Saturday 3 August 2013

Tema Hari Kemerdekaan 2013 - Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku

'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' tema Merdeka 56

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri telah memilih tema ‘Malaysiaku Berdaulat : Tanah Tumpahnya Darahku’ sebagai tema Hari Kemerdekaan ke-56 tahun ini.

Tema yang lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa ini dipilih bagi memberikan peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan negara disamping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan Negara.

Selaras dengan pendekatan tema ini, konsep sambutan pada tahun ini akan lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan Negara.

Insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna menjadi iktibar terbaik dalam memperbaiki teras utama dalam bidang ketenteraan.

Menurut jurucakap Kementerian Komunikasi dan Multimedia, satu pertandingan logo kemerdekaan turut diadakan selama 10 hari dan dibuka kepada rakyat Malaysia sempena pemilihan tema ini dan ianya telah dimenangi oleh Noor Hishammudin Omar.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 ini, beberapa acara akan diadakan bagi meraikan hari kegemilangan ini iaitu Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang pada 16 Ogos di Sungai Petani, Kedah, Sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos di Pusat Maritim Putrajaya dan Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kemerdekaan Ke-56 pada 31 Ogos.

Selain itu, sempena Sambutan Jubli Emas Hari Malaysia, Sabah dan Sarawak turut akan mengadakan pelbagai acara bagi memeriahkan sambutan ini seperti Acara Bot Berhias pada 15 September di tebingan Sungai Sarawak dan acara sambutan pada 16 September 2013 di Padang Merdeka, Kuching dimana ia dijangka turut melibatkan pelancaran duit syiling khas sempena Jubli Emas sambutan berkenaan.

Sambutan acara Jubli Emas Hari Malaysia Ke-50 di Sabah turut akan diadakan di Tanjung Aru, Kota Kinabalu dimana ianya akan dimeriahkan dengan penyertaan semua kaum di Sabah yang terdiri dari 35 kumpulan kaum dan etnik.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesemua program dan aktiviti sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 dan Jubli Emas Hari Malaysia Ke-50 menerusiwww.malaysiamerdeka.gov.my.


- Astro Awani

No comments:

Post a Comment