Saturday, 9 May 2015

Microsoft merancang ubah kedai runcit Nokia

Microsoft 

MICROSOFT merancang untuk merobah 39 kedai runcit Nokia di seluruh Malaysia kepada kedai Microsoft menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar Jualan Peranti Mudah Alih Untuk Malaysia, Singapura dan Brunei, Bruce Howe berkata, Malaysia adalah negara pertama di rantau Asia Pasifik yang menjalankan proses penjenamaan semula itu.

"Transisi ini adalah langkah besar untuk jenama kami di samping memberi peluang meningkatkan penguasaan runcit dan memperluaskan produk Microsoft di Malaysia," katanya kepada Bernama di pelancaran kedai penjual semula di Suria KLCC di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Operasi Microsoft Malaysia, Rukmani Subramaniam berkata, kedai penjual semula yang sah syarikat itu telah menunjukkan perkembangan yang pesat untuk perniagaan tempatan Microsoft.

"Kami mendapat maklum balas daripada pelanggan Microsoft yang mereka sukar mendapatkan kedai Microsoft di Malaysia. Oleh itu kami mewujudkan transisi ini untuk memberi lebih banyak peluang kepada mereka untuk mengunjungi dan belajar bagaimana untuk memanfaatkan teknologi Microsoft," katanya.

Mengulas mengenai kesan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas produk Microsoft, Rukmani berkata, GST tidak memberi kesan yang besar ke atas permintaan dan jualan produk syarikatnya.

"Saya berpendapat keseluruhan sentimen orang ramai mengenai GST agak negatif, tetapi kami menghasilkan peranti untuk setiap peringkat pengguna dan bagi setiap titik harga yang mewarisi beberapa ciri-ciri canggih.

"Dengan GST, harga yang dikenakan ke atas pengguna tidak banyak berubah dan harga sesetengah produk mungkin turun," katanya. 

- Sumber: Bernama

Mengapa sampai membunuh bila diajak kahwin

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR - Kes seorang ibu tunggal beranak empat yang dibunuh oleh kekasihnya kerana sering mendesak kekasihnya untuk berkahwin, menarik perhatian ramai.

Apatah lagi kekasihnya itu merupakan seorang guru agama yang belum berkahwin dan lebih muda daripadanya.

Turut dilapor ialah kes seorang wanita yang dibunuh tunangnya dengan dicekik dan dihumban dari atas jambatan dan pada wanita tersebut turut terdapat nota yang menceritakan masalah yang dihadapinya.

Diminta mengulas terutama mengenai kes membunuh kerana diajak berkahwin, pendakwah bebas Ustaz Halim Din berkata dengan tidak mengambil kira faktor-faktor khusus yang tidak diketahui puncanya, secara umum kejadian mungkin disebabkan krisis emosi yang melibatkan masalah dalaman.

"Mereka ada kalanya bukan tidak mempunyai iman (dalam kes guru agama), tetapi ia disebabkan dorongan nafsu amarah atau nafsu binatang (bahimiah)," katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata tertekan kerana kos dan belanja perkahwinan yang kian meningkat juga boleh menjadi bebanan kepada pasangan yang mahu berkahwin.

"Namun hakikatnya, jika kita kembali kepada agama, perkahwinan itu sepatutnya dipermudahkan, bukan disusahkan dengan perkara-perkara seperti hantaran yang tinggi dan sebagainya," katanya.

Dari sudut psikologi, Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Osman Che Bakar menyifatkan tindakan membunuh berpunca daripada ketidakmampuan manusia mengawal kemarahan dan emosi.

Beliau berkata, individu yang mempunyai masalah psikiatrik akan mudah marah dan membuat keputusan yang tidak masuk akal.

"Mereka ini (apabila gagal mengawal emosi marah), tidak terfikir pun bahawa tindakan mereka akan membawa mereka ke 'tali gantung'. Inilah yang dikatakan 'impulse control disorder' yang bermaksud tergerak untuk membuat sesuatu perkara yang memudaratkan.

"Terdapat juga individu yang tidak tahu mengenal pasti masalah mereka dalam keadaan marah. Mereka ini gagal mengawal tekanan dan kemarahan dan inilah yang dikaitkan dengan masalah psikiatrik," katanya.

Osman tidak menolak keadaan semasa terutama membabitkan kos sara hidup yang kian meningkat mungkin antara faktor penyumbang kepada permasalahan, namun ia bukan alasan konkrit untuk mana-mana pihak bertindak di luar jangkaan sehingga sanggup membunuh. 

