Thursday, 29 January 2015

Pesawat yang dilapor hilang seluruh dunia


KUALA LUMPUR - Kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 tanpa sebarang kesan atau isyarat kecemasan pada 8 Mac tahun lepas telah mengejutkan dunia.

Dengan peralatan canggih penerbangan pada abad ke-21 dan sistem pemantauan satelit, kehilangan MH370 membingungkan saintis dan pakar bagaimana pesawat moden sepanjang 63.7 meter itu boleh lenyap.

Satu-satunya data yang pihak berkuasa gunakan dalam pencarian pesawat itu ialah tujuh komunikasi automatik 'handshakes' antara pesawat dan stesen bumi yang membawa mereka ke kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi, iaitu kedudukan penerbangan terakhir pesawat itu dipercayai berakhir.

Boeing 777-200 itu yang hilang ketika dalam penerbangan rutin dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal, bukanlah kapal terbang pertama yang hilang dalam sejarah pengangkutan udara kerana terdapat beberapa pesawat dilaporkan hilang di seluruh dunia.


Berikut beberapa kes kehilangan pesawat:

(sumber: Time Magazine, Forbes Magazine dan Wikipedia)* 1937 - juruterbang wanita Amerika Syarikat yang pertama, Amelia Maryarhart hilang dalam misi penerbangan solo merentasi Lautan Atlantik menggunakan pesawat enjin berkembar Electra. Tiada kesan pesawatnya ditemui sehingga sekarang.

* 2 Ogos, 1947 - Pesawat British South American Airways (BSAA) Star Dust yang membawa lima anak kapal dan enam penumpang merempuh Gunung Tupungato, terletak di banjaran Andes, Argentina semasa dalam penerbangan dari Buenos Aires ke Santiago, Chile.

- Usaha mencari tidak menemui sebarang kesan pesawat itu dan penumpang.

- Lebih 50 tahun kemudian, sepasang pendaki warga Argentina menemui bangkai enjin di Andes pada 1998 yang dikaitkan dengan pesawat itu dan kemudian ekspedisi tentera menemui rangka manusia.

* 30 Januari 1948 - Pesawat BSAA Star Tiger hilang di Lautan Atlantik di Segi Tiga Bermuda ketika dalam penerbangan ke Havana, Latin Amerika dari London.

- Ia hilang bersama enam anak kapal dan 26 penumpang.

* 17 Januari 1949 - Pesawat BSAA Star Ariel Avro Tudor IV yang dalam penerbangan dari Bermuda ke Kingston, Jamaica, membawa 20 penumpang dan anak kapal hilang tanpa dapat dikesan di Segi Tiga Bermuda.

- Kehilangan Star Tiger dan Star Ariel telah menimbulkan spekulasi tentang legenda Segi Tiga Bermuda.

* 30 Januari 1979 - Sebuah pesawat kargo Varig Brazilian Airlines, Boeing 707-323c terputus hubungan selepas setengah jam berlepas, kira-kira 200 kilometer ke timur Jepun dan membawa enam anak kapal dan kargo yang berharga.

- Sumber: Sinar Harian 

AirAsia X shares to be suspended Friday

AirAsia X was set to announce a rights issue as early as Friday.

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd announced that the company's shares will be suspended tomorrow.

In filing to Bursa Malaysia today, the long-haul budget carrier said the suspension was pending the release of a material announcement.

It was reported that AirAsia X was set to announce a rights issue as early as Friday to try and close a growing cash-flow gap.

AirAsia X shares closed at 65.5 sen, down 1.5 sen. 

- Source: Bernama 

Ibu penumpang MH370 meraung lihat gambar anak di televisyen

Ibu penumpang MH370 meraung melihat gambar anaknya Jee Jing Hang (gambar) di televisyen - Gambar fail

JITRA: Ibu kepada seorang penumpang penerbangan MH370, Tam Giat Hua meraung sebaik sahaja melihat gambar anaknya, Jee Jing Hang muncul di kaca televisyen ketika penayangan gambar imbas kembali kesemua kru dan penumpang pesawat MH370.

Kata Giat Hua, dia begitu sebak dan tidak dapat menahan kesedihan serta air mata lebih-lebih lagi menjelang perayaan Tahun Baru Cina pertengahan Februari depan.

Tinjauan Astro AWANI di rumah Giat Huat disambut mesra walaupun jelas diselubungi duka.

Gee Huat juga dilihat menangis sepanjang pengumuman yang dibuat Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada petang Khamis.

Menurut sepupu Jing Hang yang mahu dikenali sebagai Jane, Giat Hua merasa seakan-akan resah serta berdebar-debar dengan pengumuman yang dibuat DCA.

Kata Jane, Giat Hua juga dikatakan masih tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya antara 239 penumpang termasuk kru pesawat MH370 yang masih hilang walaupun hampir setahun insiden tersebut berlaku.

Kerana insiden memilukan itu, keluarga tersebut juga tidak membuat sebarang persiapan untuk menyambut ketibaan Tahun Baru Cina kerana masih bersedih dengan kehilangan salah seorang ahli keluarga mereka.

Tambah Jane, jika disambut sekalipun, ia hanya dibuat secara sederhana kerana sebelum ini segala persiapan memang dilakukan Jing Hang.

"Jing Hang yang buat semuanya, ia termasuk membeli kuih muih dan biskut untuk dihidangkan kepada tetamu pada tahun baru.

"Ibunya baru tahu mengenai pengumuman itu beberapa jam sebelum ia diadakan. Dia menyimpan seribu harapan agar anaknya ditemui dan pastinya tidak dapat menerima kenyataan yang diumum DCA tadi. Dia masih berharap kepada keajaiban," katanya.

Mereka turut dilihat masih berada di hadapan kaca televisyen untuk menanti sebarang perkembangan terkini yang mungkin diumum di dalam slot berita yang selanjutnya.

