Friday, 15 May 2015

Kes culik: Tingkatkan standard operasi pemantauan dan perisikan


KOTA KINABALU - Usaha meningkatkan secara besar-besaran standard operasi pemantauan dan perisikan diperlukan untuk menghalang daripada berlakunya lagi kes penculikan di Sabah, kata Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, usaha meningkatkan standard operasi pemantauan dan perisikan perlu dilakukan dengan kadar segera kerana ia perlu bagi melindungi keselamatan rakyat.

"Jika tidak ia akan menjejaskan keyakinan rakyat pada sistem keselamatan kita, dan kemampuan menangani pengganas termasuk kesemua unsur asing yang memberi kesan kepada keselamatan negeri dan orang awam," beliau memberitahu wartawan selepas taklimat media mengenai Sambutan Perayaan Tadau Kaamatan peringkat negeri di sini hari ini.

Malam tadi, seorang lelaki dan wanita tempatan diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata dari sebuah restoran makanan laut terkemuka di Sandakan, di Jalan Bokhara, Pasir Putih, kira-kira tiga km dari bandar itu.

Dalam kejadian pukul 7.26 malam pada Khamis, mangsa Thien Nyuk Fun, 50 dari Taman Mawar, Jalan Sibuga, Sandakan dan seorang perunding dari Kuala Lumpur, Bernard Then, 39, diculik di Restoran Ocean King oleh empat lelaki berpakaian celoreng menggunakan bot laju. 

Kecewa dengan kes penculikan terbaharu ini, Ongkili berkata kerajaan telah berusaha sedaya upaya termasuk mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan membekalkannya dengan aset untuk memastikan keselamatan rakyat terjamin tetapi penculikan masih berlaku dan sekarang "berlaku di hadapan mata".

"Saya fikir ada sesuatu yang tidak kena. (Kerana itu) kita perlu naik taraf secara besar-besaran (standard operasi) dalam pemantauan dan perisikan. Saya percaya Esscom mempunyai kemampuan melakukannya tetapi sistem perlu ditambah baik.

Ini adalah untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat terutamanya dalam industri pelancongan," kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu.

Ditanya sama ada perintah berkurung patut dilaksanakan di daratan, Ongkili berkata:"Saya fikir ia tidak praktikal. (Kita) cuma (perlu) lebih pemantauan, lebih banyak pasukan keselamatan yang aktif bertugas supaya orang asing takut (untuk menceroboh)," katanya. 

- Sumber: Bernama

El Gamma Penumbra dari Filipina juara Asia's Got Talent

El Gamma menewaskan peserta dari Mongolia, Khusugtun dan membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah US$100,000 

KUALA LUMPUR: Kumpulan El Gamma Penumbra dari Filipina yang membawa konsep shadow dance group dinobatkan sebagai juara rancangan Asia’s Got Talent yang berakhir semalam.

El Gamma menewaskan peserta dari Mongolia, Khusugtun dan membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah US$100,000 (RM360,000) serta berpeluang membuat persembahan di Marina Bay Sands, Singapura.

Turut bertanding di episod akhir Asia’s Got Talent adalah The Talento (Thailand), Gao Lin & Liu Xin (China), Dance Thrilogy (Singapura), Junior New System (Filipina), Gwyneth Dorado (Filipina), Triqstar (Jepun) dan Gerphil Geraldine Flores (Filipina).

Empat juri program realiti ini iaitu komposer dan penerbit muzik terkenal David Foster, ahli kumpulan Spice Girl, Melanie C, penyanyi Indonesia Anggun Cipta Sasmi dan pelakon Taiwan, Van Ness Wu turut membuat persembahan istimewa melalui lagu Let's Groove, nyanyian asal kumpulan Earth, Wind & Fire.

Program ini turut mendapat perhatian sebelum ini apabila satu-satunya peserta dari Malaysia, Sada Borneo berjaya melayakkan diri pada peringkat saringan.

