Sunday, 25 May 2014

Bas bawa 45 penumpang jatuh gaung di Wang Kelian

KANGAR: Sebuah bas membawa 45 penumpang termasuk pemandu terbabas ke dalam gaung di laluan berbukit di Wang Kelian, hari ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Perlis Mohd Fadzil Haroon berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada 9.40 pagi itu.

Kelihatan beberapa anggota petugas penyelamat membantu mangsa-mangsa yang cedera selepas bas yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 37 Jalan Wang Kelian dekat sini, hari ini. -- Foto Bernama


Penumpang bas pelancong dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu terdiri daripada 33 wanita, enam lelaki dan lima kanak-kanak, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Kelihatan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) membantu seorang penumpang bas persiaran yang cedera selepas bas tersebut terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 37 Jalan Wang Kelian dekat sini, hari ini. -- Foto Bernama

Keadaan sebuah bas persiaran yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 37 Jalan Wang Kelian dekat sini, hari ini. - Foto Bernama


Sumber: Bernama

Warga Nepal maut dihempap forklift dipandunya


Siasatan awal mendapati Gajendra hilang kawalan ketika mengundurkan forklift - Gambar Hiasan


KUALA LUMPUR: Seorang pemandu forklift warga Nepal maut dihempap kenderaan itu ketika mengundurkannya di sebuah kedai percetakan di Jalan Brunei, Pudu di sini hari ini.

Pegawai Penyiasat Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee, Insp Mohd Termizi Mues berkata dalam kejadian 8.30 pagi itu, Gajendra Lingden, 22, maut di tempat kejadian di hadapan kedai itu.

"Siasatan awal mendapati Gajendra hilang kawalan ketika mengundurkan forklift itu sebelum kenderaan itu terbalik dan menghempap kepalanya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

- Bernama

Panda bukan sekadar haiwan zoo


CERITA mengenai pembaziran yang dikaitkan dengan kehadiran dua panda dari China, Fu Wa dan Feng Yi memang mudah menusuk kalbu. Rata-rata rakyat percaya, wang mereka digunakan kerajaan untuk membayar kos dua haiwan itu.

Lalu kerajaan pun dikecam bertalu-talu. Ada yang mencipta peri bahasa baharu, 'panda dari negara orang, tidur dalam bilik berhawa dingin, rakyat sendiri dibiar tidur bawah jambatan'.

Sekali pandang, kecaman ini memang nampak beralas. Bawa masuk dua binatang yang hampir pupus dengan kos puluhan juta, memang kelihatan seperti membazir. Apa lagi ianya berlaku tatkala kerajaan sedang bersiap sedia hendak melaksanakan GST tahun hadapan. Lalu mudahlah untuk diberatkan lagi tuduhan, GST gunanya untuk tanggung makan minum panda!

Ada pula yang sampai mencipta cukai baharu, 'cukai pandapatan' katanya!

Dalam keadaan ini, menyalahkan rakyat semata-mata pun tidak betul juga. Soalnya, seperti juga GST, sejauh manakah kerajaan berusaha memberikan penerangan sejelas mungkin kepada orang ramai mengapa dua panda ini kita pinjam daripada China.

Usaha kecil saya mencari maklumat berkaitan Diplomasi Panda dan signifikannya kepada negara dalam situasi semasa, menghadapkan saya dengan banyak respons. Ramai yang memberi maklum balas positif bahawa selama ini mereka tidak faham mengapa kerajaan perlu meminjam panda daripada China dan tulisan saya di Facebook menyedarkan mereka mengenai hal itu.

Secara mudah, siapa pun juga akan anggap kos yang dibayar untuk bawa masuk Fu Wan dan Feng Yi dari China sebagai membazir.

Namun bagi yang memahami akan makna, keperluan dan kewajaran langkah itu dari segi diplomatik dan signifikannya pada hubungan dua hala, saya yakin darjat prasangka itu akan jauh berkurangan, kalau pun tidak terhapus terus.


Neokolonialisme

China sangat penting bagi Malaysia untuk mengimbangi pengaruh antara kuasa besar, terutama Amerika Syarikat (AS).

Dalam dominasi kuasa dunia hari ini, AS mahu semua negara tunduk kepadanya dan akur dengan segala ketetapan yang dibuatnya. Dasar neokolonialisme AS teramat jelas. Ini tiada siapa pun boleh nafikan!

Sebagai 'super power', negara itu cuba menguasai dunia sebagai kuasa tunggal yang bebas masuk campur dalam urusan negara lain, terutama negara kecil seperti Malaysia.

Selepas berakhir Perang Dingin, AS menjadi satu-satunya 'super power' yang begitu bebas lagi berleluasa mencatur politik dunia. Lihatlah bagaimana ia mencetuskan perang di Iraq pada masa Bush Sr dan Bush Jr tanpa tentangan. Demikian juga di Afghanistan, kononnya untuk memerangi keganasan.

