Thursday, 31 October 2013

Dipenjara lebih tempoh: Bekas CEO dapat RM322,000

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi memerintahkan pihak penjara dan dua lagi membayar pampasan berjumlah RM322,000 kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan BSN Bhd kerana cuai sehingga menyebabkan dia dipenjara melebihi tempoh.

Hakim Hadhariah Syed Ismail juga memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM15,000 dan faedah pada kadar lima peratus daripada jumlah pampasan mulai tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh kepada Ahmad Skhri Ramli.

Ahmad Skhri menamakan Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar, Pengarah Penjara Kajang Datuk Al Zafry Mohamed Nassif, Pengarah Penjara Bentong Mohd Sakeri Dollah, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam penghakimannya, Hadhariah berkata pegawai di bawah seliaan defendan didapati cuai kerana tidak mempedulikan aduan plaintif semasa di penjara bahawa dia sudah melunaskan sebahagian daripada denda yang dikenakan ke atasnya.

Beliau berkata jika saksi defendan tidak mempercayai aduan plaintif kerana tiada resit pembayaran, mereka boleh menghubungi mahkamah bagi mendapatkan pengesahan.

Selain itu, Hadhariah berkata pihak penjara perlu memastikan tempoh pemenjaraan ke atas banduan adalah betul dan tidak boleh terkurang atau terlebih.

Penyataan tuntutan menyebut Ahmad Shkri dihantar ke Penjara Kajang pada 4 Ogos 2009 selepas gagal membayar denda berjumlah RM300,000 bagi dua pertuduhan terlibat dalam urusan jualan singkat.

Pada 21 Disember 2006, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengenakan denda RM150,000 atau penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Ahmad Skhri mengikut Seksyen 41(2) Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

Dia kemudian membayar denda itu secara ansuran berjumlah RM220,000 dari 24 Oktober 2007 hingga 4 Februari 2008.

Bagaimanapun, pada 4 Ogos 2009, rayuannya ditolak Mahkamah Tinggi dan Ahmad Skhri dihantar ke Penjara Kajang pada hari yang sama kerana gagal membayar denda berkenaan sepenuhnya.

Plaintif dijadual menjalani hukuman penjara selama setahun dan akan dibebaskan pada 3 Ogos 2010.

Dia kemudian dipindah ke Penjara Bentong pada 4 Disember 2009 dan dibebaskan pada 18 Februari 2010 selepas pihak penjara menyedari plaintif sudah menjelaskan sebahagian daripada denda menerusi peguamnya.

Tuntutan Ahmad Shkri mendakwa, jika diambil kira wang denda yang sudah dibayarnya, tempoh dia sepatutnya dipenjara ialah dua bulan tujuh hari sahaja dan bukan enam bulan 15 hari seperti yang terpaksa dijalani.

Saman yang difail Tetuan Law Practice of Rafique pada 15 Februari lepas itu, antara lain, menuntut ganti rugi am dan khas, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta wang denda yang dibayar plaintif kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikembalikan.

Ahmad Skhri, ketika ditemui di luar mahkamah, berkata dia gembira dengan keputusan mahkamah setelah terpaksa meringkuk dalam penjara melebihi tempoh yang sepatutnya.

Dia kini bekerja sebagai perunding sambilan dengan sebuah syarikat kontraktor.

Plaintif diwakili peguam Muhamad Rafique Rashid Ali manakala Peguam Kanan Persekutuan Hani Aziza Ismail mewakili kesemua defendan.

BERNAMA

Peragawati era 90-an, Heidi Hamid meninggal akibat barah

Peragawati era 90-an meninggal akibat barah

Peragawati terkenal lewat 90-an, Heidi Hamid, 40, dilaporkan telah meninggal dunia akibat penyakit barah.

Beliau yang menetap di Denmark dikatakan telah menghembuskan nafas terakhirnya di sana hari Khamis.

Beberapa rakan dan personaliti yang mengenalinya turut merakamkan ucapan takziah di laman sosial Twitter.



 


Rakan seperjuangan Heidi, model Betty Anne yang juga merupakan rakan baiknya menyatakan rasa terkejut apabila mengetahui berita tersebut.

"Sepanjang mengenali Heidi, dia seorang yang baik hati dan tidak banyak bercakap.

