Wednesday, 24 December 2014

Lelaki tua itu Chin Peng!

  • Inilah lukisan mural dikatakan mirip wajah Chin Peng yang menjadi kontroversi.
  • Inilah lukisan mural dikatakan mirip wajah Chin Peng yang menjadi kontroversi.

IPOH - Di sebalik keindahan lukisan mural di sekitar Bandaraya Ipoh terdapat satu lukisan yang nyata mengundang kontroversi apabila ia mirip wajah Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Tiada siapa yang menyangka gambar yang menunjukkan seorang lelaki tua sedang memegang cawan di Jalan Tun Sambanthan, di sini, berhampiran Padang Ipoh itu seakan-akan individu yang diharamkan ke negara ini.

Pendedahan itu dibuat sendiri oleh seorang warga Ipoh, Mior Azman Mior Aris, 46, yang sudah lama meneliti gambar berkenaan sejak ia dilukis pada Jun lalu oleh seorang pelukis mural terkenal.

Menurutnya, jika dilihat sekali imbas memang tidak perasan tentang individu yang dilukis memandangkan Chin Peng tidak dikenali ramai dari segi paras rupanya.

“Saya bersama beberapa rakan yang lain duduk semeja berbincang mengenai wajah individu terbabit. Apabila kita membuat pencarian internet gambar Chin Peng dan banding dengan lukisan itu, memang sama.

“Ini satu tamparan hebat kepada kerajaan negeri khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membenarkan lukisan itu dilukis. Dalam sibuk kita membantah dan menghalang abu mayatnya (Chin Peng) di bawa ke negara ini, dengan selamba wajahnya dijadikan mural,” katanya.

Mior Azman berkata, perkara ini serius kerana ia dilihat cubaan pihak tertentu untuk menyebarkan elemen subversif menggunakan seni mural.

Tambahnya, perkara seumpama itu harus menjadi iktibar kepada semua pihak khususnya PBT supaya lebih peka dalam menerima sesuatu projek seni bagi mengelak agenda tertentu dibawa melaluinya.

“Kita mahu orang ramai buka mata terhadap agenda pihak tertentu yang cuba membawa masuk ideologi tertentu secara halus.

“Orang ramai hanya nampak ia sebagai lukisan yang cantik, tetapi maksud tersirat di sebaliknya kita tak tahu,” katanya lagi.


Ramai tidak perasan

Sementara itu, seorang warga Ipoh, Rozamir Zulkifli, 42, berkata, jika sekali imbas, gambar yang terpampang di bangunan tersebut memang mirip Chin Peng, tetapi tidak serupa.

Menurutnya, lukisan ini subjektif untuk ditafsir kerana pelukis melukis melalui hati, bagaimanapun jika ia disuruh melukis gambar tersebut, motifnya perlu disiasat.

“Jika gambar itu serupa, kita perlu siasat perkara tersebut. Dalam hal ini, kita juga perlu tahu tujuan lukisan dibuat sama ada mengindahkan bangunan atau menarik perhatian pelancong dan sebagainya.

“Jika sebabnya lain atau terdapat maksud tersurat dan tersirat, ia perlu tindakan segera dari pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Seorang lagi warga Ipoh, Abdul Salim Putera Ahmad Shibi, 39, mengharapkan tindakan dan siasatan dari pihak berkenaan sekiranya gambar tersebut adalah Chin Peng.

Abdul Salim berkata, jika benar ini mungkin satu cara halus pihak tertentu untuk meracuni fikiran anak muda yang tidak tahu sejarah sebenar gambar berkenaan.

“Cadangan saya supaya pihak kerajaan negeri menganjurkan pertandingan lukisan mural wajah tokoh-tokoh Melayu supaya golongan muda kenal dengan tokoh yang pernah berbakti kepada tanah air kita.

“Cara ini lebih baik dari menuduh atau memarahi pihak berkenaan. Pihak berkuasa juga perlu memberi lebih perhatian kepada mereka yang bergerak secara sembunyi dan berharap perkara ini tidak berulang lagi,” katanya.

