Monday, 7 July 2014

Jangan percaya kena tukar MyKad untuk beli petrol

Orang ramai dinasihati agar tidak mempercayai penyebaran maklumat palsu mengenai arahan penukaran MyKad baharu untuk melayakkan pembelian petrol dengan harga subsidi.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Sulaiman Keling berkata, JPN menafikan ada mengeluarkan arahan berkenaan. 

"Kenyataan palsu itu yang meminta orang ramai menukar MyKad baharu telah disebarkan kepada orang ramai sejak akhir-akhir ini menerusi khidmat pesanan ringkas (sms), aplikasi WhatsApp dan Facebook," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sebarang khabar angin yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab dan mendapatkan maklumat yang betul dengan menghubungi JPN di talian 03-80008000 atau melayari laman web JPN di http://www.jpn.gov.my/. - Bernama

MatPeriuk tawar bufet RM10 satu kepala

Restoran MatPeriuk memperkenalkan bufet Ramadan pada harga serendah RM10.
Restoran MatPeriuk memperkenalkan bufet Ramadan pada harga serendah RM10.


BAGI yang mencari hidangan berbuka ekonomi, namun masih menyelerakan, mungkin boleh cuba bufet Ramadan yang disediakan di MatPeriuk di Kampung Tersusun Tasek, Bercham, di sini.

Dengan caj hanya RM10 seorang, MatPeriuk yang diusahakan oleh adik beradik ini tampil dengan kelainan dari segi pilihan hidangan untuk menarik perhatian pengunjung.

Pengurus Operasi, Rafizatul Fairos Che Rose, 32, berkata, dengan harga serendah RM10, pengunjung boleh menikmati pembuka selera, pemanis mulut, aneka sup dan minuman dengan lebih 10 pilihan menu.

“Ini percubaan pertama kami memandangkan restoran ini baru sahaja dibuka. Alhamdulillah sambutan diterima sangat menggalakkan. Ramai yang bersetuju dengan pilihan hidangan yang ditampilkan,” katanya.

Dengan RM10, pengunjung boleh nikmati rojak buah, salad, kuih muih, bubur, kek, buah-buahan, sup daging, sup ayam dan sup cendawan.

Rafizatul berkata, terdapat juga hidangan ala carte yang menampilkan lebih 13 menu masakan Melayu dan Barat dengan harga serendah RM4.90.

Beliau berkata, ilham untuk menyediakan bufet dengan harga rendah itu muncul setelah menyedari lambakan pelbagai jenis bufet yang disediakan dengan harga agak tinggi.

“Bayar tinggi pun, tidak bermakna kita akan makan semua, jadi kami cuba beri pilihan, bayar kadar bersesuaian untuk dimakan,” katanya. -- Sinar Harian 

Datuk Yusof Haslam lepaskan tembakan selepas rumahnya dipecah masuk

Datuk Yusof Haslam terpaksa melepaskan temabakan menyedari rumahnya dipecah masuk dan menyebabkan suspek melarikan diri.


AMPANG JAYA: Menyedari rumahnya dipecah masuk, pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam melepaskan tembakan sebagai amaran sehingga menyebabkan perompak yang memasuki rumahnya melarikan diri.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi di kediamannya di Taman Melawati di sini, mangsa yang sedang menonton televisyen terdengar jeritan pembantu rumahnya yang berada di tingkat bawah rumahnya.

Yusof yang menyedari sesuatu yang buruk telah berlaku dalam rumahnya mencapai pistol jenis Glock yang berada berhampiran beliau dan melepaskan tiga das tembakan sehingga mengejutkan suspek yang dipercayai seramai tiga orang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairuldin Saad berkata suspek yang terkejut dengan bunyi tembakan bergegas melarikan diri dan pemeriksaan keatas rumah tersebut mendapati sebuah bilik di tingkat empat itu telah dipecah dan digeledah.

“Suspek dipercayai memakai topeng dan pakaian serba hitam. Mereka juga tidak mengenakan sebarang sarung tangan,” kata Khairuldin.

Siasatan awal mendapati terdapat dua bilik dalam rumah itu telah digeledah dan suspek juga masuk ke dalam bilik pembantu rumah namun gagal melarikan apa-apa barang dari bilik tersebut kerana pembantu rumah yang ketika itu sedang tidur tiba-tiba terjaga kemudiannya menjerit meminta tolong.

“Suspek kemudian melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan rumah mangsa. Kerugian masih disiasat,”

Ketika kejadian, terdapat pengawal keselamatan yang mengawal rumah berkenaan namun tidak menyedari kejadian tersebut. -- ASTRO Awani 

Kes saman fitnah 2 pemain hoki ditetapkan Ogos

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 6 dan 7 Ogos untuk perbicaraan kes saman fitnah dua bekas pemain hoki negara terhadap Malay Mail Sdn Bhd dan dua lagi berhubung kelakuan mereka yang diterbitkan dalam satu artikel, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam Datuk R.S. Sodhi yang mewakili dua bekas pemain hoki itu, Kevinder Singh dan Harvinder Singh selaku plaintif, serta peguam S.J. Teh yang mewakili Malay Mail Sdn Bhd, Editor Malay Mail Sdn Bhd dan Editor Sukan akhbar itu Johnson Fernandez selaku defendan.

Sodhi ketika ditemui pemberita berkata pihak plaintif akan memanggil lima saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu dan mahkamah juga menetapkan 1 Ogos untuk pengurusan kes.

Kevinder dan Harvinder, yang merupakan adik-beradik, memfailkan saman itu terhadap ketiga-tiga defendan kerana mendakwa difitnah dalam satu artikel yang diterbitkan Malay Mail bertarikh 9 Okt 2012 berhubung kelakuan mereka.

Dalam pernyataan tuntutan itu, mereka mendakwa artikel itu membawa maksud mereka seorang yang pemabuk, melanggar undang-undang, kasar dan suka bergaduh dan menyebabkan masalah serta kekacauan dalam pasukan hoki Malaysia.

Mereka turut mendakwa perkataan dalam artikel itu merujuk kepada mereka kerana hanya plaintif yang merupakan adik-beradik Sikh dalam pasukan hoki Malaysia dan berada dalam penerbangan ke Sydney untuk menyertai Kejohanan Sikh Australia pada April 2012.

Kevinder dan Harvinder menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah. - Bernama

Pelik & popular: Nasi Lemak Ayam Goreng Wak Kentut


Perniagaan dan nama unik itu telah diwarisi dari bapa Hairolnizam yang diberi gelaran Wak Kentut oleh penduduk sekitar.



Pelik dan unik tetapi masakannya jadi tumpuan ramai. Nasi Lemak Ayam Goreng Wak Kentut sememangnya tidak asing bagi warga Johor khususnya sekitar Kulaijaya.

Pengusaha warung Nasi Lemak Wak Kentut, Hairolnizam Safarin berkata perniagaan dan nama unik itu telah diwarisi dari bapanya yang diberi gelaran Wak Kentut oleh penduduk sekitar.

Katanya walaupun pernah menukar nama lain, namun nama Warung Wak Kentut tetap menjadi pilihan pelanggan.

"Sebenarnya nama ini gelaran daripada orang Kulai sendiri yang diberikan kepada orang tua-tua dekat sini. Kami orang keturunan Jawa banyak bernama Wak. Jadi mereka gelar bapa saya Wak Kentut, sampai sekarang melekat, kami pernah tukar nama itu tetapi mereka (pelanggan) tidak hendak. Hendak pakai nama ini juga," kata Hairolnizam.

Jelas Hairolnizam lagi, kualiti yang dikekalkan dalam ayam goreng dan sambal menjadikan perniagaan itu berjaya bertapak lebih 30 tahun.

Katanya setiap hari lebih 150 ekor ayam dan 110 kilogram beras digunakan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Pelanggannya bukan sahaja terdiri dari kaum Melayu, malah kaum Cina dan India turut menjadi pelanggan tetap Nasi Lemak Ayam Goreng Wak Kentut.

Sementara itu, bagi pelanggan tetap, Mohd Pozi Kemin, dia sanggup memandu sejauh kira-kira 40 kilometer semata-mata mahu berbuka puasa di Warung Wak Kentut.

Katanya dia dan keluarga akan ke warung tersebut dua kali sebulan untuk menikmati nasi lemak di situ.

"Saya dah makan di kedai nasi lemak yg diberi nama Nasi Lemak Wak Kentut sudah 10 tahun, keistimewaan nasi lemak dia lain dari lain, rasanya kalau orang Johor tu sebut saja kenal, negeri lain pun kenal," kata Mohd Pozi.

Perkara itu turut dipersetujui Azimah Adnan yang kini bergelar pelanggan tetap.

"Nasi lemaknya (sedap) tetapi ayamnya memang lain dari yang lain. Ayamnya terasa rempah dan tidak sama dengan tempat lain. Namanya memang unik sikit. Sememangnya anak-anak suka pergi. Kalau tidak selera makanpun, ini juga (tumpuannya),” kata Azimah

Mengekalkan rasa yang sama sejak bertahun lamanya, Hairolnizam mempunyai perancangan sendiri untuk mengukuhkan jenama nasi lemaknya sebelum membuka cawangan di Johor Bahru.

Sumber: Astro Awani 

Suspek kes pukul anak sampai mati ditahan

Anggota forensik bawa keluar mayat Muhamad Hafis selepas ditemui meninggal dunia dipercayai dibelasah bapanya.

