Thursday, 27 February 2014

Pelan catu air atau angin?


SEPANG : Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) diminta mematuhi jadual catuan air selain tidak menghentikan pelan penghantaran air menggunakan lori tangki kepada penduduk selama ini.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, kebanyakan penduduk di Sepang sudah tidak tahan lagi dengan kesengsaraan hampir tiga minggu keputusan air sekali gus menyifatkan pelan catuan merupakan rahmat kepada mereka.

Penduduk, Muhamad Syukur Sabari berkata, pelan catuan air yang dijadual bermula pukul 9 pagi Khamis disifatkan tidak terlaksana.

"Sekarang sudah petang, pili bukan mengeluarkan air tapi hanya angin. Jangan pelan hanya tinggal pelan. Syabas perlu ikut jadual catuan yang mereka sendiri tetapkan,'' katanya.

Pelan catuan air Syabas yang dimulakan pada Khamis hanya melibatkan kawasan-kawasan yang mengalami masalah bekalan iaitu Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Catuan bermakna bekalan air akan disediakan untuk dua hari dan dua hari lagi tanpa air di beberapa kawasan terlibat.

Dalam pada itu, penduduk, Azifal Aziz meminta tekanan air yang disalur semasa pelan catuan harus kuat dan tidak terlalu rendah.

"Kalau rendah sama sahaja, kita takung air sehari hanya dapat satu baldi. Lebih baik lori yang hantar, walau terpaksa tunggu tiga atau empat jam tetapi kita tahu sekurang-kurangnya dapat simpan kira-kira dua atau tiga baldi.

"Ramai jira-jiran dan saya sendiri terkilan. Selepas hampir tiga minggu baru hendak umum pelan ini. Kenapa tidak umum awal-awal dan mungkin masalah ini selesai?,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Belia Bukit Changgang, Shahriri Amir menyifatkan kekecewaan penduduk sudah di tahap tertinggi dan meminta jaminan pelan catuan air berjaya.

Sementara itu, Pengerusi Briged Kesatria Muda Selangor, Norazli Said menyifatkan bantuan tong-tong air kepada penduduk sebagai langkah prihatin pihaknya terhadap pelan catuan air.

"Kita beri tong air di kebanyakan kediaman, walau sumbangannya kecil ia tanda inisiatif briged dan diharap penduduk dapat bersedia dengan pelan catuan ini,'' jelasnya.

Sebanyak 70 kawasan yang terlibat dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon 1 dan Zon 2 dalam Wilayah Hulu Langat dan dua zon lagi, Zon 1 dan Zon 2 dalam Wilayah Kuala Langat dan Sepang.

Kedua-dua Zon A dan Zon B ini akan bergilir-gilir menerima bekalan air selama dua hari dan dua hari tiada air yang dijangka berlarutan sehingga akhir bulan Mac.

Astro Awani 

KPN nafi 60 anggota polis disiasat SPRM

Tan Sri Khalid Abu Bakar
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar


KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan laporan sebuah portal berita mengenai 60 anggota polis disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terbabit dalam pengubahan wang haram dan rasuah.

"Saya sudah berjumpa Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan beliau sendiri terkejut dengan laporan itu. Beliau tanya dari mana mereka (Malaysia Insider) dapat laporan tersebut.

"Beliau beritahu saya laporan itu palsu, tidak benar sama sekali," katanya selepas majlis ramah mesra bersama pesara pegawai-pegawai kanan polis di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Khalid meminta pihak terbabit berhati-hati terhadap sumber berita mereka.

"Jangan laporkan daripada sumber yang tak betul, entah tukang kebun mana dia (wartawan) tu jumpa untuk dapatkan cerita yang tak betul ni," katanya sambil menambah pihaknya telah menyerahkan kepada SPRM dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut terhadap laporan palsu tersebut.

Mengikut laporan portal itu, kira-kira 60 anggota polis disyaki menerima rasuah daripada pengendali perniagaan haram di ibu negara.

Perniagaan itu meliputi perjudian di kafe siber, rumah urut dan sarang pelacuran.

Mengulas perkara lain, Khalid berkata pihaknya akan memajukan kertas siasatan berhubung insiden membabitkan pasukan bola sepak T-Team dan Johor Darul Takzim (JDT) kepada Peguam Negara dalam masa terdekat.

"Kita dah selesai mengemas kini kertas siasatan, mungkin dalam satu, dua hari lagi akan majukan kertas siasatan ini kepada Jabatan Peguam Negara," katanya.