Pengerusi Barisan NGO Negeri Perak, Mohd Salleh Khan Mohd Jaafar berkata, siasatan perlu dibuat untuk memastikan gambar siapa yang terpampang di bangunan tersebut.

Mohd Salleh berkata, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menghormati keputusan kerajaan dan menolak apa sahaja agenda untuk memasukkan Chin Peng atas kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Pihak yang bertanggungjawab juga diminta untuk memberi penjelasan kerana memberi kebenaran lukisan tersebut terpampang di situ dan boleh menyebabkan salah sangka di kalangan rakyat apabila perkara yang tidak boleh, dibolehkan.

“Selain pihak berkaitan, pemilik bangunan juga perlu disiasat untuk memastikan semuanya jelas dan tidak timbul kekeliruan,” katanya.

Yang Dipertua Ikram Perak, Yahanis Yahya pula berpendapat, mural seumpama pimpinan PKM ini amat sensitif dan boleh menaikkan sentimen beberapa pihak.

Menurut beliau, kesemua pihak diharap menjaga keharmonian negara dengan bertanggungjawab malah dalam kes ini pihak berkuasa tempatan perlu memberi penjelasan.

“Kajilah sejarah secara objektif supaya penilaian dibuat dengan fakta bagi meningkatkan intelektual dan Malaysia boleh menuju ke negara Rahmah,” katanya.


MBI nafi mural Chin Peng

Sementara itu, sumber dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberitahu pihaknya telah maklum dengan perkara itu.

Menurut beliau, isu berkenaan sebenarnya sudah pun selesai dan pihak MBI menafikan individu dalam lukisan mural berkenaan adalah Chin Peng.

Malah katanya, satu mesyuarat jawatankuasa sudah pun dibuat bagi membincangkan isu itu sebelum ini.

“Kita faham akan sensitiviti masyarakat walaupun kita nyatakan bahawa lukisan itu bukanlah Chin Peng. Kita akan berbincang dengan pelukis dan pihak berkaitan untuk menukar gambar yang lain.

“Apa-apa pun saya akan rujuk kepada Datuk Bandar dahulu sebelum maklum balas lanjut diberikan mengenai isu ini,” katanya.

Di Pekan Lama Ipoh, terdapat tujuh lukisan mural berinspirasikan kopi yang dihasilkan pelukis terkemuka, Ernest Zacherevic di bawah projek Art of Oldtown.

Setiap lukisan ditempatkan di tujuh lokasi berbeza seperti di Jalan Panglima, Market Street, Jalan Bijeh Timah, Concubine Lane 3, Jalan tun Sambanthan dan Jalan Padang yang memaparkan mural seperti ‘Kopi-O’, ‘kapal terbang kertas’, ‘beca’, ‘evolusi’ dan ‘pakcik tua bersama kopi putih’.

- Sumber: Sinar Harian 

Lori terjunam dalam gaung akibat tanah runtuh

Seorang pemandu kereta nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya termasuk dalam runtuhan jalan raya di KM.60.1 daripada Gerik ke Jeli, semalam.


GERIK - Sebuah lori dilaporkan terjunam ke dalam gaung selepas berlakunya tanah runtuh di kilometer 63 jalan Timur Barat, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu berlaku tidak jauh dari kawasan rehat dan rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa.
- Sumber: Sinar Harian, 24 Disember 2014 

Lebih 100 pelancong terperangkap di Taman Negara

100 pelancong terperangkap di Mutiara Taman Negara Resort setelah Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut, melepasi paras bahaya. FACEBOOK : Taman Negara Pahang Malaysia

KUANTAN: Lebih 100 pelancong dari luar negara dan tempatan terperangkap di Mutiara Taman Negara Resort setelah Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut, melepasi paras bahaya 76.56 meter (paras bahaya 68.00 meter).

Difahamkan paras itu yang tertinggi pernah dicatat selepas banjir besar pada 1971.

