Monday, 21 April 2014

Murid tahun empat cedera tercucuk besi di pipi kanan


KOTA KINABALU: Seorang murid lelaki tahun empat cedera apabila pipi kanannya ditembusi sebatang besi sedalam lima inci ketika sedang bermain di luar pekarangan sebuah sekolah di sini.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa yang menunggu bas di kawasan parkir selepas tamat waktu persekolahan, terpijak besi penghadang longkang sepanjang semeter yang tercabut mengakibatkan murid berkenaan mengimbangi badan dan terjatuh.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K. Ramin berkata pihaknya menerima laporan pada 12.51 tengah hari dan lapan anggota Balai Bomba Kota Kinabalu dikerah ke tempat kejadian.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Nordin Fauzi berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip pula berkata Jabatan Pendidikan Negeri akan mengarahkan pihak pengurusan semua sekolah memeriksa dan memperbaiki kawasan yang boleh membahayakan pelajar.

"Pihak sekolah telah diminta oleh Pengarah Pendidikan Negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya tentang aspek keselamatan pelajar sepanjang masa," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu.

Jame turut melawat mangsa di hospital, yang kini dalam keadaan stabil dan menemui ibu bapa murid berkenaan. -- BERNAMA 

Himpunan 1 Mei boleh diadakan tetapi dengan dengan syarat

KUALA LUMPUR: Himpunan 1 Mei yang bakal diadakan di Dataran Merdeka sempena Hari Pekerja boleh diadakan dengan syarat penganjur mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Menurut Naib Presiden PKR, Tian Chua perbincangan yang berlangsung selama satu jam antara perwakilan Pakatan Rakyat yang diwakili oleh beliau, Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bersama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad mendapat satu ketetapan yang positif.

Tian Chua (dua dari kiri) ketika hadir di Balai Polis Dang Wangi bagi membincangkan mengenai cadangan mengadakan Himpunan 1Mei siang tadi. - Astro AWANI / SHAHIR OMAR


"Secara prinsipnya, polis mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai halangan untuk sebarang perhimpunan dan perjumpaan ini diadakan, dan mahu berbincang supaya perjalanan perhimpunan ini boleh diteruskan dengan baik," katanya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Tambah Tian lagi, dalam perbincangan tersebut terdapat juga beberapa cadangan dan saranan daripada pihak polis dalam memastikan ketenteraman awam dapat dijaga ketika himpunan tersebut.

"Segala saranan dan cadangan yang dikemukakan oleh pihak polis itu kami sambut dengan baik dan kami akan berbincang dan cuba mengatur baik perjalanan himpunan itu dengan pihak penganjur himpunan ini seperti Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT).

Antara cadangan dan saranan yang dimahukan oleh pihak polis termasuklah agar himpunan tersebut mematuhi segala undang-undang yang ada. "Mereka (polis) boleh memberi kerjasama asalkan peraturan seperti waktu berhimpun dan bersurai itu dipatuhi, tiada perarakan diadakan di ibu kota yang mampu menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk,".

Tian berkata pihaknya telah berjanji dengan polis bahawa mereka akan bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa awam dalam memastikan bahawa tiada sebarang gangguan ketenteraman awam dilakukan ketika himpunan tersebut.

"Kita tidak ingin mewujudkan apa-apa ketegangan dari berlaku dan itulah persefahaman yang telah dicapai antara kami dan pihak polis dan keprihatinan pihak polis terhadap rancangan ini amat kami hargai,".

Himpunan 1Mei ini akan memberi penekanan terhadap isu-isu semasa seperti pengenalan cukai GST, kenaikan kadar inflasi, rasuah, salah guna kuasa dan lain. Himpunan tersebut akan berlangsung di KLCC dan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur sebelum berakhir di Dataran Merdeka.

-- Astro Awani 

Presiden Korea Selatan label tindakan kapten feri 'sama seperti membunuh'


KUALA LUMPUR: Presiden Korea Selatan melabelkan tindakan kapten dan kru feri yang karam yang mengarahkan supaya penumpang tidak berganjak selama lebih 40 minit, sebagai ‘sama seperti pembunuhan’ dan tidak boleh diterima sama sekali.

Menurut laporan AFP, Park Geun Hye berkata demikian semasa berjumpa dengan sanak-saudara ratusan penumpang di dalam feri tersebut.

“Bukan sahaja saya, tetapi semua rakyat Korea Selatan telah patah hati, terkejut dan marah,” kata Park Geun Hye.

Sementara itu, pendakwa raya Korea Selatan telah menahan empat lagi anak kapal feri Korea Selatan yang karam di perairan Korea Selatan pada Rabu lepas.

Sebuah laporan AFP berkata empat anak kapal itu termasuklah tiga pegawai dan seorang jurutera.

Sebelum ini, kapten feri tersebut Lee Joon-Seok Lee, yang ditahan bersama dua pegawai lain dan telah didakwa kerana kecuaian dan gagal untuk menjamin keselamatan penumpang menurut undang-undang maritim.

Seorang peguam memberitahu AFP, bahawa empat anak kapal yang baru ditahan mungkin menghadapi pertuduhan yang sama.

Feri Sewol yang membawa 476 orang karam selepas berlepas dari pelabuhan Incheon ketika menuju ke pulau peranginan Jeju.

--Astro Awani 

Bayi perempuan lapan bulan antara tiga yang maut dalam kemalangan di Klang


ACP Mohamad Shukor Sulong - Facebook



KLANG: Tiga individu termasuk seorang bayi perempuan berusia lapan bulan maut, manakala empat yang lain tercedera dalam nahas membabitkan empat buah kereta di Lorong Haji Abdul Manan, Taman Industri Meru di sini kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Mereka yang maut dikenali sebagai Mohd Ezwan Shah Mohd Yazid, 28, Farah Natahsya Fadzly, 18, dan bayi berkenaan Nur'Ezzara Lemani Abdullah.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohamad Shukor Sulong berkata kemalangan berlaku apabila kereta Proton Satria yang dipandu Mohd Ezwan dan dinaiki tiga penumpang bergesel dengan sebuah kereta Honda Accord yang datang dari arah Kapar menuju ke Klang Sentral, sebelum kereta Honda itu terbabas ke dalam semak manakala kereta Proton Satria itu memasuki laluan bertentangan.