Beliau berkata lebih 20 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan kes itu. - Bernama

'Sharnaaz buanglah perangai Gangster'

Fauzi Narwawi
Fauzi Narwawi


NAMPAKNYA perang dingin antara pasangan suami isteri, Fauzi Nawawi, Lisdawati bersama aktor Sharnaaz Ahmad, masih belum menemui jalan penyelesaian.

Menerusi sebuah akhbar (bukan Sinar Harian), Sharnaaz telah memberi kata dua agar Lisda dan Fauzi memohon maaf dalam tempoh seminggu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika pasangan itu gagal berbuat demikian.

Bagaimanapun, Fauzi tetap dengan pendiriannya dan tidak akan akur dengan permintaan pelakon Juvana itu.

“Kenapa saya perlu minta maaf, ada sebab saya keluarkan kata seperti itu, tahap kesabaran saya pun ada batasnya. Tetapi saya tak pernah memaki hamun serta mengaitkan keluarganya,” kata Fauzi.

Tegasnya, Sharnaaz juga sepatutnya berhenti mengugutnya dan membawa kes tersebut ke muka pengadilan. Jelasnya, Sharnaaz yang terlebih dahulu memulakan persengketaan dengan memaki serta memarahi isterinya di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta, minggu lalu.

Kata Fauzi, dia tidak menghalang sekiranya Sharnaaz berkeras membawa kes ini ke mahkamah. 

“Jika dia mahu teruskan juga, silakanlah, sebab saya rasa saya tak buat salah, untuk apa dia nak saman? Saman malu atau apa?," soal Fauzi kembali.

Tegas Fauzi, dia juga tidak pernah melibatkan keluarga Sharnaaz dalam perseteruan mereka, apatah lagi untuk memaki hamun mereka yang tidak bersalah.

“Saya cuma cakap, apa perasaan dia jika saya tengking ibu dia seperti mana dia tengking isteri saya. Itu sahaja. SMS (khidmat pesanan ringkas) itu saya boleh ‘print’ sebagai bukti. Saya pun waras juga, takkanlah saya nak maki hamun keluarga dia,” katanya.

Ditanya, tidakkah ada jalan damai antara mereka, Fauzi berkata, dia pernah menghubungi Sharnaaz untuk berbincang dan menyelesaikan perseteruan mereka, namun tidak diendahkan Sharnaaz.

"Saya bagi tempoh sehari untuk dia minta maaf pada 20 Februari lalu, namun dia tak minta maaf. Saya ambil keputusan maafkan sahaja tindakannya, tapi dia macam tak puas hati.

"Saya minta dia jumpa untuk berdamai tapi dia tak mahu dan abaikan panggilan saya. Kalaulah dia nak minta maaf, saya boleh maafkan. Tapi saya minta lepas ni dia tinggalkan sikap gangster dia.

"Saya tak nafikan peminat Sharnaaz ramai, tapi rasa dia tak perlu kekalkan sikap gangster yang ada dalam diri dia kerana ia tiada jalan penyelesaian," kata Fauzi.



Lisda jatuh sakit

Fauzi, berkongsi keadaan Lisda yang dipercayai mengalami masalah kesihatan akibat pergaduhan ini.

"Dia mengalami tekanan darah tinggi dan saya sangat risau dengan keadaannya yang hamil. Jika berterusan saya tak teragak-agak ambil tindakan lebih tegas selepas ini," katanya.

Sebelum ini, Fauzi dan Lisdawati membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas mendakwa Sharnaaz menghantar satu SMS berbaur ugutan terhadapnya.

Katanya, kiriman SMS diterima 21 Februari lalu, kira-kira jam 9.42 pagi dan dia percaya ia berkaitan insiden Sharnaaz mengamuk serta cuba menyerang isterinya, Lisdawati Nazaruddin, 35.

Tegas Fauzi, keputusanmembuat laporan polis bukanlah kerana mahu mencari publisiti murahan atau kontroversi. Sebaliknya kerana mahu melindungi Lisda selepas ditengking dan diserang Sharnaaz.

Sementara itu, Ziela Jalil yang merupakan penerbit drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, mengaku akan cuba bertanggungjawab mendamaikan pertelingkahan antara Lisda dan Sharnaaz Ahmad.

Ziela Jalil berkata, dia pasti apa yang berlaku hanya salah faham kecil kerana sebelum ini selama lebih 3 bulan penggambaran, kedua-dua pelakon itu tidak menunjukkan sebarang masalah.