"Kami kenal ketika sama-sama membuat peragaan untuk Avon dulu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Heidi atau nama sebenarnya Heidi Sode Hamid pernah menjadi jurucakap pusat perlangsingan Mayfair Bodyline.

Beliau juga pernah memenangi gelaran Miss Malaysia Wonderland pada tahun 1990.

Astro Awani

Kelantan cuti 4 Nov sempena final Piala Malaysia

Piala Malaysia 2013

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengumumkan cuti peristiwa pada 4 November sempena perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Kelantan dan Pahang, di Stadium Shah Alam, pada Ahad.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Dr Zainuddin Ibrahim berkata pekeliling mengenai cuti berkenaan akan dikeluarkan, esok.

"Cuti peristiwa ini diputuskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob hari ini.

"Ia sebagai memberikan kemudahan kepada rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat bola sepak untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di Shah Alam, Selangor," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dr Zainuddin berkata ia juga sebagai memberikan kemudahan kepada penjawat awam untuk merancang aktiviti bersama keluarga sempena cuti yang agak panjang, bermula Jumaat.

"Kepada peminat-peminat TRW (The Red Warriors), diharapkan dapat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan kesayangan rakyat Kelantan ini. Jagalah adab-adab kesukanan dan jangan tinggalkan solat," katanya.

Perlawanan akhir itu akan diadakan di Stadium Shah Alam pada pukul 8.45 malam.

BERNAMA

Pengawal keselamatan guna kad pengenalan palsu rompak kedai emas

Pengawal keselamatan guna kad pengenalan palsu rompak kedai emas

SETAPAK:  Seorang pegawal keselamatan yang memiliki senjata api merompak sebuah kedai emas di KL Festival City Mall, berhampiran Setapak pagi tadi.

Rompakan berlaku sekitar jam 9 pagi dan sumber polis mengesahkan suspek merupakan rakyat Sabah yang menggunakan kad pengenalan palsu.

Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Asisten Komisioner, Khairi Ahrasa mengesahkan kejadian berkenaan.

Bagaimanapun menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Zakaria Pagan, tiada kecederaan dilaporkan.

Menurutnya, suspek merupakan pengawal keselamatan peribadi pemilik kedai emas berkenaan.

Pada 24 Oktober lalu, negara digemparkan apabila seorang pengawal keselamatan menembak mati seorang pegawai bank, Norazita Abu Talib, 37, selepas mangsa membuka bilik kebal Ambank di Subang Jaya.

Pengawal itu turut melarikan kira-kira RM450,000.

Polis kemudiannya melancarkan gerakan memburu pengawal itu dan menahan beberapa suspek untuk membantu siasatan.


- ASTRO Awani

10,000 tiket habis dijual dalam masa 90 minit di Kelantan

10,000 tiket habis dijual dalam masa 90 minit di Kelantan

Sebanyak 10,000 tiket daripada 30,500 tiket final Piala Malaysia yang diperuntukkan kepada Kelantan habis dijual dalam tempoh 90 minit di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada hari Rabu.

Hampir 5,000 penyokong fanatik pasukan 'The Red Warriors' mula beratur di stadium berkenaan sejak pukul 6.30 pagi walaupun lapan kaunter menjual tiket hanya mula dibuka pukul 3 petang.

Kelantan, selaku juara bertahan, akan menentang Pahang pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Tinjauan Bernama di perkarangan stadium mendapati peminat sanggup menahan lapar dan dahaga serta berpanas semata-mata untuk mendapatkan tiket yang dijual maksimum empat keping bagi setiap seorang.

Lima belas minit selepas kaunter dibuka, keadaan mula kecoh apabila pagar yang dipasang untuk keselamatan, tiba-tiba roboh disebabkan asakan penyokong yang saling menolak antara satu sama lain sehingga menyebabkan segelintir daripada mereka cedera ringan akibat terjatuh.

Bagaimanapun, seramai 73 pegawai dan anggota polis yang mula bertugas sejak pukul 12 tengah hari, berjaya mengawal keadaan.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Datuk Wan Ismail Md Noor berkata hanya 10,000 tiket dijual di kaunter stadium manakala 20,500 tiket dijual secara pukal kepada penyokong yang mengikuti rombongan yang menaiki bas ke Stadium Shah Alam.

Beliau berkata penjualan tiket di stadium itu turut dipantau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengelak sebarang unsur penipuan.