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini dengan rasminya mengisytiharkan bahawa kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 merupakan satu kemalangan dan kesemua 239 penumpangnya dianggap terkorban.

Pesawat jenis Boeing 777-200ER itu hilang 40 minit setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac tahun lalu. Ia membawa 239 penumpang dan anak kapal, termasuk 50 orang rakyat Malaysia. 

Source: Astro Awani 

Empat kapal teroka dasar Lautan Hindi cari MH370

Hishammuddin Tun Hussein.


KUALA LUMPUR - Tiga kapal digunakan untuk meneroka dasar kawasan terpencil di Lautan Hindi untuk mencari MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lepas.

Kapal berkenaan ialah Go Pheonix bernilai AS$21 juta, yang diberi kontrak oleh Malaysia, dan dua lagi kapal yang diberi kontrak oleh Australia dan Malaysia, Fugro Equator dan Fugro Discovery serta Fugro Supporter, yang digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di dasar laut.

Setiap kapal dipasang dengan peralatan sonar canggih untuk membawa peranti khas bagi memeriksa dasar laut bagi mengesan serpihan atau bahan yang mungkin mempunyai kaitan dengan pesawat malang itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika melancarkan Go Pheonix di Perth, Australia pada 22 Oktober tahun lepas berkata, kapal itu adalah kapal pertama yang ditaja Petronas untuk menjalankan operasi mencari MH370.

Katanya Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) menyelaraskan misi berkenaan dan bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia.

Keputusan melakukan operasi mencari di dasar laut diambil selepas fasa pertama pencarian selama empat bulan dihentikan pada Ogos apabila isyarat 'ping' dengan frekuensi 37.5kHz yang menyerupai isyarat daripada kotak hitam MH370, hilang.

Lazimnya, isyarat yang dipancarkan alat perakam data penerbangan dari kotak hitam sesebuah pesawat hanya bertahan selama 30 hari sebelum baterinya kehabisan kuasa.

MH370 masih gagal dijumpai walaupun empat isyarat nadi berkenaan dikesan, dengan nadi pertama dikesan kapal China, Haixun 01 pada 5 April dan tiga isyarat lagi dikesan kapal Australia pada 8 April.

Nasib pesawat yang menuju ke Beijing, China itu masih belum diketahui hingga kini, walaupun pengumuman rasmi dibuat bahawa laluannya berakhir di selatan Lautan Hindi.

Pesawat jenis 777-200ER, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu hilang setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac tahun lepas.

Pada 12 Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Malaysia sedang berbincang dengan Australia dan China untuk menggunakan kapal keempat, 'Fugro Supporter', bagi membantu mencari Penerbangan MH370 kerana wujud keperluan menggunakan lebih banyak kelengkapan berikutan kesulitan yang dihadapi misi mencari di selatan Lautan Hindi.

Dalam kenyataan pada 28 April tahun lepas, JACC berkata kira-kira 18,000 kilometer persegi dasar laut atau kira-kira 30 peratus kawasan pencarian utama telah diteroka untuk mengesan pesawat itu.

- Sumber: Bernama

MH370: Tokoh ternama yang jadi tumpuan


KUALA LUMPUR - Hampir 11 bulan MH370 hilang sejak Mac 2014 dan sehingga kini tiada kesan atau petunjuk lokasi bangkai pesawat itu.

Pesawat Boeing 777-200ER itu membawa 239 penumpang, kebanyakannya warga China dan anak kapal hilang semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Penerbangan itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.

Berikut adalah tokoh ternama yang menjadi tumpuan di dalam insiden MH370:

* Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

* Li Keqiang, Perdana Menteri China

* Tony Abbot, Perdana Menteri Australia

* Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat

* David Cameron, Perdana Menteri Britain

* Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia

* Warren Truss, Timbalan Perdana Menteri Australia

* Sir Angus Houston, Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dan bekas Panglima Pasukan Pertahanan Australia

* Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan Malaysia

* Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pertahanan Malaysia

* Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Luar Malaysia

* Julie Bishop, Menteri Luar Australia 

* Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang MH370

* Fariq Abdul Hamid, pembantu juruterbang MH370

* Datuk Azharuddin Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia

* Ahmad Jauhari Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Airlines

* Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Malaysia

* Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia

* Tan Sri Ong Ka Ting, Duta Khas Perdana Menteri Malaysia ke China

* Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Panglima Angkatan Tentera Malaysia

* Jeneral Tan Sri Rodzali Daud, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia

* Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia

* Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Polis Diraja Malaysia. 

- Sumber: Bernama

Sidang media MH370 oleh DCA dibatalkan

Isteri krew MH370 Intan Maizura turut hadir bawa anak mereka bagi mendengar taklimat DCA

KUALA LUMPUR: Wartawan dan orang ramai yang menanti sidang media daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang dijadualkan berlangsung jam 3.30 petang tadi menerima khabar mengejutkan apabila ia dibatalkan.

Sidang media yang amat dinanti-nanti tersebut sepatutnya disampaikan oleh Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan antara perkara yang dijangka akan disampaikan adalah mengenai situasi terkini misi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia MH370.

Pengumuman itu dibuat sekitar jam 4.05 petang di Dewan Serbaguna DCA di Putrajaya di hadapan ratusan media dan juga beberapa waris keluarga penumpang.

Sementara itu, di studio Astro AWANI, bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia, Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff yang sedang menjadi panel undangan dalam program Buletin AWANI Khas memberitahu, pembatalan sidang media itu mengejutkan.

“Sidang media ini dikendalikan oleh sebuah jabatan kerajaan. Jika tidak bersedia, jangan diumumkan atau memanggil wartawan. Ini menjejaskan pengurusan persepsi memandangkan berita ini dinanti-nanti oleh seluruh rakyat Malaysia malah komuniti di seluruh dunia,” ujar beliau.