"Kereta Proton Satria itu kemudiannya pula dengan dua kereta lain iaitu kereta Proton Saga dan kereta Toyota Camry yang sedang menghala ke Kapar," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pemandu dan dua penumpang kereta Proton Satria berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk dibedah siasat, manakala seorang lagi penumpang kereta tersebut Nur Adliana Saiful Azli, 13, mengalami kecederaan. 

Turut tercedera pemandu dan penumpang kereta Honda Accord dan pemandu kereta Toyota Camry manakala pemandu dan penumpang kereta Proton Saga tidak mengalami apa-apa kecederaan.

-- Bernama

Rumahtangga didakwa bergoyah, Adam AF2 tidak mahu komen

Adam dan Fiza - Gambar Fail


KUALA LUMPUR: Adat bila sudah berumahtangga, pasti ada ada pasang dan surut. Begitu juga yang berlaku antara pelakon dan penyanyi Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman enggan mengulas panjang tentang dakwaan mengenai keretakan rumahtangganya dengan isteri, Fiza yang juga bekas anggota kumpulan Elite.

Jelas Adam dia memohon semua pihak berikan sedikit masa sebelum dia mengumumkan kedudukan statusnya dengan isterinya itu.

“Saya tidak mahu komen panjang tentang perkara ini, doakan sahaja yang terbaik untuk rumah tangga kami.

“Apa-apa cerita tentang rumah tangga kami InsyaAllah saya akan beritahu kelak,” katanya.

Mengulas mengenai gosip tersebut, Adam mengakui sebagai seorang yang bergelar selebriti segala tindak-tanduk, berita baik dan buruk akan dapat dihidu oleh pihak media dan masyarakat.

“Apa yang saya boleh cakap kami baik-baik sahaja dan tidak bergaduh, kami cuma sibuk dengan kerja masing-masing. Saya anggap ia sebagai satu ujian,” ujarnya.

Selain itu, Adam juga turut menafikan dakwaan melarikan diri daripada pihak media bagi mengelak ditanya mengenai isu rumahtangganya dalam sebuah majlis baru-baru ini.

“Saya balik awal pada majlis berkenaan minggu lalu sebab ada hal peribadi, manakala saya terpaksa membatalkan sebuah sesi fotografi kerana mahu pulang ke Sabah berikutan ada perkara peribadi yang perlu diuruskan,” jelasnya lagi.

Pasangan Adam dan Fiza telah mendirikan rumahtangga pada 26 September 2013. 

-- Astro Gempak

Taufan Jack menghampiri kawasan pencarian


Kenderaan dalam air (AUV) Bluefin-21 yang digunkan dalam misi mencari pesawat MH370. -Gambar Fail


KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca terutama di utara kawasan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi merosot pada Isnin ekoran Taufan Tropika Jack terus menghala ke selatan.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang memantau operasi pencarian berkata ramalan cuaca menunjukkan hujan dan sekali sekala ribut petir sedang bergerak ke utara beserta angin timur tenggara.

Namun usaha pencarian diteruskan yang memasuki hari ke-45 dengan disertai 10 pesawat tentera dan 11 buah kapal, demikian menurut JACC dalam satu kenyataan.

"Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia telah merancang pencarian secara visual di kawasan kira-kira 49,491 kilometer persegi yang titik tengahnya terletak kira-kira 1,741 kilometer barat laut Perth," katanya.

Sementara itu Bluefin-21, kenderaan dalam air (AUV) telah menamatkan misi kelapan di kawasan pencariannya memulakan misi kesembilannya pagi tadi.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata kenderaan itu telah mencari kira-kira dua pertiga daripada kawasan pencarian yang telah diperkecilkan sebelum ini dan tiada sebarang penemuan berkaitan ditemui.


Kawasan pencarian untuk pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi pada 21 April, 2014.

Penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.

Misi pencarian yang disertai pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat MH370 itu, mula-mula di Laut China Selatan selepas pesawat itu menyimpang daripada laluan asal, di selatan Lautan Hindi.

Astro Awani

"May the best man win," cabar Sultan Ahmad Shah

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah. -Gambar Fail


KUANTAN: "May the best man win", itu ulasan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai perebutan tiga penjuru jawatan tertinggi FAM tidak lama lagi.

Sultan Ahmad Shah juga menegaskan baginda tidak akan menarik diri daripada mempertahankan jawatan yang telah disandang sejak 30 tahun itu malah melihatnya sebagai satu perkembangan yang sangat baik.

Tiga nama telah dicalonkan bagi jawatan presiden dan ketiga-tiganya telah mengesahkan untuk menerima pencalonan itu iaitu Sultan Ahmad Shah, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Saya tak kata saya nak menarik diri. Saya tidak ada masalah dengan sesiapa sahaja yang ingin bertanding jawatan itu. Sehingga hari ini cuma ada tiga, saya, Tengku Mahkota dan Tengku Mahkota Johor. Kita tunggulah 25hb depan, insyaallah, tapi segala-galanya akan berjalan dengan baik," tambah baginda.

Dengan pencalonan ini, ianya menjadikan kali pertama jawatan nombor satu dalam FAM itu dipertandingkan.

Bagi jawatan nombor dua, seperti diramalkan akan melibatkan pertarungan tiga penjuru antara dua naib presiden semasa iaitu Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Seri Afandi Hamzah, serta calon underdog, Datuk Mokhtar Ahmad yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Persaingan bagi merebut empat jawatan naib presiden lebih sengit kerana melibatkan beberapa presi¬den persatuan negeri dan badan gabungan seperti Datuk Takiyuddin Hassan (Bola Sepak Melayu), Datuk Sudarsono Osman (Sarawak), Datuk Rozabil Abdul Rahman (Perlis), Datuk Astaman Abdul Aziz (Kuala Lumpur) dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin (ATM).

Presiden FAM ditemui selepas Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri Pahang ke 13 tengahari tadi.