Seorang penyokong, Zahari Ibrahim, 56, dari Tendong, Pasir Mas berkata beliau mula beratur sejak pukul 8 pagi tadi dan tidak sempat makan semata-mata mahu membeli empat keping tiket untuk beliau dan anak-anaknya.

Beliau, yang terpaksa dipapah keluar oleh anggota keselamatan kerana hampir pengsan selepas berasak membeli tiket tersebut, berkata penantiannya selama tujuh jam itu berbaloi kerana berjaya mendapatkan tiket.

"Saya akan bertolak ke Shah Alam, Jumaat ini dengan anak-anak. Saya selalu pergi menonton di stadium setiap kali Kelantan berjaya melangkah ke final," katanya.

Seorang penyokong, Roslina Mamat, 45, dari Bukit Marak, Bachok, berkata beliau tidak puas hati dengan kaedah penjualan tiket kerana terpaksa beratur terlalu lama semata-mata untuk mendapatkan tiket.

Roslina, yang beratur hampir empat jam, berkata KAFA seharusnya mengagihkan tiket tersebut ke setiap daerah bagi memudahkan orang ramai membeli tiket di tempat masing-masing.



BERNAMA

Pemuda didakwa bunuh remaja perempuan

PETALING JAYA - Seorang penyelenggara bangunan hari ini menghadapi pertuduhan membunuh remaja perempuan berusia 15 tahun yang juga kenalan Internetnya, minggu lepas.

Poon Wai Hong, 23, didakwa membunuh Ng Yuk Tim di rumah bernombor 665, Jalan PJU 1/4F, Kampung Cempaka, Kelana Jaya di sini antara pukul 3 petang dan 4 petang, 21 Oktober lepas.

Dia didakwa di Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Poon hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah menetapkan 6 Disember untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat manakala tertuduh diwakili peguam Datuk S. Suraj.

Turut hadir peguam pemerhati bagi keluarga mangsa, Datuk R.S. Sodhi dan ibu mangsa, Sam Yi Ling, 35.

Media sebelum ini melaporkan mayat remaja itu ditemui di dalam beg pakaian di Jalan Kebun Nenas, Klang, pada 22 Oktober.

BERNAMA

Mizz Nina kini berhijab

 Mizz Nina
Mizz Nina

PENYANYI, Mizz Nina dikatakan sudah mengenakan hijab sekembalinya daripada menunaikan haji bersama suaminya, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, Jumaat lalu.

Perkara itu disahkan pegawai perhubungan awamnya, Joe Saiful kepada Mstar Online.

Namun, Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman masih belum bersedia untuk bertemu atau menjawab sebarang persoalan media mengenai perubahan imejnya itu.

"Buat masa ini, Nina masih lagi belum bersedia bertemu media untuk bercakap tentang imej barunya itu.

"Tetapi dia telah mengesahkan pada saya bahawa buat masa ini dia memang sudah pun bertudung," katanya.

Tambah Joe, Nina memerlukan sedikit masa untuk tampil kepada media serta khalayak dengan imej yang bersesuaian.

"Nina seorang yang sangat peka dengan imejnya sebagai selebriti dan apabila sudah berhijab, Nina sedang mencari imej yang bersesuaian sebelum tampil di khalayak.

"Dalam pada itu, banyak juga perubahan yang harus dilakukan dalam karier muziknya. Sebab itu dia perlukan masa. Diharap semua pihak dapat memahami situasinya," kata Joe

Sinar Harian

Rogol, rompak pembantu rumah

Rogol, rompak pembantu rumah
Muhammad Faiz didakwa di mahkamah sesyen, semalam atas tuduhan merogol dan merompak seorang pembantu rumah warga Indonesia.


KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda dihadapkan di mahkamah sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang pembantu rumah warga Indonesia, Oktober lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Faiz Azumar Ammin Mohd Noor, 27, dari Dungun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan kerana merogol yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa berusia 38 tahun di sebuah rumah di Jalan Balai Besar, Dungun, kira-kira jam 5 pagi, pada 12 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Faiz Azumar Ammin berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, Wan Fadhilah Nor menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah turut membenarkan Muhammad Faiz Azumar Ammin diikat jamin RM14,000 dengan syarat dia tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi-saksi bagi kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.