Namun, perjuangan kumpulan yang mengetengahkan permainan muzik tradisional Borneo ini berakhir di peringkat separuh akhir.

- Sumber: Astro Awani 

Hakim tarik diri dengar kes BAFIA Rafizi



Setiausaha Agung PKR Mohd Rafizi Ramli yang menghadapi tuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

SHAH ALAM: Hakim Mahkamah Sesyen di sini Rozina Ayob hari ini menarik diri daripada mendengar kes Setiausaha Agung PKR Mohd Rafizi Ramli yang menghadapi tuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA). 

Rozina membuat keputusan itu selepas menyedari beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan saksi utama kes berkenaan iaitu Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

"Perkara ini saya sedari selepas melihat senarai saksi di mana beliau (Mohamad Salleh) berada dalam senarai saksi ke-13. Walaupun tiada permohonan (untuk saya menarik diri) daripada kedua-dua pihak tetapi lebih elok saya menarik diri untuk kebaikan semua pihak," katanya.

Sehubungan itu, Rozina berkata semua prosiding permohonan akan ditangguhkan sehingga hakim baharu mengambil alih kes ini. Beliau juga memaklumkan bahawa mahkamah akan mengeluarkan notis untuk memaklumkan hakim yang akan menggantikan beliau dan menetapkan 22 Mei ini untuk sebutan semula.

Ini merupakan kali kedua Rozina menarik diri daripada mendengar kes membabitkan pemimpin PKR.

Pada 29 Mei 2013, beliau menarik diri daripada mendengar kes Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung perhimpunan program 'Blackout 505' di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, atas alasan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Haziq Dhiyauddin Razali memaklumkan beliau telah menghubungi bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara berhubung hasrat Rozina itu.

"Pihak kami tiada halangan untuk Rozina meneruskan pendengaran kes," katanya. Peguam N.Surendran yang mewakili Mohd Rafizi berkata pihak pembelaan juga tiada bantahan untuk Rozina meneruskan pendengaran kes ini.

Bagaimanapun, Rozina berkata meskipun beliau boleh melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil, tetapi memandangkan terdapat saksi utama yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bapanya, adalah lebih baik beliau menarik diri.

Surendran sebelum itu memohon penjelasan daripada Rozina berhubung kenyataan media oleh NFC pada 5 Mei lepas yang mahukan hakim itu menarik diri daripada mendengar kes ini.

"Saya baca dalam Malaysiakini dan kenyataan itu ditujukan terus kepada hakim," katanya.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar permohonan Mohd Rafizi yang juga anggota Parlimen Pandan untuk merujuk ke Mahkamah Tinggi tiga persoalan perlembagaan berhubung pertuduhan yang dihadapinya.

Mohd Rafizi yang juga Naib Presiden PKR memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bersama kerani bank, Johari Mohamad.

Antara persoalan perlembagaan yang ingin dirujuk Mohd Rafizi dan Johari di Mahkamah Tinggi ialah sama ada dakwaan terhadap mereka boleh diteruskan walaupun BAFIA telah dimansuhkan dan sama ada dakwaan di bawah BAFIA itu tidak berperlembagaan memandangkan unsur niat tidak dinyatakan sebagai elemen bagi kesalahan di bawah akta itu.

Mohd Rafizi, 38, mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Mohamad Salleh kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012. Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Johari, 44, juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama. Beliau didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA, dan boleh dihukum menurut Seksyen 103 akta sama. 

- Sumber: Bernama

Anak cari ibu bapa kandung, 45 tahun terpisah

Ibu bapa kandung Mohammad Fuad (dua dari kiri) yang kini sedang dicarinya. 

SHAH ALAM – Seorang lelaki kini sedang mencari ibu bapa kandungnya yang sudah terpisah sejak 45 tahun lalu.

Mohd Fuad Samsudin berkata, dia diserahkan kepada keluarga angkat sejak kecil dan gagal mengesan ibu bapa kandungnya.

