Friday, 18 October 2013

Berhati-hati: Disamun ketika buang air kecil

GEORGETOWN - Tindakan seorang pembantu kesihatan yang memilih untuk membuang air kecil di sebuah lorong gelap mengundang padah apabila dia disamun sehingga mengakibatkan kerugian puluhan ribu ringgit malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam di lorong berhampiran Masjid Seberang Jaya, mangsa berusia 29 tahun turut dipukul oleh tiga penjenayah bersenjatakan kayu.

Difahamkan, selepas mangsa rebah dibelasah, salah seorang daripada penjenayah berkenaan merampas dompet mangsa sebelum mereka melarikan diri.

Menurut sumber, mangsa yang berasal dari Kulim, Kedah ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum dia berhenti membuang air kecil di lorong gelap berhampiran masjid berkenaan.

“Bagaimanapun, tiga lelaki secara tiba-tiba menghampirinya dan memukul mangsa sebelum mereka mengambil wang RM2,000 dalam dompetnya dan melarikan kereta Proton Persona hijau milik mangsa.

“Mangsa tidak dapat mengecam wajah suspek kerana kejadian berlaku dengan pantas," katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 27 tahun hampir putus jari kaki apabila ditetak sekumpulan lelaki yang menyerangnya di sebuah gerai makan berhampiran surau Kampung Manis, Perai di sini kelmarin.

Menurut sumber, ketika itu mangsa bersama rakan dan ibu rakannya berada di gerai terbabit sebelum sekumpulan lapan lelaki bersenjatakan parang panjang menyerang mangsa.

“Semua penyerang menunggang motosikal dan empat daripadanya bersenjatakan parang panjang terus meluru dan mengejar mangsa.

“Ketika cuba menyelamatkan diri itu, mangsa terjatuh dan suspek kemudian terus melibaskan parang secara membuta tuli hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan seluruh badan,” katanya.

Menurutnya, rakan mangsa dan ibunya tidak dicederakan dan mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya dan dia kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment