Monday, 24 April 2017

Komputer Riba Windows 10 Berasaskan Cip ARM hujung Tahun Ini

Microsoft sebelum ini pernah hadir dengan Windows RT, iaitu sistem operasi yang dioptimasikan khusus untuk peranti berasaskan ARM. Tetapi, penerimaannya adalah sangat sedikit, malah ia memberikan kekeliruaan terhadap sistem operasi generasi baru Windows, sekaligus membuatkan Microsoft menamatkan pembangunannya.

Kini, Microsoft dilihat ingin mencubanya sekali lagi dalam arena berkenaan. Pada tahun lepas, Microsoft pernah mempertontonkan kebolehan menjalankan Windows 10 pada cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon.

Berkongsi lanjut mengenainya kini, pihak Qualcomm mengatakan komputer Windows 10 menggunakan Snapdragon 835 dijangka hadir sekitar suku ke-4 2017 ini.

Walaubagaimanapun, berbeza dengan sebelumnya, pengguna peranti ini dijangka dapat menjalankan beberapa perisian popular terus padanya melalui penggunaan pelagak yang hadir terbina padanya.

Microsoft sendiri dijangka akan berkongsi lanjut mengenai penggunaan Windows 10 pada komputer berasaskan ARM tidak lama lagi. Apa pun, antara perkara yang dapat kita lihat adalah termasuk penawaran masa bateri yang lama, selain harga peranti yang murah – sekaligus membolehkan ia bersaing dengan Chromebook dengan lebih baik lagi.

- Sumber: Amanz | 24 April 2017

Rahsia awet muda Rosyam Nor


NAMA Datuk Rosyam Nor di dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Pelakon versatil ini juga teryata tidak 'makan usia' malah kelihatan sentiasa segar dan cergas.

Rosyam yang mula dikenali selepas lakonan bersama Faizal Hussein dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1986, terus aktif dan semakin mendapat perhatian untuk menjadi duta produk.

Tidak hanya terkenal dengan bakat lakonan yang besar, pelakon yang juga pemilik syarikat produksi ini turut menjadi pengacara rancangan berkonsepkan keagamaan.

Menurut Rosyam,yang kini sibuk sebagai juri tetap program Maharaja Lawak Mega 2017, dia sangat selektif untuk bergelar duta produk kerana mementingkan kesihatan bagi membolehkannya meneruskan tugas harian yang sentiasa sibuk.

"Kehidupan saya memang sibuk dengan keluarga, lakonan dan syarikat, jadi memang saya mahukan yang terbaik untuk diri sendiri selain dapat berkongsi kebaikan setiap jenama yang saya bawa," katanya.

Terkini, Rosyam bergelar duta kepada produk anti penuaan Luxone, yang dihasilkan menerusi minyak argan daripada buah argania spinosa khusus untuk penjagaan kulit, rambut dan kuku dengan 100 peratus asli dari organik Argania Spinosa, pati minyak dari Morocco.

Kata Rosyam lagi, dia didatangi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Luxone International, Syafiq Yusof yang juga pengarah filem KL Special Force untuk mencuba dan ternyata memberi kesan positif.

Sementara itu, Syafiq mahu berkongsi kebaikan Luxone selepas melihat isterinya menggunakan produk berkenaan yang mencantikkan kulit, rambut dan kukunya.

“Melihat kepada keberkesanan produk ini, akhirnya timbul idea untuk memasarkannya di Malaysia bersama beberapa rakan lain,” ujarnya.

- Sumber: SH Online | 24 April 2017

Rangka wanita zaman neolitik dijumpai di Guar Kepah

Gambar hiasan

KEPALA BATAS - Penemuan terbaru rangka dipercayai milik manusia purba berusia 5,000 hingga 6,000 tahun di tapak pembinaan arkeologi Guar Kepah, di sini pada Isnin lepas berkemungkinan seorang wanita.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata ini berdasarkan penelitian awal pihaknya pada rangka yang dijumpai dikebumikan dalam timbunan kerang itu.

"Berdasarkan keadaan giginya, rangka itu dipercayai wanita tetapi kami perlu melakukan kajian bagi mengesahkan jantina, umur, sebab kematian dan genetiknya," katanya kepada pemberita di tapak itu di sini hari ini.

Rangka itu ditemukan ketika kontraktor dan pihak PPAG sedang menggali tanah untuk meletakkan batu asas bagi pembinaan galeri arkeologi Guar Kepah Isnin lepas dan penemuan berkenaan menyebabkan kerja pembinaan galeri itu dihentikan serta-merta dan kerja penggalian di tapak tersebut untuk mencari artifak yang dijumpai bersama-sama rangka itu diteruskan.

Beliau berkata penemuan rangka itu juga membuktikan wujud manusia prasejarah Neolitik di Semenanjung Malaysia ketika itu dan pihaknya percaya ia merupakan satu-satunya rangka manusia zaman itu yang dijumpai ditanam mengikut adat masyarakat purba dengan menggunakan tembikar, kulit kerang serta kepah.