- Sumber: Bernama

'Kenapa TH sanggup bayar harga begitu tinggi untuk tanah 1MDB?' - Mukhriz


Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir mempertikaikan urusniaga Tabung Haji-1MDB. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir mempertikaikan tindakan Lembaga Tabung Haji (TH) yang membeli hartanah milik 1MDB dengan nilai RM188.5 juta.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Twitter beliau, Mukhriz membuat perbandingan nilai transaksi antara Tabung Haji dan 1MDB dan juga Kementeri Kewangan dan 1MDB.

“Kalau Tabung Haji sanggup bayar harga begitu tinggi untuk tanah kepunyaan 1MDB, apa alasan Kementerian Kewangan jualnya pada harga begitu murah kepada 1MDB dulu?” tanya Mukhriz.

Pada Khamis, Lembaga TH mengesahkan telah membeli tanah bagi tujuan pelaburan hartanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Menurut beliau, langkah ini adalah sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik.

"Pelaburan ini merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci.

"Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional," katanya. 

- Sumber: Astro Awani 

Keupayaan Charlize Theron

Charlize Theron

MENERUSI filem The Devil Advocate pada 1997, gadis kelahiran Afrika Selatan, Charlize Theron mula cuba mencipta nama sekali gus menumpang gemerlapan dunia bintang Hollywood.

Masakan tidak, sebagai ‘orang luar’, keupayaan Theron bersaing dengan barisan pelakon baharu Amerika Syarikat (AS) begitu perit.

Malah dia terpaksa meredah rintangan dan cuba memperlihatkan kemampuan luar biasa supaya lebih menonjol daripada bintang muda lain.

Sebaik sahaja mendapat tawaran dalam filem pertama itu, dia terpaksa mengikis loghat pertuturan Afrika Selatannya dan mula belajar loghat AS.

Untuk itu, dia menonton TV berjam-jam sehari dan mendengar radio serta menyanyi lagu-lagu AS sebanyak mungkin. Begitu pun, Theron tetap menganggap dirinya bertuah kerana mempunyai banyak budaya.

Berbanding dengan pelakon jati AS, dia mengenal budaya lain selain budaya sekelilingnya dan ini memudahkan Theron mendapat peluang untuk menjiwai karakternya.

Aktres itu kemudiannya berlakon dalam filem 2 Days In Valley pada 1996, Sebaik sahaja menghabiskan filem tersebut, dia terus ditawarkan dalam filem arahan Tom Hanks, That Thing You Do (1996), sebagai Tina, teman wanita kepada salah seorang ahli kumpulan 1960-an.

Bakat lakonannya terus berkembang dan dia mula muncul dalam filem-filem pecah panggung seperti Hollywood Confidential (1997), Trial & Error (1997), Mighty Joe Young (1998), Sweet November (2001), The Italian Job (2003), Hancock (2006), The Burning Plain (2008), Snow White & the Huntsman (2012) dan Two Eyes Staring (2013).

Ternyata, Theron berjaya mencipta nama di AS sehingga membawa pulang banyak anugerah seperti Anugerah Oscar dan Anugerah Golden Globe bagi kategori Aktres Terbaik.

Takut tua?

Menarik mengenai Theron adalah apabila dia tidak berasa risau akan masalah penuaan yang biasa akan dihadapi oleh semua wanita.

Meskipun bakal menginjak usia 40 tahun, Theron mengakui penuaan bukanlah satu masalah besar dan tidak akan merubah kecantikan seseorang wanita.

Malah, dia sentiasa percaya dan yakin pada penampilan dirinya.

"Bertambah usia bukanlah satu hal buruk. Ramai wanita terlalu mudah menghakimi wanita lain hanyalah kerana faktor umur. Malah, dalam kalangan masyarakat sendiri sentiasa berfikir yang wanita akan menjadi seperti potongan bunga layu yang akhirnya akan gugur.

"Nasihat saya semua wanita yang berusia 20-an agar jangan takut untuk tua, jangan stres dan jangan minum Chardonnay (anggur putih) terlalu banyak," katanya.

Katanya, pertambahan usianya berlaku seiring dengan kematangannya dalam menjalani kehidupan dan kini sedang merancang untuk berkahwin dengan tunangnya, Seann Pean.