Keadaan itu juga menyebabkan arus deras dan jeti pelancongan Kuala Tahan terpaksa ditutup sehingga menyukarkan perkhidmatan bot untuk membawa keluar pelancong yang dijadual pulang pada hari ini.

Seorang kakitangan resort berkenaan yang enggan dikenali, berkata kesemua pelancong asing itu datang dari tujuh negara termasuk Kanada, Jerman, Perancis dan Belanda selain pelancong tempatan.

Beliau berkata pelancong terbabit sepatutnya pulang hari ini, namun disebabkan hujan lebat, air sungai naik mendadak mengakibatkan hubungan terputus dan bekalan makanan pula habis.

"Namun kami tetap memastikan semua pelancong berkenaan berada dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Menurutnya mesyuarat khas diadakan petang ini dengan pihak yang berkaitan, termasuk polis dan Pejabat Daerah Jerantut, untuk membincangkan langkah yang perlu sementara operasi untuk mengeluarkan semua pelancong yang terlibat dilakukan. 

- Sumber: Bernama

Banjir semakin serius, hampir 60,000 mangsa dipindah



Situasi terkini banjir yang berlaku di Kuala Kangsar

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir bertambah serius menyebabkan 58,705 penduduk di Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Perlis dan Sabah terpaksa berpindah.

Kelantan mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi melibatkan 24,765 orang, diikuti Terengganu (21,606), Pahang (10,825), Perak (1,030), Sabah (336) dan Perlis (143).

Di KELANTAN jumlah mangsa meningkat kepada 3,164 orang sebelah pagi berbanding 21,601 orang malam tadi.

Sebanyak 18 pusat pemindahan baharu dibuka kepada 96 buah semalam.

Peningkatan jumlah mangsa melibatkan sembilan jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat dan Kota Baharu.

Jumlah mangsa tertinggi dicatat di Pasir Mas iaitu 8,754 orang, diikuti Gua Musang (5,259) dan Kuala Krai (4,608).

Sebanyak 23 laluan turut ditutup yang 17 daripadanya laluan ditutup kepada semua lalu lintas manakala enam ditutup kepada kenderaan ringan.

Di TERENGGANU, 8,977 lagi penduduk terpaksa dipindahkan dengan Kemaman merupakan daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa mencecah 12,699 orang.

Punca utama mangsa terpaksa berpindah adalah disebabkan fenomena air pasang terutama di kawasan pantai, demikian menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu.

Setakat pukul 9 pagi, Dungun mencatat jumlah mangsa 4,591 orang, Hulu Terengganu (685), Kuala Terengganu (3,086), Besut (426), Marang (11) dan Setiu (8) di keseluruhan 107 pusat pemindahan.

Paras air di beberapa batang sungai utama di Terengganu dilapor melepasi tahap bahaya antaranya Sungai Dungun di Jambatan Jerangau setinggi 14.21 meter (bahaya 12.50 meter), di Kuala Jengai 26.33 meter (bahaya 21 meter) dan Pasir Raja 38.62 meter (bahaya 37.50 meter).

Di PAHANG, 2,768 keluarga di lapan daerah terpaksa dipindahkan pagi ini menjadikan keseluruhan jumlah mangsa di negeri ini 10,825 orang berbanding 6,286 malam tadi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Daerah Kuantan masih mencatat jumlah pemindahan mangsa paling tinggi iaitu 6,231 orang diikuti Maran (2,542)

Katanya beberapa laluan utama ditutup kepada semua kenderaan antaranya Jalan Kuantan-Sungai Lembing (dekat Jambatan Sungai Riau), Jalan Kuantan-Sungai Lembing (Simpang Tiga Panching), Jalan Jerantut-Lipis, Jerantut-Kuala Tahan dan Kilometer 42 Jalan Kuantan-Segamat.

Di PERAK, daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar antara yang terjejas teruk menyebabkan 1,030 penduduk daripada 252 keluarga ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Majlis Keselamat Negara (MKN) Negeri Perak, jumlah mangsa di Kuala Kangsar meningkat kepada 823 orang berbanding 142 orang malam tadi.

