KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak sekali-kali menggodam atau mengintip rakyat Malaysia mahupun mana-mana negara lain di dunia, ujar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Kerajaan juga katanya tidak pernah menggalakkan sebarang tindakan seumpamanya yang dianggap melanggari undang-undang .
"Ya, kami tidak [mengintip]. Saya tidak jamin individu di sini tidak melakukannya, tetapi kerajaan tidak menggalakkannya, dan kami tidak melakukannya, " beliau memberitahu Astro AWANI.
"Penggodam berada di mana-mana sahaja, mereka mungkin juga menggodam akaun anda," katanya, sambil menambah bahawa Facebook dan akaun Twitter beliau juga pernah digodam sebelum ini.
"Hacking(menggodam) sudah dianggap satu permainan oleh pihak-pihak tertentu, bahkan dianggap sebahagian daripada peperangan," katanya, sambil memetik contoh kesatuan 'hongke' di China di mana terdapat sukarelawan yang didakwa menolong kerajaannya menyerang ruangan siber Amerika Syarikat.
"Setiap negara, seperti Iran dan India, mempunyai tentera siber mereka sendiri. Terdapat banyak perkara yang berlaku di ruang siber. Mereka sedang menguji kekebalan kubu anda setiap masa. Semua orang perlu menjaga diri masing-masing agar mereka selamat, "katanya.
Shabery juga mendedahkan bahawa laman web kerajaan Malaysia diserang "hampir setiap saat, setiap minit".
"... Oleh malware, spyware, worm, virus dari luar. Ada dari Amerika, dari Rusia, atau Siberia juga. Mereka menyerang kita dari semasa ke semasa. "
Shabery berkata tugas utama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) adalah untuk memantau dan mempertahankan negara terhadap serangan ini.
"Ramai mungkin salah faham peranan SKMM. Mereka berpendapat bahawa SKMM sedang memantau hal-hal politik dalam negara. Tetapi tugas terpenting yang SKMM lakukan sekarang adalah melindungi atau mengekalkan kesejahteraan ruang siber kita. Kami cuba yang terbaik, "katanya.
Shabery turut menasihatkan rakyat Malaysia untuk 'menjaga maklumat peribadi mereka sendiri'. "Contohnya, anda mempunyai akaun Facebook dan e-mel, anda perlu menukar kata laluan anda dari masa ke semasa.”
Ditanya bagaimana rakyat biasa boleh mempertahankan diri mereka daripada penggodam yang mahir, Shabery berkata kerana itu pendidikan mengenainya adalah penting.
"Itulah sebabnya kita perlu dididik. Maksud saya, di Amerika Syarikat mereka juga mempunyai pertandingan khusus untuk menggodam, termasuk cubaan menembusi sistem Pentagon, misalnya, semuanya atas tujuan pendidikan. "
Shabery berkata Malaysia juga akan mempertimbangkan untuk melakukan sesuatu yang seumpamanya.
"Kita juga boleh berbuat demikian. Kerana akhirnya, akan lahir penggodam yang bijak dan boleh dimanfaatkan. Tenaga mereka harus disalurkan untuk perkara-perkara yang baik seperti untuk mewujudkan satu sistem yang lebih baik, aplikasi yang lebih baik dan sebagainya. "
Minggu lalu, terdapat beberapa laporan mendakwa penggodam berjaya membongkar program pengawasan Internet dan telefon kerajaan Amerika Syarikat.
Ia telah mendapat perhatian masyarakat dunia.
Seorang bekas pembantu Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat, CIA iaitu Edward Snowden yang berumur 29 tahun mendakwa terdapat usaha pengumpulan data secara luas oleh kerajaan negara itu menerusi Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA).
Maklumat yang didedah Snowden termasuk perintah rahsia mahkamah mengarahkan Verizon Communications Inc untuk menyerahkan semua rekod panggilan untuk tempoh tiga bulan, serta butir-butir mengenai program NSA yang digelar PRISM.
PRISM didakwa mengumpul data e-mel, log chat dan lain-lain jenis data dari syarikat-syarikat Internet terbesar dunia termasuk Google Inc, Facebook Inc, Microsoft Corp, Yahoo Inc, AOL Inc dan Apple Inc. Bagaimanapun, dakwaan ini telah dinafikan oleh syarikat-syarikat tersebut.