Sementara itu, di mahkamah sesyen berasingan, Muhammad Faiz Azumar Ammin turut mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas tuduhan merompak mangsa dengan melarikan seutas rantai dan gelang tangan emas serta dua telefon bimbit jenama Nokia dengan kerugian dianggarkan bernilai RM3,000.

Dia didakwa merompak mangsa menggunakan senjata iaitu sebilah parang di alamat, waktu dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Faiz Azumar Ammin didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, Hakim Azlam Zainuddin menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap dirinya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud@ Mamat.

Sebelum ini, akhbar keluaran 19 Oktober lalu ada melaporkan seorang pembantu rumah berdepan detik hitam apabila bukan saja disamun tetapi turut dirogol dalam keadaan tangan dan mulut disumbat dengan kain, dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Balai Besar, Dungun.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang bersendirian di rumah berkenaan sedang tidur di dalam biliknya sebelum didatangi suspek yang juga menantu kepada majikannya. Difahamkan, suspek ketika itu turut membawa sebilah parang.

Sinar Harian

Suprima S kini di Indonesia

Proton Suprima S
Proton Suprima S

KUALA LUMPUR - PROTON Holdings Bhd (Proton) melancarkan Proton Suprima S di Indonesia, menjadikan kemasukan pertama model 'hatchback' dalam pasaran eksport sejak dilancarkan di Malaysia pada Ogos.

Pelancaran Proton Suprima S dibuat dalam tempoh empat bulan selepas Proton Preve diperkenal di Indonesia.

Ketua Pegawai Operasi Proton (Komersil) Hisham Othman dalam satu kenyataan menyebut Proton berharap Suprima S dapat menawan hari peminat kereta di republik itu.

"Proton terus komited untuk memenuhi permintaan pelanggan dan akan terus mengeluarkan pelbagai produk yang menjadikan pemanduan menarik dan memuaskan.

"Yang lebih penting, kereta yang selamat, berkualiti tinggi dan berbaloi."

Proton Suprima S dilengkapi standard keselamatan tertinggi, selain memperoleh penarafan 5 Bintang ANCAP.

BERNAMA

Bola punya pasal, sanggup tunggu 4 jam!

Sanggup tunggu 4 jam
Maimah (kiri) Norhayati dan Ahmad Mustamar dari Jengka menunjukkan kupon tiket yang perlu ditebus untuk mendapatkan tiket asal perlawanan Pahang menentang Kelantan, Ahad ini.


TEMERLOH – Seorang warga emas dari Jengka 24, Maran sanggup beratur panjang selama empat jam seawal 7.30 pagi semalam untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang yang berlangsung Ahad ini.

Maimah Mohd Sam, 57, isteri kepada peneroka Jengka 24, bersama anak Norhayati Abdul Manaf, 29, dan menantu Ahmad Mustaar Wahab, 48, tiba di Temerloh kira-kira jam 7.30 pagi dan ketika itu orang ramai sudah mula memenuhi pekarangan stadium.

Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk membeli tiket di Temerloh selepas mendapat tahu di daerah ini ada menjual tiket tersebut secara terbuka.

“Kami bertolak awal pagi dari Jengka dengan menaiki kereta semata-mata nak dapatkan tiket perlawanan akhir ini. Kami sememangnya penyokong setia Pahang.

“Ini bukan kali pertama, malah kami kerap menonton di stadium Darul Makmur setiap kali perlawanan membabitkan Pahang di peringkat kumpulan lagi,” katanya.

Sementara itu Norhayati berkata, semangat ditunjukkan ibunya membuatkan dia dan suami begitu teruja untuk menyaksikan perlawanan akhir kali ini.

“Masa kami beratur pagi tadi (semalam) sudah lebih 50 orang yang datang awal, tetapi kami tetap semangat. Hari ini kami beratur empat jam untuk mendapatkan tiket dan berharap Pahang menang kali ini,” katanya.

Sementara Ahmad Mustamar berkata, dia yakin dengan sokongan padu penonton kali ini Pahang akan menang di Shah Alam dengan keputusan 2-1.

Sementara itu penyokong dari Felda Mayam, Bera, Kamarul Zaman Abdul Karim, 25, yang merupakan penyokong terawal sampai di situ berkata, dia beratur sejak jam 6.30 pagi lagi.