Astro Awani

Polis siasat kemungkinan wujud unsur sabotaj

Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar

PUTRAJAYA - Polis akan menjalankan siasatan terperinci termasuk kemungkinan wujud unsur sabotaj terhadap semua insiden yang melibatkan Malaysia Airlines (MAS), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ia ekoran insiden terbaharu melibatkan pesawat MAS MH192 yang membuat endaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal hari ini pada saat misteri kehilangan pesawat MAS MH370 masih belum terjawab, katanya.

"Kita akan mengambil langkah yang sepatutnya untuk menyiasat semua perkara berkaitan," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Persidangan Akademi Persatuan Polis Antarabangsa (Interpa) kali ketiga di sini hari ini.

Majlis tersebut dilancarkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Presiden Interpa Prof. Dr. Remzi Findikli.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Cawangan Khas Bukit Aman, untuk menyiasat sebarang kemungkinan berlakunya sabotaj terhadap MAS.

Pesawat MH192, yang bertolak ke Bangalore, India, dengan membawa 159 penumpang serta tujuh anak kapalnya melakukan pendaratan kecemasan selepas pesawat itu mengalami masalah pada gear pendaratan.

Pesawat itu yang berlepas dari KLIA pada 10.09 malam tadi dan mendarat dengan selamat pada 1.56 pagi ini.

Kecekapan juruterbang pesawat itu yang melakukan pendaratan dengan baik dan lancar mendapat pujian penumpang pesawat berkenaan.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu, pula hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac lepas ketika berada di Laut China Selatan. Ia dijadual mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. 
-- Bernama

Bluefin-21 teruskan misi kesembilan


Kenderaan dalam air (AUV) Bluefin-21 yang digunkan dalam misi mencari pesawat MH370. -Gambar Fail



KUALA LUMPUR: Bluefin-21, kenderaan dalam air (AUV) telah menamatkan misi kelapan di kawasan pencariannya, dan dijadualkan memulakan misi kesembilannya pagi ini.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata kenderaan itu telah mencari kira-kira dua pertiga daripada kawasan pencarian yang telah diperkecilkan sebelum ini dan tiada sebarang penemuan berkaitan ditemui.


Untuk pencarian kesembilan, Lembaga Keselamatan Maritim Australia telah merancang usaha pencarian secara visual di kawasan kira-kira 49,491 km persegi.

Pusat kawasan carian terletak kira-kira 1,741 kilometer di utara Perth.

“Sepuluh pesawat tentera dan 11 kapal akan terlibat di dalam pencarian hari ini.


Kawasan pencarian untuk pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi pada 21 April, 2014.



“Ramalan cuaca hari ini tidak begitu baik kerana akan hujan  di kawasan timuran selatan," kata agensi itu di dalam satu kenyataan media.

Penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.

Misi pencarian yang disertai pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat MH370 itu, mula-mula di Laut China Selatan selepas pesawat itu menyimpang daripada laluan asal, di selatan Lautan Hindi.

--ASTRO Awani 

Maut kemalangan ketika berkonvoi ke Ayer Keroh

Maut kemalangan ketika berkonvoi ke Ayer Keroh
Lokasi kemalangan yang meragut nyawa Muhamad Qusairi, semalam.


SEREMBAN - Hajat sekumpulan penunggang motosikal hendak berkonvoi ke Melaka tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 256 Lebuhraya Utara Selatan (NSE) arah Selatan, berhampiran susur masuk Senawang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa, Muhamad Qusairi Saadon, 26, berasal dari Gombak, Selangor sedang menunggang motosikal jenis KTM Duke 200 bersama peserta konvoi yang lain.

Jurucakap polis berkata, semasa insiden berlaku, mangsa dan penunggang lain sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka untuk menghadiri sebuah program sukan bermotor di Litar Melaka International Motorsport Circuit (MIMC), Ayer Keroh.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati, mangsa yang sedang menggunakan laluan kiri lebuh raya dipercayai terbabas sendirian dan melanggar pembahagi jalan, selepas motosikal dinaiki hilang kawalan.

“Mangsa yang cedera serius di kepala meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya yang memberitahu pihak polis dimaklumkan insiden terbabit kira-kira 10.50 pagi.

Menurutnya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes sedang dalam siasatan.
-- Sinar Harian 

Samsung opens its own Innovation Museum


Before arriving at the Samsung Innovation Museum, I had an idea of what to expect: the Korean company shoehorning itself into every technological milestone, whether it deserved to or not. 

Fortunately, the five-storey complex in Suwon's Digital City (that's a nerve center of Samsung Electronics) starts with the advent of electricity and goes from there and any notion that this is a Samsung... thing is when the company starts building electronics itself -- oh and a big helping of those see-thru touchscreen displays boxes... yeah, they were a hint. The museum opens to the public today, but we took an (admittedly on-the-rails) tour with other foreign media last week. 

Is it worth a trip to Korea? Maybe not, but if you're a tech obsessive already visiting Seoul, it could be worth the trip out to Samsung's Digital City.

Source: Engadget 

Saif perokok tegar?





PELAKON kacak Bollywood, Saif Ali Khan mendedahkan bahawa dia seorang perokok tegar suatu ketika dahulu dan mula merokok sejak umur 16 tahun.

Bagaimanapun, dia berjaya menghentikan tabiat merokoknya setelah mengalami serangan jantung ringan pada 2007.

“Kini saya banyak menyertai kempen anti-rokok untuk mengingatkan orang ramai tentang kesan bahaya tabiat merokok.

“Saya ingin orang lain berhenti merokok sebelum mendapat penyakit dan membahayakan kesihatan sendiri dan orang sekeliling,” katanya.

-- Sinar Harian 

Kecekapan juruterbang MH192 dipuji

Hishammuddin Hussein
Hishammuddin tekun mendengar penerangan dari Kapten Nor Adam Azmi Abdul Razak mengenai insiden pendaratan cemas MH192 di KLIA hari ini. - Foto dipetik dari Twitter Hishammuddin Hussein


SEPANG - Rata-rata penumpang pesawat Malaysia Airlines MH192 yang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini memuji kecekapan juruterbangnya melakukan pendaratan dengan baik dan lancar.