ALOR GAJAH - Seorang lelaki yang menjadi suspek utama remaja lelaki mati dipukul menggunakan kayu akhirnya berjaya ditahan polis daerah ini kurang 24 jam melarikan diri.

Suspek yang berusia 52 tahun itu ditahan di sebuah rumah sewa di Jalan Melekek, Kampung Padang kira-kira jam 2.30 pagi.

Siasatan awal, suspek yang juga bapa kandung mangsa mengakui terlibat dengan kes yang disasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-- Sinar Harian 

Jadi bos tapi mengaku kuli

Nippon (kiri) mengaku dia hanya pekerja di kedai itu dan mendakwa kedai itu milik majikannya orang tempatan.
Nippon (kiri) mengaku dia hanya pekerja di kedai itu dan mendakwa kedai itu milik majikannya orang tempatan.


MEREKA berniaga dan menjadi bos di premis sendiri. Tetapi ketika ditanya wartawan, mereka mengaku sebagai pekerja di situ.

Mereka mengaku bekerja dengan majikan orang tempatan sedangkan perniagaan itu dipercayai milik mereka sendiri yang disewa melalui orang tempatan.

Mereka berkeras mengaku ada majikan tetapi apabila ditanya lanjut berhubung majikannya, mereka gagal mengemukakan maklumat yang diminta. Hakikatnya, mereka ini memiliki premis sendiri dibantu beberapa pekerja senegara.

Inilah fenomena yang berlaku di sekitar Klang. Premis-premis perniagaan di sini disyaki wujud kegiatan ‘alibaba’ yang disyaki didalangi orang tempatan.

Selain berniaga kuih-muih tradisional yang digemari warga India Bangladesh iaitu Bangladesh Jillabi, premis itu turut menawarkan jualan beg, cadar, alat telekomunikasi dan barangan lain. Mereka mengakui majikan menyewa dengan kadar RM6,000 sebulan.

Ketika ditanya adakah pihak berkuasa seperti Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuat pemeriksaan di kawasan perniagaan, salah seorang peniaga dikenali sebagai Nippu mengaku pemeriksaan ada dibuat. Dia mengaku perniagaan mereka tidak diganggu kerana mempunyai lesen.

Reaksi yang ditunjukkan Nippu dan beberapa warga asing yang menjalankan perniagaan di situ menunjukkan mereka bebas berniaga di sekitar pusat bandar Klang sejak bertahun lalu.

Persoalannya, adakah benar premis-premis di sini dialibabakan? Sejauh manakah fenomena ini diberi perhatian pihak-pihak berkuasa?

Apa yang merisaukan kini, melihat bandar Klang seperti bukan lagi melihat bandar di negara sendiri. Itu reaksi orang tempatan dan warga Klang kini.

Premis-premis di sini didominasi warga Indonesia, Nepal, Bangladesh dan Myammar. Walaupun mereka ini mengaku hanya bekerja namun masyarakat yakin mereka ini pemilik premis berkenaan yang menggunakan lesen perniagaan orang lain.


Salah siapa?

Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa mengambil tindakan tegas ke atas peniaga warga asing yang semakin bermaharajalela di bandar ini.

Zaharin Janghi, 54, berkata isu perniagaan didominasi warga asing bukan hanya berlaku di pusat bandar Klang malah sudah menular di kawasan Meru, Sementa, Kampung Delek dan Sungai Udang.

“Golongan mereka ini makin besar. Akhirnya anak tempatan ibarat ‘melukut di tepi gantang’ dan hanya mampu lihat tanah air sendiri dipenuhi warga asing,” katanya.

Pihak PBT digesa tidak tutup mata dalam isu ini kerana ia membabitkan maruah tanah air.

“Perkara ini memang berlaku. Bila warga asing berniaga mereka tutup mata. Bila peniaga tempatan berniaga kecil-kecilan, mereka ambil tindakan.

“Dua-dua tak ada lesen tapi yang kena hanya sebelah pihak. Ini tidak adil,” katanya.

Sementara itu, DK Vicky, 36, pula berpendapat kalangan warga tempatan sendiri membuat silap apabila membenarkan warga asing berniaga menggunakan lesen mereka.

“Sebab nak untung mereka kenakan bayaran tinggi kepada warga asing...kira untung atas angin.

“Macam mana nak bendung kalau warga tempatan sendiri beri peluang,” katanya.

Bagi mengekang kegiatan itu terus berleluasa, Vicky menyarankan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas peniaga warga asing serta orang ketiga yang bertindak mengalibabakan lesen perniagaan.

“Jika perkara ini tidak diberi perhatian tegas, ia akan berleluasa dan Klang akan berubah wajah ibarat negara asing. Buktinya sudah ada depan mata sekarang ini,” katanya.


Rayu maklumat orang ramai

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohammad Yacob berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan peniaga warga asing termasuk peniaga tempatan yang bertindak mengalibabakan lesen perniagaan.