Bagaimanapun katanya, pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Kampung Tasek sudah ditutup dan kesemua 23 mangsa dari Kampung Tasek Hulu Seberang telah dibenarkan pulang.

Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris mengesahkan laluan Timur Barat dari arah Gerik ke Jeli masih ditutup bagi semua kenderaan ekoran kejadian tanah runtuh di Kilometer 63, berhampiran Hentian Rehat Titiwangsa malam tadi.

Di SABAH, jumlah mangsa di Beaufort meningkat kepada 336 orang berbanding 268 orang malam tadi dengan banjir yang melanda beberapa kampung di Tenom kembali pulih.

Jurucakap Bilik Gerakan Daerah Beaufort berkata kesemua mangsa di Beaufort yang melibatkan 128 keluarga dari sembilan buah kampung ditempatkan di Dewan Masyarakat Baru.

Jurucakap Bilik Gerakan Daerah Tenom berkata kesemua mangsa di daerah ini dijangka dibenarkan pulang pagi ini.

Di PERLIS, 143 penduduk antaranya dari kawasan Beseri, Padang Melangit dan Tasoh telah dipindahkan sehingga pukul 7.30 pagi tadi, berbanding 104 mangsa malam tadi.

Menurut Sistem Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, paras air di Empangan Timah Tasoh kini mencatat bacaan 29.78 meter, melebihi paras bahaya 29.60 meter. 

- Sumber: Bernama, Disember 24, 2014

Banjir terburuk di Gua Musang dalam tempoh 30 tahun

Banjir terburuk di Gua Musang dalam tempoh 30 tahun

GUA MUSANG: "Bencana banjir tahun ini amat luar biasa dan menggerunkan," begitulah luahan penduduk Kampung Batu Papan apabila kampung mereka seolah-olah sebuah pulau selepas digenangi 90 peratus air dan hanya tinggal 10 peratus daratan.

Menurut penduduk kampung, keadaan banjir di Gua Musang ketika ini adalah yang terburuk dalam tempoh 30 tahun.

Kira-kira 200 rumah penduduk Kampung Batu Papan telah ditenggelami air.

Biasanya air akan surut dalam tempoh 12 jam, namun hujan lebat tanpa henti sejak 3 hari lalu menenggelamkan kampung mereka.

"Memang banjir tahun ini luar biasalah dan amat meggerunkan sebab 100 peratus kena pindah. Seingat saya duduk sini inilah paling teruk dan dalam sejarah bencana terburuk di Batu papan, kalau dulu tahun 2001 tidak seteruk ni," ulas Ibrahim Ismail yang juga merupakan penduduk Kampung Batu Papan.

"Malam saya bangun dalam pukul 2 surut dalam sekaki. Pagi ni memang cepat naik dari kelmarin lagi. Pertama lagi 30 tahun lebih saya duduk kampung ni, nilah paling teruk. Memang di luar jangkaanlah," tambah Mohd Alif Yusof.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab. Aziz Yusoff bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Gua Musang turut menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk serta menyelamatkan seorang wanita sarat mengandung serta seorang warga emas yang sakit.

Kata beliau, "Kampung Batu Papan dah terkepung dengan air dan seolah-olah pulau dan kita telah agihkan makanan. Kita tak mampu untuk mengangkut mereka kerana terlalu ramai. Dan kita tidak mencukupi bot2 untuk mengangkut kerana, Gua Musang banjir besar dan bot amat terhad."

Sebanyak tiga buah pusat pemindahan bagi DUN Galas iaitu di SMK Tengku Indra Petra 1, SMK Tengku Indra Petra 2 dan SK Fakhri Petra.

- Sumber: Astro Awani 

Fenomena 'New Moon', Monsun Timur Laut cetus banjir luar biasa

Penduduk Kuantan melalui Jalan Kuantan-Gambang yang dinaiki air selepas semua paras air sungai di Kuantan melebihi paras bahaya. 

