Mohd Azam dibawa keluar dari mahkamah
Naluri seorang ibu tidak dapat mengawal perasaannya, lalu menitiskan air mata selepas mahkamah tinggi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas anaknya kerana membunuh seorang warga emas, tiga tahun lalu.
Sejurus selesai prosiding mahkamah, Mohd Azam Raja Abdullah,42, dibawa keluar dari kandang tertuduh kelihatan memeluk dan mencium ibu bapanya yang berada di dalam mahkamah.
Suasana hiba menyelubungi ketiga-tiganya selama beberapa minit sebelum anggota polis pengiring membawa Mohd Azam keluar.
Sebelum itu, Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Azam selepas meneliti hujahan yang difailkan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan, di akhir kes pembelaan.
"Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pendakwaan, "katanya.
Mengikut pertuduhan, bekas pengawal keselamatan dituduh membunuh Soh Lian Thye, 76, selepas memecah masuk rumah kedai, di Jalan Gurdwara dan mencuri tiga barang kemas bernilai RM100 hingga RM200.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 5 pagi hingga 9 pagi, 2 Mac 2010.
Mohd Azam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Tahun lalu, lelaki itu didakwa memecah masuk dan mencuri rumah kedai berkenaan. Dia dikenakan hukuman penjara 14 tahun dan 16 sebatan yang mengaku bersalah.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan ke mahkamah rayuan dan Mohd Azam diperintah membela diri atas tuduhan membunuh.
Dalam penghakiman ringkas hari ini, Zamani berkata pihak pembelaan gagal memberi keterangan yang konsisten mengenai kecederaan yang dialami mangsa.
"Malah, Mohd Azam memilih memberi keterangan secara bersumpah gagal memberi penjelasan munasabah
"Keterangan Mohd Azam mendakwa hanya memukul si mati hanya satu kali adalah satu keterangan yang tidak konsisten dengan kecederaan yang dialami.
"Pakar Perunding Patologi Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh mengatakan si mati mengalami kecederaan kepala yang parah akibat dipukul dengan objek tumpul dan peluang untuk hidup adalah minimum," katanya.
Dalam pada itu, Zamani berkata keterangan pakar perunding patologi menyatakan kecedaraan yang dialami oleh si mati akibat daya pukul Mohd Azam lebih daripada satu pukulan.
"Ini dengan jelas menunjukkan Mohd Azam mempunyai niat sengaja menyebabkan kematian ke atas si mati. Walaupun, dia menafikan tiada niat untuk membunuh si mati dan menyatakan dia boleh melarikan diri tanpa memukul kepala si mati," katanya.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amir Hamzah Othman manakala Mohd Azam diwakili peguam P Latsmanan dan K Thangesvaran.
Sumber