Tuesday, 7 March 2017

Tahukah anda, Xioami adalah pembuat telefon pintar terbesar dunia



XIAOMI, syarikat elektronik milik China yang beribu pejabat di Beijing, merupakan pembuat telefon pintar ketiga terbesar dunia.

Di Malaysia, jenama itu masih kurang dikenali berbanding jenama-jenama telefon pintar yang lain.

Xiaomi adalah jenama telefon pintar terkemuka di China sejak 2010, yang bukan sahaja mereka cipta, membangun dan menjual telefon pintar tetapi juga aplikasi mudah alih, komputer riba dan peralatan berkaitan elektronik.

Syarikat itu melancarkan telefon pintar pertamanya pada Ogos 2011 dan telah memperoleh perkongsian pasaran di China.

Pengasas dan ketua pegawai eksekutif syarikat itu adalah Lei Jun yang juga merupakan orang kaya ke-23 di China berdasarkan kepada laporan Forbes.

Xioami pada awalnya diasaskan bersama lapan rakan kongsi pada 6 April 2010, pelabur dana pertama termasuk Temasek Holdings, syarikat berkaitan Kerajaan Singapura, dana IDG Capital dan pembina pemprosesan mudah alih Qualcomm dan Qiming Ventures.

Berdasarkan laporan IDC pada 2014, Xioami merupakan pembuat telefon pintar ketiga terbesar di dunia selepas Samsung dan Apple Inc, diikuti Lenovo dan LG.

Syarikat itu juga menjadi vendor telefon pintar terbesar di China pada 2014, sekali gus mengalahkan Samsung.

Xioami juga merupakan teknologi start-up paling berharga di dunia selepas menerima AS$1.1 bilion daripada pelabur, menjadikan Xioami bernilai lebih daripada AS$46 bilion.

Pada 16 Ogos 2010, Xioami degan rasminya melancarkan perisian tegar Android, MIUI dan Mi1 dilancarkan pada Ogos 2011 diikuti Xiaomi Mi2 pada Ogos 2012, yang terjual lebih 10 juta unit pada 2013.

Pada tahun yang sama, Xioami menjual 18.7 juta telefon pintar dan 26.1 juta bagi separuh masa pertama 2014.

Kini, Xioami telah menjual lebih 60 juta telefon pintar pada 2014, mempunyai lebih 80 juta kakitangan dan telah berkembang ke negara lain seperti Indonesia, Filipina, Afrika Selatan, India dan Brazil juga Malaysia.

Pada Julai 2016, artis China, Liu Shishi, Wu Xiubo dan Liu Haoran menjadi duta pertama Xioami bagi siri Redmi di China.

- Sumber: SH Online | 7 Mac 2017

Pendapatan bawah RM4,000 layak dapat BR1M - Johari

Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR - Semua individu bujang yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 dan isi rumah dengan pendapatan RM4,000 ke bawah layak mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun ini.

Justeru itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menafikan dakwaan yang kini tular di laman sosial kononnya pemohon yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak layak mendapat bantuan itu.

"Sesiapa yang mendaftar BR1M, tak kira ada SMM ke tiada SSM, sepatutnya dapat bantuan ini kalau pendapatan di bawah RM4,000.

"Saya beri jaminan bahawa isi rumah yang berpendapatan bawah RM4,000 dan individu bujang yang bergaji RM2,000 ke bawah akan dapat BR1M... kalau siapa tak dapat, saya nak tahu," katanya dalam sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Johari berkata kebanyakan permohonan yang ditolak adalah disebabkan kegagalan pemohon menyertakan salinan slip bayaran gaji atau penyata bank kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurutnya beliau telah memaklumkan kepada pihak LHDN supaya tidak menyukarkan urusan permohonan bantuan itu.

"Mereka yang mempunyai pendapatan bawah RM4,000 perlu dibantu. SSM memang untuk menggalakkan masyarakat berniaga, cuma pemohon BR1M perlu sertakan sekali slip bayaran gaji dan atau penyata bank.

"Kalau dua-dua itu tak ada, mereka perlu beri salinan buku akaun simpanan," katanya.

Johari menjelaskan dokumen itu perlu disertakan bagi mengelak permohonan bantuan itu dieksploitasi oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Sebelum ini saya difahamkan oleh pihak LHDN, setelah diperiksa didapati ramai penerima BR1M sebenarnya memperoleh pendapatan hasil perniagaan yang banyak, ada yang berpendapatan sehingga RM9,000 sebulan," katanya.

LHDN turut mengedar risalah kepada pemohon supaya menyertakan bersama slip bayaran gaji, penyata bank atau salinan buku akaun simpanan ketika membuat permohonan itu.

 - Bernama | 7 Mac 2017