Abdul Rahmat Omar khuatir ia akan membawa lebih banyak cemuhan terhadap negara ini khususnya dari komuniti antarabangsa.

- Sumber: Astro Awani 

AirAsia QZ8501: Pembantu juruterbang berada dalam kawalan ketika kapal terbang terhempas

Pasukan penyiasat melihat kawasan pencarian Air Asia QZ8501 - Foto fail

Jakarta: Pembantu juruterbang penerbangan AirAsia yang terhempas di Laut Jawa pada bulan lalu berada dalam kawalan ketika ia jatuh, membunuh semua 162 orang di atas kapal, kata penyiasat pada Khamis.

Perkara itu diumumkan apabila nelayan menemui dua lagi mayat di perairan pulau Sulawesi di tengah Indonesia, kira-kira 1,000 kilometer dari mana pesawat itu terhempas, kata pegawai mencari dan menyelamat rasmi.

Penerbangan AirAsia QZ8501 terhempas dalam satu cuaca ribut pada 28 Disember sepatutnya menjadi satu perjalanan yang singkat dari bandar Indonesia Surabaya ke Singapura. Setakat ini hanya 72 mayat telah ditemui. 

- Sumber: AFP

Lapan tips jika anda makan gaji

duit

ADAKAH seronok bila kita mendapat gaji ketika hujung bulan? Mestilah seronok, kerja 20-24 hari sebulan then sehari dapat gaji! Tapi, persoalannya adakah keseronokan itu mampu berpanjangan hingga selepas kita bersara? Jika panjang umur.

Masa saya kerja dulu-dulu pun, seronok bila dapat gaji apatah lagi selepas “kekeringan wang” lebih separuh bulan. Tapi, dapat sahaja gaji yang sehari itu, masuk pagi duit dalam account, bila petang atau paling lewat esoknya, insya-ALLAH dah “game over” bayar hutang. Itu pun ada lagi belum selesai.

Itu tahun 1995-97. Gaji RM1,500. Bekerja di firma stockbroking.

Hari ini saya nak tanya soalan-soalan penting ini:-

• Adakah anda rasa nilai wang anda semakin bagus?

• Adakah anda rasa kuasa membeli duit anda semakin tinggi?

• Adakah anda rasa dengan pendapatan dari gaji semata-mata adalah cukup untuk bersara dengan semakin sihat dan tenang (Jika panjang umur)?

Ramai hari ini seronok kerana masih ada gaji kan. Siapa tidak?

Cuma tidak ramai yang mempunyai pelan kewangan dan pelaburan yang bagus dan teratur untuk mereka lebih bersedia samada untuk bertahan di dalam ekonomi hari ini atau untuk persaraan mereka. Tidak kisahlah anda bekerja atau berniaga. Sebenarnya peluang untuk setiap daripada anda hidup dalam keadaan kewangan yang tertekan adalah tinggi.

Gaji anda sama ada rendah atau sederhana pasti akan terkesan dengan kos sara hidup semakin meningkat. Hutang yang tidak putus-putus dan makin banyak tertunggak.

• Kos sara hidup meningkat.

• Kos membesarkan anak-anak meningkat.

• Harga hartanah/ rumah yang meningkat walaupun rumah kos rendah.

• Kos bahan binaan juga semakin meningkat.

• Kos pendidikan semakin mahal sedangkan tahap gaji kelayakan yang tinggi pun semakin rendah.

• Kos perubatan meningkat.

Dalam banyak-banyak kos di atas, cuba bayangkan satu daripadanya, sebagai contoh kos perubatan yang hari ini sudah meningkat ke tahap yang luar biasa 20-30 tahun lagi. Waktu itu, kita yang hari ini umur dalam lingkungan 30-40an akan berumur di antara 50-70an.

Adakah kos tersebut masih sama dengan hari ini. Jangan sampai tahap, hari ini kita guna kesihatan untuk mengejar kewangan, malangnya kewangan tersebut tak mampu nak beli kembali kesihatan ketika kita di ambang usia suatu hari nanti.

Sebab itu saya tertarik dengan amaran yang tertulis di sebuah billboard di Jakarta yang menyebut: “Jika anda tidak ada duit, anda perlu pastikan anda tidak sakit.”

Sesiapa yang ada terbaca berita semalam, 88% pekerja bimbang tak cukup duit bila bersara.


Jangan fikir pasal orang lain. Lihat dalam-dalam ke dalam diri kita hari ini. Adakah kita juga tergolong di kalangan 88 peratus tersebut? Masalah itu tidak akan selesai sehingga kita belajar dan bertindak mencari jalan selesaikannya.

Apa “jalan” yang ada? Kerana jika teruskan meminjam bukanlah pilihan yang terbaik, jangka pendek, OK tetapi lama-kelamaan beban hutang kita akan sesak ke kepala.

Sebagai respon pada berita semalam, ada 8 cadangan yang saya ingin berikan:-

1. Jika anda bekerja, tambah baik diri supaya dinaikkan gaji. Sama ada sambung belajar secara part-time sambil bekerja. Faktor kelulusan banyak mempengaruhi gaji seseorang di banyak syarikat atau sektor kerajaan.

2. Tukar kerja yang lebih tinggi gajinya, cuma masalah ini hanya berbentuk strategi jangka pendek atau tambah baik ilmu atau kemahiran diri untuk melayakkan diri mendapatkan gaji yang lebih tinggi.

3. Berniaga atau membuat pelaburan sama ada secara sepenuh masa atau sampingan. Cuma jangan mula dengan modal yang besar serta mestilah sedia untuk belajar ilmu berniaga dan melabur sama ada melalui membaca buku yang bagus atau hadir seminar yang terbukti melahirkan ramai yang berjaya.

