Tuesday, 23 June 2015

Gempa kuat landa Kepulauan Bonin di Jepun

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter melanda Kepulauan Bonin di Jepun iaitu gugusan pulau terletak kira-kira 1,000km ke selatan Tokyo, pada pukul 8.18 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam kenyataan, menyebut pusat gempa bumi itu terletak 817km tenggara Hamamatsu, Jepun dan 3,342km dari timur laut Sandakan, Sabah.

Bagaimanapun, gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami. 

- Sumber: Bernama

Tyrese Gibson nafi peluk agama Islam

Salinan paparan Penafian oleh pelakon, Tyrese Gibson.

PELAKON, Tyrese Gibson hari ini menafikan beliau telah memeluk Islam selepas tersebarnya khabar angin tersebut sejak awal Ramadan tahun ini.

"Dengan hormat saya menjelaskan (bahawa) saya bukan seorang Muslim, saya seorang Kristian sejak dilahirkan.

"Saya menghormati semua agama dan ada ramai kawan Muslim yang sangat baik. Saya sudah mendalami budaya dan saya hormati budaya," kata Gibson hari ini dalam sebuah perkongsian di laman sosial Facebook.

Beberapa hari lepas, foto ucapan selamat berpuasa dan sebuah lagi foto yang menunjukkan beliau memakai serban dan jubah telah memberi bayangan kepada orang ramai bahawa beliau juga menyambut Ramadan.

- Sumber: Sinar Harian

Lelaki dipukul curi beg di RTC

Keadaan mangsa yang di pukul.

KOTA BHARU – Seorang lelaki cedera di kepala dan beberapa anggota badannya selepas dipercayai dipukul orang ramai kerana dikatakan ternampak dia mencuri beg duit di Pasar Borong RTC, Tunjong, di sini, hari ini.

Kejadian jam 8.30 pagi itu disedari seorang peniaga berusia 29 tahun yang ternampak suspek yang berusia 38 tahun itu mengambil plastik berwarna kehijauan yang mengandungi beg duit.

Pengadu kemudian terus menjerit ke arah lelaki tersebut dan berkata, “sebab apa mu ambil beg plastik itu” menyebabkan suspek terus mencampakkannya.

Pada masa yang sama, peniaga lain yang ada berhampiran datang dan menangkap lelaki tersebut serta berlaku pergelutan. Suspek bersama beg plastik itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisoner, Rohaimi Md Isa mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan suspek yang beralamat di Pekan Tok Uban, Pasir Mas, dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Suspek juga ditahan semula oleh anggota Balai Polis Komuniti RTC Tunong untuk dijalankan siasatan berhubung dakwaan curi itu,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Mengamuk sebab dirakam langgar lampu merah

Sedutan video menunjukkan seorang pemandu bas menyerang seorang pelajar di London, minggu lepas.

SOUTH BANK - ENGLAND . Seorang pemandu bas mengamuk, membelasah dan mencekik seorang pelajar selepas tindakannya melanggar lampu merah dirakam wanita tersebut, minggu lepas.

Laporan Metro UK mengatakan, melalui sebuah video yang dirakam orang awam, pemandu bas tersebut melarikan diri selepas pelajar tersebut pengsan.

Seorang saksi memberitahu, pemandu bas tersebut berlagak seperti seorang 'peninju' dan mula bertengkar dengan orang ramai yang mahu menghentikan kejadian tersebut.

Semalam, syarikat bas tersebut, Golden Tours kemudian mengumumkan pemandu tersebut dipecat serta-merta.

"Kami sedia maklum dengan kejadian berkenaan dan pemandu tersebut sudah dipecat," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pihak berkuasa masih menyiasat kejadian tersebut dan belum ada sebarang tangkapan dibuat.

- Sumber: metro.co.uk