“Untuk pengetahuan pihak Sinar Online, saya telah terpisah dari mereka kira-kira 45 tahun yang lepas. Saya telah diberi kepada keluarga angkat saya sejak lahir lagi. Saya dilahirkan di Hospital Besar Johor Bahru pada 2 Mei 1970.

"Setelah dilahirkan saya telah diserahkan kepada keluarga angkat saya iaitu pasangan Samsuddin dan Aminah yang ketika itu tinggal di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru,” katanya lagi.

Menurut Mohd Fuad, dia difahamkan keluarga kandungnya yang berasal dari Terengganu berkemungkinan kini menetap di Negeri Sembilan.

"Menerusi maklumat yang saya terima, ketika itu bapa kandung saya adalah seorang Komando hutan dan bertugas di situ,” katanya.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai ibu bapa kandungnya boleh menghubungi Mohd Fuad di talian 019-670 5370atau 019-672 6991 (Rhazalina-Isteri).

- Sumber: Sinar Harian 

Bukan jurutera profesional hanya guna Engr


Gambar hiasan

SHAH ALAM - Penggunaan gelaran Engr. hanya digunakan untuk ahli siswazah dan ahli korporat yang bukan jurutera profesional.

Setiausaha Kehormat Institusi Jurutera Malaysia (IEM) , Ir Yam Teong Sian berkata, ia bertujuan untuk memberikan perbezaan yang jelas antara gelaran Ir untuk jurutera profesional dengan Engr untuk ahli IEM yang bukan jurutera profesional.

Jelasnya lagi, gelaran Engr mesti digunapakai bersama dengan FIEM, MIEM atau Grad IEM, di mana yang berkaitan, pada penghujung nama ahli.

“Pada awal tahun 1970’an pihak IEM memperkenalkan gelaran Ir untuk digunakan oleh semua ahli siswazah dan ahli korporat IEM. Namun pada tahun 1987, Akta Jurutera telah dipinda dan memperuntukkan bahawa gelaran Ir hanya boleh digunakan oleh jurutera profesional yang berdaftar sahaja.

“Mulai dari tahun 2006, gelaran Engr diperkenalkan untuk digunapakai ahli siswazah dan ahli korporat IEM. Gelaran ini bertujuan bukan sahaja untuk memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada para jurutera tetapi juga bagi menggalakkan penyertaan generasi muda dalam bidang kejuruteraan,” katanya menerusi sebuah kenyataan hari ini.

Teong Sian dalam pada itu menambah bahawa penggunaan Engr tidak akan menggambarkan yang seseorang itu adalah jurutera profesional.

“Dengan menggunakan gelaran Engr, golongan Jurutera Siswazah IEM akan berasa lebih berkeyakinan dan bangga dengan ijazah mereka yang telah mendapat penilaian dan pengiktirafan IEM berdasarkan akreditasi Washington Accord.

“Penggunaan gelaran Engr juga tidak akan menimbulkan sebarang kekeliruan kepada pihak berkuasa kerana sebarang pelan yang dikemukakan untuk kelulusan pihak berkuasa dimestikan mempunyai cop Ir Jurutera Profesional (P Eng) seperti yang disyaratkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia,” katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

Telco ikrar laksana formula 'beli RM10, dapat RM10'

Sektor industri telekomunikasi menyokong keputusan kerajaan mengenakan GST bagi kad tambah nilai.

KUALA LUMPUR: Sektor industri telekomunikasi menyokong keputusan kerajaan mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi kad tambah nilai prabayar menerusi formula 'Beli RM10, Dapat RM10' yang berasaskan penggunaan masa berbual.

Dalam satu kenyataan bersama menerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), syarikat telekomunikasi itu turut menyuarakan yang mereka memahami gesaan bagi pelaksanaan yang lebih berorientasikan masa depan.

