KOTA KINABALU - Seorang lelaki yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana dipercayai memiliki Sijil Anak Negeri Sabah yang dipalsukan dan kira-kira 300 geran tanah.

Hartanah ini diperoleh dengan menggunakan Sijil Anak Negeri.

Keluasan dipercayai sekitar 3,500 ekar dengan mengambil kira setiap geran melibatkan kawasan seluas antara empat hingga lima ekar.

Tanah itu dimiliki di kawasan Sandakan manakala Sijil Anak Negeri diperileh di kawasan Kota Merudu.

"Lelaki yang berusia 50-an ini mengaku memiliki tanah-tanah ini menggunakan status sebagai Bumiputera Sabah dengan memiliki Sijil Anak Negeri," kata sumber SPRM semalam.

Semalam SPRM Sabah telah menahan 13 orang pemilik Sijil Anak Negeri bagi membantu siasatan SPRM.

Daripada 13 orang itu, sembilan adalah lelaki manakala empat yang lain perempuan. Mereka berusia antara 40-an dan 79 tahun.

Empat orang ditahan di Kota Kinabalu, Tawau (lima), Keningau (dua) dan Semporna (dua). Sijil Anak Negeri milik lima orang telah disita hari ini.

Dengan 13 orang yang ditahan hari ini, setakat hari ini (Khamis) 31 orang telah dipanggil oleh SPRM. Mengulas lanjut, sumber SPRM memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti harta yang diperoleh atas dasar keistimewaan sebagai Bumiputera Sabah.

"Siasatan terperinci sedang dijalankan. Bentuk tindakan akan ditentukan apabila selesai siasatan kelak," kata sumber lagi.

Sumber itu menambah, kebanyakan individu yang ditahan tidak sedar bahawa Sijil Anak Negeri yang dimiliki sebenarnya telah dipalsukan.

"Sebab itu, siasatan mendalam dan terperinci perlu dijalankan," katanya.

Malah menurut sumber, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Ukur dan Tanah mengenai status tanah yang diperoleh itu.

- Sumber: Sinar Harian