4. Yang paling penting adalah belajar uruskan duit kerana duit sikit boleh jadi banyak jika diurus dengan baik. Begitu juga sebaliknya, banyak boleh jadi sedikit atau habis jika tidak pandai uruskan.

5. Tahan nafsu. Stop belanja makan di luar. Kurangkan window shopping. Kurangkan ke tempat yang mampu “menggalakkan” kita berbelanja mengikut “nafsu”. Kurangkan kos, kurangkan kos dan kurangkan kos.

6. Simpan duit, simpan duit dan simpan duit. Ini nasihat yang paling asas sebelum anda ada ilmu “memberanakkan” duit. Walaupun belum tahu berniaga atau melabur, anda mesti simpan sedikit duit secara berdisiplin. Set sasaran atau target berapa anda mesti simpan setiap bulan dan duit itu TIDAK BOLEH digunakan langsung melainkan bila ada ilmu pelaburan.

7. Jangan sertai skim cepat kaya atau meminjam untuk masuk skim cepat kaya. Berhati-hati dengan pelbagai skim yang boleh “menghilangkan” duit anda apatah lagi jika ianya di senarai hitam oleh Bank Negara.

8. Sedekah sedikit. Sebab sedekah telah terbukti memberikan keberkatan kepada rezeki kita. Cuba mulakan dengan jumlah yang paling kecil yang kita mampu dan lakukan secara konsisten. Anda akan merasai keberkatannya nanti.

Semua orang ingin ubah hidup tetapi ramai orang tidak mahu ubah sikap serta belajar.

Sudah masanya untuk anda berfikir tentang masa depan dan bagaimana mengatur serta meningkatkan kewangan anda secara serius.

- Sumber: DR AZIZAN OSMAN via Sinar Harian 

Xenon, model baharu dari Tata

Pikap trak Xenon ditawarkan dengan enam varian.

Xenon dijana enjin 2.2 liter diesel pengecas turbo.

SYARIKAT Automotif India, Tata Motors Limited dan pihak DRB Hicom sudah lama menjalin kerjasama sejak 1993 sehinggalah 2008. Tahun ini menyaksikan kemunculan semula jenama berkenaan dalam landskap automotif Malaysia menerusi pelancaran pikap trak Xenon dan jentera berat Prima prime.

DRB-HICOM Commercial Vehicles (DHCV) Sdn Bhd telah dilantik sebagai pengedar eksklusif kenderaan perdagangan Tata di Malaysia. Syarikat subsidiari DRB-HICOM itu ditugaskan untuk melaksanakan komitmen syarikat induk untuk memulihkan jenama India dalam pasaran Malaysia.

Sebagai permulaan, syarikat itu akan menjual dua model seperti dinyatakan. Kedua-dua produk akan menerajui penembusan jenama pikap dan segmen kenderaan komersil.

Bagi model pikap Xenon, boleh didapati dalam enam varian yang ditawarkan mengikut keperluan berbeza.

Dikuasakan enjin 2.2 liter diesel commonrail pengecas turbo, ia mampu menghasilkan kuasa 140PS pada 4000rpm dan tork 320Nm pada 1700 sehingga 2700rpm.

Didatangkan dengan tiga pilihan warna putih, hitam dan kelabu, anggaran harga bagi model tersebut bermula RM60k sehingga RM80k. Buat masa ini pihak pengedar DRB-Hicom masih belum memutuskan harga sebenar pikap trak berkenaan.

Namun begitu jika harga jualan seperti dinyatakan adalah agak berpatutan dengan material yang ditawarkan oleh produk tersebut.

Sementara itu, model Prima tersedia dengan konfigurasi 4×2 dan 6×4. Prima adalah satu generasi baharu bagi Kenderaan Komersial Sederhana dan Berat dari Tata Motors yang direka dan dibangunkan sebagai Trak Global.

Menetapkan tanda aras baharu dalam gaya dan ciri-cirinya, generasi baharu Tata Prima ini adalah gabungan kuasa dan prestasi bertaraf dunia, kecekapan bahan api, keunggulan teknologi dan keselamatan yang tinggi.

Selain itu, Tata Prima turut dibina menggunakan input teknikal dari seluruh dunia–menerapkan reka bentuk kabin Itali, teknologi enjin dari Amerika Syarikat dan Eropah, kepakaran kotak gear dari Jerman dan kerangka casis dari Mexico,

Bagi menyokong usaha itu, pelaburan baru kira-kira RM10 juta akan disuntik untuk meningkatkan operasi DHCV dan aktiviti berkaitan jualan. Pihak DHCV juga dalam perancangan untuk melakukan operasi pemasangan tempatan (CKD) bagi model terpilih Tata.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil proses CKD akan dilakukan di HICOM Automotive Manufacturing (Malaysia) di Pekan, Pahang. Kompleks pengeluaran automotif terbesar DRB-HICOM itu turut menghasilkan kenderaan Mercedes-Benz, Volkswagen, Suzuki dan Isuzu.

Beliau juga turut menekankan bahawa kepercayaan Tata Motors terhadap komitmen DRB-HICOM bukan hanya memperkenalkan semula kenderaan Tata sebagai kegunaan komersial di pasaran tempatan tetapi juga keupayaan DRB-HICOM meningkatkan pertumbuhan penjenamaan Tata di pasaran Malaysia.

“Kami amat teruja dengan perkongsian strategik dan dinamik yang bertepatan dengan usaha untuk memenuhi permintaan pasaran. Kerjasama ini akan membolehkan DRB-HICOM untuk membina dan menghasilkan kenderaan yang berkualiti tinggi melalui program CKD yang turut memberi manfaat bersama serta menawarkan pelbagai sinergi bukan sahaja untuk semua pihak yang terlibat dalam usaha ini tetapi juga untuk pasaran automotif tempatan,” katanya.