Masluhuddin Khan, 30-an, warga Australia berketurunan India berkata, walaupun ini merupakan detik yang agak menakutkan dalam hidupnya namun juruterbang MAS melakukan pendaratan dengan baik sekali.

Malah juruterbang itu memaklumkan kepada penumpang melalui sistem interkom setiap 20 minit mengenai langkah dan tindakan yang diambil olehnya semasa berlegar-legar di ruang udara selama empat jam, katanya.

"Semua penumpang tenang sahaja di dalam pesawat, semuanya dalam keadaan baik di dalam kabin," katanya semasa ditemui pemberita.

Masluhuddin ditemui bersama 159 penumpang dengan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein; Pengarah Urusan Malaysia Airports, Tan Sri Bashir Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya di bangunan satelit KLIA.

Kebanyakan penumpang menunjukkan reaksi tenang dan senang untuk ditemu ramah pemberita.

Kapal terbang itu dikemudi Kapten, Nor Adam Azmi dan dibantu pembantu juruterbang, Prakash Kumar. - Bernama

Hari jadi bertukar pesta dadah

Hari jadi bertukar pesta dadah
15 pelajar sekolah antara 60 yang disahkan positif dadah.


GEORGETOWN - Parti hari jadi bertukar menjadi pesta dadah dan arak melalui pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

Lebih menyedihkan 88 remaja yang terbabit berusia antara 16 hingga 35 tahun.

Mereka ditahan ketika sedang asyik berpesta di sebuah banglo di Jalan Masjid Negeri di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 2.45 pagi itu, 60 yang ditahan disahkan positif dadah termasuk 15 daripadanya pelajar sekolah.

Operasi yang dilakukan sepasukan polis dari cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) mendapati kumpulan remaja berkenaan bukan sahaja menyalahgunakan dadah malah tanpa segan silu meneguk minuman keras dalam pesta itu.

Difahamkan, banglo berkenaan disewa seorang lelaki berusia 27 tahun untuk mengadakan parti hari jadi namun ia bertukar menjadi pesta dadah dan arak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris berkata, ketika serbuan dilakukan kumpulan remaja berkenaan sedang leka dengan muzik namun ada beberapa remaja yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, usaha mereka sia-sia kerana banglo berkenaan terlebih dahulu dikepung polis dan kesemuanya berjaya diberkas.

Ismail berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 50 lelaki dan 38 perempuan. Mereka dibawa ke IPDTL untuk saringan air kencing dan pemeriksaan mendapati 60 positif dadah jenis syabu dan ganja," katanya pada sidang mediaan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dalam premis tidak menemui sebarang dadah tetapi polis hanya menjumpai plastik dan paket kosong dipercayai bekas mengisi dadah.

"Kita memandang serius isu penyalahgunaan dadah ini terutama melibatkan pelajar sekolah.

"Saya memberi amaran kepada penganjur pesta sama ada di tempat awam atau persendirian. Polis akan sentiasa memantau kegiatan ini dan jika didapati ada aktiviti yang menyalahi undang-undang, kita akan bertindak," katanya. 

Ismail berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan diwajibkan pengawasan sehingga tiga tahun.

"Mereka akan direman untuk membantu siasatan," katanya. -- Sinar Harian 

Bayi ditemui di atas bumbung rumah

SANDAKAN - Lagi kes buang bayi. Kali ini ada individu sanggup memanjat bumbung rumah seorang pesara kerajaan melalui tangki air yang terletak di bahagian belakang kediamannya semata-mata untuk tujuan itu.

Bagaimanapun, bayi lelaki itu, yang cukup sifat dengan tali pusat dipercayai baru dilahirkan dan diletak dalam bungkusan plastik, bernasib baik apabila tangisannya didengar pesara berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Rowell Marong berkata pesara kerajaan berusia 59 tahun itu, yang tinggal di Taman Merpati Batu 7 dekat sini, membuka tingkap selepas mendengar bunyi tangisan bayi dari atas bumbung dan melihat satu bungkusan berada di situ.

Ketika itu, tangisan bayi berkenaan sudah berhenti.

Rowell berkata pesara itu kemudian ke rumah iparnya di kawasan berhampiran dan pemeriksaan ke atas bungkusan terbabit mendapati ada bayi di dalamnya sebelum memaklumkan penemuan berkenaan kepada polis pada 11.15 malam, semalam.

Beliau berkata bayi malang itu dihantar ke Hospital Duchess Of Kent dan kini dalam keadaan sihat.

Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan. - Bernama

Kerjaya badut antara bayaran dan kepuasan diri

Sekadar gambar hiasan.


KUALA LUMPUR: Kerjaya badut yang sinonim dengan solekan tebal pada wajah, tidak menarik dan hanya untuk dunia hiburan kanak-kanak ternyata bukanlah halangan untuk menjadikannya sebagai satu kerjaya sepenuh masa dan berpendapatan lumayan.

Secara umumnya, masyarakat menilai dan memandang rendah kerjaya ini yang boleh dilihat di sekitar majlis-majlis sambutan ulang tahun atau karnival dengan berbekalkan pelbagai jenis belon dan alatan magis yang lain.

Namun, pandangan itu tidak sedikit pun mengubah pendirian bahkan menguatkan lagi semangat 'Mr. Papa Clown' atau nama sebenarnya Mohd Rayyan Roslee, 35, yang menjadikan kerjaya badut sebagai sumber pendapatan dirinya sekeluarga.

Katanya, beliau mampu meraih pendapatan sehingga RM7,000 sebulan dengan meletakkan sasaran beberapa buah karnival atau majlis yang memerlukan perkhidmatannya.

Bayaran yang dikenakan berdasarkan pakej yang ditawarkan yang meliputi pertunjukan silap mata, persembahan belon dan permainan.


'Antara bayaran dan kepuasan diri'

Kerjaya yang diceburinya sebelum berumahtangga tidak membebankan Mohd Rayyan, tambahan disokong keluarga serta rakan-rakan sehingga menjadikan bapa kepada dua anak ini lebih optimis dan berjaya mempunyai kumpulan sendiri iaitu Mr. Papa Clown & Magic.