Bukan Kerana Aku Tak Cinta, turut dibintangi Nelydia Senrose dan kini sedang ditayangkan di Astro Mustika HD.

Isma: Iktiraf Malaysia hak Melayu

Isma
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

SHAH ALAM - Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini menuntut agar masyarakat antarabangsa mengiktiraf Malaysia sebagai warisan kaum Melayu kerana etnik itu telah terbukti wujud lebih lama di benua ini daripada kaum lain.

Menurut Naib Presiden II pertubuhan itu, Abdul Rahman Mt Dali berdasarkan hasil kajian penyelidik Melayu berprofil tinggi mereka telah mendedahkan asal usul kaum Melayu melalui kajian saintifik Mitochondrial DNA (MtDNA) yang menunjukkan genetik Melayu ditemui terbukti lebih awal wujud dari genetik kaum Cina dan India.

"Genetik Melayu berusia 60,000 hingga 70,000 tahun berbanding genetik Cina yang hanya berusia sekitar 40,000 hingga 45,000 tahun.

Benua Sunda yang berpusat di bumi Melayu yang kita pijak ini di sebut sebagai 'The Cradle of Human Civilisation' yang membiakkan kaum etnik lain. Maka sah, bumi ini asalnya adalah bumi orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Rahman, cari gali di Lembah Bujang, Kedah, oleh pasukan Arkeologi Universiti Sains Malaysia turut menemui kesan sejarah tamadun maju Melayu Kedah Tua yang dianggarkan berusia seawal abad ke-2 sebelum Masihi.

"Jadi, sah sekali lagi bahawa bumi ini warisan kaum Melayu lebih awal dari Angkor Wat atau Borobudur.

"Oleh itu, kita mahu orang Cina, India atau sesiapapun tidak lagi mempersoalkan kedudukan Melayu.

"Kita juga mahu seluruh dunia mengiktiraf bumi Malaysia ini yang sebelumnya dikenali Malaya dan sebelumnya lagi dipanggil Tanah Melayu sebagai warisan Melayu dan hak Melayu," katanya lagi.

Justeru itu, Rahman menggesa agar pengiktirafan diberikan kepada Malaysia sebagai tanah Melayu seperti mana yang dilakukan kepada benua-benua lain di dunia.

"Kita mahu dunia mengiktiraf bumi ini sebagai warisan dan hak orang Melayu.

"Sama seperti dunia mengiktiraf benua Cina adalah hak warisan orang Cina dan benua India hak warisan orang India, England untuk Inggeris, Ireland untuk orang Irish dan Germany untuk orang Jerman dan seterusnya.

"Atau adakah orang Melayu tidak punya tanahnya sendiri?" soalnya.

"Sudah tentu inilah benua Melayu dan inilah tanah untuk kaum Melayu." katanya lagi.

Sinar Harian 

Dicop Duda Idaman Malaya, Abil segan

Fauziah Muhamad, Abil Fikri Ahmad
Fauziah Muhamad, Abil Fikri Ahmad

SHAH ALAM – Masih ingat lagi kisah cinta meruntun hati Abil-Fauziah yang disiarkan muka depan terbitan sulung Sinar Harian Edisi Isnin, 10 September 2012 lalu?

Mengisahkan ketabahan seorang suami menjaga isterinya yang menderita penyakit saraf otak sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir, 2 April lalu.

Sebelum ini, kisah mereka mendapat perhatian umum setelah Abil sanggup berhenti kerja demi menjaga Gee yang terlantar selepas diserang asma sehingga menyebabkan Gee mengalami kerosakan pada saraf otaknya sejak Jun 2011.

Kini hampir setahun berlalu, Abil atau nama sebenarnya, Abil Fikri Ahmad akui cintanya masih kuat buat Allahyarhamah Fauziah Muhamad sehingga saat ini.

Menurutnya, sejak pemergian Fauziah atau lebih mesra dengan sapaan, Gee, beliau masih belum mendapat rehat yang mencukupi kerana memenuhi pelbagai undangan di seluruh negara.

“Sejak isteri saya meninggal, saya belum dapat rehat yang betul-betul. Seminggu selepas arwah meninggal, saya mendapat jemputan untuk beri ceramah.

“Kemudian buku Warkah Buat Isteri baru siap, jadi saya agak sibuk mempromosikannya sampai sekarang,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Berkongsi cerita lucu mengenai dirinya, Abil memberitahu mendapat gelaran Duda Idaman Malaya (DIM) daripada pengikut di blognya.

