandangkan pegawai mahupun anggota polis sentiasa diancam dari segi keselamatan dan mereka dilatih untuk menghadapi sebarang ancaman.

Ketika menjawab pertanyaan berhubung isu polis mabuk minum arak di Selangor baru-baru ini pada program bicara tokoh mengenai isu-isu keselamatan negara, Khalid berkata anggota berkenaan telah dikenakan tindakan.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkrompromi dengan sesiapa termasuk pegawai mahupun anggotanya yang melakukan kesalahan.

Sambil meinta semua pegawai dan anggota menjaga imej jabatan, Khalid berkata pihaknya tidak akan melindungi kakitangannya yang melakukan kesalahan, melanggar undang-undang dan disiplin sebaliknya mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

Menjawab pertanyaan lain, beliau berkata pihaknya menerima banyak laporan polis berhubung pelbagai kes dan isu dan keadaan itu menunjukkan rakyat risau berhubung sesuatu isu yang ditimbulkan pihak tertentu.

"Kita ada prosedur dan kita perlu ikut prosedur yang telah ditetapkan, kita hanya menyiasat dan polis tidak ada kuasa untuk menuduh individu itu kita serahkan kepada peguam negara," katanya.

Astro Awani 

Kenapa PRK Kajang 'lambat'


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan bahawa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang diadakan 'lambat' adalah kerana banyak persediaan perlu dilakukan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata pihaknya tidak menjangka langsung akan adanya pilihan raya kecil ini dan menurutnya untuk mengadakan pilihan raya kecil bukanlah satu perkara yang mudah.

“Kita banyak persediaan. SPR tidak menjangka langsung ada pilihan raya kecil ini. Kita menumpukan perhatian kita kepada urusan-urusan yang lain di bawah tanggungjawab SPR.

"Tetapi apabila ada pengumuman yang tidak disangka-sangka ada wakil rakyat yang meletak jawatan, kita kena ubah 'gear' dan buat persediaan," katanya dalam satu sidang media di pejabat SPR, pada Rabu.

Jelas Abdul Aziz, persiapan yang perlu dilakukan termasuk menyediakan daftar pemilih yang lengkap dan bersih, tempat mengundi yang baik, tempat penamaan calon yang baik dan juga pusat pengiraan undi yang baik.

Selain itu, katanya pemilik bangunan juga perlu bersetuju untuk premisnya dipakai oleh SPR.

Katanya SPR tidak mahu terburu-buru dalam menjalankan pilihan raya kecil, atas kebimbangan akan berulangnya kesilapan dalam proses pilihan raya yang pernah berlaku sebelum ini.

"Dan begitu juga latihan, kita tidak mahu kesilapan seperti mengisi Borang 13 dan Borang 14... kita perlu mengadakan latihan yang lengkap yang cukup.

“Jadi kita tidak mahu terburu-buru supaya tidak berlaku kesilapan... dan tarikhnya tidaklah terlalu lewat atau terlalu awal," kata Abdul Aziz.

Bagaimanapun, kata beliau tempoh yang diambil SPR masih dalam garis masa yang ditetapkan undang-undang, iaitu 60 hari selepas wakil rakyat tersebut meletakkan jawatan.

Katanya lagi, pihaknya juga perlu menguruskan dakwat kekal yang perlu diperoleh dari luar negara serta perlu diuruskan untuk dibawa balik yang mana proses itu juga memerlukan masa.

Abdul Aziz berkata demikian ketika ditanya pemberita mengapa SPR mengambil masa yang sangat lama bagi mengadakan pilihan raya DUN Kajang itu.

SPR telah menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Kajang diadakan pada 23 Mac 2014, manakala hari penamaan calon ditetapkan 11 Mac.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi DUN Kajang selepas ADUN kawasan itu, Lee Chin Cheh dari PKR meletak jawatan secara tiba-tiba pada 27 Januari lepas.

Pakatan Rakyat telah menamakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon mereka untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut. 