KUALA LUMPUR: Fenomena 'New Moon' iaitu kedudukan bulan berhampiran dengan bumi yang menyebabkan air pasang merupakan antara faktor yang mencetuskan banjir luar biasa di kawasan Pantai Timur pada tahun ini.

Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan banjir menjadi lebih teruk apabila ditambah dengan tiupan angin Monsun Timur Laut secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini bermula bulan November hingga Mac.

"Meskipun hujan semakin reda dan tidak lagi lebat, namun air banjir dilihat sukar untuk surut disebabkan fenomena 'new moon' yang mana bulan berada dekat dengan bumi yang menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa.

"Selain itu, hujan yang tidak berhenti sebelumnya menyebabkan aliran sungai dari hulu ke kuala tidak sampai sehingga menyebabkan air sungai melimpah keluar sehingga menyebabkan banjir teruk," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya pihaknya menjangkakan hujan lebat akibat tiupan angin Monsun Timur Laut di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak minggu lalu, akan berterusan sehingga awal Januari depan.

"Namun keadaan cuaca dijangka bertambah baik pada hari ini hingga esok berikutan ramalan kami menunjukkan hujan hanya berlaku di satu atau dua tempat di negeri-negeri berkenaan," katanya.

Dr Mohd Hisham menjelaskan musim Monsun Timur Laut yang membawa kepada hujan lebat terbahagi kepada tiga episod, iaitu episod pertama yang berlaku pada akhir bulan November, episod kedua pada 16 hingga 19 Dis diikuti dengan yang ketiga iaitu Isnin lepas hingga esok.

"Walaupun cuaca dijangka baik pada dua hari tersebut, namun kami menjangkakan ada lagi episod keempat iaitu bermula pada 28 Dis sehingga 31 Dis dan mungkin akan berterusan sehingga awal bulan Januari," katanya.

Dr Mohd Hisham berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan banjir akan berlaku lagi selepas 28 Dis ini di kawasan-kawasan kedudukan rendah dan berdekatan dengan sungai.

"Ketika musim Monsun Timur Laut, kawasan Pantai Timur dijangka mengalami empat hingga lima episod hujan lebat menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari pada November hingga Januari 2015, serta kawasan barat Sarawak dan Sabah pada Januari hingga Mac 2015.

"Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan tepi sungai dan rendah dinasihatkan supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir," katanya. 

- Sumber: Bernama

Banjir mula melanda kawasan perdagangan di Pattani

Mangsa banjir di selatan Thailand menggunakan bot sebagai cara untuk bergerak dari tempat ke satu tempat.

PATTANI: Banjir mula melanda kawasan perdagangan di bandar Pattani ekoran hujan lebat selama empat hari dan air dari bahagian utara Sungai Pattani yang melimpah.

Datuk Bandar Pattani, Pitak Kokiart Pitak berkata paras air setinggi kira-kira 2 meter direkodkan di beberapa kawasan kediaman dan pusat perdagangan bandar Pattani.

Katanya, kawasan bandar itu mula dinaiki air pada pukul 11 pagi tadi dan antara kawasan yang terlibat ialah di Jalan PipitPakdi, Jalan Kelapo, Jalan Saiburi, Jalan Yarang dan Jalan Santisuk.

Sejumlah 37,790 orang dari 10,098 keluarga dari 193 buah kampung terjejas akibat banjir yang dijangka berterusan buat beberapa ketika.

Beberapa batang jalan raya utama seperti Pattani-Hatyai dan Pattani-Yala ditutup kerana air melimpahi jalan raya.

Gabenor Wilayah Pattani, Wirapon Keawsuwang turun melawat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang tinggal di pendalaman terutamanya di Kampong Jemok, Mukim Pakaharang, Muang Pattani.

Beliau berkata lapan daerah di Pattani iaitu daerah Muang Pattani, Nongchi, Yarang, Yaring, Kapor, Saiburi Tungyang-daeng dan Maelan diisytihar sebagai kawasan bencana alam.

- Sumber: Bernama