"Selalunya kami bergerak secara berkumpulan untuk sesuatu karnival yang besar dengan menyasarkan persembahan pada hujung minggu yang mana pada Sabtu, kami membuat tiga persembahan dan Ahad, dua persembahan," katanya.

Walaupun bayaran setiap persembahan diutamakan tetapi beliau lebih mementingkan hasil dan kepuasan pelanggan.

"Kami sebagai pelaku memberikan yang terbaik supaya bukan sahaja pelanggan tidak kecewa tetapi kami sendiri rasa puas kerana dapat memberikan perkhidmatan terbaik dan kami juga menjadi pilihan untuk mereka yang lain,"katanya.

Mohd Rayyan berkata berbekalkan kemahiran yang dimiliki, minat mendalam serta bersikap terbuka ketika menghiburkan kanak-kanak, ia menguatkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya itu.


'Badut dan pendidikan'

Walaupun 'Mr. Papa' ini berpendidikan Diploma Elektrik di sebuah universiti swasta, namun ia tidak menghalangnya untuk menceburkan diri dalam dunia warna warni ini kerana baginya, dia telah mula merasai keseronokan itu.

"Semangat saya semakin membara apabila keluarga terutama isteri sentiasa memberi sokongan dan semangat selain anak yang seakan gembira dengan kerjaya bapa mereka.

"Kami anak beranak juga sentiasa berkongsi idea sebelum beraksi," katanya sambil tertawa kecil.

Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan, menjadikan beliau lebih bijak ketika mengendalikan majlis-majlis keraian seperti sambutan hari lahir dalam kalangan kanak-kanak dan karnival tertentu.

"Pada peringkat awal agak susah, tetapi lama kelamaan kami sangat faham perangai kanak-kanak dengan menggunakan pendekatan psikologi seperti melakukan sedikit ulang kaji atau kajian berkaitan gerak geri dalam usaha menarik minat penonton cilik ini.


'Di sebalik solekan tebal'

"Saya juga perlu mencari idea atau bahan-bahan yang boleh menarik perhatian kanak-kanak walaupun ada sesetengahnya takut ketika berhadapan dengan boneka pelik seperti kami," katanya.

Mohd Rayyan dalam pada itu mengakui kerjaya badut memberi beliau pelbagai pengalaman yang menjadikannya lebih bersemangat dan perlu kreatif dalam penampilan.

"Pengalaman kena tipu, bayaran persembahan tidak dibayar, dan sesetengah majlis hanya dihadiri tiga atau empat kanak-kanak sudah biasa terjadi," tambahnya lagi.

Badut dengan penampilan solekan tebal di muka, memakai kasut bersaiz besar dan beraksi seakan kanak-kanak, memberi gambaran kepada Mohd Rayyan bahawa kerjanya itu tidak akan dijadikan warisan buat anak-anaknya apabila mereka dewasa kelak.

"Mereka masih kecil... kerjaya badut ini perlu ada minat dan semangat tinggi terutama dalam menghiburkan kanak-kanak," katanya tersenyum.


'Semangat badut untuk penonton si kecil'

Menyedari badut kerjaya utama dan sumber rezeki keluarganya 'Mr. Papa' sentiasa mempertingkatkan kemahirannya dalam dunia itu apabila beliau sentiasa menghadiri pelbagai perjumpaan seperti Konvensyen Persatuan Badut Sedunia seperti yang dihadirinya di Kuching, Sarawak 25 Feb hingga 1 Mac tahun lepas.

Penyertaan dalam program-program berkenaan memberi gambaran dan idea lebih luas kepadanya untuk terus berkarya dalam imej seni seorang badut.

Katanya, menjadikan badut sebagai satu kerjaya mungkin kelihatan mudah bagi segelintir masyarakat. Namun, hakikatnya tidak semudah yang difikirkan walaupun sebilangan besar penonton terdiri daripada kanak-kanak.

Katanya, adalah sesuatu yang menyedihkan buat seorang badut sekiranya calitan warna warni pada wajah tidak mampu menceriakan hati penonton cilik.

Di sebalik keceriaan pada wajah si badut sebenarnya tersembunyi pelbagai rasa yang hanya boleh difahami oleh sang badut sendiri. Kegagalan mengukir senyuman pada wajah penonton umpama palitan duka di hati sang badut. -- BERNAMA

RM40 punya pasal, batang besi hentak kepala


SETIU: Seorang lelaki cedera parah di kepala selepas dihentak dengan sebatang besi oleh rakan sekampungnya pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed, kejadian berlaku sekitar 7.30 malam apabila, mangsa yang berusia 38 tahun itu berjalan seorang diri di kampungnya di Bukit Kecil, Cahok di Setiu.

“Mangsa dipercayai meminjam wang dari suspek dan dikatakan enggan melangsaikan hutangnya,” katanya ketika menghadiri pertandingan menembak yang dianjurkan sempena Hari Polis ke-207 di Lapangan Menembak Sungai Bidong.

AB Rahman berkata, mangsa telah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Setiu sebelum membuat satu laporan polis sekitar 8.30 malam.

Polis katanya sedang menjejaki suspek yang berusia 41 tahun itu yang melarikan diri dari kampung terbabit selepas kejadian.

Bernama

Keluarga Beng Hock tidak sambut ulang tahun, mahu hadiri pengkebumian Karpal

Mendiang Teoh Beng Hock


GEORGE TOWN: Sejak empat tahun yang lepas, pada setiap 20 April, keluarga mendiang Teoh Beng Hock tidak akan pernah terlepas dari menyambut hari kelahiran bekas Setiausaha Politik DAP itu.

Selalunya, mereka sekeluarga akan membawa belon dan kek selain berdoa di pusara Beng Hock, namun berbeza untuk hari ini.

Hari ini keluarga Beng Hock membuat keputusan untuk menghadiri upacara pengkebumian Karpal Singh dan bukan seperti kebiasaan iaitu melawat Beng Hock yang bersemadi di Nirvana Memorial Park, Semenyih.