Di samping itu, pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) dibuka di Selayang untuk memudahkan sokongan selepas jualan pemilik kenderaan Tata. Kemudahan itu menyediakan 12 ruang servis bagi memudahkan urusan penyelenggaraan.

- Sumber: Stailo @Sinar Harian 

Kes Altantuya: Akhirnya Razak Baginda buka mulut

Abdul Razak Baginda

SHAH ALAM – Sekian lama menyepikan diri, nama penganalisis politik, Abdul Razak Baginda muncul semula selepas kes membabitkan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu menemui titik noktah.

Bercakap kepada sebuah portal, Abdul Razak yang sebelum ini dikaitkan dengan kes itu menyifatkan spekulasi membabitkan kes kematian penterjemah itu sudah sampai ke tahap tidak masuk akal.

"Spekulasinya lebih kurang sama seperti sebelum ini. Tetapi kini lebih berbelit kerana kita sampai ke penghujung proses undang-undang yang panjang. Ia jadi berbelit-belit kerana Sirul (Sirul Azhar Umar) melarikan diri ke Australia,” ujarnya.

Pada 2008, Abdul Razak dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Abdul Razak mengakui bersedia untuk membuka mulut sekarang kerana kes itu sudah berakhir dari sudut undang-undang.

Beliau juga dipetik sebagai berkata, walaupun tidak tahu motif pembunuhan Altantuya, tetapi sedia maklum ramai yang mati tanpa sebarang penjelasan kukuh semasa dalam tahanan polis.

"Hanya dua anggota polis itu sahaja yang tahu," katanya sambil mendakwa memang wujud kes sebelum ini di mana polis bunuh tahanan reman.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan konspirasi dalam kes ini walaupun tiada bukti menyokongnya.

"Masih ada orang di luar sana yang yakin polis tidak boleh melakukan ini tanpa arahan.

"Berapa ramai orang yang mati dalam tahanan reman? Kiraan terakhir ialah 156 pada tahun 2008 dan angka itu semakin bertambah. Jadi, siapa yang mengarahkannya?" soalnya.

- Sumber: Sinar Harian | Januari 29, 2015

Spekulasi pembunuhan Altantuya sudah sampai tahap tidak masuk akal



Spekulasi pembunuhan Altantuya sudah sampai tahap tidak masuk akal. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik Abdul Razak Baginda menganggap spekulasi kes pembunuhan model sambilan dan penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu sudah sampai ke tahap tidak masuk akal, lapor The Malaysian Insider.

"Keadaan ini sudah menjadi agak tidak masuk akal dari segi spekulasi. Spekulasinya lebih kurang sama seperti sebelum ini tetapi kini, lebih berbelit kerana kita sampai ke penghujung proses undang-undang yang panjang.

"Ia jadi berbelit-belit kerana Sirul melarikan diri dan pergi ke Australia," Razak dipetik sebagai berkata oleh portal tersebut.

Razak dalam laporan portal itu dipetik sebagai berkata masih tidak tahu motif pembunuhan Altantuya, tetapi sedia maklum ramai yang mati tanpa sebarang penjelasan kukuh semasa dalam tahanan polis.

"Hanya dua anggota polis itu sahaja yang tahu. Polis yang penyangak memang bunuh orang, seperti dalam kebanyakan kes reman," jelas beliau.

Beliau mempersoalkan dakwaan konspirasi dalam kes ini walaupun tiada bukti menyokongnya.

"Masih ada orang di luar sana yang yakin polis tidak boleh melakukan ini tanpa arahan.

"Berapa ramai orang yang mati dalam tahanan reman? Kiraan terakhir ialah 156 pada tahun 2008 dan angka itu semakin bertambah. Jadi, siapa yang mengarahkannya?" soalnya.

Razak bertegas dua anggota polis itu bertindak menurut kemahuan mereka sendiri ketika melakukan pembunuhan itu, sambil menambah, "ini yang diputuskan mahkamah".

"Akhirnya, prosiding mahkamah begitu telus, beberapa peguam pertahanan terbaik turut terlibat, termasuk mendiang Karpal Singh. Hakim sangat liberal, memberi peluang kepada semua orang untuk bertanya soalan."

Razak dilaporkan turut mengulas luahan hati ibu bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Koperal Sirul Azhar Umar yang disiarkan akhbar Sinar Harian yang mengatakan anaknya "diperangkap".

"Apa lagi yang kita nak jangkakan keluar dari mulut ibunya?" katanya.

Selain itu, Razak turut merujuk laporan pemilik akaun Facebook yang menggelar dirinya "Shuk Sz", 19, dan mendakwa sebagai anak Sirul Azhar tiba-tiba muncul memuat naik status mengatakan dia berada di Australia bersama ayahnya.

Dalam postingnya, Shuk Sz berkata Sirul dipanggil memberi kenyataan tetapi tidak menyebut pihak berkuasa mana yang memanggilnya. Beliau berkata jika kenyataan itu boleh mencemar reputasi Malaysia.

"Kita malah tidak tahu kesahihan akaun Facebook itu, tetapi ia mendapat liputan. Tiada siapa yang terfikir untuk memeriksanya?

"Jika anda hanya menganggap ini sebagai pembunuhan dan tidak mempolitikkannya, maka ia hanya satu kes pembunuhan semata-mata," katanya.

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Sirul selepas perbicaraan berterusan selama 159 hari.

Pada 23 Ogos, 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membebaskan dua anggota polis itu kerana kekurangan bukti.

Namun pada 13 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi pada 2009 dan memutuskan keterangan mengikut keadaan sudah cukup untuk menghukum kedua-duanya ke tali gantung.

- Sumber: Astro Awani 

Liyana jaga privasi keluarga


JIKA sesetengah selebriti selesa berkongsi gambar cahaya mata mereka di laman sosial, berbeza pula pendapatnya dengan pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay.