“Mereka kata pada saya... ini bukan saya yang buat sendiri. Mereka panggil saya encik DIM iaitu Duda Idaman Malaya. Pembaca dah bagi, jadi saya hormati itu. Sedap juga nama itu,” katanya sambil tergelak kecil.

Sejak beberapa bulan lalu, Abil akui sering diasak pertanyaan soal mencari pengganti. Bukan menolak jodoh, Abil memilih untuk 'meredakan' dahulu perasaannya.

"Perasaan cinta ini pada isteri saya walaupun dia sudah meninggal, terlalu kuat. Bukanlah saya menolak jodoh yang akan datang. Pada saya dia baru meninggal walaupun sudah hampir setahun dia pergi.

"Berilah saya masa sedikit.

Mungkin selepas April ini saya akan mula mencari (pasangan)," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Abil mengakui lewat mencari pengganti bagi mengelakkan fitnah meskipun usianya sudah mencecah 45 tahun.

"Sebab kenapa saya lambat mencari pengganti adalah untuk menjauhkan fitnah mulut diri masing-masing. Kadang-kadang orang yang kata, tengok kubur isteri merah lagi... itu yang saya elak.

"Saya selalu cakap pada keluarga terutama pada ibu saya. Nanti dululah mak. Jangan biar mereka buat dosa," katanya.

Mengimbau detik pemergian Allahyarhamah Gee, Abil menyifatkan ia sebagai peristiwa paling sedih berlaku dalam hidupnya.

"Masa itu, saya rasa kawan saya, sahabat saya dan isteri saya dah tinggalkan saya. Saya rasa saya sendirian.

"Itulah saat paling sedih dalam hidup saya, saya tak pernah rasa sedih seperti itu," katanya sebak.

Kini, Abil aktif memberikan ceramah motivasi kepada umum terutamanya berkaitan kekeluargaan.

Sinar Harian 

Felixia Yeap: Kenapa dengki saya tutup aurat?

Felixia Yeap
Gambar dari felixiayeap.blogspot.com

SHAH ALAM - Bekas model, Felixia Yeap mempersoalkan kenapa masih terdapat segelintir masyarakat yang dengki dan sakit hati dengan tindakannya menutup aurat.

Padahal ujarnya, beliau hanya menutup aurat sepertimana kebanyakan Muslimah sejati yang lain, tanpa mempunyai niat yang tidak baik.

"Kepada yang dengki atau benci sangat bila saya bertudung dan bertekad untuk menutup aurat seperti seorang Muslimah tanpa niat lain selain daripada mahu menutup aurat saya...

"...adakah anda akan rasa lebih gembira kalau saya tanggalkan tudung saya dan berpakaian seperti dahulu?

"Pernah tak memikirkan perasaan seseorang wanita yang disuruh tanggalkan bajunya atau hijabnya? Ianya tiada berbeza daripada mencabuli kehormatannya.

"Begitu kejam sekali nak buat pada saya? Apa salah saya?," katanya yang dipetik menerusi lama Facebooknya, semalam.

Perkongsian Yeap itu, telah menarik pelayar Facebook untuk menyokong dan memberi semangat kepada beliau.

Menurut Abdul Nizam Khalid, ramai yang tahu bahawa menutup aurat adalah hukum wajib dalam Islam tapi hakikatnya menutup aurat adalah naluri yang fitrah bagi seorang wanita.

"Ini antara sebabnya bukan Muslim juga turut mengenakan hijab di seluruh dunia. Teruskan, anda berada di landasan yang betul," tulisnya.

Sementara Nazilah Zainal pula menyarankan agar Yeap mengabaikan kata-kata nista tersebut dan menjadi diri sendiri.

"Sayang jangan dengar cakap orang ya.. Hanya kamu tahu apa yang kamu buat. Diri kamu, bukan diri mereka. Jaga diri, semoga selalu menjaga kehormatan... Bangga dengan kamu!," tulisnya.

Ini bukan kali pertama Yeap dikritik ekoran tindakannya berhijab.

Pada awal kemunculannya mengenakan tutup kepala, ramai Muslim mengganggapnya sebagai "tidak menghormati" wanita Islam yang memakai hijab. Mereka berkata, sebelum memakai hijab, Yeap sepatutnya membuang semua gambarnya berpakaian Playboy Bunny dan lain-lain yang mendedahkan dan seksi.

Hampir 148,000 peminat di Facebook dan blog mengkritik tindakannya dan menyifatkannya sebagai sebuah "aksi publisiti" untuk mendapat lebih populariti dan kemasyhuran.

Ada juga yang meninggalkan laman media sosial Yeap selepas beliau berhijab.