“Abang (Beng Hock) pasti mahu kami membuat perkara ini, memang selama ini kami sekeluarga sangat berterima kasih kepada mendiang Karpal dan keluarganya kerana selalu meluangkan masa menjaga kami” kata Lee Lan yang merupakan adik bongsu Beng Hock.

Sebelum ini, Karpal dan anaknya Gobind Singh Deo selalu membantu dalam membela kematian Beng Hock.

“Karpal dan Gobind telah bersama kami mengharungi detik-detik yang sukar itu, dan mereka melakukannya tanpa mengambil apa-apa bayaran.

“Karpal selalu memberi kata-kata semangat kepada keluarga saya, katanya - jangan putus harapan, teruskan masih ada jalan” kata Lee Lan sambil menahan tangis.

Pada 16 Julai 2009, Beng Hock ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas di soal siasat semalaman oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan tersebut.

Pada Januari 2011, mahkamah koroner telah memutuskan bahawa kematian Beng Hock bukan kerana membunuh diri dan ia tidak melibatkan pihak ketiga.

Pada bulan Disember, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu.

Walaubagaimanapun, keluarga dan peguamnya berkeras bahawa Beng Hock telah dibunuh.

Mereka meminta Mahkamah Rayuan untuk membuat keputusan berhubung perkara itu dan mahkamah dijadualkan mendengar rayuan ini pada 12 Mei.

“Karpal seorang insan yang tegas dan baik hati. Bukan hanya kami, malah beliau telah banyak membantu ramai orang. Kita telah kehilangan satu permata yang sangat bernilai,” tambah Lee Lan lagi yang turut memberitahu bahawa dia ada bertemu dengan mendiang Karpal sehari sebelum kemalangan ngeri yang meragut nyawanya itu berlaku.

Karpal terbunuh dalam satu nahas jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gua Tempurung awal pagi Khamis. Kemalangan itu turut meragut nyawa pembantunya, Michael Cornolius

Abang kepada Beng Hock yang berada di sebelah Lee Lan ketika itu, turut mengangguk tanda setuju dengan kenyataan adiknya.

“Ya, beliau umpama seorang bapa kepada kami. Saya pasti beliau kini di syurga bersama adik (Beng Hock)” katanya sambil tersenyum.

Sekiranya masih hidup, Beng Hock akan berusia 35 pada tahun ini.


Astro Awani 



Berita mula diterbitkan pada:
April 20, 2014 21:10 MYT

Kru kabin korbankan hari istimewa demi tugas


KUALA LUMPUR: Di kala semua manusia menyambut hari-hari istimewa seperti hari kelahiran dan hari ulang tahun bersama orang tercinta, mereka yang bergelar pramugara dan pramugari hanya mampu bermimpi tentang perkara itu.

Ini kerana tugas yang memerlukan mereka berada jauh dari orang tercinta, walaupun di hari-hari istimewa.

Namun, kepahitan untuk menyambut hari-hari istimewa tanpa kehadiran orang tercinta, kurang dirasai apabila ia disambut dengan rakan sekerja.

Ketua pramugari Malaysia Airlines (MAS), Farisha Mohamed Shariff, semasa mengenang rakan-rakannya yang hilang bersama pesawat MH370 pada 8 Mac lepas berkata, memang lumrah untuk menyambut hari-hari istimewa bersama 'keluarga' sekerjanya.

"Apabila kami berada jauh dari keluarga semasa hari lahir kami, atau pada ulang tahun kami, mereka (rakan sekerja) sentiasa bersedia untuk menyambutnya dengan kami kerana kami tidak menyambutnya dengan keluarga kita.

"Saya memahami apa yang keluarga MH370 sedang lalui ketika ini," katanya sambil mengeluarkan air mata sedih.

Farisha, semasa mengenangi rakan-rakan kru kabin MH370 yang hilang berkata, mereka selalu mengambil berat tentang satu sama lain.

"Contohnya pada perjumpaan terakhir kami, ketua pramugara MH370 Andrew Nari mengurut bahu saya kerana saya sakit dan beliau terpaksa menggantikan saya," katanya di dalam satu video yang dimuatnaikkan di laman Youtube MAS.

Farisha turut berkata sejak kehilangan pesawat MH370, orang ramai telah memberikan sokongan moral dan sebagainya untuk para pekerja MAS.

Sementara itu, Kapten MAS Edward Lewis berkata tragedi itu telah memberi kesan kepadanya.

"Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan kami berasa sedih bahawa kami telah kehilangan rakan-rakan kami," katanya.

Namun, beliau berkata tugas harus dilakukan tidak kira apa.

"Kami harus profesional dan tidak harus terganggu. Kami perlu memberi fokus kera tugas kami memerlukan disiplin dan dedikasi. Saya bangga dengan juruterbang yang telah menunjukkan keazaman yang besar untuk menjalankan dengan kerja mereka," katanya.

Turut bersetuju dengan Lewis adalah Jurutera dan Pengurus Penyelenggaraan, Noor Azhar Abdul Halim.
"Cabaran yang kami hadapi sekarang adalah amat sukar tetapi tugas harus diutamakan kerana ramai orang bergantung kepada kami," katanya.

Penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.

Misi pencarian yang disertai pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat MH370 itu, mula-mula di Laut China Selatan selepas pesawat itu menyimpang daripada laluan asal, di selatan Lautan Hindi.

Selepas satu analisis data satelit menunjukkan bahawa kedudukan terakhir MH370 ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan lautan Hindi".

-- Astro Awani 

Puaka Gua Tempurung sebabkan kematian Karpal, dakwa Raja Bomoh


Ibrahim Mat Zin - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Selepas berusaha membuat ramalan lokasi pesawat MH370 yang hilang lebih sebulan, lelaki yang mengelar dirinya sebagai 'Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP' kini kembali beraksi untuk mencari kebenaran di sebalik kematian Karpal Singh pula.

Ini ekoran gambar Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin, 80, yang dilihat berjalan di sekitar kawasan di mana mendiang Karpal meninggal, sambil memegang suatu objek serupa sebuah mangkuk, disebarkan dengan meluasnya di laman sosial media.