Astro Awani 

Rakan setugas anggota polis ditembak mati ditahan

Datuk Mohmad Salleh - Gambar Fail


KUALA LUMPUR: Rakan setugas anggota Cawangan Khas PDRM yang ditemui mati ditembak di Bukit Persekutuan di sini, ditahan semalam untuk membantu siasatan polis berhubung insiden tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata anggota terbabit ditangkap pada 7.00 malam dan dibawa ke Balai Polis Travers.

Polis bagaimanapun tidak menyatakan lokasi anggota terbabit ditahan.

"Umurnya dalam lingkungan 30an, polis juga telah merampas sepucuk pistol miliknya serta beberapa dokumen lain yang berkaitan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Papan Kenyataan Kelab Pencegahan Jenayah bagi sekolah di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya di sini, hari ini.

Menurutnya polis akan mendapatkan perintah tahanan reman hari ini selama tujuh hari bagi menjalankan siasatan.

"Mangsa bunuh tidak membawa senjata api ketika kejadian, motif kejadian masih belum dapat dipastikan," katanya.

Semalam, anggota polis Cawangan Khas itu ditemui mati dengan dua kesan tembakan di muka dan mata kanan dalam keadaan terbaring di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan.

Anggota berpangkat Lans Koperal berumur 37 tahun itu dipercayai ditembak dari jarak dekat dengan mayatnya ditemui kira-kira 1.5 meter berdekatan sebuah motosikal.

Di lokasi kejadian polis turut menemui dua kelongsong peluru berukuran 9mm berhampiran mangsa, sebuah topi keledar dan jaket.

Dalam kes lain beliau berkata 87 laporan polis telah diterima terhadap satu penerbitan video Tahun Baharu Cina baru-baru ini yang dipercayai melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

"Rakaman percakapan dengan 87 pengadu telah dilakukan dan polis akan merujuk kes ini kepada peguam negara sama ada dapat dituduh atau sebaliknya," katanya.

Dalam video klip berdurasi hampir 12 minit itu, anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok yang berlakon sebagai pengacara telah menemu ramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baharu Cina dan tetamu undangan Kok dikatakan membuat kenyataan menyindir dalam beberapa perkara, antaranya mengenai pemimpin negara, sistem pendidikan dan isu keselamatan di Sabah.

Sementara itu, sebanyak 50 papan kenyataan telah diserahkan kepada 50 sekolah di Wilayah Persekutuan KL dan Putrajaya.

Papan kenyataan itu bertujuan berkongsi informasi dengan golongan pelajar dari sudut kepolisan termasuk berkaitan undang-undang, aktiviti sekolah serta keratan akhbar. - Bernama

Bangunan Sultan Abdul Samad "beku' di Sapporo


SAPPORO: Satu ukiran ais bangunan Sultan Abdul Samad telah didirikan sempena penyertaan Malaysia dalam Festival Salji Sapporo ke-65 di Hokkaido. Ia juga usaha Tourism Malaysia untuk mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 untuk pasaran Jepun.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menerima ukiran tersebut daripada kerajaan Hokkaido dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Hokkaido dan Pasukan Pertahanan Diri Jepun atas usaha mereka untuk menghasilkan ukiran ais itu.

"Bangunan yang dibina pada tahun 1857 penuh bersejarah dan berfungsi sebagai pameran Malaysia kepada dunia. Kami akan terus memelihara ia sebagai salah satu bangunan warisan yang paling menonjol di negara ini," kata Nazri pada majlis penyerahan itu.

Berukuran 18 meter tinggi, 28 meter lebar dan 20 meter dalam, ukiran ais Bangunan Sultan Abdul Samad berdiri gah di festival berkenaan yang dijangka akan menarik lebih daripada 2 juta pengunjung tempatan dan antarabangsa yang bermula hari ini selama seminggu.

Festival Salji Sapporo dianjurkan sejak tahun 1950, dan mendapat sokongan bandar Sapporo, Persatuan Pelancongan Sapporo, Lembaga Pendidikan Sapporo dan Dewan Perniagaan dan Industri Sapporo.