"Ketika saya berumur 30-an, saya sedar saya tidak boleh memuaskan hati semua orang. Tetapi, saya lebih menikmati hidup.

"Saya tak tahu menjadi ibu di akhir 30-an benar-benar menyenangkan, ia memberikan sebuah pandangan baru," katanya.

Botak kepala

Selepas 30 tahun berlalu, kini filem keempat dalam francais Mad Max kembali menemui penonton. Menggunakan judul ‘Mad Max: Fury Road’, filem yang pernah popular sekitar tahun 1980-an ini kembali dengan aura dan kejutan baharu di bawah arahan pengarah hebat, George Miller.

Jika sebelum ini watak utamanya digalas oleh aktor, Mel Gibson, untuk sekuel keempat ini, ia diisi pula oleh Tom Hardy yang bijak mencorakkan watak Max Rockatansky dengan caranya yang tersendiri. Begitu juga dengan Theron, yang begitu komited mencorakkan wataknya sebagai Imperator Furiosa.

Malah, demi memenuhi wataknya, Theron sanggup membuang rambut perangnya apabila tampil dengan potongan rambut yang hampir botak dan comot.

Dia bagaimanapun kelihatan sangat tenang dengan penampilan terbaharunya. Imej terbaharu Theron dilihat semasa membawa anak angkatnya, Jackson bersiar-siar di kawasan kediamannya di Beverly Hills, AS.

"Pada awalnya semua paparazi hampir tidak mengenali dirinya kerana dia menutup kepala dengan topi, namun setelah melihat dia mengendong Jackson baru kami sedar itu adalah Charlize Theron," ujar paparazi yang mengekorinya.

Mad Max: Fury Road mengisahkan tentang Max Rockatansky (Tom Hardy) yang hidupnya dihantui dengan masa lampau yang membawa kepada kehilangan orang yang disayanginya. Max kemudiannya memutuskan untuk mengembara sendirian kerana ia dirasakan sebagai cara terbaik untuk dirinya meneruskan kehidupan.

Bagaimanapun, dalam pengembaraannya itu, Max bertembung dengan sekumpulan pemberontak yang diketuai oleh Furiosa (Charlize Theron) yang turut merentasi padang pasir tersebut untuk melarikan diri dari ancaman puak Citadel yang diketuai oleh Immotan Joe. Imperator Furiosa dan pengikutnya dikatakan telah mengambil sesuatu yang berharga daripada puak tersebut. Disebabkan itu berlakulah Road War antara dua puak ini.

Apakah yang berlaku seterusnya kepada mereka? Berjayakah mereka meloloskan diri? Dapatkan jawapannya dengan mengikuti filem menarik ini di pawagam yang berhampiran mulai 14 Mei ini.

- Sumber: Sinar Harian 

'Terima kasih kepada pembocor maklumat'

KUALA TERENGGANU – Pemuda Umno Terengganu berterima kasih kepada individu yang membocorkan maklumat sulit tentang pembelian tanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Tabung Haji (TH) bernilai RM188.5 juta di Tun Razak Exchange.

Ketuanya, Mohd Johari Abu Bakar berkata, jika bukan kerana individu tersebut, rakyat khususnya pendeposit TH tidak akan tahu tentang pembelian sebidang tanah yang kini timbulkan rasa tidak puas hati semua pihak.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak pengurusan TH memberi jawapan segera dan konkrit bagi meredakan kemarahan rakyat terutama pendeposit TH, kerana mereka berhak mengetahui bagaimana wang mereka depositkan dilabur.

“Kami faham TH perlu buat pelaburan dalam sektor hartanah bagi membolehkan pendeposit TH mendapat pulangan dalam bentuk dividen. Persoalannya, adakah pembelian ini strategi selamatkan 1MDB?.

“Ini kerana tanah ini dijual kerajaan pusat kepada 1MDB dengan harga RM60 sekaki, tetapi dijual kepada TH RM2,860 sekaki,” katanya.

Dengan pelbagai isu dan persoalan sekarang, katanya, presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bertindak segera memperjelas dan menyelesaikan beberapa perkara supaya ia tidak terus menjadi persoalan kepada rakyat.

Perkara itu melibatkan isu tekanan kos sara hidup akibat kegagalan pengurusan kawalan harga barang, polemik isu pengurusan 1MDB, perumahan generasi kedua Felda serta isu GST.

“Pendirian Pemuda Umno Terengganu, jelas. YAB Presiden perlu bertindak segera bagi memperjelaskan perkara ini kepada rakyat, agar ia tidak lagi menjadi persoalan.