"Rangka daripada bahagian pinggul hingga kepala itu ditemukan dalam keadaan sempurna dan ia tertanam dalam timbunan kerang yang dipercayai menjadi budaya masyarakat pada zaman itu. Bahagian kaki pula terkena jengkaut ketika kerja penggalian dijalankan.

"Kami temukan rangka itu dalam keadaan mengiring di sebelah kanan dan tangannya diletakkan pada dada, selain ditimbus dengan kerang, terdapat juga tembikar dan alat peralatan memburu yang diperbuat daripada batu bersama rangka tersebut," katanya.

Mokhtar yang juga ahli arkeologi berkata penemuan itu sudah lama dinantikan kerana galeri itu, apabila siap nanti, bukan sahaja mempamerkan objek dan peralatan yang pernah digunakan pada zaman Neolitik, tetapi juga akan menempatkan rangka manusia yang hidup pada zaman itu.

"Ini satu penemuan penting yang memberikan kita gambaran bagaimana kehidupan manusia pada zaman itu. Kami juga menemukan tujuh jenis kulit kerang, rangka babi dan rusa yang mana ia memberitahu kita tentang diet pemakanan mereka. Sekarang kami ada rangka manusia, penemuan itu sudah lengkap," katanya.

Katanya sebaik saja rangka yang dijumpai di kawasan pasir pada aras laut iaitu lapisan budaya paling bawah itu berjaya digali dan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu, ia akan dihantar ke USM bagi ujian saintifik dan analisis.

Mokhtar berkata rangka manusia itu berada di bahagian paling bawah di tapak berkenaan kerana bahagian atas sudah dialihkan ketika ahli arkeologi British pertama kali menemukan rangka di situ pada 1860.

"Kawasan tamadun awal itu telah ditemukan oleh pengkaji British pada tahun 1860 lagi dan sebanyak sembilan rangka telah dijumpai serta ia disimpan di Leiden, Belanda bagi tujuan kajian.

"Kajian semula dilakukan oleh USM sejak 2010 dan kami telah mengesyorkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang agar membina sebuah galeri arkeologi di kawasan itu memandangkan ia suatu tapak penting dalam peta arkeologi dunia," katanya.

Katanya manusia pada zaman prasejarah Neolitik mengamalkan kehidupan sebagai nelayan dengan memakan makanan laut selain memburu berdasarkan penemuan-penemuan berkenaan.

Beliau berkata kerajaan negeri memberikan tapak di Guar Kepah seluas kira-kira satu hektar dan RM830,000 untuk projek pembinaan galeri itu dan ia dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun ini serta galeri tersebut akan memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat artifak sejarah di kawasan berkenaan.

Guar Kepah, yang lebih tua daripada Lembah Bujang dan Sungai Batu, Kedah satu-satunya lokasi di Semenanjung Malaysia yang menunjukkan bukti penempatan manusia zaman dulu yang dekat dengan kehidupan laut. 

- Sumber: Bernama | 24 April 2017

Petronas dealers free to offer discounts on fuel prices


According to a report by The Star, Petronas will allow its dealers to lower fuel prices at their pumps below the weekly ceiling price set by the government. However, it stressed that dealers looking to do so must seek the approval of the domestic trade, cooperatives and consumerism ministry (KPDNKK), and discuss such a move with Petronas Dagangan (PetDag) beforehand.

“If dealers decide to sell at a lower price, they are responsible for their margins and not us. It is all tied up with sales volumes and margins,” said Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus, PetDag managing director and CEO. He added that the price-setting mechanism does not impact PetDag’s earnings.

“Last year, we cut our inventory day to four to five days from six a year earlier. We are looking to cut our inventory days further, especially with higher volatility in world crude oil recently,” PetDag chairman Md Arif Mahmood chimed in.

“It is not a new mechanism that is giving us more money. It is still under the same managed float system. The only difference is that this is just a shorter timeline and is better when it comes to managing the volatility of global crude prices,” he explained.

The weekly fuel price announcements began three weeks ago, and fuel retailers are currently not allowed to offer discounts on fuel, and must follow the retail price set by KPDNKK. As of now, RON 95 is priced at RM 2.27 per litre; RON 97 at RM2.54 per litre; Euro 2M diesel at RM2.21 per litre; and Euro 5 diesel at RM2.31 per litre.

- Source: paultan.org

Album terbaik Dayang Nurfaizah


LEBIH 20 tahun lalu, Dayang Nurfaizah, ‘mengetuk’ pintu industri seni Malaysia selepas menyertai program nyanyian Golden Teen Search pada 1996.

Sejak itu, bermulalah perjalanan pemilik nama lengkap Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini dalam arena seni suara Malaysia dan gigih memperjuangkan muzik genre pop R&B yang kini sinonim dengan dirinya.

Ibarat mengimbas kembali memori saatnya yang baru berjinak-jinak di dalam dunia seni, album terbaru Dayang, yang turut menggunakan nama komersialnya itu sebagai tajuk mengakui, album itu mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Akui Dayang, Dayang Nurfaizah adalah album terbaik yang pernah dihasilkannya setakat ini.