“Jika benar memang wujud kegiatan mengalibabakan lesen perniagaan itu, kita akan bertindak tegas dengan menamatkan lesen perniagaan mereka.

“MPK mempunyai garis panduan berhubung perkara ini dan kita tidak sekali-kali membenarkan warga asing menjalankan perniagaan di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, jika wujud aduan berkenaan kegiatan itu, siasatan lanjut akan dijalankan.

“Tiada maaf bagi mereka yang terlibat dan tindakan tegas akan diambil. Saya harap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara memaklumkan kepada MPK segera,” katanya.

-- Sinar Harian 

Pengantin baharu dibakar suami

Polis menyiasat tempat kejadian di rumah keluarga suami seorang wanita yang dibakar, semalam.
Polis menyiasat tempat kejadian di rumah keluarga suami seorang wanita yang dibakar, semalam.


KANGAR - Pada masa mereka sepatutnya menikmati hidup bahagia berbulan madu, sepasang suami isteri yang baharu seminggu berkahwin sebaliknya sering bertengkar.

Puncanya kerana si suami dikatakan cemburu melampau lantaran mengesyaki isterinya main kayu tiga dengan lelaki lain.

Pagi semalam, perasaan cemburu itu dipercayai tidak terkawal lagi hingga dia dikatakan bertindak melampaui batas cuba membakar wanita itu. 

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kejadian berlaku di rumah keluarga lelaki itu di Kampung Abi, Padang Machang di sini, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

“Pada masa kejadian, seorang jiran mendengar pasangan itu bergaduh besar sebelum bertindak masuk ke dalam rumah berkenaan kerana risau berlaku perkara tidak baik. Dia terkejut apabila melihat suami isteri itu terbakar di dalam bilik air rumah berkenaan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan awal , suspek yang juga seorang penganggur berusia 23 tahun itu, dipercayai menyimbah petrol ke badan isterinya sebelum bertindak mencucuh dengan menggunakan pemetik api.

“Namun api turut menyambar kaki dan tangannya mengakibatkan dia sendiri turut mengalami kesan terbakar kira-kira 20 peratus," katanya.

Menurut Abdul Rahman, mangsa pula mengalami kecederaan akibat terbakar kira-kira 85 peratus berikutan api menyambar bajunya menyebabkan bahagian pinggang dan kakinya terbakar.

Katanya, beberapa jiran menolong memadamkan kebakaran sementara menunggu kedatangan bomba dan penyelamat.

“Mangsa dihantar ke Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan rapi sementara suspek masih berada di Hospital Tuanku Fauziah dan akan direman untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.


Dalam pada itu, keluarga mangsa sepatutnya mengadakan majlis kenduri kesyukuran semalam bagi menyambut ulang tahun kelahiran wanita tersebut.

Nenek mertua mangsa berusia 70-an berkata, mereka sekeluarga sepatutnya mengadakan kenduri kesyukuran sempena hari lahir mangsa yang ke 23 semalam.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga dikejutkan dengan kejadian berkenaan.


Menceritakan semula kejadian, ketika itu, dia baru pulang dari pasar sebelum terdengar jeritan orang meminta tolong dari dalam bilik.

“Saya kemudian masuk ke dalam rumah dan melihat badan mangsa sedang terbakar.


“Cucu saya yang cuba memadamkan api itu juga mengalami kecederaan, sebelum membantu mangsa dengan mengambil air dan mencurahkannya ke badan mangsa,” katanya dalam nada sedih.

- Sinar Harian, Julai 7, 2014

Geng toreh dan seluk berkeliaran di Puchong

PUCHONG – Geng toreh dan seluk yang bergiat aktif melakukan jenayah menyeluk saku menjadikan beberapa pasar pagi sekitar kawasan ini dan Serdang sebagai sasarannya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad, sindiket terbabit dipercayai dianggotai beberapa wanita warga Vietnam yang mensasarkan wanita sebagai mangsanya.

Menurutnya, suspek akan menoreh beg dibawa mangsa menggunakan pisau sebelum melarikan dompet serta telefon bimbit tanpa disedari sesiapa.

Perbuatan suspek katanya sungguh licik dan profesional menyebabkan mangsa hanya menyedari wang tunai dan barang berharga hilang ketika hendak membuat bayaran kepada peniaga di pasar.

“Bila nak bayar barulah mangsa menyedari dompet mereka sudah hilang dan terdapat lubang kesan torehan di beg dibawa,” katanya ketika melakukan rondaan cegah jenayah di Pasar Pagi Puchong Jaya bersama Adun Kinrara, Ng Sze Han.

Sindiket terbabit katanya dipercayai bergerak antara lima hingga enam orang di pasar pagi yang sesak serta mempunyai ramai pengunjung bagi memudahkan kegiatan jenayah dilakukan.