Sehubungan itu, mereka mengalu-alukan arahan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung pelaksanaan GST dan prabayar berasaskan prinsip penggunaan perkhidmatan itu.

"Ini bermakna GST akan digunapakai ke atas setiap transaksi individu apabila mereka menggunakan masa berbual," kata kenyataan itu.

Merujuk metodologi baharu itu, syarikat telekomunikasi itu menyifatkannya akan membentuk asas bagi pelaksanaan GST terhadap semua pembayaran elektronik 'e-wallet' dan 'wallet mudah alih' yang kian popular dalam kepesatan ekonomi digital.

Syarikat telekomunikasi itu turut menyuarakan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan lebih mampu milik dan pakej nilai tambah kepada pelbagai lapisan masyarakat.

"Pihak industri akan terus melabur bagi menaik taraf rangkaian di negara ini serta komited memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan," kata kenyataan itu.

Selain itu, mengulas lanjut, syarikat telekomunikasi itu berkata pelaksanaan perubahan baharu melibatkan GST itu adalah usaha besar-besaran yang memakan masa lebih setengah tahun untuk disiapkan.

"Keputusan untuk mengubah dasar pelaksanaan GST daripada pengaktifan kepada penggunaan tidak begitu mudah. Ia melibatkan konfigurasi yang rumit bagi sistem syarikat telekomunikasi serta lebih 30,000 peruncit pihak ketiga, penjual dan ejen seperti institusi kewangan, penyedia pembayaran elektronik, pasar raya, stesen minyak dan ejen jualan lain."

Bagaimanapun, selaras dengan arahan baharu diumumkan semalam, syarikat telekomunikasi itu komited berusaha yang terbaik bagi melaksanakannya dalam masa enam bulan.

Sepertimana diumumkan Ahmad Shabery, caj GST sebanyak enam peratus pada jumlah tambah nilai akan kekal dan tambah nilai RM10 masih dijual pada harga RM10.60.

CFM adalah sebuah badan organisasi bebas dan menjadi platform bagi industri serta pengguna menyuarakan pandangan serta sumbangan konstruktif bagi peningkatan dan pembangunan dasar berkaitan.

- Sumber: Bernama

Scha Alyahya kongsi cerita kehidupan keluarga yang kadang kala pelik



Rasanya doa-doa peminat dan penyokong Scha dan Awal benar-benar termakbul apabila mereka bernikah dan bergelar suami-isteri yang sah. Beberapa bulan selepas pernikahan mereka pada bulan Mei, kami akhirnya dapat merakam foto mereka dalam edisi khas perkahwinan apabila Scha Alyahya tampil manis sama gaun perkahwinan Zery Zamry manakala disolek indah Najeeb dan didandan Bibian L. 

Awal pula segak dalam persalinan Shanghai Tang dan Gucci. Wawancara antara kami bertiga berlangsung melalui e-mel kala pasangan ini bercuti ke Bangkok, melepas lelah kerja dan bawa keluarga berpergian.

“So how is living together as husband and wife?” soal kami. 

“Banyak perkara yang masih sedikit asing,kekok dan pelik, Awal cekap menghafal dan sentiasa ingat perkara yang mungkin Scha pandang remeh. Kerana itulah kami compatible. Perkara yang kurang pada Scha, Awal sudahkan dan vice versa in the other direction…” 

Temu bual itu dijanjikan dalam isu November 2012 dan sejak itu ajnas perkara dan rotasi tahun berlalu, kini Scha dan Awal sudah pun bergelar ibu dan bapa kepada Lara Alana. Untuk ulang tahun yang ke-10 ini, kami mahukan Scha kembali menjadi wajah wakilan, antara 10 yang paling dekat di hati InTrend, tampil bersama Kilafairy dalam balutan cool Clover Canyon yang punya cetak cukup fun.

