Saturday, 20 June 2015

Lelaki putus cinta jual separuh harta

Antara barangan yang dipotong Der Juli dan dijual di laman eBay.

SEORANG lelaki warganegara Jerman membuat keputusan untuk menjual separuh harta kepunyaan bersamanya dengan bekas isteri dengan cara paling ekstrim.

Lelaki tersebut, yang hanya dikenali sebagai Der Juli juga telah memuatnaik sebuah video berbahasa Jerman bertajuk 'Untuk Laura' yang menunjukkan seorang lelaki memotong pelbagai barangan.

Antara barangan yang menjadi 'mangsa potong' Der Juli adalah perabot, televisyen, laptop jenis Macbook, telefon bimbit jenis iPhone dan yang paling mengejutkan, sebuah kereta jenama Opel.

'Separuh' barangan tersebut kemudian dijual di laman sesawang eBay.de dimana laptop 'separuh' tersebut dijual pada harga £9.50 (RM40.02).

Video berkenaan yang dimuatnaik pada 16 Jun lepas diakhiri dengan kata-kata "Terima kasih untuk 12 tahun yang 'indah' Laura! Anda berhak ke atas separuh (harta),"

Sehingga kini, seramai 1,116,747 pelayar laman Youtube sudah menonton video berkenaan dan majoriti dari mereka bersimpati dengan nasib Der Juli.

Menurut seorang pelayar yang bertindak menterjermahkan video tersebut, Der Juli menceraikan isterinya selepas mendapati isterinya curang bersama rakan sepejabat.

"Penceraian boleh membuat lelaki menjadi gila, (tetapi) perkahwinan juga tidak jauh berbeza. Siapa yang patut dipersalahkan?" kata John Connor.

"Di Singapura, jika suami berjaya tangkap isteri curang dengan lelaki lain, suami tersebut terpaksa membahagikan hartanya kepada isteri (selepas bercerai)," kata Tarui.

- Sumber: Sinar Harian