Thursday, 5 March 2015

Lelaki maut terkena tembakan amaran anggota polis

Mohd Nashir (dua, kiri) semasa sidang media.

ALOR SETAR - Seorang anggota polis berpangkat koperal ditahan kerana melepaskan tembakan amaran sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Guar Nenas, Gurun, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 petang, mangsa berusia 30-an, yang tidak memiliki sebarang pengenalan diri ditemui terbaring dengan kesan darah di baju.

Mangsa dihantar ke hospital di Sungai Petani dan disahkan meninggal dunia kerana terdapat kesan tembakan di badannya.

Turut ditemui di sebelah mangsa ialah sebuah motosikal jenis Honda EX5 dalam keadaan terbalik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang berkhidmat lebih 10 tahun itu ditahan di IPD Kuala Muda, kira-kira jam 7 petang.

Beliau berkata, anggota berumur 30-an berasal dari Sabah dipercayai melepaskan satu tembakan ke arah mangsa yang dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai mahu menyamun isteri serta ibu mentuanya ketika itu berada di tepi jalan berhampiran kilang lama di Guar Nenas.

"Anggota itu dikatakan mahu mencari motosikalnya yang hilang di kawasan berkenaan. Dia menaiki sebuah kereta dan turut membawa isteri dan ibu mentuanya kira-kira jam 11.15 pagi.

"Apabila sampai di kilang itu anggota terbabit mencari motosikal di kawasan sekitar dan meninggalkan isteri dan ibu mentuanya di situ," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini semalam.

Menurutnya, lelaki yang menunggang motosikal kemudian mendekati kedua-dua wanita itu menyebabkan isteri suspek menghubungi suaminya kerana curiga dengan mangsa turut membawa parang panjang yang dibalut dengan kain batik serta walkie talkie.

Mohd Nashir berkata, anggota polis itu kemudian berpatah balik dan sempat menarik kolar baju mangsa namun sempat melarikan diri.

"Dia kemudian melepaskan tembakan amaran dengan tujuan menyekat mangsa melarikan diri namun peluru terkena pada badannya.

"Bagaimanapun, mangsa masih mampu bergerak untuk lari tetapi akhirnya rebah kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian," katanya.

Mohd Nashir berkata, mangsa seorang penganggur dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

"Namun kita masih menyiasat latar belakang mangsa untuk mengetahui puncanya membawa parang dan walkie talkie," katanya.

Anggota polis itu direman tujuh hari sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Taylor Swift rela sendiri

Taylor Swift 

BINTANG cantik ini pernah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan beberapa selebriti kacak Hollywood termasuk Joe Jonas, Taylor Lautner, Jake Gyllenhaal, Conor Kennedy dan Harry Styles.

Namun, kesemua hubungan yang dibina hanyalah seketika sahaja apabila tiada satu pun yang kekal bersama pelantun lagu, Blank Space ini.

Walaupun hubungan itu kecundang di tengah jalan, namun setiap kisah cinta yang terjalin akan dimuatkan dalam karya lagu-lagunya untuk dijadikan kenangan.

Setiap kisah, lain cerita cintanya, Taylor Swift menganggap dirinya bukanlah wanita yang bertuah dalam soal cinta dan perhubungan asmara.

Menerusi temu bual bersama rancangan antarabangsa, Swift atau nama sebenarnya, Taylor Alison Swift, 26, memberitahu bahawa kemungkinan besar dia akan bersendiri hingga ke usia 30 tahun.

"Melihat kepada perjalanan cinta yang terdahulu, saya merasakan bahawa saya akan terus keseorangan buat jangka masa yang panjang.

"Sejujurnya, tidak ada manusia yang sengaja merelakan diri untuk tidak mempunyai teman ataupun terus hidup sendiri kerana kehidupan kita akan lebih gembira sekiranya ada seseorang yang bersama setiap masa.