Sinar Harian 

Mayat ditemui berbungkus

Mayat ditemui berbungkus
Mayat berbungkus ditemui semalam


BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki yang dibungkus sempurna seolah-olah siap dikafan di tepi Jalan Perusahaan 2, Bukit Minyak mengejutkan pengguna jalan raya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Ab Lah berkata, mayat yang dipercayai warga asing itu ditemui lelaki yang sedang melalui kawasan terbabit kira-kira jam 8.45 pagi.

“Mayat yang dibungkus cadar warna ungu cair bercorak bunga itu diikat di bahagian kepala dan kaki.

“Keadaan mayat yang tidak berpakaian itu masih sempurna dan mulutnya berbuih namun tidak ada kesan kecederaan yang ditemui berdasarkan pemeriksaan awal,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan mangsa mati di tempat lain sebelum mayatnya ditinggalkan di situ.

Katanya, tidak ada sebarang pengenalan mahupun dokumen diri ditemui pada mayat berkenaan dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

“Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan siasatan lanjut akan dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian 

Status Facebook petanda ajal

Status Facebook petanda ajal
Status Facebook milik Norfaezah yang dikemas kini 10 Februari lalu


SUNGAI PETANI - "Mungkin esok namaku Arwah. Hari ini aku berpakaian cantik dan mewah, mungkin esok aku akan pakai kain kafan. Hari ini aku berpijak di atas tanah, mungkin esok aku duduk di bawah tanah."

"Hari ini aku boleh mandi sendiri, mungkin esok orang lain yang akan memandikan aku. Hari ini aku bahagia bersama orang di sekelilingku, mungkin esok aku akan bersendirian di sana. Andai kata hari ini hari terakhir aku hidup di dunia, ampunkanlah salah dan silap aku sepanjang perkenalan kita. Sekiranya aku pergi, sedekahkanlah al-Fatihah sebagai tanda kau merinduiku.”

Demikian bait-bait puisi yang dimaksudkan Norfaezah Budiman, 21, melalui akaun Facebook miliknya yang dikemas kini 10 Februari lalu merupakan petanda seolah-olah mengetahui bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.

Status tersebut mendapat reaksi orang ramai setelah Norfaezah meninggal dunia awal pagi semalam ketika membonceng motosikal sebelum dirempuh sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Lagenda Heights, Sungai Petani.

Ibu mangsa, Sarina Abu Othman, 49, dari Flat Paya Nahu berkata, anak kedua dari enam beradik itu sempat berpesan supaya ibu menjaga bapa selain adik bongsu berusia tujuh tahun sebelum beredar ke rumah sewanya tidak jauh dari situ.

“Dia peluk saya, belai dan sandar di badan saya, apabila ditolak, dia kata biarlah dia nak bermanja dan meminta saya jangan ke mana-mana serta menemaninya,” katanya.

Sebelum pulang ke rumah sewa, Norfaezah ada memberi RM5 kepadanya dengan berkata, duit berkenaan untuk kegunaan ibunya ke tempat kerja.

Sarina berkata, sebelum pulang, dia seolah-olah melihat lambaian Norfaezah kelihatan sayu dan rupa-rupanya itu petanda ajal dia akan pergi buat selama-lamanya.

Bagaimanapun, katanya dia terkilan kerana Norfaezah ada meminta supaya dia menghantar makanan tengah hari kepadanya kelmarin ketika sedang bekerja di sebuah kedai telefon bimbit namun tidak dapat berbuat demikian kerana tiada kenderaan.

Status Facebook tentang kematian

Sementara itu, rakan baik mangsa, Azie Azira Aziz, 18, berkata, sebaik berita kemalangan dimaklumkan kepadanya, dia teringat status kemas kini akaun Facebook milik Norfaezah yang menulis tentang kematian.

Katanya, status itu hanya dianggap biasa sehingga menerima berita mengejutkan awal pagi semalam tentang kematian Norfaezah.

Dalam kemalangan terbabit, Norfaezah dikatakan membonceng motosikal rakannya, Azwan Shah Ishak, 25, sebelum dirempuh sebuah kenderaan dari arah belakang.

Azwan Shah yang mengalami kecederaan parah dirujuk ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira tujuh jam kemudian.

Keluar makan bersama

Saksi kejadian, Fhadirul Azmin Mohd Yusof, 22, berkata, dia bersama rakan lain menunggang lima motosikal baru sahaja selesai makan dekat sebuah warung di Stesen Bas Sungai Petani.