Dan kemudiannya di Libya yang hingga hari ini masih tidak berkesudahan bahananya.

Hakikatnya, dunia hari ini diperlihatkan bahawa tidak ada kuasa manusia yang boleh menandingi AS. Rusia cuba untuk bangkit menunjuk belang di Ukraine tetapi akhirnya sedar, ia tidak mampu. Dan Beruang Merah akhirnya berundur!

Potensi kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi baharu dunia sememangnya cukup menggusarkan AS!

Atas sebab itulah, AS mencurigai setiap negara yang ada hubungan akrab dengan China, termasuk Malaysia. Apakah kunjungan Barack Obama ke negara kita bulan lalu hanya sekadar kunjungan biasa?

Apakah ini bukan suatu usaha oleh AS untuk memastikan kita terus tunduk kepada Uncle Sam?

Dari segi ekonomi, China adalah negara dagangan terbesar Malaysia dengan nilai RM320 bilion setahun selama lima tahun berturut-turut. Nilai dagangan Malaysia dengan AS pula ialah RM112 bilion setahun. Dari segi nilai dagangan, AS masih jauh berkurangan berbanding China walaupun negara itu adalah pelabur utama kita dengan nilai RM29.2 bilion setahun.


Melobi

Justeru menjadi tanggung jawab kerajaan untuk memastikan hubungan baik dengan China berterusan. Panda adalah simbol diplomasi China sejak zaman Dinasti Tang lagi apabila Maharani Wu Zetian (625-705) menghadiahkan haiwan hitam putih itu kepada Maharaja Jepun.


Dan berbanding dengan negara lain yang terpaksa melobi untuk mendapatkan panda, Malaysia sebaliknya ditawarkan oleh Kerajaan China untuk menjaga dua daripada hanya lebih kurang seribu panda yang masih ada di dunia. Ini satu penghormatan!

Simbolik pada penghormatan ini adalah keyakinan China kepada negara yang diterima sebagai sahabat untuk menjaga aset dunia yang hampir pupus itu sebagaimana negara berkenaan menjaga hubungan mereka supaya generasi akan datang terus berpeluang hidup bersama panda.

Setakat ini, China hanya menghantar panda ke 17 zoo di 12 negara sahaja dan untuk mendapat peluang itu bukan mudah. Kanada menunggu selama 39 tahun sebelum Ershun dan Ji Li dihantar ke Zoo Toronto pada Februari 2012. Zoo Atlanta di AS pula terpaksa melobi selama 12 tahun dengan kos kempen RM16 juta untuk membuka hati pemimpin China membenarkan panda dihantar kepada mereka.

Lalu apabila China menawarkan Fu Wa dan Feng Yi kepada Malaysia, apakah tawaran itu patut ditolak sebagaimana pandangan para bijak pandai papan kekunci yang ghairah mengecam kerajaan berhubung isu ini?

Jika ditolak, apa pula implikasinya kepada hubungan bilateral yang sudah terjalin selama 40 tahun? Apa pula kesannya kepada ekonomi negara tanpa sumbangan China?

Kita juga maklum bahawa hubungan dengan China melalui episod suram sejak dua bulan lalu yang berpunca daripada MH370 dan diberatkan lagi dengan kes penculikan dua warga China di Sabah. Pada masa yang sama, ada desas-desus Kerajaan China hampir membatalkan penghantaran dua panda itu yang sekali gus merisaukan mereka yang memahami justifikasi perjanjian kerjasama konservasi haiwan itu kepada negara.

Apa lagi China dalam beberapa tahun akan datang menyediakan peluang pelaburan bernilai lebih RM257 bilion dan ini peluang lumayan untuk Malaysia. Hubungan diplomatik yang sudah berusia 40 tahun amat perlu dipertahankan.

Justeru perlu difahami bahawa panda bukan semata-mata binatang zoo seperti singa Afrika atau harimau Bengal untuk kerajaan bawa dengan kos yang begitu besar sebagai tontonan. Nilainya jauh lebih mahal berbanding RM25 juta kos untuk membina sangkarnya.

China adalah pasaran terbesar dunia yang amat diperlukan untuk kelestarian ekonomi Malaysia. Kerana itu, dalam memahami isu ini, jangan terbawa-bawa dengan emosi konon kitalah orang yang paling ke hadapan dalam menentang pembaziran tanpa memahami apa yang sebenarnya kita tentang!

Saya yakin, kalau kerajaan kita semata-mata condong kepada AS, orang yang sama juga akan mengecam. Berpolitik dengan kuasa besar perlu kebijaksanaan. Sekurang-kurangnya apabila kita akrab dengan China, AS akan sedikit berhati-hati dan kita juga akan ada kuasa tawar-menawar. Tetapi untuk menjauh daripada AS begitu sahaja pun tidak boleh juga.

