Friday, 18 October 2013

Awas! Anggota penguatkuasa palsu

Anggota penguatkuasa palsu
Abdul Manan (kiri) menunjukkan vest yang dirampas hasil penangkapan ke atas suspek


SEREMBAN – Tiga saudara yang menyamar sebagai anggota Imigresen, anggota Rela dan polis sebelum menyamun mangsa dalam dua kejadian samun di Enstek dan di Jalan Batu 4 Labu Isnin lalu, diberkas polis.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abdul Manan Mhd Hassan berkata, suspek utama berusia 34 tahun serta dua lagi masing-masing berusia 22 dan 21 tahun ditahan di Seremban sehari selepas kejadian samun, sejurus polis menerima laporan.

“Tindakan pantas polis berjaya menahan ketiga-tiga lelaki berkenaan dalam tempoh 24 jam," katanya.

Menurutnya, dalam kejadian pertama di Enstek kira-kira 9 malam itu, suspek menyamun RM250 daripada seorang warga Bangladesh sebelum menjadikan mangsa sebagai petunjuk untuk melakukan jenayah sama dengan menyasarkan rumah kongsi pekerja asing di kawasan  ladang berdekatan.

"Suspek kemudiannya berlagak sebagai anggota penguatkuasa dengan membuat pemeriksaan pasport di rumah kongsi yang didiami pekerja warga Indonesia di Jalan Batu 4 Labu, dan telah menyamun barangan serta wang ringgit, sebelum meninggalkan rumah kongsi berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), dekat sini, semalam.

Abdul Manan berkata, mangsa yang mendiami rumah kongsi berkenaan membuat laporan polis selepas menyedari kehilangan wang sebanyak RM1,770.

“Menerusi laporan tersebut, polis memberkas ketiga-tiga suspek di Seremban keesokkan harinya dan daripada hasil tangkapan berkenaan, polis berjaya merampas beberapa jaket yang mempunyai lambang Kementerian Dalam Negeri (KDN), logo Rela ,
sepasang gari dan juga wang samun,” katanya.

Beliau berkata, suspek utama merupakan anggota Rela daripada Chow Kit, Kuala Lumpur. Manakala dua lagi suspek yang merupakan adik beradik itu adalah pelajar dari sebuah kolej swasta dan institut kemahiran di Chembong.

“Bagaimanapun, kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 395/397/170 Kanun Keseksaan dan akan direman sehingga 22 Oktober ini.


Sumber

No comments:

Post a Comment