Menurut Liyana, dia sengaja tidak mewujudkan laman Instagram khas untuk anaknya Sofia Arissa, 8 bulan kerana menyifatkan anaknya itu sebagai harta yang tidak ternilai.

“Anak dan suami adalah harta saya dan menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga privasi mereka. Jadi tidak perlulah saya tampilkan segalanya kepada umum.

"Cuma ada ketika, saya tetap berkongsi gambar bersama mereka tetapi bukannya setiap masa. Saya tak mahu orang bercakap mengenai mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Liyana, dia juga tidak beberapa suka dan jarang membawa anak atau suami ke mana-mana majlis atas faktor urusan kerja.

"Bagi saya dunia seni ini adalah kerja saya. Macam bila suami saya pergi kerja, dia tidak bawa anak atau saya bersama, begitu jugalah dengan saya.

"Saya sangat serius apabila waktu bekerja, jadi saya rasa tak perlu saya nak bawa sekali anak atau suami ke mana-mana kecuali jika ada masa tertentu atau keadaan sesuai untuk saya hadir bersama mereka di mana-mana majlis,” katanya yang tidak menghalang andai Sofia mahu melibatkan diri dalam industri seni suatu hari nanti.

Liyana mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan Fathudin Mazlan, 30, pada 2 Februari 2013.

Tambahnya, fokus utama dia dan suami kini adalah untuk memberikan yang terbaik Sofia.

"Saya percaya setiap ibu bapa akan berikan yang terbaik untuk anak mereka, sebab itulah saya dan suami bekerja keras untuk menjana hidup kami dengan lebih baik demi Sofia.

"Bagaimanapun itu tidak bermakna kami terlampau manjakan dia, kami hanya mahu dia mendapat keselesaan sepenuhnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Liyana yang akan muncul dalam filem Isyarat Cinta arahan, Bade Azmi, menyifatkan filem tersebut berbeza dengan filem-filem yang pernah dijayakan sebelum ini.

“Ini adalah kali pertama saya memegang watak wanita buta. Sewaktu saya mendapat tawaran dari Bade, saya terus menerimanya kerana kelainan dalam watak,” katanya yang turut teruja kerana berpeluang bekerjasama dengan Fizo Omar dan Adi Putra.

- Sumber: Sinar Harian 

Cicakman temui penonton 12 Mac ini


Zizan Razak dalam salah satu babak dalam Cicakman 3 - Foto KRU Studio

KUALA LUMPUR: Adiwira Metrofulus, Cicakman kembali menemui penonton dengan sekuel terbaru Cicakman 3 pada 12 Mac ini.

Seperti yang diketahui umum, dua filem Cicakman sebelum ini diterajui oleh pelakon dan pelawak Saiful Apek, namun kali ini ia dilakonkan oleh pelakon, pengacara, penyanyi dan pelawak Zizan Razak.

Kata Zizan, dirinya tidak mahu dibayangi lakonan Saiful dan jalan cerita sendiri sudah menunjukkan kelainan kepada wataknya sebagai adiwira Cicakmansekuel yang ketiga ini.

“Saiful Apek dengan caranya tersendiri. Saya sendiri takut jika disamakan namun setelah diterangkan oleh pengarah, saya tahu watak yang saya jayakan ini lain dari watak Saiful dalam Cicakman sebelum ini.

"Jalan cerita juga dari sisi berbeza. Dalam Cicakman 3, Saiful telah bersara menjadi adiwira dan saya mewarisi perjuangannya. Dalam masa yang sama, watak saya sebagai Man adalah selain adiwira adalah sebagai suami dan juga bapa. Jadi di situ ada kematangan pada watak Cicakman kali ini, ” jelas Zizan yang ditemui di majlis pelancaran trailer filem Cicakman 3 di Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu.

Filem Cicakman 3 yang digarap oleh dua pengarah Yusry Abdul Halim dan Ghaz Abu Bakar ini turut berkolaborasi dengan studio-studio gergasi tanah air iaitu KRU Studios, Grand Brilliance dan Astro Shaw.

Selain Zizan, Cicakman 3 turut dibarisi oleh Lisa Surihani dan Fizz Fairuz.

Bagi Lisa yang pertama kali berlakon di bawah arahan suaminya, Yusry, pengalaman tersebut amat menyeronokkan.

“Kami sangat profesional dan saya seronok berlakon di bawah arahan suami sendiri. Tiada masalah” kata Lisa di dalam majlis yang sama.

Lisa sebagai Linda dalam Cicakman 3 - Foto KRU Studio

Manakala Yusry yang turut berada di sebelah Lisa ketika wawancara tersebut berkata Lisa sangat komited untuk wataknya dan tidak mengambil kesempatan walaupun berstatus isteri pengarah.

“Lisa banyak bertanya tentang wataknya sebagai Linda dalam filem Cicakman 3 ini. Dia banyak buat kajian mengenai wataknya dan kiranya tidak sambil lewa walaupun dia adalah isteri saya,” jelas Yusry.

Kata Yusry, walaupun filem ini diarah oleh dua pengarah, ia tidak sedikit pun menganggu perjalanan pengambaran Cicakman 3. .

“Saya sudah banyak kali bekerja dengan Ghaz, jadi saya sudah tahu cara kerjanya. Jadi tak timbul perselisihan faham. Apa yang pasti, segala yang dilakukan adalah bagi memberikan yang terbaik buat filem ini,” kata Yusry.

- Sumber: Astro Awani 

Coca-Cola zero tanpa gula akan dilancarkan di Malaysia

Gill (tengah) ketika pelancaran Coca-Cola zero di pasaran Malaysia.

THE Coca-Cola Company (Coca-Cola) merancang memperkenalkan minuman ringan terbaharunya, Coca-Cola zero yang tidak mengandungi gula dan kalori kepada syarikat makanan segera di Malaysia.