Sebanyak tiga laporan diterima pihaknya bersabit kes itu bagi bulan Jun sahaja. Satu pasukan khas akan dibentuk bagi membanteras kegiatan yang menimbulkan kebimbangan kepada pengunjung pasar itu.

“Saya nasihatkan pengunjung terutama wanita supaya sandang beg mereka di bahagian depan dan lebih berhati-hati ketika berada di pasar. Sesiapa yang ada maklumat mengenai suspek diminta menyalurkannya kepada polis,”katanya.

Sementara itu Sinar Harian difahamkan, suspek mempunyai iras wajah seperti warga tempatan menyebabkan kehadiran mereka langsung tidak menimbulkan sebarang curiga kepada pengunjung.

Seorang daripada mereka akan mendekati mangsanya di tempat sesak dan terus memotong beg menggunakan pisau sebelum seorang lagi rakan akan menyeluk beg dibawa mangsa untuk mengambil dompet dan barang berharga termasuk telefon bimbit.

Difahamkan, ada mangsa pernah kehilangan wang tunai sebanyak RM3,000 apabila dompetnya dilarikan menggunakan kaedah sama.

Sindiket terbabit dikatakan akan ‘berpindah’ ke pasar pagi berlainan bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa dan pengunjung. -- Sinar Harian 

Pengakuan: Tergoda gaji tinggi

Gambar Hiasan.
Gambar Hiasan.

SAYA tidak sangka hidup berakhir sebagai mangsa pemerdagangan manusia. Saya ditempatkan di rumah perlindungan ini sejak beberapa bulan lepas. Tujuan saya ke Malaysia adalah untuk cari pekerjaan.

Saya hidup susah di Indonesia. Saya lari dari rumah ketika umur 16 tahun dan bertemu kawan yang berjanji akan bawa saya jumpa agensi pekerjaan di Malaysia. Ketika itu, saya memang kerap mendengar cerita kawan-kawan yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia. Mereka boleh kirim duit banyak kepada keluarga di kampung.

Ada juga yang baru balik dari Malaysia selepas tiga tahun bekerja di sebuah kilang di Malaysia. Mendengar cerita itu saya jadi bersemangat untuk pergi ke Malaysia. Soal umur mereka kata tidak jadi masalah kerana boleh ditipu dalam dokumen dan itu semua akan diuruskan oleh ejen.

Ketika bertemu ejen, saya tidak dikehendaki membayar apa-apa kerana kata mereka, bayaran akan dipotong daripada gaji saya selepas saya mendapat pekerjaan kelak. Saya lega dan gembira dengan janji ejen itu. Apa yang saya tahu saya nak segera lari dari kemiskinan.

Ejen pekerjaan menjanjikan gaji lumayan jika bekerja di luar negara. Ketika itu saya tidak tahu akan dibawa ke negara mana sebab saya tidak peduli lagi. Asalkan saya dapat lari dari kemiskinan.

Sebaik dimaklumkan Malaysia, saya jadi lega sebab saya tahu kawan-kawan yang bekerja di sini kebanyakannya gembira.

Sampai di Klang, saya bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji RM600 sebulan iaitu kira-kira dua juta rupiah. Pada awalnya majikan saya baik, tapi lama kelamaan layanan majikan bertambah teruk. Selama empat tahun saya tidak dibayar gaji langsung.

Saya juga pernah dipukul, didera dan dikurung dalam stor tanpa diberikan makanan. Saya juga dapat tahu akan diserahkan kepada majikan lain di Thailand. Disebabkan takut, saya melarikan diri ke balai polis dan diselamatkan kerajaan Malaysia.

Sekarang saya takut nak keluar dari pusat perlindungan ini. Saya hanya minta dihantar balik ke Indonesia. Saya rindukan keluarga dan rasa bersalah kepada ibu bapa. Akibat tergoda gaji tinggi dan kehidupan lebih baik, saya akhirnya tertipu dan pulang dengan tangan kosong.

Surya, 20, Indonesia

Sumber: Sinar Harian 

Permintaan terakhir Kak Pah

Datuk Sharifah Aini
Datuk Sharifah Aini

“YA ALLAH, Kak Pah cakap pun Kak Pah hendak menangis,” demikian antara kata-kata terakhir Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar ketika menjadi panel jemputan Rancangan Celik Hati bersama Profesor Dr Muhaya Mohamad di TV 9 yang lalu.

Jelas Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah, penampilan beliau yang lalu membuatkan beliau malu kepada ALLAH, dan berharap penampilannya yang lalu tidak lagi disiarkan oleh mana-mana pihak selepas ketiadaanya.

“Tengok YouTube dengan rambut dan penampilan saya… saya malu pada ALLAH, terlalu malu…saya malu pada ALLAH…tapi itu sudah lepas, hendak kata apa lagi.