Menurutnya, dia bertolak dari rumah bersama empat rakannya jam 5 pagi dengan menaiki kereta dan tiba di Temerloh jam 6.30 dan terus beratur.

“Kami yang pertama tiba di sini dan dapat kupon untuk ditebus pada hari ini (semalam),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sinar Harian

20 GRO Vietnam diberkas

20 GRO Vietnam diberkas
Antara wanita Vietnam yang ditahan dalam Ops Cantas Khas, semalam.

KLANG – Seramai 20 wanita warga Vietnam disyaki bekerja sebagai GRO diberkas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dalam Ops Cantas Khas di pusat hiburan Lebuh Gopeng, semalam.

Pegawai Turus Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, serbuan pada jam 11.30 malam itu turut menahan seorang lelaki tempatan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen, Seksyen 55 B Peraturan Imigresen dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen atas kesalahan tiada dokumen perjalanan dan langgar syarat lawatan," katanya.

Menurutnya, kesemua GRO ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati premis yang dimiliki oleh warga tempatan itu mempunyai lesen perniagaan sah yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK).

"Operasi ini gabungan Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil,” katanya.


Sinar Harian

'Diberi betis, hendak paha'

Zainal Abidin Sakom
Zainal Abidin Sakom


SHAH ALAM - "Mereka benar-benar melampau, ibarat diberi betis, hendak paha!”

Demikian komen Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom berhubung beberapa isu yang dibangkitkan dalam Semakan Berkala Universal (UPR) termasuk tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) mengenai prestasi hak asasi negara seliaan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland.

Zainal Abidin berkata, tuntutan Comango dilihat tidak mempunyai diplomasi, berbanding layanan yang diberikan kepada mereka.

“Kita melayan mereka (Comango) sebagai manusia dan memberikan ruang kepada agama mereka supaya boleh dianuti dan diamalkan secara bebas serta aman di bawah undang-undang Malaysia.

“Sedangkan, orang Islam di Malaysia ialah majoriti. Kalau Islam majoriti, maka kumpulan minoriti yang mendapat kebebasan beragama tidak sepatutnya membuat tuntutan melampaui batas sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, tuntutan Comango itu bercanggah dengan Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

“Oleh kerana Islam agama rasmi, maka tuntutan membenarkan seks bebas, meminta kerajaan hapuskan undang-undang jenayah liwat, membenarkan lelaki kahwin dengan lelaki dan perempuan berkahwin dengan perempuan itu sangat dahsyat,” katanya.

Merujuk kepada kes Universiti Merdeka lawan Kerajaan Malaysia dalam isu sebelum ini, kata Zainal Abidin, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Eusoffe Abdoolcader memutuskan kedaulatan undang-undang negara mengatasi pengisytiharan antarabangsa.

“Dalam kes yang lain, mahkamah putuskan bahawa pengisytiharan hak asasi manusia yang dibuat di PBB bukan berbentuk perjanjian atau tidak boleh mengatasi kedaulatan sesebuah negara,” katanya.

Justeru, Zainal Abidin berharap supaya wakil kerajaan memberikan jawapan yang tegas terhadap semua usul UPR termasuk tuntutan Comango yang dijadualkan akan berlangsung hari ini.

“Kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dapat mandat besar daripada orang Islam. Jadi peganglah kuasa yang diberikan untuk menjaga perlembagaan dan agama Islam.

“Yang di-Pertuan Agong juga ketika mengangkat sumpah, baginda bersumpah akan menjaga agama Islam,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

GST: Pengguna mula belek resit

Artikel ini adalah pendapat penulis Sinar Harian semata-mata. Saya tidak nampak fakta dan ulasan kewangan dan perakaunan yang membawa kepada kesimpulan yang beliau buat. Tetapi kalau sekadar buat baca an di masa lapang, kira ok lah.

Not very convincing!

GST

BAHANG cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semakin terasa meskipun pelaksanaannya setahun lebih daripada sekarang.

Jika sebelum ini resit-resit pembelian barangan dan makanan terus disimpan di dalam dompet ataupun sekadar direnyuk dan kemudiannya dicampak ke dalam tong sampah tetapi kini, selain jumlah baki wang yang dipulangkan, resit turut dibelek pengguna.

Penulis juga tidak terkecuali mula membelek setiap resit pembelian barang dan makanan yang diterima sejak akhir-akhir ini.