Pengurus Besar Coca-Cola bagi rantau Malaysia-Singapura-Brunei, Gill McLaren berkata, langkah itu dilakukan bagi meluaskan pasaran produk keluaran terbaharunya yang baru sahaja dikeluarkan di pasaran Malaysia.

“Coca-Cola akan mempromosikan Coca-Cola zero kepada syarikat makanan segera yang menjual produk kami antaranya McDonalds dan Burger King.

“Kami berharap Coca-Cola zero akan menerima sambutan menggalakkan daripada pengguna di Malaysia,” katanya selepas pelancaran Coca-Cola zero, di Kuala Lumpur, semalam.

Gill berkata, Coca-Cola zero diperkenalkan buat pertama kalinya di Australia pada 2005 dan telah memasuki 149 negara.

“Malaysia menjadi negara ke-150 kemasukan Coca-Cola zero. Coca-Cola zero ini merupakan satu-satunya inovasi paling maju The Coca-Cola Company sejak ditubuhkan 25 tahun lalu dengan jenama ini kini bernilai AS$7 bilion (RM25.37 bilion),” katanya.

Menurutnya, syarikat itu menyasarkan peningkatan dua kali ganda dalam penjualan Coca-Cola zero di pasaran Malaysia.

“Tinjauan pasaran di Malaysia mendapati, pelanggan Coca-Cola pada mulanya khuatir tentang kandungan Coca-Cola zero yang bebas gula.

“Namun, setelah merasainya sendiri, mereka amat kagum dengan keenakan rasanya yang setanding dengan Coca-Cola asli walaupun tanpa gula,” katanya.

Coca-Cola zero dikeluarkan di kilang Coca-Cola di Malaysia dan Singapura yang mempunyai sijil halal.

- Sumber: Sinar Harian  

    Lukisan Agong cetus kontroversi

    Lukisan yang menjadi kontroversi hasil karya Leong. - FOTO Faceboo k/Silverlens Galleries

    SHAH ALAM - Pelukis dari Malaysia, Vincent Leong, menimbulkan kontroversi apabila mempamerkan potret gambar yang menunjukkan sisi belakang Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong dalam satu pameran di Singapura, bulan lalu.

    Selain itu, potret yang digambarkan sebagai Perdana Menteri juga turut dipamerkan dari sisi belakang.

    Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Mohd Hazizi Abd Rahman berkata, lukisan berjudul 'Kenapamu, Malaysia?' karya Leong itu bukan sahaja menghina institusi diraja malah dilihat bermotif menjatuhkan agama Islam.

    Katanya, ini kerana agama Islam di negara ini berada di bawah bidang kuasa raja-raja.

    “Lukisan tersebut seolah-olah menganggap bahawa raja juga boleh dipermainkan. Apabila semua orang pandang remeh Yang di-Pertuan Agong, siapa lagi yang akan hormat?

    "Institusi diraja akan menjadi tidak bererti dan akhirnya unsur Islam juga tiada tempat di negara ini. Inilah matlamat di sebalik penghinaan raja iaitu memastikan Islam tiada tapak kerana tapaknya ialah institusi diraja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

    Beliau berkata, pelukis tersebut juga seolah-olah memprovokasi rakyat melalui tajuk digunakan. 

    “Pelukis menukar tajuk daripada slogan Keranamu Malaysia kepada Kenapamu Malaysia. Ia seolah-olah membawa mesej mengapa perlu ada raja dan secara tidak langsung menjejaskan kesetiaan rakyat kepada raja,” katanya.

    Menurutnya lagi, sebagai pelukis, Leong mempunyai pelbagai pilihan lain sebagai subjek lukisannya.

    “Memang benar bahawa setiap individu mempunyai persepsi atau penilaian berbeza terhadap sesuatu hasil seni. Namun, mengapa pelukis memilih raja sedangkan terdapat banyak objek lain yang boleh dilukis?

    “Jadi itu yang menimbulkan persoalan mengenai motif lukisan tersebut,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Leong.

    “Sebelum ini pun sudah banyak kes seperti menghina bendera dan lagu Negaraku. Malangnya tiada tindakan tegas kepada individu berkenaan.

    “Namun, sekarang ada individu yang lebih berani menghina raja. Jadi kita harap kerajaan dapat mengenakan tindakan segera kepada Leong supaya menjadi pengajaran kepada rakyat,” katanya. 

    Lukisan itu dipamerkan di pameran seni Art Stage Singapore 2015 pada 22 hingga 25 Januari 2015 di Pusat Konvensyen dan EkspoMarina Bay Sands, Singapura.

    Minta polis panggil Leong
    Sementara itu, Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya mempersoalkan mengapa Leong menghasilkan lukisan begitu.

    “Sekiranya dia seorang rakyat Malaysia, dia perlu melukis gambar itu dari sisi depan dengan cantik. Ia adalah satu cara untuk menunjukkan rasa hormatnya kepada institusi beraja dan ini adalah salah satu cara untuk memperkenalkan Yang di-Pertuan Agong kepada luar,” katanya.

    Menurut beliau, lukisan seperti itu akan menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat Malaysia.

    “Adakah ini satu gerak kerja untuk menghapuskan institusi beraja?,” soalnya.

    Abu Bakar turut meminta polis memanggil Leong bagi memberikan keterangan mengenai lukisan berkenaan.

    Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia, Abdul Rani Kulup Abdullah pula berkata, gambar berkenaan adalah hasutan dan penghinaan kepada institusi beraja.

    “Perkara ini boleh membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu,” katanya.

    Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia, Leong perlu mengetahui undang-undang serta perlembagaan negara dan tidak sepatutnya menghasilkan lukisan berkenaan.

    Abdul Rani turut meminta polis menyiasat perkara itu secepat mungkin.
    Selain seni dihasilkan Leong, pameran di Galeri Silverlens itu turut mempamerkan hasil kerja dua pelukis lain dari Filipina. 