"Melalui penyertaan Malaysia, kami berharap untuk mengetengahkan tawaran pelancongan Malaysia yang unik dan meletakkan negara sebagai destinasi percutian yang mesti dikunjungi bagi pelancong Jepun," katanya.

Selain ukiran ais, Tourism Malaysia juga mempunyai ruang pameran di festival di mana ia menampilkan cara membuat teh tarik, batik dan acara kebudayaan untuk menghiburkan pengunjung.

Astro Awani 

Mayat reput terputus dua ditemui

Mayat reput terputus dua ditemui
Keadaan mayat mangsa yang terputus dua ditemui orang ramai.


GEORGETOWN - Mayat seorang lelaki ditemui reput dan terputus dua dalam belukar Hutan Simpan Bukit Gedong disini petang tadi.

Mayat lelaki tanpa identiti itu dipercayai mati sejak sebulan lalu ditemui penduduk tempatan kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, kepala mayat berkenaan ditemui tergantung manakala badannya yang sudah terputus ditemui tidak jauh dari kepalanya.

Menurutnya,pemeriksaan awal mendapati kepala mangsa diikat menggunakan akar pokok.

Beliau berkata, mayat berkenaan memakai baju berwarna kelabu dan berseluar hitam.

Turut ditemui sepasang selipar yang dipercayai miliknya.

"Mayat berkenaan dianggarkan berketinggian dua meter tetapi identitinya masih belum dapat dikenal pasti.

"Buat masa ini, kita klasifikasikan nya sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut akan dijalankan," katanya ketika dihubungi.

Fah Hin berkata, polis akan melakukan pemeriksaan untuk mengesan kemungkinan ada individu yang membuat laporan kehilangan ahli keluarga.

Sinar Harian 

Kantoi ketika buang sampah

Kantoi ketika buang sampah
Aksi kelindan lori selepas membuang sampah sebelum menyedari gambarnya dirakam.


KUALA LANGAT- Perangkap mengena! Itu yang berlaku ketika intipan Sinar Harian bersama penduduk bagi mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah di laluan tepi Lebuhraya Elite berdekatan Saujana Putra dekat sini, petang kelmarin.

Ketika intipan dibuat kira-kira jam 6 petang, sebuah lori tertera nama kedai perabot beralamat di Puchong didapati mengambil kesempatan membuang sisa perabot selepas melihat mengawasi keadaan kiri dan kanan.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah berkata, dia sudah lama mencari pihak tidak bertanggungjawab yang terbabit membuang sampah di situ sejak dua tahun lalu.

Katanya, pemilik tanah berhampiran ada mengadu kepadanya mereka disaman pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana tanah dimiliki menjadi lokasi pembuangan sampah. Tidak kurang juga ada yang membuang sampah di tanah rizab kerajaan.

Pemilik tanah katanya tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan itu sehinggalah jerat intipan mengena semalam.

Pemandu didapati menunggu di dalam lori untuk melihat keadaan sekeliling sementara kelindannya sibuk mengeluarkan sampah kayu, kabus dan kusyen yang dipercayai sudah tidak boleh digunakan.

Sebelum ini sampah jenis sama juga dilonggokkan di situ dipercayai dilakukan pihak yang sama. Mereka seolah-olah sudah biasa dan mengambil kesempatan melakukannya ketika orang ramai bercuti panjang.

Apabila ditanya siapa membenarkan mereka membuang sampah di situ, kelindan lori dipercayai warga Pakistan menjawab dengan kata-kata kasar kepada penduduk.

Ketika disuruh mengangkut kembali sampah masuk ke dalam lori, pemandu enggan menuruti arahan sebaliknya hanya mengangkat sebongkah kayu sebelum menghidupkan enjin dan terus melarikan diri.