“Jika perlu distruktur semula apa pun organisasi yang jadi tumpuan ketika ini, jika perlu disegerakan penyiasatan atau proses audit, presiden perlu bertindak sekarang,” katanya.

Sebagai sayap muda dalam parti, pihaknya turut memerlukan penjelasan sebagai wakil Umno di peringkat itu untuk memastikan Umno kekal relevan.

Mengulas lanjut, isu-isu yang menjadi persoalan ketika ini melibatkan soal integriti kepimpinan, kepercayaan dan sokongan rakyat kepada Umno dan kerajaan.

Jelasnya, tiada maknanya segala dasar baik yang dijuarai Umno hanya dilihat rakyat sebagai liabiliti dan menjadi polemik dalam pentadbiran negara.

“Kami percaya sebagai bapa, YAB presiden tak akan terus membiarkan semua ini berterusan dan bertindak sebaiknya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Umno dan kerajaan BN,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Pertandingan ratu pondan di Miri diharamkan


MIRI - Penganjur pertandingan Ratu Pondan diberi amaran keras supaya tidak mengadakan pertandingan itu di Bandaraya Miri bersempena sambutan apa jua perayaan, termasuk hari bandar raya, yang disambut setiap tahun.

Datuk Bandar Miri Lawrence Lai berkata Majlis Bandaraya Miri (MBM) tidak akan menyokong sebarang permohonan untuk mengadakan acara sedemikian kerana memahami sensitiviti agama dan budaya setempat.

Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa peningkatan trend pertandingan ratu pondan di sini adalah sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-10 Bandaraya Miri yang diraikan pada 20 Mei.

"MBM tidak pernah meluluskan atau memberi kebenaran bagi penganjuran acara seperti itu dan ia bukan sebahagian daripada sambutan Hari Bandaraya Miri kami," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Lai mengulas tentang pertandingan Miss Transuniverse Miri 2015 yang dijadual diadakan hari ini di sebuah hotel di sini yang membangkitkan kemarahan kalangan masyarakat setempat.

Berdasarkan semakan dengan para pegawainya, Lai berkata tiada lesen atau permit dikeluarkan bagi acara itu dan MBM pastinya tidak pernah terlibat secara langsung dengan penganjur pertandingan itu.

Khamis lepas, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Sarawak (MAPIM) Mohammad Fariduddeen Rosli mengeluarkan kenyataan media memohon penganjur membatalkan acara itu.

"Kami menerima maklumat bahawa terdapat peserta beragama Islam dalam pertandingan itu yang jelas merupakan kesalahan mengikut Seksyen 25, Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 2001, Ordinan 46 Tahun 2001," katanya.

Beliau menggesa pihak berkuasa terutamanya Jabatan Hal Ehwal Islam Sarawak supaya mengambil tindakan segera sekiranya acara seperti itu diadakan. 

Persatuan Dayak Miri turut berkongsi sentimen berhubung perkara itu terutamanya apabila ia melibatkan busana tradisional Iban dan mahu kerajaan negeri mengharamkan acara itu di Sarawak. 

Presidennya Serawa Budol berkata pertandingan ratu cantik yang menonjolkan golongan pondan menggunakan tema atau busana tradisional Iban perlu diharamkan
serta merta memandangkan ia mencemarkan budaya, sejarah dan kesucian tradisi silam kaum Iban di Sarawak. 

- Sumber: Bernama  

TH jual tanah yang dibeli dari 1MDB


KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) membuat keputusan menjual semula satu plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX)‎ yang dibeli daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM188.5 juta sebelum ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim Abdul Rahim berkata, keputusan itu dipersetujui oleh barisan Ahli Lembaga Pengarah TH setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi.

"Pada mesyuarat malam tadi semua Ahli Lembaga Pengarah bersetuju untuk mempertahankan tanah ini. Namun, pagi ini Perdana Menteri membuat panggilan telefon dan menasihatkan supaya menjual tanah ini bagi mengelakkan TH terus difitnah.

"Maka, Ahli Lembaga Pengarah bermesyuarat sekali lagi pagi ini dan bersetuju untuk menjual tanah tersebut.

"Keputusan ini juga dibuat demi menjaga sentimen pendeposit TH yang risau dengan wang simpanan mereka sejak isu ini dibangkitkan sejak dua hari lalu," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

- Sumber: Sinar Harian