    Menurut biografinya ditulis dalam laman web Galeri Silverlens, Leong dikatakan menumpukan seninya kepada tanggapan sosial yang salah dalam konteks budaya yang lebih besar.

    Menurut laman web itu, Leong melihat kepada isu percanggahan dan kesukaran merangka kesedaran bangsa.

    Usaha Sinar Harian untuk menghubungi Leong dan galeri tersebut tidak berjaya sehingga artikel ini diterbitkan.

    - Sumber: Sinar Harian 

    Macam-macam: Kucing disahkan mati ‘pulang’ ke rumah

    Bart buat kejutan kepada pemiliknya dengan 'pulang' ke rumah selepas dikebumikan

    FLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Seekor kucing yang telah selamat dikebumikan lebih seminggu lagu mengejutkan pemiliknya selepas ia ‘pulang’ ke rumah pemiliknya di Tampa, Florida.

    Bart, sebelum ini dijumpai dengan berlumuran darah selepas dilanggar sebuah kereta telah disahkan meninggal dunia oleh doktor haiwan di klinik haiwan berdekatan.

    Menurut pemilik kucing berkenaan, Ellis Hutson, Bart ditemui di luar rumahnya dengan kesan luka di bahagian muka, kepala, patah rahang dan mata kirinya rosak.

    "Saya tidak pasti bagaimana kucing ini 'melepaskan' diri, tetapi saya yakin kucing itu telah berusaha keluar untuk mendapatkan makanan," katanya dipetik Mail Online.

    Laporan itu juga dipetik sebagai berkata, mata Bart kini tidak lagi akan berfungsi walaupun telah menjalani pembedahan.

    Bagaimanapun, semangat juang Bart untuk terus hidup amat menyentuh perasaan.

    Sementara itu, petugas di Pusat Komuniti Kemanusiaan Tampa Bay, di mana Bart sedang dirawat percaya, haiwan itu cuba menggali sendiri untuk keluar dari ‘kuburnya’ dan merangkak perlahan-lahan sebelum pulang ke rumah pemiliknya.

    - Sumber: Sinar Harian 

    Budak maut jatuh akibat pagar reput

    Diyana menunjukkan batang besi pengadang patah yang dipercayai punca adiknya jatuh.

    PETALING JAYA - “Kuyit nak ikut kakak pergi sekolah,” kata kakak sulung Muhammad Hazriq Danish Ain Alden, 5, yang maut selepas terjatuh dari tingkat 6, flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), Kota Damansara, petang semalam.

    Menurut Nur Diyana Alden, 15, Hazriq merupakan adik bongsu daripada lima beradik, mesra dipanggil Kuyit, menunjukkan sikap yang amat berlainan sebelum dia ke sekolah pagi semalam.

    “Kuyit berjalan ke bawah bersama ibu dan saya, kemudian salam serta cium tangan saya sebelum ke sekolah,” katanya.

    Menurutnya, awal pagi lagi dia sudah bangun dan bertanyakan kakak hendak pergi mana.

    Diyana berkata, adiknya itu amat manja dengannya dan ahli keluarga yang lain.

    “Biasanya kalau dilarang jangan bermain di luar, Kuyit tidak mendengar kata.

    “Tetapi sejak akhir-akhir ini, saya perasan tingkah lakunya berubah dan akan ikut apa yang disuruh,” katanya dengan nada sayu.

    Menurut Diyana, sewaktu kejadian, dia baru pulang dari sekolah dan dimaklumkan insiden yang menimpa adiknya oleh jiran-jirannya.

    “Kuyit memang suka bermain dengan rakan-rakannya di balkoni, walaupun ibu dan saya sudah tegah dia berkali-kali," katanya.

    Sementara itu, ibunya, Norsahura Sahara Mohamad, 34, berkata, dia sempat makan bersama Hazriq lauk kegemarannya, ayam goreng, sebelum keluar bermain dengan rakan-rakannya.

    “Saya sempat makan bersila dengannya, selepas itu dia minum sedikit air dan keluar bermain,” katanya.

    Sahura, seorang suri rumah berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumah sebelum bergegas turun apabila dimaklumkan anaknya terjatuh.

    Difahamkan, polis sedang menyiasat sama ada kejadian itu ada kaitan dengan pengadang besi balkoni yang uzur.

    Jenazah disembahyangkan di Masjid Kota Damansara selepas solat Maghrib dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, kejadian berlaku pada jam 3.18 petang.

    “Mangsa sedang bermain di koridor sebelum terjatuh dari tingkat enam flat itu.

    “Mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

    Sangka bungkusan sampah jatuh

    "Saya ingatkan bunyi sampah jatuh, tetapi terkejut apabila pekerja penyelenggaraan bagi tahu budak terjatuh,” kata Zarina Johan, seorang pengawal keselamatan di Blok B, bangunan itu.

    Menurutnya, dia hanya berada beberapa meter dari lokasi kejadian dan bergegas melihat kanak-kanak itu.

    “Saya lihat kanak-kanak itu masih lagi bernyawa dan saya cuba mengecamnya.

    “Secara kebetulan ada jiran turun dari lif memaklumkan siapa ibu bapa kanak-kanak itu. Saya terus menjerit memanggil ibunya dari bawah,” katanya.

    Zarina berkata, sejurus turun, ibu kanak-kanak itu tersembam di sisi anaknya.

    “Melihatkan keadaannya itu, saya papah dan cuba tenangkannya. Dia terus menangis sementara menunggu ambulan tiba,” katanya.

    Zarina yang sudah lapan tahun tinggal di situ dan menjadi pengawal keselamatan dua bulan lalu berkata, kejadian ini bukan pertama kali berlaku di kawasan itu.

    “Sebelum ini ada kejadian kanak-kanak terjatuh, tetapi di blok lain,” katanya.

    - Sumber: Sinar Harian