"Namun, buat masa ini, biarlah saya dengan kehidupan sendiri kerana itu yang lebih baik daripada mempunyai hubungan yang tidak mampu kekal lama," katanya lagi.

Swift memberitahu, walaupun tiada teman di sisi, namun itu tidak bermakna dia tidak mampu menghasilkan karya-karya luar biasa menerusi pemerhatiannya terhadap kehidupan sekeliling.

Malah, kejayaannya di Brit Awards baru-baru ini, membuktikan bahawa karya nukilannya mampu menjadi yang terbaik walaupun terpaksa melayari kehidupan yang sunyi.

Berjaya meraih trofi untuk kategori, International Female Solo Artist menerusi lagu, Shake It Off, Swift menewaskan calon-calon lain termasuk St. Vincent, Sia, Lana Del Rey dan Beyonce.

Ia merupakan kemenangan pertama Swift di Brit Awards 2015, penyanyi ini mendedikasikan kemenangannya kepada beberapa teman yang bernama Ed Sheeran, Cara, Ellie dan Sam.

"Saya sangat beruntung memiliki anda semua dalam hidup saya. Tahun ini adalah tahun paling istimewa buat saya dengan terhasilnya album, 1989. Ia memberi kejayaan luar biasa buat saya," katanya ketika berada di pentas majlis anugerah berkenaan.

- Sumber: Sinar Harian 

Komplot jatuhkan Zizan?


BAGAI tiada kesudahan. Begitulah yang dapat digambarkan mengenai kontroversi demi kontroversi yang melanda selebriti serba boleh, Zizan Razak.

Masakan tidak, sejak beberapa minggu lalu, nama Zizan sering menjadi sebutan dek kerana beberapa isu yang memburukkan namanya sehingga membuatkan Zizan menjadi buruan pihak media.

Bukan itu sahaja, populariti Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 30, mula merudum sejak akhir-akhir ini.

Buktinya, meskipun menerima pencalonan terbanyak pada Anugerap MeleTOP Era baru, baru ini, Zizan gagal membawa pulang sebarang trofi pada malam tersebut.

Namun bagi Penerbit filem KRU Studios, Norman Abdul Halim, dia melihat apa yang berlaku pada Zizan sejak kebelakangan ini dek komplot oleh pihak yang ingin menjatuhkan aktor itu.

Jelas Norman, kontroversi dan isu hangat yang bertali arus menghimpit anak kelahiran Terengganu itu seolah-olah sengaja dicipta.

“Beberapa bulan ini dengan apa yang berlaku terhadap diri Zizan, saya rasa macam ada satu gerakan yang mahu jatuhkan dia.

“Tapi, saya tidak pasti siapa pihak tersebut yang nampaknya seperti kurang senang dengan Zizan,” katanya yang berada di sisi Zizan sepanjang pihak media menemu bual hero filem Cicakman 3 itu, pada malam tayangan perdana filem berkenaan di e@Curve, Damansara, kelmarin.

Berharap segala isu panas yang dikaitkan dengan aktor itu tidak terus diperbesarkan lagi, Norman juga sempat memberi pandangan mengenai gosip cinta terbaru Zizan bersama Naib Presiden GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin.

“Kalau ada pihak yang sentiasa saja mahu mencari salah dia, saya rasa sesiapa pun akan rasa tertekan apabila terpaksa berdepan dengan keadaan itu.

“Saya sudah lama mengenali Zizan. Saya sayang dengan bakat yang dia ada dan dia bukan saja boleh melawak tetapi boleh berlakon.

“Sebenarnya apabila saya dengar tentang gosip cinta dia dengan orang Astro, saya tertanya juga siapakah wanita itu. Bagaimanapun apabila saya diberitahu wanita yang dimaksudkan itu ialah Yasmin, saya lagilah tergelak,” katanya.

Mohon maaf

Sementara itu, di tebak mengenai kehilangannya sejak beberapa isu kontroversi yang menghimpit dirinya, Zizan berkata, dia hanya mencari sedikit ruang untuk bernafas.