Walaupun belum dipastikan tujuan beliau berada di kawasan itu, laman web Suara TV melaporkan bahawa Ibrahim mendakwa kematian mendiang Karpal berpunca dari gangguan puaka Gua Tempurung dan beliau telah pergi ke lokasi itu, untuk melakukan ‘ritual menghalau puaka’.

Laporan itu turut berkata bahawa laluan Gua Tempurung itu memang terkenal dengan gangguan makhluk halus yang sering mengganggu para pemandu kenderaan terutamanya pada sebelah malam.

"Semoga usaha yang saya lakukan itu akan dapat mengurangkan kemalangan jalan raya yang sering terjadi," beliau dilaporkan berkata sejurus melakukan ritual ‘menghalau puaka’ di tempat itu.

Sementara itu, pengguna Twitter kebanyakkannya menyindir perbuatan Raja Bomoh itu.

Ada yang berkata perbuatannya memalukan masyarakat Melayu di negara ini dan ada yang meminta pihak berkuasa untuk menahan beliau.



"@SantaiDanSampah: Khabarnya Raja Bomoh ke tempat accident mendiang Karpal. Tok nak mintak nombor ekor ke hape?pic.twitter.com/r1nXp2znHR"— [ khalilalicious ] (@norkhalilanaima) April 20, 2014


""RAJA BOMOH" was caught here at the Highway where YB Karpal Singh's car had crashed!" nak jampi jalan jugak ka cena? tak hilang aih jln tu— Marshall (@muhammadhaziiq) April 20, 2014


See. Omputeh pun rasa malu. ---> RT @akemwilson: Raja Bomoh spotted at Karpal Singh's accident area. memalukan melayupic.twitter.com/w4ObdmGom8— DAUSPOZI (@dauspozi)April 20, 2014


@renyaiswift hala. Expired dikk. Tikar terbang xblh sb raja bomoh bz mengasap tmpt karpal eksiden.— Nasx_Abdull (@RenyaiNasxrull) April 20, 2014


Its funny ya know. Raja bomoh said Karpal mati accident disebabkan gangguan makhluk halus dekat highway. Funny old man, really funny. No— Ahmad Rullah (@amdrullah) April 20, 2014


raja bomoh gi buat gapo kat tempat karpal singh kemalangan siap berdoa lagi tu.— chedin29 (@chedin29)April 20, 2014


Apa jadah tak raja bomoh buat dekat tempat kemalangan karpal singh tu— Ain Nazirah (@ainnzrh)April 20, 2014


Raja bomoh buat hal lagi. Buat kat tepi highway tempat karpal excident— Call me Ryzal (@RyzalRahman1) April 20, 2014


ish ish..sesat lg myesatkn RT@fabulistjiwa: Owh Karpal meninggal sbb hantu gua tempurung rupanya. Baru tau. Thanks for the info Raja Bomoh.— MaNeeS❤️ (@_MsLolita)April 20, 2014

Sebelum ini, Raja Bomoh telah mencuri tumpuan kejadian MH370, apabila beliau antara lain, melakukan ritual ala-ala 'tikar terbang' dengan disertai beberapa lelaki memegang dua biji kelapa yang tidak diketahui fungsinya serta melakukan ritual menggunakan bubu mata pancing untuk mencari lokasi pesawat itu.

Tindakannya yang mendapat liputan antarabangsa telah disindir oleh pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

-- Astro Awani 

Liverpool semakin hampiri gelaran juara EPL

Luis Suarez meraikan gol kedua Liverpool - Foto AFP


LONDON: Liverpool selangkah lagi untuk menjulang gelaran juara Liga Perdana Inggeris musim ini apabila mencatatkan kemenangan 3-2 keatas Norwich City pada Ahad malam dalam kunjungannya ke Carrow Road.

Kali terakhir The Reds bergelar juara adalah pada tahun 1990.

Gol-gol awal dari Raheem Sterling dan Luis Suarez meletakkan pasukan pelawat Liverpool di hadapan pada separuh masa sebelum Gary Hooper memberikan gol kemenangan pada minit ke-54.

Ini adalah kemenangan ke-11 berturut-turut Liverpool yang turut memastikan tempat di saingan Liga Juara-Juara Eropah musim akan datang.

Pasukan Brendan Rodger itu kini memerlukan tujuh lagi mata dari tiga baki perlawanan untuk bergelar juara liga.

Kedudukan itu semakin dapat dipastikan sekiranya berjaya mengalahkan pesaing terdekat, Chelsea dalam perlawanan di tempat sendiri minggu hadapan.

Kekalahan 1-2 Chelsea di tangan Sunderland di gelanggang sendiri pada Sabtu, juga dengan Manchester City hanya mencatatkan keputusan seri dengan pasukan yang sama, peluang kini terbuka buat Liverpool yang kini teratas liga dengan 80 mata dari 35 perlawanan.

-- Agensi

Pesawah temui mayat 'berkafan' di bendangnya

ACP Adzaman Mohd Jan


ALOR SETAR: Seorang pesawah yang mahu membersihkan bendangnya di Kampung Tuba, Pokok Sena dekat sini hari ini, terkejut apabila objek yang ditarik keluar dari petak sawah menggunakan cangkul merupakan mayat seorang lelaki.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Saari Ariffin, 68, berkata dia ternampak satu objek yang seakan-akan kepala manusia ketika mahu membersihkan petak sawah tersebut.

"Saya menggunakan cangkul untuk menariknya keluar dan alangkah terperanjatnya saya apabila mendapati objek itu ialah mayat yang seolah-olah sudah dikafankan," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Saari berkata dia sudah dua bulan tidak ke sawah yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya di Kampung Tok Keling.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan yang mengesahkan penemuan berkata mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu ditanam di dalam lubang sedalam 0.6 meter.

Polis percaya mayat tersebut dibuang di situ sejak seminggu lalu berdasarkan pemeriksaan awal yang mendapati mayat sudah mereput 60 peratus, katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat.

Bernama

Seorang maut bas pelancong Singapura terjunam ke dalam gaung


PEKAN: Seorang lelaki warga asing maut manakala 39 penumpang cedera selepas sebuah bas persiaran dua tingkat yang mereka menaiki terbabas dan terjunam ke dalam sebuah gaung sedalam 10 meter di kilometer 70 Jalan Kuantan - Segamat di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superitendan Yahaya Othman berkata, kejadian pada pukul 4.30 petang itu berlaku ketika bas berkenaan yang membawa pelancong dalam perjalanan dari Kuala Terengganu, Terengganu menuju ke Singapura.