“Tiba di lokasi kejadian, kami terdengar bunyi kuat dari arah belakang, namun belum sempat berbuat apa-apa, sebuah kenderaan merempuh motosikal menyebabkan Norfaezah terpelanting jauh,” katanya.

Menurutnya, dia mengenali kedua-dua mangsa sejak kecil dan cukup rapat selain sering bersama rakan-rakan lain ke mana sahaja.

“Kami merancang untuk ke Thailand Khamis ini beramai-ramai, tetapi apabila jadi begini, terpaksa batalkan hasrat tersebut,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, Februari 27, 2014

Thai PM summoned by anti-graft panel

Yingluck Shinawatra, Prime Minister of Thailand - filepix


BANGKOK: Thailand's prime minister has been summoned to face an anti-corruption panel Thursday to hear negligence charges that could lead to her removal from office, following months of mass opposition protests.

Prime Minister Yingluck Shinawatra, who has protested her innocence, is expected to send a lawyer to represent her at the hearing into alleged corruption in her government's flagship rice farm subsidy scheme.

She said last week that she was "willing to cooperate to establish the facts".

Yingluck flew to her political stronghold in northern Thailand on Wednesday where she is expected to spend several days inspecting government-backed projects.

The National Anti-Corruption Commission (NACC), which summoned Yingluck, says she ignored warnings that the rice scheme was fostering corruption and causing financial losses.

If found guilty she could face a five-year ban from politics.

NACC commissioner Vicha Mahakhun told AFP on the eve of the hearing that Yingluck's lawyer had informed the panel he would represent the premier to acknowledge the charges.

It is unclear how long the commission will take to reach a conclusion.

If the panel decides that Yingluck is guilty, the case will be referred to the partially elected upper house of parliament for an impeachment vote.

Opposition protesters, who have occupied parts of the capital for nearly four months, want Yingluck to step aside in favour of an unelected "people's council" to tackle what they see as corruption and a culture of money-driven politics.

A wave of political violence, often targeting protesters, has left 22 people dead and hundreds wounded, with almost daily reports of gunshots and grenade blasts in the capital recently.

The demonstrators accuse Yingluck's elder brother Thaksin Shinawatra -- a billionaire tycoon-turned-premier who was ousted from office by royalist generals in 2006 -- of running the government from overseas, where he lives to avoid a jail term for corruption.

Critics say the subsidy scheme, which guarantees farmers above-market rates for rice, has encouraged corruption, drained the public coffers and left the country with a mountain of unsold stock.

But government supporters see the charges as part of an attempted "judicial coup" by Thaksin's opponents within the royalist establishment, at a time of anxiety about the ailing health of revered 86-year-old King Bhumibol Adulyadej. - AFP

Kadar Tol Jambatan Kedua Pulau Pinang tidak lebih RM10

Jambatan Kedua Pulau Pinang bernilai RM4.5 bilion telah siap dan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu ini. --fotoBERNAMA
BATU KAWAN: Kadar tol di Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah tidak melebihi RM10, menurut syarikat pemegang konsesi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB).

Pengarah Urusannya Datuk Dr Ismail Mohamed Taib berkata JKSB mencadangkan kadar tol RM7 kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia tetapi keputusan muktamad hanya akan diumumkan pada 1 Mac.

"Kadar tol adalah kurang daripada RM10 tetapi melebihi RM7. Jika kadarnya terlalu tinggi, tidak banyak kenderaan akan menggunakannya," katanya kepada pemberita selepas lawatan suai kenal media di plaza tol Batu Kawan, di sini, Rabu.

Ismail berkata JKSB berharap untuk memperoleh keuntungan dalam tempoh 10 tahun dengan 100,000 kenderaan dijangka menggunakan jambatan itu di tengah-tengah kepesatan pembangunan Batu Kawan terutama kawasan perindustrian.

Jambatan berharga RM4.5 bilion itu, yang menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dengan Batu Kawan di tanah besar, dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Sabtu ini dan dibuka kepada kenderaan pukul 12.01 tengah malam, Ahad.

Ismail berkata tender bagi pembinaan dua Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) akan dipanggil dalam tempoh enam bulan akan datang membabitkan kos RM60 juta dan dijangka siap dalam masa tiga tahun.

Bernama

Aplikasi MyTeksi salur maklumat jenayah kepada polis


PETALING JAYA: Pemandu-pemandu teksi kini akan bertindak sebagai mata dan telinga bagi pihak polis dalam usaha pencegahan jenayah bagi Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Melalui aplikasi MyTeksi, segala maklumat-maklumat berkaitan jenayah akan disalurkan oleh mereka kepada pihak polis.

Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ), Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata aplikasi tersebut membolehkan pemandu teksi menyalurkan maklumat dengan cepat.

“Dalam sesi ini kita dapat bertukar pandangan disamping menambahbaik fungsi dalam aplikasi yang diperkenalkan itu terutama dalam penyaluran maklumat berkaitan dengan jenayah,” katanya dalam satu perjumpaan bersama 19 pemandu teksi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor di Ibu Pejabat MyTeksi di sini.

Dalam memantapkan lagi penggunaan aplikasi tersebut komitmen untuk kolaborasi yang berkesan telah dijanjikan oleh pemandu-pemandu teksi yang hadir.

Perjumpaan itu turut dihadiri oleh wakil MyTeksi dan beberapa pegawai kanan polis.

Astro Awani 

Usain Bolt, Ronaldo,Vettel dicalonkan Anugerah Sukan Laureus 2014

Usain Bolt - Gambar Fail


KUALA LUMPUR: Jaguh pecut dunia Usain Bolt, pemain bola sepak penuh sensasi dari Portugal, Cristiano Ronaldo dan juara empat kali kejohanan Formula Satu, Sebastian Vettel ialah antara bintang sukan ternama dari seluruh dunia yang dicalonkan untuk Anugerah Dunia Sukan Laureus 2014.

Turut dicalonkan ialah pelari jarak jauh Britain, Mo Farah, pemain tenis nombor satu dunia Rafael Nadal dan pemain bola keranjang dari Amerika Syarikat Lebron James.

Pelari pecut Jamaica, Usain Bolt, mungkin akan meraikan pencapaian menyamai rekod kemenangan empat kali ahli sukan dunia Laureus selepas beliau memenangi semua tiga acara pecut pada Kejohanan Olahraga Dunia di Moscow.

Bersaing dengan beliau ialah bintang muda pemandu Formula Satu dari Jerman Sebastian Vettel, yang menjuarai gelaran dunia buat kali keempat berturut-turut dan pemain bola sepak Cristiano Ronaldo yang menjaringkan 69 gol bagi Real Madrid dan Portugal pada 2013.

Terdapat wajah-wajah lazim bagi pencalonan Atlet Wanita Terbaik Tahunan Dunia Sukan Laureus dengan perenang Missy Farnklin, Shelly Ann Fraser Pryce dan Serena Williams dari Amerika Syarikat kesemuanya buat tahun kedua berturut-turut.

Missy Franklin memenangi enam pingat emas pada Kejohanan Renang Dunia, pelari pecut dari Jamaica Shelly Ann membolot tiga pingat emas dalam acara pecut pada Kejohanan Dunia di Moscow dan Serena, pemain tenis Amerika Syarikat yang menjuarai Terbuka Perancis dan Terbuka Amerika Syarikat.

Turut disenaraikan ialah peluncur ski sensasi Slovenia, Tina Maze, yang menjuarai gelaran Keseluruhan Piala Dunia, atlet lompat bergalah Rusia Yelena Isinbayeva dan Nadine Angerer selaku pemain wanita terbaik tahunan FIFA yang juga kapten pasukan bola sepak Jerman yang menjuarai Kejohanan Eropah.

Yelena Isinbayeva dan Rafael Nadal turut dicalonkan bagi Anugerah Kemunculan Semula Terbaik Tahunan Laureus. Calon lain ialah pemain golf Amerika Syarikat, Tiger Woods selaku pemain terbaik Jelajah PGA, Oracle Team dari Amerika dalam sukan perayu layar. Pemain bola keranjang Perancis Tony Parker dan Ronaldinho dari Brazil.

Turut hadir pada upacara pengumuman calon-calon Anugerah Sukan Dunia Laureus ke-15 ialah tiga ikon sukan dunia -- bekas pemain bola sepak dari Perancis Marcel Desailly, jurulatih terkenal AndrT Villas-Boas dan bekas juara Grand Prix Motosikal Dunia Mick Doohan.

Pemenang anugerah itu akan diumumkan pada Upacara Penganugerahan di Kuala Lumpur pada 26 Mac yang akan disiarkan secara langsung ke seluruh dunia.

Senarai penuh calon bagi Anugerah Dunia Sukan Laureus 2014:

Atlet Lelaki Terbaik Tahunan Laureus:
Usain Bolt (Jamaica) Olahraga;
Mo Farah (United Kingdom) olahraga;
LeBron James (Amerika Syarikat) bola keranjang;
Rafael Nadal (Sepanyol) tenis;
Cristiano Ronaldo (Portugal) bola sepak;
Sebastian Vettel (Jerman) Formula Satu.