“Saya diam sebelum ini sebab mahukan sedikit ruang bernafas dan memikirkan apa yang berlaku sebenarnya, sebab saya sendiri tertanya-tanya.

“Mengenai isu Anugerah Meletop, saya sebenarnya tidak ‘lari’ dan saya tidak kecewa walaupun saya kalah. Kemenangan pada saya adalah satu bonus dan Kerja adalah kerja manakala sesiapa saja boleh menang.

“Sebenarnya sejurus saja acara tamat saya masih ada di belakang pentas. Selepas makan, saya terus pulang sebab lagipun saya tidak terlibat dengan sidang media pada malam itu," ujarnya.

Dalam majlis itu, Zizan turut memohon maaf secara terbuka atas ketidakhadirannya pada malam tayangan perdana filem arahan Mamat Khalid berjudul Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh, minggu lalu.

Jelas Zizan, dia juga sudah memohon maaf kepada Mamat dan menyifatkan perkara itu sudah pun selesai.

"Saya sudah minta maaf dengan abang Mamat. Saya juga ada berborak dengan beliau tetapi biarlah antara saya dan dia saja yang tahu apa yang kami borakkan.

"Saya mengaku salah dan saya pun telah mendapat teguran daripada pihak pengurusan saya. Insya-Allah saya akan jalankan tanggungjawab saya berkaitan promosi bukan saja pada Cicakman 3 tetapi juga pada Werewolf.

"Lagi pun komitmen saya pada kedua-dua buah filem adalah sama dan saya tidak berat sebelah,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai ketidakhadirannya.

- Sumber: Sinar Harian 

Gaji RM14,000 untuk beza jantina anak ayam


WALAUPUN ditawar gaji RM 14,000 sebulan, namun tiada siapa mahu melakukan kerja ini.

Ini kerana kerja yang ditawarkan ini adalah sangat sukar dilakukan, iaitu menentukan jantina anak ayam yang baru menetas.

Industri ternakan di United Kingdom sedang mengalami masalah mencari pekerja yang sanggup melakukan pekerjaan ini.

Ia mengambil masa tiga tahun untuk mempelajari perbezaan kecil antara ayam jantan dan betina yang kebiasaannya hanya tiga hingga lima saat diperlukan untuk menentukan jantina ayam-ayam tersebut.

Setiap hari antara 800 hingga 1200 anak ayam perlu di tentukan jantinanya dan dengan ketepatan 97 hingga 98 peratus.

Ketua Eksekutif, Majlis Ternakan Ayam British, Andrew Large berkata, ia mengambil masa tiga tahun untuk melatih seseorang itu mempunyai kepekaan dalam menentukan jantina anak ayam dan ramai orang tidak mahu menghabiskan masa untuk mempelajari kemahiran tersebut.

"Saya rasa masalah ini adalah kerja itu sendiri. Anda menghabiskan masa berjam-jam sehari hanya untuk merenung bahagian belakang ayam. Dan ini bukanlah satu benda yang menarik untuk dilakukan.

'Di Asia Tenggara pekerjaan menentukan jantina anak ayam adalah pekerjaan yang status tinggi manakala di United Kingdom ia adalah lebih cenderung menjadi bahan jenaka. ' katanya dipetik Metro.uk

- Sumber: Sinar Harian 

Asri, Kazim jelas salah faham


KANGAR - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Datuk Mohd Kazim Elias akan mengadakan sidang media hari ini bagi menjelaskan salah faham membabitkan mereka.

Ini berikutan penyebaran surat mufti tersebut yang tidak bersetuju Kazim dijemput sebagai ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam sempena Keputeraan Raja Perlis yang disebarkan pihak tertentu di luar pengetahuan Asri.

Dalam surat yang dihantar kepada pegawai kanan di pejabat Menteri Besar Perlis, Asri memaklumkan ketidaksetujuannya atas alasan Kazim terlibat dengan pembacaan riwayat palsu mengenai Rasulullah SAW.