“Sepuluh tahun bukanlah jangka masa yang pendek, banyak perkara yang sudah berlaku, Scha turut sama dewasa bersama InTrend, daripada zaman bujangan hingga bernikah and now I have Lara by my side. I could see how the magazine has grown. Terima kasih for your kind words dan selalu menyokong Scha, I am proud to be one of your girls untuk ulang tahun yang ke-10 ini."

- Sumber: Astro Publication 

Esscom akan lancar operasi khas di Kudat


KUDAT - Pasukan penguat kuasa di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan melancarkan Operasi Bersepadu Khas memburu pendatang tanpa izin (Pati) di daerah ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Esscom, Ruji Ubi berkata, operasi itu akan disertai pelbagai agensi penguatkuasaan kerajaan negeri dan persekutuan dengan misi membersihkan Kudat daripada Pati.

Beliau berkata, tumpuan operasi itu ialah kawasan perkampungan air, kawasan pasar dan pusat bandar.

"Walaupun kawasan utara Sabah, khususnya Kudat, kelihatan tenang dan aman, namun kita tidak boleh leka dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

"Apatah lagi ekoran insiden penculikan di Sandakan semalam (Khamis malam)...Kudat yang menjadi pintu masuk ke Kota Kinabalu (melalui perjalanan darat dari utara Sabah) juga terdedah pada bahaya, bukan sahaja kemasukan Pati tetapi juga penjenayah rentas sempadan....jangan sangka air tenang tiada buaya," katanya. 

Ruji berkata demikian ketika berucap pada sesi pertemuan Esscom bersama pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat daerah Kudat di Dewan Mini Pejabat Daerah itu, hari ini. Turut hadir Pegawai Daerah Kudat Sabdin Ibrahim dan Pengarah Pasukan Khas Senior Asisten Komisioner Mohammad Ismail.

Ruji berkata operasi yang sama kini giat dilaksanakan secara berterusan di lima daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan yang menyaksikan peniaga tempatan kembali mendominasi aktiviti perniagaan kecil-kecilan, khususnya kawasan pasar utama bandar terbabit.

"Matlamat kita ialah membersihkan keseluruhan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) daripada Pati. Kita perlu ambil iktibar insiden Tanduo dan dominasi Pati di kawasan pasar Lahad Datu sebelum berlaku peristiwa Tanduo (awal 2013).

"Misalnya suatu ketika dulu, pasar Lahad Datu didominasi oleh peniaga atau penjaja Pati. Kita tidak boleh biarkan keadaan ini berulang di pusat bandar lain di Esszone," katanya.

Sehubungan itu, Ruji mengajak rakyat Sabah, khususnya penduduk Kudat dan daerah sekitarnya supaya memberikan sokongan sepenuhnya kepada Esscom dalam menjayakan misi operasi bersepadu itu.

Beliau berkata, langkah drastik itu susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pati di Sabah (RCI) dan arahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) supaya dilancarkan operasi besar-besaran bagi membanteras kehadiran Pati di negeri ini khususnya di Esszone.

Ruji berkata, Esscom juga akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan di perairan Esszone bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan, khususnya penculikan.

Esszone meliputi 1,733.7 kilometer yang merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.‎ 

- Sumber: Bernama

Fesyen hijab pelik Melly Goeslaw

Fesyen pelik Melly yang dimuatnaik di instagramnya.
KOMPOSER terkenal Indonesia Melly Goeslaw menarik perhatian pengguna laman Instagram selepas memuatnaik gaya hijab terbaru yang pelik dan unik.

"Make up @makeupbyderry dress @dini_julies. Hiasan dan aksesoris punya aku, shoes Y3 @adidas #mellygoeslaw #putrimuslimah," tulisnya.

Rata-rata pengikutnya mengutuk gaya terbaru hijabnya itu malah ada yang menyifatkannya seperti unta, pasu bunga, sarang burung.

Walaupun menerima kutukan ramai, selebriti itu tidak memadam foto berkenaan.