Atlet Sukan Wanita Terbaik Tahunan Laureus:
Nadine Angerer (Jerman) bola sepak;
Missy Franklin (Amerika Syarikat) renang;
Shelly Ann Fraser Pryce (Jamaica) olahraga;
Yelena Isinbayeva (Rusia) olahraga;
Serena Williams (Amerika Syarikat) tenis.

Pasukan Terbaik Tahunan Dunia Sukan Laureus:
All Blacks (New Zealand) Ragbi;
Bayern Munich (Jerman) bola sepak;
pasukan Bola Sepak lelaki Brazil;
Bob & Mike Bryan (Amerika Syarikat) tenis;
Miami Heat (Amerika Syarikat) bola keranjang;
Red Bull (Austria) Formula Satu.

Pencapaian Terbaik Tahunan Dunia Sukan Laureus:
Pasukan Kriket Afghanistan;
Marc Marquez (Sepanyol) sukan permotoran;
Raphael Holzdeppe (Jerman) olahraga;
Nairo Quitana (Colombia) lumba basikal;
Justin Rose (United Kingdom) golf;
Adam Scott (Australia) golf.

Kemunculan Semula Terbaik Tahunan Laureus:
Yelena Isibayeva (Rusia) olahraga;
Rafael Nadal (Sepanyol) tenis;
Pasukan Oracle (Amerika Syarikat) perahu layar;
Ronaldinho (Brazil) bola sepak;
Tiger Woods (Amerika Syarikat) golf.

Atlet Sukan Kurang Upaya Terbaik Tahunan Laureus:
Marie Bochet (Perancis) ski;
Marcel Hug (Switzerland) lumba berkerusi roda;
Tatyana McFadden (Amerika Syarikat) lumba berkerusi roda;
Sophie Pascoe (New Zealand) renang;
Sarah Louise Rung (Norway) renang;
Olga Sviderska (Ukraine) renang.

Aksi Terbaik Tahunan Dunia Sukan Laureus:
Jamie Bestwick (United Kingdom) BMX;
Bob Burnquist (Brazil) papan luncur;
Mick Fanning (Australia) luncur air;
John John Florence (Amerika Syarikat) luncur air;
Maya Gabeira (Brazil) luncur air;
Shaun White (Amerika Syarikat) luncur salji.

Astro Awani 

Penduduk diarah berhenti cari syling lama

Mohd Amar Nik Abdullah - Gambar Fail

KOTA BAHARU: Penduduk Kampung Kubang Pak Amin, Pasir Mas diarah memberhentikan kerja mencari duit syiling lama di tebing sungai berhampiran kampung berkenaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata arahan mengosong serta memberhentikan kerja cari gali artifak itu di kawasan tersebut dikeluarkan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK).

"Pihak muzium telah mengeluarkan larangan itu kepada Pejabat Tanah Jajahan Pasir Mas agar mengawal kawasan tersebut dan diharap penduduk juga mematuhinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Kelantan-Linxia Makanan Halal Antarabangsa Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini pada Rabu.

Mohd Amar berkata penduduk dinasihatkan tidak lagi mencari duit syiling lama di kawasan itu kerana ia melibatkan akta barangan purba selain tertakluk kepada akta Warisan Negara.

"Kita mahu rakyat mematuhi arahan ini kerana ia melibatkan undang-undang dan Warisan Negara yang perlu sentiasa dipelihara," katanya.

Baru-baru ini akhbar melaporkan penemuan syiling lama di tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Kubang Pak Amin yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sejarah kerajaan lama di negeri ini.

Mohd Amar berkata penemuan itu menarik minat penduduk kampung berkenaan untuk mencari gali tinggalan sejarah itu dengan giat menggunakan pelbagai kaedah termasuk alat pengesan.

"Kawasan berkenaan kini seolah-olah seperti pesta dengan orang ramai tidak putus-putus datang mencari artifak peninggalan sejarah tersebut," katanya.

Sementara itu, Ketua Jajahan Pasir Mas, Adnan Hussin berkata kawasan tersebut kini dalam proses penutupan bagi menghalang penduduk daripada mencari gali artifak tersebut.

"Kita telah membuat pemantauan bagi mengenal pasti kaedah yang sesuai menjaga kawasan terbabit daripada terus dimasuki penduduk," katanya.

Bernama