PUTRAJAYA: "Bukan mahu jadi hero, tetapi ingin berjuang menyelamatkan Sarawak."
Siapa sangka sosok tegas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada satu ketika dahulu, pernah bersama barisan hadapan negara, berjuang melawan komunis.
Memulakan bicara dengan memberitahu menyertai pasukan keselamatan, Sarawak Constabulary lapan tahun selepas negara mencapai kemerdekaan adalah cabaran terbesar yang peru ditempuhi skuadnya pada waktu itu.
"Waktu yang kritikal tu masa saya masuk polis, tahun 1965, masa itulah belum redanya kronfantasi dan bilangan komunis meningkat dari masa ke masa,"
"Jadi pada waktu itu, saya lihat saya sendiri bukan seorang hero, tapi sebagai seorang yang ingin berjuang bersama menyelamatkan negeri Sarawak,"
"Banyak lagi pemuda, belia, dalam skuad saya. 50 peratus daripadanya Cina, Melanau, Dayak, Iban,Ulu, dan Bidayuh yang mahu angkat senjata masuk hutan berhadapan dengan komunis pada ketika itu," ceritanya ketika ditemu bual Astro AWANI di pejabatnya di sini.
Berkongsi pengalaman, sosok berusia 68 tahun ini memberitahu, kejayaan berjaya dicapai dengan kebersamaan serta keteguhan perjuangan, bukan sahaja daripada dalam pasukan polis itu sendiri, malah benteng kuat negara turut diperkukuh dengan kerjasama semua pihak.
"Apabila keselamatan tanah air menjadi fokus kepada semua pihak, negara akan berjaya mencapai kemerdekaan," ujarnya.
Katanya,tindakan ketenteraan, serta kerjasama penduduk setempat kepada kerajaan pusat pada pada ketika itu merupakan antara faktor utama Sarawak berjaya menewaskan komunis.
Selain itu, faktor perang psikologi juga turut membuatkan pihak lawan berundur.
"Dalam keadaan sedemikian, tindakan yang pertama ialah tindakan ketenteraan yang membuatkan pihak komunis tidak ada tempat yang selamat untuk lari sebenarnya.
"Kedua, dia tak boleh lari ke kampung-kampung oleh kerana tindakan orang awam yang bekerjasama dengan kerjaan pusat, dengan tentera kita yang membawa logistik seperti helikopter untuk mamindahkan penduduk ke satu tempat yang selamat di mana tempat itu sekarang sudah dijadikan penempatan semula di satu kawasan di pedalaman Sarawak.
"Ketiga, ialah 'psicological walfare' untuk memenangi hati dan minda orang Sarawak dan itulah kekuatan kita untuk hadapi komunis hingga komunis tak ada cara lain lagi. Kita salah sebuah negara yang menang lawan komunis," jelasnya dengan panjang lebar.
Pahit getir perjuangan beliau mempertahan negara pasca kemerdekaan diterjamah melalui buku bertajuk 'A Policeman'.
Buku 'A Policeman' setebal 575 muka surat itu antara lain menceritakan pengalaman beliau sepanjang 17 tahun berkhidmat dalam pasukan polis sehingga meletakan jawatan pada 1982.
Buku tersebut juga turut menceritakan perjalanan hidupnya dari kecil, alam persekolahan, pekerjaan, politik dan seterusnya menjawat jawatan sebagai seorang Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negeri.
Sebelum ini, Wan Junaidi pernah bertugas sebagai seorang peguam dan berkhidmat sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat di Parlimen.
Sehingga kini, beliau masih menabur bakti kepada rakyat sebagai Anggota Parlimen di Santubong selepas menang besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu dengan majoriti 20,936 undi.
'A Policeman' bakal dilancarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri. Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Oktober depan sempena Hari Kementerian Dalam Negeri di Kuching, Sarawak.
Melihat ke hadapan, Wan Junaidi yang merupakan bapa kepada tiga orang anak ini mahu rakyat Malaysia terus mempunyai rasa tanggungjawab terhadap keselamatan negara.
"Saya sebagai yang pernah berjuang untuk mempertahankan penubuhan negara ini dan berjuang dalam hutan secara realiti menghadapi mereka yang nak pecah belahkan negara ini, saya seru kepada semua rakyat Malaysia, walaupun kita merdeka dan naluri kebebasan dikehendaki, kebebasan dalam semua sudut, kita mesti jaga keselamatan kebebasan ini dengan kebertanggungjawaban yang tinggi kerana tiada kebebasan, tiada kebertanggungjawaban.
"Jadi kita mesti bertanggungjawab dalam apa segi kita buat, bagi mengelakkan perpecahan antara kita sendiri.
"Negara yang berpecah belah masyarakat dan kaumnya memang senang dijajahi oleh pihak lain dari luar. Jangan kita biarkan minda kita dijajah oleh pihak lain yang mungkin boleh datangkan perpecahan di kalangan masyarakat kita," pesannya mengakhiri perbualan.
- Astro Awani