"Punca kejadian dipercayai bas terbabas ke kiri bahu jalan dan bergolek. Kedalaman jarak antara tempat kejadian dengan jalan lebih kurang 10 meter. Siasatan sedang dijalankan dan sehingga kini maklumat kita terima ataupun hasil siasatan kami seorang daripada penumpang meninggal dunia," katanya.

Mayat lelaki warga asing yang berusia dalam lingkungan 30-an di bawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat manakala semua mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dekat sini, Hospital Muadzam, Hospital Chini dan Hospital Pekan.

Tambahnya, kedua-dua pemandu bas yang cedera ringan dibawa ke HTAA untuk rawatan selanjutnya.

Menurut Yahaya lagi, pelancong berkenaan dipercayai dari Pulau Redang, Terengganu dan menaiki bas berkenaan di Kuala Terengganu.

Sebanyak tiga buah jentera bomba dan 10 ambulans bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja dimaklumkan dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Astro Awani 

Pesawat MH192 selamat mendarat di KLIA 1.56 pagi tadi


KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines mengesahkan pesawat MH192 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 1.56 pagi tadi.

Kesemua penumpang dan anak kapal dilaporkan selamat.

Sebelum ini, MAS mengesahkan pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 10.09 malam ke Bangalore itu berpatah balik ke Kuala Lumpur.

Pesawat tersebut mengalami kerosakan pada tayar bahagian kanan sewaktu berlepas.

Pesawat MH192 Boeing 737-800 dijadualkan tiba di Bangalore pada pukul 11.35 malam. Pesawat itu membawa 166 orang yang terdiri daripada 159 penumpang dan 7 anak kapal.

Astro Awani 

Pegawai TUDM ditahan di Texas

Pegawai TUDM ditahan di Texas
Pegawai TUDM yang ditahan disyaki cuba seludup senjata api.


SHAH ALAM – Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat mejar ditahan di San Angelo, Texas, Amerika Syarikat kerana disyaki cuba menyeludup senjata api ke Kuala Lumpur.

Memetik sebuah portal berita antarabangsa, bigcountryhomepage.com, pegawai TUDM terbabit ditahan sebelum menaiki penerbangan pulang ke Malaysia, kelmarin.

Menurut portal sama, penahanan dibuat selepas imbasan ke atas beg dan kotak milik pegawai itu mendapati ada objek meragukan.

“Apabila kotak dibuka, pihak berkuasa San Angelo menemui sepucuk pistol kaliber PT- 22, .22 bersama kelopak berisi lapan butir peluru jenis .22 caliber.

“Ketika ditemui, senjata itu dilekatkan di antara pembuka botol dan pembuka tin sebelum dibalut dengan pita pelekat,” kata laporan di portal itu.

Menurut laporan di portal itu lagi, pegawai TUDM yang sudah menaiki pesawat kemudiannya diiring keluar oleh pihak polis untuk siasatan berhubung penemuan senjata tersebut.

“Bagaimanapun, pegawai terbabit memaklumkan dia menyembunyikan senjata itu bagi mengelak dikesan sebaik tiba di Malaysia,” jelas portal itu.

Difahamkan, hasil siasatan mendapati pegawai TUDM itu memasuki Amerika Syarikat secara sah sejak 5 Januari lalu untuk menjalani latihan ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara Gooffellow, San Angelo.

“Pegawai itu hanya berada di pangkalan terbabit sepanjang tempoh tersebut,” kata portal berkenaan.

Menurut portal itu, pegawai TUDM itu dipercayai membeli senjata api terbabit ketika menghadiri pertunjukan senjata di Sweetwater.

Katanya, dua vendor pertama enggan menjual senjata api kepadanya berikutan dia bukan warganegara, namun vendor ketiga yang ditemui dalam pertunjukan itu bersetuju menjual senjata api itu pada harga AS$200 (RM648).

Portal sama melaporkan, pegawai TUDM berkenaan tidak sepatutnya memiliki dan menyembunyikan senjata api dalam beg untuk diseludup masuk ke Malaysia.

Menurut portal itu lagi, pegawai TUDM itu kini ditahan di Lubbock, Texas untuk pendakwaan.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud ketika dihubungi Sinar Harian semalam, enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan media dalam tempoh terdekat berhubung perkara itu.

--Sinar Harian 

Budak cemerlang SPM tekad jual air

Budak cemerlang SPM tekad jual air
Nurfaizah (berdiri, tengah) bersama rakan lain.


SELAMA - Tiga pelajar perempuan yang mendapat keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu terpaksa menjalankan perniagaan sampingan bagi membolehkan mereka mengumpul duit untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Nurfaizah Jamaluddin, 17, dari Kampung Sungai Buluh berkata, selepas mendapat keputusan SPM, dia dan beberapa rakan lain ke Kulim dan kawasan Perindustrian Prai untuk mencari pekerjaan bagaimanapun dinasihatkan supaya menyambung pelajaran dan tidak bekerja.

Setelah gagal memperoleh sebarang pekerjaan, timbul keinginan untuk menjalankan perniagaan sendiri.

Menurutnya, semua ini dilakukan untuk membantu mengurangkan bebanan bapanya yang masih menyekolahkan beberapa adik beradik lain.

“Saya bersama dua rakan lain, Nurul Ashyikin Rosli dari Kampung Sungai Kasai dan Husna Nabillah Mohd Nor mengambil keputusan untuk menjual air, mi dan makanan ringan.

"Kami menjalankan perniagaan ini dengan menggunakan wang simpanan kami selama ini.

Walaupun perniagaan yang kami jalankan ini secara kecilan, ia tetap mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan termasuk penduduk kampung.

"Kami berharap dengan cara ini, kami dapat mengumpul sedikit wang untuk membayar kos pembelajaran ketika mendaftarkan diri ke universiti nanti,” katanya.

-- Sinar Harian