Melly kemudiannya dilihat memuatnaik sebuah fotonya dengan kapsyen menafikan dia bukanlah wanita berhijab yang memenuhi syarat seperti wanita berhijab.

"Saya hanya wanita yang sangat bahagia menutup bahagian-bahagian tubuh saya yang sebaiknya ditutup dan belum memenuhi syarat-syarat seperti wanita berhijab.

"Saya senang menutup rambut dan leher saya dengan kain, atau bahan-bahan lain yangg lazim mahupun tidak lazim dipakai di rambut.

"Jika wanita berhijab adalah wanita yang paling di anggap betul dalam banyak hal, maka itu masih jauh dari diri saya," katanya.

Tambah Melly lagi, dia hanyalah manusia yang masih harus belajar dan berharap agar menjadi seorang muslimah sejati.

"Harapan di mana kelak saya boleh menjadi wanita solehah yang berhijab, berjilbab, tidak menyanyi, tidak main sinetron, tidak menjadi juri, tidak membiarkan dirinya di lihat orang lain di televisyen ataupun di media lain yang mana boleh mengundang fitnah dan maksiat, tidak main filem, tidak main media sosial dan hanya melakukan hal-hal yang seperti dilakukan isteri-isteri Rasul, " tulisnya lagi.

- Sumber: Sinar Harian

Drama tebusan berakhir

Gambar hiasan

KABUL - AFGHANISTAN. Sekurang-kurangnya 14 termasuk sembilan warga asing terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah rumah tamu di kejiranan Shar-e-Naw di ibu negara Afghanistan, kelmarin.

Menurut laporan Al-Jazeera, media tempatan melaporkan drama tebusan itu berakhir selepas Unit Tindakan Khas merampas semula bangunan tersebut dan menyelamatkan kira-kira 54 tebusan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Kabul, Abdul Rahman Rahimi mengesahkan berlaku insiden berbalas tembakan hingga menyebabkan beberapa tebusan turut cedera.

"Pejuang Taliban mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan selama tujuh jam di bangunan berhampiran pejabat PBB dan kediaman kedutaan asing tersebut," katanya lagi.

Sejak akhir bulan lalu, Taliban memperhebat serangan mereka dengan menyasarkan kerajaan dan warga asing di negara itu.

- Sumber: Sinar Harian

Remaja dirogol ‘spiderman’

gambar hiasan

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja wanita tidak menyangka keputusannya berehat di rumah bersendirian pada waktu tengah hari turut tidak selamat apabila dirogol seorang lelaki bertopeng ala-ala ‘spiderman’, di kediamannya di Kampung Bukit Guntung, Marang, Rabu lalu.

Dalam kejadian lebih kurang jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 17 tahun dikatakan sedang lena tidur di dalam bilik sebelum dikejutkan dengan kehadiran lembaga bertopeng tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, suspek bukan sahaja bertopeng, malah turut memakai sarung tangan itu terus bertindak menekup mulut sebaik menyedari mangsa tersedar daripada tidurnya.

“Suspek menekup mulut mangsa bagi mengelak dia menjerit, bagaimanapun dengan kudrat yang ada, mangsa cuba melawan untuk menyelamatkan dirinya.

“Namun, ketika itu juga suspek bertindak keluarkan pisau lipat lalu diacukan ke arah mangsa sebagai ugutan sekiranya mangsa masih berdegil mahu melawan sebelum merogolnya,” katanya di pejabatnya, semalam.

Wan Abd Aziz berkata, selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, suspek terus melarikan diri meninggalkan mangsa bersendirian menerusi pintu utama rumah.

Jelasnya, mangsa yang ditinggalkan itu terus cuba hubungi ibunya yang ketika itu di tempat kerja, namun gagal sebelum mengambil keputusan menghubungi rakan baiknya dan seterusnya membuat laporan polis.

“Siasatan awal mendapati tiada tanda kediaman mangsa dipecah masuk suspek, namun siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti identiti serta bagaimana cara suspek menceroboh masuk rumah mangsa.

“Mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan n susulan,” katanya.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

- Sumber: Sinar Harian

CSI melabuhkan tirai selepas 16 tahun

Siri drama jenayah, CSI: Crime Scene Investigation bakal melabuhkan tirai selepas 16 tahun bersiaran.

KUALA LUMPUR: Program penyiasatan popular CSI: Crime Scene Investigation pernah mencipta fenomena sekitar sedekad lalu. Siri televisyen yang berkisar mengenai para penyiasat lokasi jenayah, berusaha menyelesaikan kes pembunuhan ini bakal melabuhkan tirai selepas 16 tahun bersiaran.

Siri drama jenayah ini akan ditamatkan sementelah episod terakhir musim ke-15 disiarkan serta diikuti filem istimewa bagi menyimpulkan jalan ceritanya.

Filem khas itu akan disiarkan pada 27 September 2015 di Amerika Syarikat dan dikhabarkan sepanjang dua jam. Filem ‘perpisahan’ itu akan turut akan menampilkan para pelakon asal seperti William Petersen dan Marg Helgenberger.

Para peminat CSI berpeluang menyaksikan penyelia terdahulu kumpulan CSI iaitu Gil Grissom dan pembantunya, Catherine Willows beraksi semula selepas meninggalkan siri itu beberapa tahun lalu.

William Petersen menjadi peneraju siri CSI pada sembilan musim awal sebelum diambil alih Marg Helgenberger sehingga musim ke-12.

“Sememangnya kami amat bersedih dengan keputusan ini,” ujar Nina Tassler, Pengerusi CBS Entertainment dalam kenyataan rasmi laman syarikat itu.

Drama ikonik ini mempunyai 3 siri spinoffdalam tempoh 16 tahun. CSI: Miami bertahan sehingga musim ke-10, CSI: NY (9 Musim) dan CSI: Cyber mula ditayangkan pada Mac tahun ini.

CSI pernah dinobatkan sebagai salah satu drama siri paling popular dengan jumlah penonton melebihi 73.8 juta di seluruh dunia. Pada tahun 2012, CSI diangkat sebagai siri televisyen paling popular di dunia buat kali kelima di Festival Televisyen Monte-Carlo. 

- Sumber: Astro Awani 

"Apa salah arwah ayah saya sehingga dihina sebegini?" - Ahmad Maslan

AHMAD: Jangan hina arwah ayah saya

KUALA LUMPUR: "Kenapa sampai keterlaluan begini pihak berkenaan buat saya, apa salah arwah ayah saya sehingga dihina sebegini?"

Itu penjelasan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang menyatakan rasa kesal kerana nama arwah ayahnya dinamakan dalam permainan telefon pintar Android.

"Ayah saya sudah tiada; tolong jangan hina dia. Maslan adalah seorang penoreh getah yang miskin dan buta huruf," katanya kepada Astro AWANI yang turut dimuatkan di dalam catatan Twitter terbaharunya.

Astro AWANI mendapati, permainan baharu Maslan yang dinamakan 'MASLAN 3.85 Extended Version' dan 'Tampar Maslan' mula dipromosi di laman sosial termasuk sistem pesanan WhatsApp pada Rabu.

Dalam pada itu, kata Ahmad, pihak pembangun permainan itu turut disifatkan tidak tahu namanya dan sengaja menamakan nama arwah ayahnya untuk terus memburukkan lagi situasi.

"Nama saya pun puak-puak ini tidak tahu," ujarnya.

“Ayah saya sudah tiada, tolong jangan hina dia ” - Ahmad Maslan

Ahmad sebelum ini dilaporkan kecewa apabila kebanyakan kenyataannya, terutama mengenai isu Cukai Barangan dan Pekhidmatan (GST), banyak diputarbelitkan beberapa pihak.