Penduduk memberitahu, pihak terbabit mengambil kesempatan membuang sampah di situ berikutan laluan itu lengang dan jarang digunakan kerana ia hanya jalan pintas penduduk dari Puchong ke Saujana Putra.

“Memang kita kesal dengan perbuatan membuang sampah secara haram ini, setiap kali dibersihkan akan datang pula sampah baru, yang mengejutkan pihak melakukan perkara ini adalah pekerja asing dari kedai perabot terletak jauh dari sini.

“Saya minta majlis perbandaran ambil tindakan kepada mereka, kami ada bukti bergambar, arahkan pihak itu bersihkan kembali lokasi pembuangan sampah terbabit,” katanya.

Sinar Harian 

Ponteng sekolah buat maksiat

Ponteng sekolah buat maksiat
Pemandangan seperti ini biasa dilihat sekitar pusat rekreasi air terjun.


KULIM - Masalah ponteng sekolah bukan satu perkara baru malah ada antara mereka yang menjadikan kawasan rekreasi seperti air terjun untuk bermadu kasih.

Walaupun perbuatan mereka dilakukan secara senyap, namun ia berjaya dikesan penduduk tempatan.

Seorang penduduk yang tinggal berhampiran sebuah taman rekreasi di sini berkata, selalunya pelajar sekolah berpasangan akan menaiki motosikal berasingan dan berjumpa di rumah rehat disediakan sebelum berjalan ke kawasan lebih sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai.

Menurutnya, dari tinjauan, kebanyakan pelajar sekolah terlibat berusia antara 16 hingga 17 tahun dan memakai uniform sekolah.

Mereka akan ke kawasan rekreasi seawal jam 8 pagi dan meletakkan motosikal mereka dalam kawasan semak.

Katanya penduduk juga telah mengenal pasti beberapa lokasi yang sering dijadikan tempat pasangan ini ponteng sekolah selain melakukan maksiat.

Papan tanda turut dipasang bagi mengingatkan pengunjung supaya tidak melakukan perbuatan sumbang, bagaimanapun ia tidak diendahkan.

“Penduduk sering jumpa motosikal yang disembunyikan. Ada penduduk yang memberi teguran kepada pasangan terlibat tetapi tidak dihiraukan. Alasannya, mereka ingin belajar.

"Kita ada kemudahan perpustakaan di Pekan Kulim. Kalau betul hendak belajar, pergilah ke sana dan bukan duduk di tempat sunyi dan berpasangan. Oleh itu, saya minta pihak berkuasa pantau dan tahan pasangan terlibat supaya taman rekreasi ini tidak dijadikan tempat mereka melakukan maksiat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) Azmi Rejab berkata, dari tangkapan dibuat, pasangan bawah umur dan masih bersekolah merupakan golongan yang paling ramai ditahan setiap kali operasi dijalankan.

“Saya ingin memaklumkan kepada penduduk kampung bahawa orang awam juga boleh menahan mana-mana pasangan yang melakukan maksiat di kawasan rekreasi.

"Apa yang perlu mereka lakukan adalah merakamkan perbuatan dibuat oleh pasangan itu sebelum menyerahkan mereka kepada mana-mana balai polis berhampiran dan memaklumkan tangkapan itu kepada PADK. Kami akan datang ke balai polis dan membuat tangkapan semula," katanya.

Azmi meminta kerjasama orang ramai supaya tidak mencederakan pasangan terlibat sebaliknya menyerahkan mereka kepada polis supaya tindakan undang-undang dapat diambil terhadap mereka terlibat. - Sinar Harian 

Wan Sakinah: Bukan mahu 'show off'

Wan Sakinah
Wan Sakinah

SUSULAN memuat naik gambar 'baby bump'nya di akaun Instagram sehingga mendapat pelbagai negatif reaksi masyarakat, isteri pelakon Ashraf Muslim, Wan Sakinah tampil menjernihkan keadaan.

Menerusi akaun Instagramnya, Wan Sakinah menafikan dirinya mahu “show off” atau menunjuk-nunjuk kepada masyarakat tentang kehamilannya itu.