“Jadi saya ada permintaan pada stesyen televisyen, kepada kawan-kawan media, kalau nak keluarkan gambar tolonglah jangan keluarkan gambar dulu, gambar yang tidak berhijab.

“Kasihan dekat kita semua, kami semua sudah ‘move on’ ke jalan Tuhan. Hendak jadi lebih baik, hendak dekat dengan ALLAH, setiap hari kami mencari keredaan ALLAH,” katanya.

Berbicara lanjut Kak Pah turut mengatakan bahawa kelahiran Aliff Omar Ali adalah suatu yang paling berharga baginya dan berharap Aliff menjadi imam bagi menyembahyangkan jenazahnya.

“Selama 40 tahun (dalam industri hiburan), waktu yang paling berharga bagi saya adalah melahirkan anak, bukan peminat, bukan populariti.

“Alhamdullilah Aliff berada di Madinah selama 11 tahun belajar, dan pada saya, hanya itu sahaja harta yang saya ada.

“Dalam perbincangan saya dengan Aliff kalau dia balik cuti, Aliff doa mami mudah-mudahan mami mati dekat pangkuan Aliff.

“… kalau ALLAH izinkan Aliff, Alifflah yang jadi imam untuk sembahyangkan jenazah mami… itulah harapan saya,” katanya.

Allhamdullilah hasrat Kak Pah tertunai apabila solat jenazahnya semalam diimamkan sendiri oleh Aliff di Masjid Al Taqwa Taman Tun Dr Ismail kira-kira jam 11.30 pagi .

Allahyarhamah meninggal pada usia 61 tahun kerana menghidap fibrosis paru-paru sejak dua tahun lalu dan kira-kira lima bulan lalu pernah dijangkiti virus Influenza A (H1N1).

Jenazah kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara Kuala Lumpur .

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian 

1 maut, 4 pegawai Kastam parah nahas di Marang

MARANG - Seorang lelaki maut selepas kenderaannya bertembung kereta Proton Waja yang dinaiki empat pegawai Kastam dalam nahas di Kilometer 47, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Pasir Puteh dekat sini, petang ini.

Zulkepli Mohd Nor, 50, dari Kampung Pasir Puteh, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah manakala pemandu Proton Waja Baharim Ibrahim, 35, Noorah Mohamad, 46, Wan Nurul Zarina Ahmad, 25, dan Shamsuri Osman, 40, patah tangan, kaki serta cedera di kepala dan muka.

Dalam kejadian pada kira-kira 3 petang, empat pegawai berkenaan dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu selepas menghadiri tugas rasmi di Kemaman.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Perodua Viva yang dipandu Zulkepli dari arah Marang ke Dungun dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung kereta dinaiki pegawai kastam berkenaan, yang datang dari arah bertentangan.

Seorang saksi, Zulkifli Deraman, 49, berkata dia bergegas ke tempat kejadian selepas mendengar satu dentuman yang kuat dan melihat kedua-kedua kenderaan remuk.

"Saya bersama beberapa penduduk berusaha memadamkan kebakaran kereta Proton Waja yang dinaiki empat anggota Kastam terbabit dengan menggunakan pasir selepas enjin kereta terbabit terbakar.

"Nasib baik kami pantas... kalau tidak, sudah tentu kereta itu akan terbakar dan mungkin keempat-empat anggota Kastam itu akan rentung," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Zulkifli berkata, dalam suasana kelam-kabut itu, beliau sempat menjenguk ke dalam kereta Perodua Viva terbabit dan melihat pemandunya cedera parah di seluruh anggota badan serta kelihatan seperti sudah tidak bernyawa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Risikin Satiman, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata pegawai Kastam terbabit dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan manakala mangsa yang maut untuk bedah siasat. - Bernama

Pesanan Neymar buat Brazil

Pesanan Neymar buat Brazil


Walaupun tidak akan lagi beraksi kerana kecederaan, Neymar masih lagi percaya Brazil mampu menjulang Piala Dunia buat kali ke enam.

Neymar mengakui hatinya musnah apabila mengetahui dirinya tidak dapat lagi beraksi di kejohanan itu selepas mengalami keretakan tulang belakang ketika menentang Colombia.

Walaubagaimanapun, pemain Barcelona itu menegaskan skuad kendalian Luiz Felipe Scolari akan bermain habis-habisan walaupun ketiadaannya.

"Impian saya belum berakhir, ia cuma tertangguh akibat insiden itu," ujar Neymar merujuk kepada pertembungan dengan Juan Camilo Zuniga.

"Saya pasti rakan sepasukan akan memastikan impian saya tercapai, untuk menjadi juara."

Pemain berusia 22 tahun telah berjaya menjaringkan empat gol untuk Brazil dan berjaya membawa mereka ke pusingan separuh akhir.

Neymar telah membuat pesanan video kepada penyokong dan pemain Brazil supaya terus berjuang sehingga akhir.