Bukan senarai atau harga barangan yang diteliti tapi mata penulis terus mencari perkataan ‘tax’ ataupun GST.

Manalah tahu GST itu sudah mula dilaksanakan sebelum tarikh rasminya kan?

Ada resit yang mencatatkan caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus, ada juga cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus dan ada juga resit yang sudah siap sedia dengan ruangan GST tetapi kadarnya masih sifar peratus.

Penulis beranggapan itu mungkin persiapan awal pihak peniaga. Hanya tinggal ubah angka sifar menjadi angka enam.

Berbalik kepada pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2014, minggu lalu.

Katanya, GST tidak akan melibatkan perkhidmatan pengangkutan awam dan barang keperluan asas seperti gula, garam, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, belacan serta budu.

Cukai jualan (umumnya 10 peratus) dan cukai perkhidmatan (6 peratus) yang bermula masing-masing pada tahun 1972 dan 1975 lagi akan dimansuhkan.

Soal pelaksanaan GST ini sebenarnya diakui semua pihak dalam memastikan kelangsungan ekonomi dan pembangunan negara.

Cuma, soal masa menjadi pertikaian banyak pihak. Mereka beranggapan pelaksanaan GST masih belum sesuai ekoran pendapatan rakyat masih belum meningkat.

Ada pihak mengatakan, pelaksanaan GST akan menyebabkan harga barang semakin mahal tapi ada juga yang mendakwa harga barang akan menjadi murah.

Sebelum ini, dalam satu temu bual eksklusif penulis bersama Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, beliau menyebut, harga barang ditentukan kadar GST yang dikenakan kerajaan.

Ketika itu masih belum tahu lagi berapa kadarnya dan penganalisis menjangkakan kadar GST yang akan dilaksanakan adalah 4 peratus.

Kini, kadarnya sudah pun ditentukan sebanyak 6 peratus, agak tersasar daripada jangkaan tersebut.

Namun, penulis masih tertanya-tanya sama ada harga barang turun atau naik?

Wan Saiful menyebut, jika kadar GST rendah dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dihapuskan, maka harga barang mungkin turun.

Mungkin turun. Masih belum menjawab persoalan penulis. Mungkin kita perlu menanti 1 April 2015 untuk mengetahui turun naik harga barang.

Tetapi apa yang sudah pasti adalah kadar 6 peratus itu boleh menjadi 10 peratus, 20 peratus bahkan 30 peratus pada masa akan datang.

Malah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan 2016, kadar GST menjadi 8 peratus.

Pelarasan cukai ini mungkin ada baiknya tetapi kadarnya yang akan terus meningkat saban tahun akan terus menjerut rakyat berpendapatan rendah.

Jadi, ada benarnya sesetengah pihak yang berpendapat agar pendapatan rakyat ditingkatkan dahulu sebelum GST dilaksanakan.

Sumber: Sinar Harian

Dendam lama punca peniaga emas ditembak

KOTA BHARU:  Siasatan awal pihak polis mendapati punca peniaga emas ditembak di Kampung Sering, Kota Bharu Pada Selasa adalah disebabkan dendam lama.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Polis, ACP Azham Othman, mangsa yang kini masih di rawat di hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, berada dalam keadaan stabil.

Mangsa Lokman Zakaria, 49 tahun mengalami kecederaan di bahagian bahu kiri dan peluru masih lagi berada di bahu kiri mangsa.

“Terdapat perbalahan lama mangsa dan ini mungkin menjadi satu dendam disimpan oleh pihak musuh dan sebab itu beliau dicari dan diambil tindakan untuk membunuh beliau,” kata Azham.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa di HUSM Kubang Kerian.

Katanya pihak polis masih mengesan penjenayah berkenaan dan tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali penjenayah berkenaan.

Dalam kejadian lewat petang Selasa lalu,  seorang peniaga emas nyaris maut apabila ditembak lima das dalam satu kejadian tembakan.

Mangsa yang ketika itu sedang memandu menaiki kereta bernasib baik kerana hanya dua peluru mengenainya manakala tiga das tembakan lagi tersasar.

Dua penjenayah terbabit yang memakai topi keledar berpenutup muka penuh berjaya melarikan diri dengan motosikal jenis berwarna hitam.

- ASTRO Awani