Ini kerana, ikut pada adat ekonomi kita tidak boleh hidup tanpa kuasa-kuasa ini. AS adalah negara yang ada peranan dan menguasai ekonomi hampir semua negara di dunia. Sebesar-besar Rusia pun, apabila dikenakan sekatan ekonomi oleh AS, berundur juga tentera mereka dari Ukraine.

Jadi sama-samalah kita renung, fahami sedalam mungkin sesuatu makna sebelum kita tentang. Saya bukan penyokong totok mana-mana pemimpin atau parti politik kerana bagi yang mengikuti tulisan saya di Sinar Harian, mereka akan sedar bahawa saya sering juga mengkritik pemimpin kerajaan.

Yang penting, mengkritik biarlah dengan kefahaman, bukan prasangka!

_________________________________
Disiarkan di Sinar Harian, May 24, 2014
Penulis: MUHAMAD MAT YAKIM

Tentera Laut AS temui badan kapal hilang

Badan Kapal Layar UK Cheeki Rafiki yang terapung di permukaan air. - Foto ehsan BBC
Badan Kapal Layar UK Cheeki Rafiki yang terapung di permukaan air. - Foto ehsan BBC

Simbol pengenalan Kapal Layar UK Cheeki Rafiki yang telah disahkan oleh pasukan penyelamat.- Foto ehsan BBC
Simbol pengenalan Kapal Layar UK Cheeki Rafiki yang telah disahkan oleh pasukan penyelamat.- Foto ehsan BBC


LAUT ATLANTIK – AMERIKA SYARIKAT. [DIKEMASKINI] Sebuah kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat dilaporkan menemui badan kapal layar UK Cheeki Rafiki yang hilang sejak 15 Mei lalu di utara Laut Atlantik, semalam.

Menurut pengawal pantai AS, perenang pasukan penyelamat telah mengetuk badan kapal untuk memastikan mangsa masih hidup namun tiada jawapan.

“Rakit keselamatan yang ada di dalam kapal tersebut tidak digunakan dan masih dalam keadaan baik,” katanya yang dipetik portal BBC, hari ini.

Difahamkan, kapal tersebut dilayari oleh empat kru iaitu Paul Goslin, 56, dari West Camel, Somerset; Steve Warren, 52, dari Bridgwater, Somerset; Andrew Bridge, 22, dari Farnham, Surrey; dan James Male, 22, dari Romsey, Hampshire.

Kapal layar tersebut sedang dalam perjalanan pulang dari Antigua ke Britain selepas menyertai Minggu Pelayaran Antigua di St. Paul pada 15 Mei lalu.

Operasi menyelamat yang melibatkan dua pesawat dan dua kapal air dikerah sebaik sahaja hubungan komunikasi kapal tersebut dan menara kawalan terputus.

Dalam pada itu, keluarga mangsa yang telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa kekal bertenang sebaik sahaja menerima berita tragedi tersebut.

“Kami tahu mereka masih hidup di luar sana, sebagai ahli keluarga, kami harus sentiasa berfikiran positif,” kata salah seorang ayah mangsa, Graham Male.

Penemuan pasukan penyelamat mendapati tingkap badan kapal tersebut telah pecah dan kabin kapal layar tersebut telah dipenuhi air.

- Sinar Harian 

Keputusan Anugerah Bintang Popular




BERIKUT ialah keputusan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2013)

1. Artis Baru Lelaki Popular - Achey
2. Artis Duo/Berkumpulan Popular – Stacy & Akim
3. Artis Komedi Wanita Popular – Jihan
4. Chef Selebriti Paling Popular – Chef Wan
5. Gandingan Serasi Di Layar – Zara Zya & Azlee Khairi
6. Pelakon TV Lelaki Popular – Shah Iskandar
7. Penyampai Radio Wanita Popular – Fara Fauzana
8. Artis Berpengaruh di Laman Sosial – Datuk Siti Nurhaliza
9. Penyampai Radio Lelaki Popular – Johan
10. Pengacara TV Wanita Popular – Neelofa.
11. Watak Jahat Dalam Drama/Filem Popular – Sofi Jikan
12. Artis Komedi Lelaki Popular – Jepp
13. Pelakon TV Wanita Popular – Siti Saleha
14. Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat – Dato’ Rahim Razali
15. Pelakon Filem Wanita Popular – Siti Saleha
16. Penyanyi Lelaki Popular – Hafiz
17. Pelakon Filem Lelaki Popular – Aaron Aziz
18. Penyanyi Wanita Popular - Stacy
19. Artis Lelaki Stailo – Awal Ashaari
20. Aksi YouTube Paling Popular – Mat Luthfi
21. Anugerah Bintang Paling Popular – Aaron Aziz

- Sinar Harian 

Keputusan Liga Super - 24 Mei 2014

liga super

BERIKUT keputusan perlawanan bola sepak Liga Super, malam ini:

Lions XII 2 - ATM 1

Pahang 1  - Terengganu 4

Selangor 0 - JDT 1

T-Team 1 - Kelantan 0

Sime Darby 4 - PKNS FC 1