"Penduduk Brazil, pemain, jurulatih dan penyokong - ini merupakan waktu yang sukar buat kita semua."

"Sukar untuk saya mengolah dengan kata."

"Saya mahu memberitahu saya akan kembali di padang secepat yang mungkin, saya ingin mengucap terima kasih atas sokongan anda semua supaya cepat sembuh."

- ASTRO Arena

Dari penjual jalanan ke Ibu Pejabat Twitter


Azalina Merupakan generasi kelima peniaga jalanan berketurunan mamak. Gambar: YouTube/Mashable Originals

KUALA LUMPUR:  Dilahirkan dalam serba kemiskinan, seorang anak kelahiran Malaysia Azalina Eusope kini sedang bersiap untuk membuka sebuah restoran di Market Square, San Francisco. Bangunan itu lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Ibu Pejabat Twitter.


Bukan itu sahaja, beliau juga sedang menubuhkan ruang dapur bersaiz 15,000 kaki persegi.

Menurut laman web sf.eater.com, restoran yang diberi nama ‘Azalina’s Malaysian’ berkonsepkan santai dan menyediakan makanan tengah hari, malam dan juga snek. Antara menu yang bakal disajikan adalah kari ayam dan laksa.

Merupakan generasi kelima peniaga jalanan berketurunan mamak, Azalina bertemu suami beliau dari Amerika Syarikat ketika sedang menolak kereta sorong di Pulau Pinang. Beliau nekad untuk meninggalkan kemiskinan dan berpindah ke San Francisco untuk membina hidup baru.

Namun kejayaan tidak dikecapi dengan sekelip mata.




“Empat tahun lepas saya pernah meminjam $500 untuk menjual makanan di pasar tani. Saya akan menyuruh anak-anak saya bangun pada jam 3 pagi. Kami memasukkan semua makanan ke dalam kereta untuk kami pergi menjualnya.

“Pada enam minggu pertama, tiada siapa datang untuk makan makanan saya,” kongsi Azalina dalam satu video YouTube terbitanMashable Originals.

Setalah itu Andrew Knowlton dari majalah Bon Appetit menyenaraikan makanan Azalina sebagai salah satu dari sepuluh makanan yang harus dicuba di Pasar Tani (Farmers’ Market).

Kemudian lebih ramai yang tahu tentang makanan Azalina dan dari situ bermulanya perniagaan katering.

Beliau ingin terus berkembang dan mahu lebih ramai lagi mengetahui tentang masakan dan budaya mamak.

“Saya suka bangun pada 3 pagi untuk memulakan kerja saya. Saya hanya dapat tidur selama dua jam sahaja. Kalau saya bernasib baik, lima jam. Itu pun pada hari Sabtu,” kata Azalina.

Walaupun perniagaan beliau begitu progresif dan berkembang, namun wang ringgit bukan ukuran kejayaan.

“Saya fikir tentang ayah saya, ketika dia meninggal. Kami begitu miskin tetapi ribuan datang untuk memberi penghormatan terakhir. Bagi saya, itu adalah kejayaan,” kata beliau. 

- ASTRO Awani 

'Raja Toyol' terlibat 23 kes kecurian

Raja Toyol dicekup penduduk selepas memecah masuk kedai runcit, di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara.
Raja Toyol dicekup penduduk selepas memecah masuk kedai runcit, di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara.


PETALING JAYA - Dia bukan anggota geng kongsi gelap, bukan penyamun, jauh sekali perompak. Kalau dilihat dari luaran dia hanyalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Namun, siapa sangka dalam usia semuda itu dia mendapat gelaran Raja Toyol selepas terbabit dalam tidak kurang daripada 23 kes kecurian membabitkan kes pecah rumah, kecurian tabung masjid dan kedai runcit di kawasan Kampung Sungai Ara, Damansara, di sini, sejak setahun lalu.

Meskipun sudah acap kali ditangkap penduduk kampung kerana mencuri, bahkan pernah dibelasah kerana perbuatannya itu, budak lelaki yang sudah tidak bersekolah ini tidak serik, malah bertambah aktif seolah-olah mencuri menjadi kerjaya sepenuh masanya.

Difahamkan kanak-kanak ini hanya memerlukan tempoh yang singkat untuk melarikan wang yang disimpan di dalam rumah tanpa disedari oleh pemiliknya. Sudah beribu ringgit masuk ke sakunya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Sungai Kayu Ara, Ramli Daud berkata, kanak-kanak itu pernah diserahkan kepada polis tetapi dibebaskan semula kerana dia di bawah umur.

“Dia bergerak seorang diri di dalam kampung dan sasaran utamanya adalah wang.

