Friday, 18 October 2013

'Pretty Ugly' belum tenggelam

Pretty Ugly belum 'terkubur'


PASANG surut populariti adalah lumrah dalam dunia seni. Selepas menamatkan kontrak bersama KRU Records pada 2007, nama Pretty Ugly semakin tenggelam.

Bangkit meneruskan perjuangan, Pretty Ugly yang dianggotai oleh empat anak muda berjiwa besar iaitu Raizan Zainal Abidin (Neves) yang bertindak sebagai vokalis, Nik Muhd Histami Nik Mohd Din (Net) sebagai pemain dram, Mohd Raziz Zainal Abidin (Jay) pemain gitar dan Mohd Fariz Ahmad Shamsuddin (Eez) sebagai pemain bass, kembali dengan taruhan terbaru single #1 (disebut No.1) hasil kolaborasi bersama Altimet.

“Lagu ini diterbitkan terlebih dulu bagi mencuba kehendak pasaran. Malah, sejak dilancarkan, lagu ini sentiasa mendapat perhatian dalam carta radio tempatan.

“Ia juga turut dimuat naik di laman Youtube dan iTunes sejak Mei lalu. Alhamdulillah, kami mendapat maklum balas yang sangat baik daripada peminat,” kata Neves, selaku ketua kumpulan Pretty Ugly.

Kata Neves lagi, lagu #1 ciptaannya adalah berdasarkan pergolakan politik negara dengan misi mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bersatu padu tanpa mengira fahaman dan politik masing-masing.

Tambahnya, lagu itu juga bertepatan dengan musim Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

“Lagu ini dicipta khas untuk menyuntik semangat cintakan tanah air tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan politik memandangkan kini masyarakat semakin berpecah belah akibat kehadiran pilihan raya.

“Lagu ini bersifat patriotik. Menerusi lirik dalam lagi ini, kita juga ada mempromosi tempat-tempat menarik di Malaysia. Macam mana tinggi pun kita sanjung negara orang, hati kita tetap di Malaysia.

Cintailah tanah air kita. Itu yang saya cuba sampaikan,” jelasnya yang turut mengakui keserasian bersama Altimet.


Cuba tampil kelainan

Masih lagi menyanyikan lagu sendiri, Pretty Ugly sememangnya kumpulan muzik tempatan yang berbakat besar. Bukan setakat menyanyi, ahli kumpulan itu turut terlibat dalam penciptaan lagu.

“Idea itu datang secara merata-rata. Tidak kiralah di mana sahaja. Waima dalam tandas sekali pun. Misalnya, jika jika nak buat lagu, kalau kita dah dapat melodi, kita akan terus rekod.

“Bila dah ada rangka untuk lirik, kami akan ‘berkurung’ dalam studio dan kita susun semula,” katanya yang pernah mencipta lagu untuk artis tempatan lain seperti Siti Sarah, Anita Sarawak dan terbaru Ferok dari Mystarz LG.

Kata Neves, sebagai artis dan komposer, dia cuba menampilkan kelainan dalam setiap karya dan terserah pada orang ramai untuk menilainya.


Jelajah seluruh negara

Dalam perkembangan lain, Pretty Ugly yang kini bernaung di bawah Universal Music Malaysia (Universal) akan terlibat dalam siri jelajah ke seluruh negara bagi mempromosikan lagi single #1.

Siri jelajah itu akan dilakukan di beberapa universiti terpilih di seluruh negara. Selain Pretty Ugly, artis lain yang terlibat ialah Faizal Tahir.

“Siri jelajah ini akan dimulakan pada 27 Oktober ini dengan penglibatan universiti pertama adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dalam pada itu, Pretty Ugly yang pernah menjadi finalis bagi Anugerah Juara lagu ke-21 menerusi lagu Diari Seorang Lelaki, selain dicalonkan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) bagi kategori Artis baru Terbaik dan Album Rock Terbaik tetap mempunyai impian untuk terus maju dalam dunia seni.


Sumber

No comments:

Post a Comment