Seekor beruk yang dilapor cedera akibat mercun yang dipercayai maut dilanggar lari oleh pihak bertanggungjawab pada Sabtu lepas.
KUALA LUMPUR: Sejak beberapa hari lalu, media sosial dibanjiri dengan kisah seekor beruk yang cedera akibat mercun yang dipercayai merupakan perbuatan manusia yang sengaja ingin menganiaya haiwan tersebut.
Sekeping gambar seekor beruk yang dikenali sebagai Michai dengan tangannya berdarah, menjadi viral di laman sosial sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Hari ini, netizen dikejutkan pula dengan berita kematian Michai yang dipercayai telah dilanggar lari.
Sebuah persatuan haiwan, Zoologi MY melaporkan insiden tersebut melalui laman Twitternya, lewat malam semalam.
Menurut Zoologi, Michai dilanggar lari Sabtu lepas dan mengalami kecederaan dalaman yang parah.
Michai kemudian dikejar ke sebuah klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan, namun haiwan itu gagal diselamatkan.
Oleh kerana penganiayaan dan pembunuhan hidupan liar semakin meningkat sejak kebelakangan ini, pihak zoologi menyeru pihak berkuasa untuk memantau aktiviti yang tidak bermoral itu.
Netizen juga tidak melepaskan peluang untuk menuntut keadilan bagi perbuatan kejam itu melalui hashtag #JusticeForMichai di media sosial.
Terdahulu, gambar Michai yang cedera di tangan itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Shah Mikail.
Kejadian dipercayai berlaku di Taman TAR, Ampang, namun masih belum dapat dipastikan tarikh serta lokasi gambar Facebook berkenaan.
Memetik laporan portal Mstar, Ketua Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Andrew Sebastian berkata, “Walaupun insiden ini tidak dapat disahkan, orang ramai perlu tahu bahawa mencederakan hidupan liar adalah menyalahi undang-undang dan tindakan tidak berperikemanusiaan.”
Difahamkan, pihak berkuasa telah meminta orang ramai yang mempunyai bukti mengenai insiden tersebut, agar tampil supaya tindakan boleh diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.
- Sumber: Astro Awani