Melalui entri terbaharu Facebooknya, Mohd Asri kesal dengan penyebaran surat dalaman urusan kerajaan itu melalui internet.

“Surat itu tidak menyebut penceramah berkenaan dihalang berceramah di Perlis tetapi menyatakan tidak bersetuju untuk menjadi panel forum berkenaan yang bersempena Keputeraan Raja Perlis,” kata Asri.
Menurutnya, ia adalah surat dalaman pentadbiran dan penyebaran surat itu tidak sepatutnya berlaku. 

Berikutan itu, Asri turut menyertakan satu salinan muka surat buku yang ditulis oleh Kazim, "Tuhan Sedang Menguji Kita' sebagai rujukan. 

Antara lain, kandungan buku itu menyatakan, 'manakala kenduri Rasulullah SAW yang paling mahal pula adalah roti jala dicelup dengan kuah kari' yang dikatakan menjadi punca ketidaksetujuan Asri terhadap cadangan mengundang Kazim sebagai panelis forum.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Asri enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu sebaliknya meminta wartawan memetik kenyataan daripada Facebooknya.

Dalam pada itu, Kazim pula ketika dihubungi menyatakan pihak berkenaan sepatutnya menghubungi beliau sendiri untuk mendapatkan penjelasan berhubung apa yang dianggap sebagai riwayat palsu itu.

"Sebelum menganggap saya bawa riwayat palsu, panggillah saya dulu untuk jelaskan. Itu yang sebaiknya," katanya.

Mengenai cerita roti jala yang dikaitkan, Kazim menjelaskan: “Apa saya kata dalam buku itu hanya secara kiasan, Rasulullah SAW, buat kenduri kahwin dengan menghidangkan roti dengan kuah kambing yang saya kiaskan sebagai roti jala dan kari.

“Perlu baca sepenuhnya ayat saya itu di mana saya mahu menerangkan, perkahwinan Rasulullah paling mahal adalah perkahwinan baginda dengan Zainab Jahsy apabila menghidangkan roti dengan kambing. Sebagai penceramah, saya mahu guna bahasa kampung, tidak salah kenduri buat roti jala dengan kari kambing.” 

Kazim berkata, salah faham timbul apabila ada pihak mengambil sebahagian sahaja petikan ayat daripada buku itu.

“Saya mahu mudahkan, setiap roti dibuat dengan tepung, campur air dan garam. Roti paling senang dibuat adalah roti jala. Cuma mereka (ketika itu) tidak panggil roti jala. Saya ceramah guna bahasa kampung,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

    Dyana Sofya jadi model?


    SHAH ALAM - Ada kelainan... Bekas calon DAP bagi PRK Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud tampak berbeza apabila menjadi ‘model’ dan bukannya sebagai seorang ‘ahli politik’ seperti selalu.

    Beliau menerusi laman Facebooknya telah mempromosikan ‘aksi modelnya’ bagi ‘meminta’ derma untuk membantu pertubuhan pertolongan wanita.

    “Anda telah mengambil gambar diri sendiri di tempat tidur ? Jangan lupa untuk mendapatkan sebuah majalah bulan ini! Ikuti di Instagram.

    “Muat naik gambar sendiri dengan kapsyen akan menderma RM10 kepada Women's Aid Organisation (WAO) untuk setiap muat naik dan anda selesai!” tulisnya, hari ini.

    Dalam pada itu, Dyana mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokong tujuan baiknya tersebut.

    “Terima kasih atas sokongan,” tulisnya.

    Sementara itu, Dyana ketika dihubungi berkata, tujuannya itu hanyalah bagi mengutip dana membantu golongan wanita.

    "Saya tidak berhajat menukar profesion, masih lagi aktif berpolitik," katanya kepada Sinar Online.

    - Sumber: Sinar Harian