Sebaliknya Wan Sakinah menjelaskan bahawa beliau hanya sekadar berkongsi rasa teruja dengan kehamilan pertamanya itu.

"Salam untuk sahabat, stalkers dan haters. Maaf pasal gambar yang menayangkan gambar perut saya itu. Terlalu teruja tengok perut boyot, itu yang membuatkan saya memuat naik gambar tersebut.

"Bukan niat untuk show off bagai. Saya tahu orang lain pun mengandung juga, tapi sebelum ini pantang naik perut sikit terus pergi gim, joging la dan sebagainya.

"Tapi sekarang rasa lain, apabila dah mengandung dan lihat perut membesar perasaan teruja sangat. Masa makan pun tak kira, asal lapar makan. Lagipun sebelum ini orang kata perut saya kecil, jadi bila hampir tujuh bulan dah besar dan dalam gambar lagi besar. Disebabkan itu saya muat naik," katanya.

Mengakui salah dalam hal ini, Wan Sakinah bagaimanapun memberitahu beliau tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa mengenai kehamilannya itu.

"Saya mengaku salah, tapi tak ada niat pun untuk sakitkan hati sesiapa. Apa pun, terima kasih atas teguran. Saya dah padam gambar itu. 

"InsyaAllah tak akan berlaku lagi memuat naik gambar bukan-bukan. Saya harap anda semua doakanlah kebahagian kami bertiga (Dayana, Ashraf & Sakinah). Doa anak yang bakal dilahirkn nanti jadi anak soleh dan solehah, yang sihat tubuh badan, cergas akal fikirannya," jelasnya lagi.

Untuk rekod, Wan Sakinah telah berkahwin dengan Ashraf di Thailand pada 7 Julai tahun lalu. - Sinar Harian 

Anggota Cawangan Khas PDRM ditemui mati ditembak


KUALA LUMPUR: Seorang anggota Cawangan Khas ditemui mati dengan dua kesan tembakan di muka dan mata kanan dalam keadaan terbaring di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan di sini, Selasa.

Anggota berpangkat Lans Koperal berumur 37 tahun itu dipercayai ditembak dari jarak dekat dengan mayatnya ditemui kira-kira 1.5 meter dari sebuah motosikal.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata mangsa ditemui orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira 4.30 petang yang kemudian memaklumkannya ke Balai Polis Travers.

Ditemui pemberita di lokasi kejadian, beliau berkata polis turut menemui dua kelongsong peluru berukuran 9mm berhampiran mangsa, sebuah motosikal, sebuah topi keledar dan jaket.

Mangsa belum berkahwin.

"Kita masih menyiasat sama ada mangsa membawa senjata kerana ia tidak ditemui di tempat kejadian," katanya.

Khairi berkata motif pembunuhan masih disiasat.

Mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. - BERNAMA 

Bill Gates letak jawatan sebagai pengerusi Microsoft


WASHINGTON: Pengasas Microsoft, Bill Gates disahkan bakal meletak jawatan sebagai pengerusi syarikat perisian komputer itu dan akan dilantik sebagai penasihat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Microsoft, Gates akan menumpukan lebih banyak masa kepada syarikat terbabit apabila memegang jawatan tersebut.

Sementara itu, Satya Nadella, 46, yang sebelum ini memegang jawatan naib presiden eksekutif kini dilantik menjadi ketua pegawai eksekutif ketiga syarikat gergasi teknologi itu bagi menggantikan Steve Ballmer yang bersara.

Nadella yang dilahirkan di India menyertai Microsoft sejak 1992 dan Miscrosoft menyifatkan beliau sebagai seorang yang memiliki kemahiran kejuruteraan yang tinggi serta mempunyai visi dalam perniagaan dan berkeupayaan untuk memimpin.

Jawatan pengerusi yang dikosongkan oleh Gates pula bakal diisi oleh John Thompson, bekas naib pengerusi di syarikat multinasional teknologi dan perundingan, IBM.

