Friday, 18 October 2013

Air sungai berbuih, busuk

Air sungai berbuih, busuk
Keadaan permukaan air Sungai Liam yang tercemar dan dipenuhi buih kotor didakwa akibat pembuangan sisa dari sebuah kilang berdekatan.


HULU YAM - Penduduk Kampung Sungai Kamin terkejut apabila melihat keadaan Sungai Liam yang berbuih dan berbau busuk, lewat petang kelmarin.

Seorang penduduk, Amir Hamzah Md Noor, 57, berkata, keadaan itu menimbulkan tanda tanya dan mengundang kebimbangan penduduk mengenai berulangnya kejadian pencemaran air sungai seperti yang berlaku lebih tiga tahun lalu.

“Beberapa tahun lalu sungai ini tercemar akibat pembuangan sisa kotor dari sebuah kebun dan kilang sayur yang terletak kira-kira 100 meter dari sini.

“Kali ini keadaan sama berulang dan saya percaya ia akibat kilang sama yang tidak pernah dipersetujui penduduk kewujudannya,” katanya.

Menurutnya, dia menyedari keadaan itu ketika melalui Jalan Hulu Yam-Gombak dekat Kampung Sungai Kamin menghala Pekan Hulu Yam kira-kira jam 5.30 petang.

Amir Hamzah berkata, seluruh permukaan sungai tersebut dilihat berbuih dan mengalir bersama kotoran serta bau busuk.

“Saya berhenti dan masuk ke kawasan tadahan air sungai di situ dan pandang buih tidak hilang-hilang. Lebih dua jam saya memerhatikan keadaan sungai itu barulah buih hilang,” katanya.

Dia berkata, keadaan kelmarin berlaku ketika hujan dan air yang mengalir deras membentuk anak air terjun dan menghasilkan buih yang banyak.

“Masa itulah kita boleh tahu air itu tercemar atau tidak.

“Lagi pun air menjadi kehitaman dan berbau busuk, macam bangkai pun ada tapi tak nampaklah ikan mati hanyut dalam itu,” katanya.

Menurutnya, pencemaran air sungai yang berlaku tiga tahun lalu di Kampung Batu Belang dekat sini menjejaskan aktiviti perkelahan kebanyakan pengunjung kawasan Hulu Yam yang sememangnya terkenal dengan pusat perkelahan.

"Pencemaran melibatkan beberapa kampung di sepanjang Sungai Liam iaitu, Kampung Batu Belang, Kampung Talu, Kampung Masjid, Kampung Sungai Kamin, Kampung Kalung Tengah, Kampung Padang dan Kampung Lekuk.

"Kesan pencemaran itu mengakibatkan badan gatal-gatal dan berkudis jika tidak segera dirawat," katanya.

Amir Hamzah berkata, penduduk menggesa agar kilang terbabit yang sudah beroperasi lebih 10 tahun itu dipindahkan.


Sumber: Sinar Harian, Oktober 18

No comments:

Post a Comment