Kata Ahmad, walaupun kehidupannya sebagai seorang menteri banyak berubah selepas pelaksanaan GST kerana menjadi sasaran ditertawakan, namun sedar tanggungjawabnya untuk terus memberi penerangan kepada orang ramai mengenai kebaikan GST.

Permainan 'MASLAN 3.85 Entended Version' dan 'Tampar Maslan' mula dipromosi di laman sosial termasuk sistem pesanan WhatsApp pada Rabu. -Gambar fail


Permainan 'MASLAN 3.85 Entended Version' dan 'Tampar Maslan' mula dipromosi di laman sosial termasuk sistem pesanana WhatsApp pada Rabu. -Gambar fail

Permintaan Ahmad kepada pihak berkenaan untuk tidak menghina arwah ayahnya turut mendapat reaksi daripada pengguna Twitter.

Rata-rata menyatakan simpati dan menganggap tindakan pihak berkenaan keterlaluan.

Ahmad sebelum ini turut dilaporkan tidak akan berhenti memberi maklumat mengenai GST walau banyak pihak memintanya berhenti bercakap mengenainya.

Bagaimanapun, penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menegaskan Ahmad tidak bodoh dan berpendapat apa juga pandangan yang dilemparkan terhadap Ahmad oleh mana-mana pihak harus diterima sebagai aspek perbezaan pendapat semata-mata.

- Sumber: Astro Awani 

Gadis maut terbakar semasa berselfie atas bumbung kereta api

Seorang remaja dilaporkan maut akibat melecur selepas tersentuh kabel elektrik berkuasa tinggi semasa cuba berselfie di atas bumbung kereta api.

SEORANG remaja dilaporkan maut akibat melecur selepas tersentuh kabel elektrik berkuasa tinggi semasa cuba ber'selfie' di atas bumbung kereta api.

Memetik laporan Metro.UK, Anna Ursu dikatakan pergi ke stesen kereta api di Bandar Romania bersama rakannya untuk merakam selfie untuk dimuat naik ke akaun Facebooknya.

Difahamkan, semasa bergambar, Anna secara tidak sengaja tersentuh kabel elektrik aktif dengan kakinya semasa berbaring di atas bumbung sebuah gerabak kereta api.

Menurut pihak berkuasa, wanita itu terbakar serta merta selepas menyentuh kabel elektrik 27,000 voltan manakala rakannya terpelanting akibat impak letupan tersebut.

Orang awam yang berada di lokasi kejadian cuba membantu Anna dan dia kemudiannya dikejarkan ke hospital.

Namun remaja berusia 18 tahun itu meninggal dunia di hospital berikutan kelecuran yang teruk, manakala keadaan kawan Anna pula dilaporkan semakin pulih.

Menurut saksi, dia cuba untuk menyelamatkan dua gadis itu apabila melihat mereka bermain di atas kereta api itu.

“Saya tahu ia amat berbahaya, saya menjerit tetapi mereka tidak mendengar panggilan saya,” katanya.

Selepas beberapa saat, saksi terdengar satu letupan kuat sebelum melihat Anna terbakar.

- Sumber: Astro Awani 

Polis siasat video sek s pasangan di balkoni

Video pasangan yang melakukan seks di balkoni sebuah apartmen di Bangsar yang tersebar di media sosial. - Sumber WhatsApp

KUALA LUMPUR – Polis masih lagi menyiasat video pasangan yang melakukan seks di balkoni sebuah apartmen di Bangsar yang tersebar di media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa bagi mengesan pelaku tersebut. 

“Selain itu, pihaknya juga turut mengesan individu yang bertanggungjawab merakam dan menyebarkan aksi tersebut.

“Ini perlu bagi membantu siasatan sebagai bahan bukti,” katanya selepas Majlis Penghargaan Kecemerlangan Tugas di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, hari ini.

Video berdurasi selama 30 minit itu dirakamkan oleh seorang penyewa di apartmen lain yang menghadap balkoni tersebut.

- Sumber: Sinar Harian