“Baru-baru ini dia pernah ditangkap dan apabila ditanya ke mana wang curi itu dibelanjakan, dia dengan selamba memberitahu wang itu digunakan untuk berhibur di pusat siber. Saya yakin dia berkawan dengan budak yang lebih besar dan di situlah wang itu dibelanjakan,” katanya.

Menurut Ramli, kanak-kanak ini melakukan kerja tidak kira siang ataupun malam. Jika ada peluang dia akan masuk ke dalam rumah sesiapa sahaja tanpa disedari.

“Dia akan sasarkan wang yang disimpan di dalam rumah, tidak kira di dalam poket seluar, almari mahupun laci.

“Peliknya dia boleh tahu di mana wang itu disimpan dan dengan tubuhnya yang kecil dia boleh masuk ikut lubang kecil selain tahu membuka gril pintu rumah,” katanya.

Jelas Ramli lagi, masalah itu sukar diselesaikan kerana keluarga kanak-kanak ini langsung tidak mengambil berat terhadapnya.

“Dia anak ketujuh daripada lapan adik-beradik dan tinggal bersama ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Keluarganya sudah lali dengan cerita kanak-kanak itu ditangkap.

“Ramai yang nasihat ayahnya supaya tidak membiarkan anaknya terus begitu, tetapi tidak diendahkan,” katanya.

- Sinar Harian 

Berjaya rakam visual ‘toyol’

Kanak-kanak lelaki itu masuk ke dalam kedai runcit melalui lubang kecil pada dinding kayu yang reput.
Kanak-kanak lelaki itu masuk ke dalam kedai runcit melalui lubang kecil pada dinding kayu yang reput.


PETALING JAYA - Tiga kali premis dipecah masuk membuatkan seorang pemilik kedai runcit di Kampung Sungai Kayu Ara memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan suspek.

Huzaifah Mohd Yatim, 25, terkejut selepas CCTV itu berjaya merakam visual seorang kanak-kanak sedang menggeledah barangan dan mencuri wang yang disimpan dalam kedai jam 2.50 pagi 20 Jun lalu. 

“Kanak-kanak itu mengaku masuk ke dalam kedai melalui lubang kecil celah dinding papan kedai yang reput,” katanya.

Menurutnya, perangkap itu sengaja dibuat bagi mengesan pencuri yang menjadi buah mulut penduduk kampung itu selama ini.

“Saya kerugian besar selepas kedai dipecah masuk. Malah selepas ditangkap budak itu masih cuba pecah masuk kedai saya,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Man berkata, dia kerugian RM4,000 selepas rumahnya dimasuki akhir bulan lalu.

“Dompet yang mengandungi wang saya letak di dalam poket seluar yang digantung di dalam bilik lesap dan kejadian itu disedari ketika saya bangun waktu pagi.

“Anehnya tiada kesan rumah dipecah masuk, tapi ada saksi yang nampak kelibat kanak-kanak merayau di sekitar rumah saya pada waktu malam,” katanya.

Menurutnya, laporan mengenai kejadian itu dibuat di Balai Polis Damansara.

Sinar Harian 

Neymar told Marcelo: 'I can't feel my legs'

Brazil talisman Neymar feared he was paralysed shortly after the knee in the back that ended his World Cup.


Neymar was ruled out of the tournament last Friday when he was hit in the lower back during an aerial challenge with Colombia defender Juan Zuniga.

Scans revealed Neymar had fractured a vertebra following the collision, but the player initially believed the injury was much more serious when he lay prostrate on the pitch, according to Luiz Felipe Scolari.

"Marcelo ran up to Neymar (directly after the challenge) and asked him how he was feeling and he told him: 'I can't feel my legs.'," the Brazil coach was quoted as saying by Marca.

Luckily for Neymar, he will not suffer any such long-term effects.

"He does not have any neurological injury that would compromise his life as an athlete or a human being," Brazil's team doctor Jose Luiz Runco said.

"He will be out for 40-45 days. Then he will be able to pass, to run."

Neymar thanked his team-mates for their support in an emotional video recorded at the team's training ground in Teresopolis on Saturday. He was then flown to his home city of Guaruja, where he began his rehabilitation.

Tuesday's semi-final against Germany though.

"He will be with us if he can, on the bench or in the stands," the former Chelsea manager said.

"We have already asked him to do this. It all will depend on how he is in the upcoming days. If he can do it, I am certain that he will."



The Brazil squad will fly to Belo Horizonte on Monday for the final stage of their semi-final preparation.

Scolari will have to find a replacement for Thiago Silva, who is unlikely to win an appeal against his second booking of the tournament against Colombia.

But the biggest task on his hands is filling the gap left by Neymar, who was Brazil's top scorer at the World Cup with four goals.

"It's equivalent to a catastrophe," the Brazil coach said of losing his star man.

"Neymar is out reference. He is a player that would make the difference in any team.

"We have lost the one player we did not want to lose, and it's for the semi-final and final."

Source: Eurosport