“Dari segi pemilihan lagu, memang dilakukan secara terperinci. Rasanya saya sudah jumpa apa yang diinginkan dan dizahirkan menerusi Dayang Nurfaizah. Di dalam album terdahulu pun, saya sudah cuba macam-macam. Jadi sepanjang proses tersebut, akhirnya saya tahu apa yang terbaik.



“Jadi kali ini, memang berbaloi selepas enam tahun sunyi daripada sebarang album baru. Malah, sejak dua tiga tahun lalu kami sepakat mencari lagu dan untuk album ini, saya selesai merakam lagu terakhir tahun lalu,” katanya kepada Media Hiburan.

Tambah Dayang, dia juga berpuas hati kerana selain dapat memilih lagu terbaik khusus untuk peminat, dia juga berpeluang bekerjasama dengan komposer lama yang begitu dekat dengan dirinya.

“Untuk kali ini, saya berpeluang bekerja kembali dengan Ajai yang sebelum ini pernah memberikan lagunya, Seandainya Masih Ada Cinta.

“Begitu juga dengan Aubrey Suwito. Rasanya selepas15 tahun, inilah kali kedua kami dapat bekerjasama semula,” ujar Dayang lagi.

Reaksi positif peminat, teman media

Penghibur berusia 35 tahun yang berasal dari Kuching, Sarawak ini turut memberi penghargaan kepada peminat yang selama ini sentiasa menyokong perjalanan kerjaya seninya.

“Tiada makna semua ini andai tidak ada support mereka. Jadi saya dedikasikan Dayang Nurfaizah buat mereka yang mahukan hasil terbaik dari saya. Malah, bila album ini keluar, saya mendapat semangat kerana reaksi positif yang diterima.

“Rakan media juga memuji Dayang Nurfaizah dan pastinya saya gembira. Harapnya sokongan ini akan berterusan sampai bila-bila, Insya-ALLAH,” sambung Dayang.

Dayang sempat berkongsi rasionalnya kulit album kali ini yang dilakukan secara hitam putih iaitu satu simbolik kepada barisan lagu yang terkandung di dalam album tersebut.

“Memandangkan semua lagunya adalah balada, jadi saya mahu lagu-lagunya juga timeless, sama seperti konsep muka depannya.

“Kata orang, gambar hitam putih itu menggambarkan memori tersendiri. Biarlah orang tengok cover album itu dalam 10 tahun yang akan datang pun, ia masih kekal relevan,” kata Dayang yang tahu peminatnya lebih gemar andai dia menyanyikan lagu balada berbanding genre lain.

Berdebar buat persembahan

Ditanya harapannya terhadap showcase album terbarunya pula, Dayang yang anggun mengenakan persalinan daripada pereka terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim memberitahu, secara jujur dia berdebar.

“Ini kali pertama saya akan nyanyikan semua lagu dalam album terbaru. Lengkap dengan iringan live band," katanya.

Pada sesi showcase yang berlangsung di Malaysia Tourism Centre (Matic), Kuala Lumpur tepat jam 9 malam itu, Dayang mempersembahkan beberapa lagu yang menaikkan namanya di dalam industri seni seperti Hakikat Cinta, Sedingin Mana Cintamu dan Pintaku Yang Terakhir.

Usai persembahan Dayang, peminat berpeluang bertemu secara eksklusif pada sesi ramah mesra bersama penyanyi itu.

- Sumber: SH Online | 24 April 2017

Budak 12 tahun memandu 1,300 km cuba rentas Australia

Broken Hill - Foto Getty Images

NEW SOUTH WALES - AUSTRALIA. Cubaan seorang kanak-kanak 12 tahun yang cuba memandu kereta merentasi Australia gagal selepas diberhentikan oleh polis di 1,300km penjelajahanya.

Kanak-kanak itu ditahan di Broken Hill di pendalaman New South Wales pada Sabtu selepas kereta peronda polis menyedari belakang kereta itu terseret ke jalan.

Polis berkata, kanak-kanak itu cuba memandu 4,000 km dari Kendall di NSW ke Pert, Australia Barat. Kanak-kanak itu ditahan dan dibawa ke balai polis Broken Hills.

Ibu bapanya yang sebelum ini melaporkan kehilangan kanak-kanak itu mengambilnya di balai polis pada Ahad.

"Dia mengambil kereta keluarga," Detektif Inspektor Kim Fehon memberitahu Associated Press Australia.

"Ibu bapanya melaporkan kehilangan selepas dia meninggalkan rumah." katanya.

Bagaimanapun tidak jelas bagaimana kanak-kanak itu melakukan pemanduan di seluruh New South Wales dan melalui rupa bumi yang jauh tanpa disedari.

Jurucakap Polis NSW memberitahu BBC kanak-kanak itu berkemungkinan boleh menghadapi tuduhan di bawah Akta Pesalah Muda.

- Sumber: SH Online | 24 April 2017