Pertukaran penyandang jawatan di Micsrosoft ini dilaporkan telah menerima reaksi positif oleh para penganalisa. - ASTRO Awani 

Pilihan raya kecil DUN Kajang pada 23 Mac


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil N.25 Dewan Undangan Negeri Kajang (DUN Kajang) pada 23 Mac 2014.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 11 Mac manakala pengundian awal pada 19 Mac.

Pengumuman dibuat pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Kajang di Putrajaya pada Rabu.

Kerusi DUN Kajang kosong susulan perletakan jawatan ADUNnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chin Cheh pada bulan lalu atas alasan demi kepentingan bersama serta mengukuhkan kebolehan Pakatan Rakyat berkhidmat untuk rakyat Selangor.

Pada pilihan raya umum ke-13, Mei lalu, Chin Cheh menang kerusi DUN Kajang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan Barisan Nasional, Berjasa dan tiga lagi calon bebas.

ASTRO Awani 

Taib Mahmud bersara bulan ini?


KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijangka melepaskan jawatan Ketua Menteri Sarawak dalam tempoh terdekat, lapor Berita Harian.

Selain melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 33 tahun lalu, Abdul Taib juga dijangka bersara daripada politik.

laporan itu menyebut, Abdul Taib akan memaklumkan keputusan itu pada mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sabtu ini.

Mesyuarat khas bersama semua Ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sarawak akan diadakan Ahad ini.

Ketika kempen pilihan raya negeri 2011, Abdul Taib telah menyatakan hasrat berundur diri dan menyifatkan pilihan raya itu merupakan yang terakhir baginya.

Beberapa nama dikaitkan untuk mengisi jawatan Ketua Menteri Sarawak kelima antaranya Tan Sri Adenan Satem, Datuk Amar Abang Johari Openg dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

ASTRO Awani 

Awas: Bakteria E-coli ditemui dalam Sungai Batu Ferringhi

Dihiasi dengan resort antarabangsa, Batu Ferringhi merupakan pantai paling popular di Pulau Pinang. --Gambar fail


GEORGE TOWN: Ujian sampel air di Sungai Batu Ferringhi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam mendapati ia mempunyai elemenbakteria e-coli (Escherichia coli).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kesihatan dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk tindakan lanjut.

"Kami juga meminta Jabatan Kesihatan membuat pemeriksaan terhadap tangkapan hasil laut di sekitar perairan kawasan Batu Ferringhi sama ada mempunyai elemen bakteria e-coli atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Semalam, akhbar melaporkan sebahagian air laut di Pantai Batu Ferringhi di sini, yang merupakan kawasan tumpuan pelancong, bertukar hitam dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan selain berdepan masalah hakisan pantai yang serius.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ketika ditanya mengenai perkara itu, berkata: "Kami menyerahkannya kepada MPPP untuk makluman balas. Apa yang difahamkan daripada Patahiyah (Yang Dipertua MPPP Datuk Patahiyah Ismail), ia sebenarnya oleh IWK (Indah Water Konsortium Sdn Bhd). Saya tidak mahu menambah apa lagi.

"Biarlah MPPP yang memberi makluman balas. Ini isu IWK. MPPP akan keluarkan kenyataan mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan BEST (Bridge Express Shuttle Transit) Bertam-Komtar, di sini.

Perkhidmatan bas percuma BEST dari Kiosk Bertam ke Komtar bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar ini. Lim berkata perkhidmatan BEST Komtar yang diperkenalkan pada 3 Dis 2012 telah memberi manfaat kepada penjawat awam yang bertugas di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Perkhidmatan pertama itu menggunakan dua bas Plusliner Syarikat Konsortium Nasional Berhad dengan jadual perjalanan dari Sunway Carnival, Seberang Jaya dekat sini ke Komtar pada 6.50 pagi dan dari Komtar ke Sunway Carnival pada 5.20 petang. - BERNAMA