Wednesday 6 November 2013

SKMM sekat lebih 2,000 laman web

SKMM

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat 2,753 laman web yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang lain dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan Industri SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,611 ialah laman 'Phishing' (laman web bank palsu); kandungan lucah (103); dan kandungan yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (10).

Turut disekat 15 laman web yang melanggar Enakmen Jenayah Syariah; Akta Rahsia Rasmi (dua); Kanun Keseksaan (dua); Akta Hasutan (satu); dan lain-lain (sembilan).

"Setakat ini, SKMM sedang menyiasat 10 laman web," katanya kepada Bernama di sini.

Zulkarnain berkata, Kerajaan melalui SKMM sentiasa bekerjasama dengan polis dan agensi penguatkuasa lain di dalam dan luar negara dalam penguatkuasaan undang-undang penyalahgunaan media sosial di negara ini.

Sepanjang Januari sehingga Oktober tahun ini, beliau berkata, Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan (JPS) SKMM menerima 268 aduan yang disiasat di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Daripada jumlah aduan yang diterima, 108 aduan adalah laporan polis yang dirujuk kepada JPS. Jenis aduan yang dirujuk oleh PDRM ialah kandungan palsu 35 peratus, sumbang (23 peratus), mengancam (14 peratus), jelik (15 peratus), lucah (10 peratus) dan lain-lain yang bukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (11 peratus)," katanya.

Beliau berkata, aduan yang paling banyak diterima SKMM ialah berhubung akaun palsu atau penyamaran, termasuk penyalahgunaan maklumat dan data peribadi, penyebaran fahaman atau ajaran sesat dan 'love scam'.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, undang-undang sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Akta Perkhidmatan Pos 2012, Akta Tandatangan Digital 1997 dan Akta Perdagangan Strategik 2010 untuk menangani jenayah siber dan penyalahgunaan laman sosial adalah mencukupi.

Namun begitu, beliau berkata, SKMM menghadapi cabaran dalam penguatkuasaan dan pendakwaan, khususnya dalam pembuktian kes jenayah siber.

"SKMM juga berdepan dengan pengendali laman sosial yang enggan membekalkan maklumat kerana individu yang melanggar peruntukan undang-undang di Malaysia tidak semestinya menjadi satu kesalahan di negara pengendali laman web itu.

"Selain itu, SKMM juga berdepan dengan cabaran mengesan individu yang menyalahguna media sosial dengan menggunakan wifi percuma di tempat awam kerana penyedia perkhidmatan tiada log transaksi," katanya.

Selain mendapatkan maklumat lengkap mengenai akaun seperti alamat URL, beliau berkata, SKMM perlu membuat analisa forensik ke atas alat-alat elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba yang membolehkan siasatan dijalankan.

"Ini merupakan antara cabaran yang dihadapi SKMM namun begitu orang ramai masih tidak faham dan menyalahkan SKMM leka dalam siasatan dan gagal menyelesaikan kes," katanya.

BERNAMA

Sorok dadah dalam labu dilumur darah ayam

KUALA LUMPUR - Polis menggagalkan cubaan menyeludup dadah menggunakan buah labu dilumur darah ayam apabila menahan seorang lelaki rakyat Benin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata lelaki berusia 38 tahun dari benua Afrika Utara yang disyaki 'keldai dadah' itu ditahan dalam pemeriksaan di KLIA pada pukul 5.15 petang.

Lelaki terbabit menaiki penerbangan Air France dari Paris ke Kuala Lumpur.

Polis menemui empat kilogram dadah jenis syabu di dalam labu di dalam beg lelaki terbabit.

"Pada mula, kami menyangka ia (labu) digunakan untuk upacara pemujaan kerana terdapat kesan darah ayam dan bulu ayam, namun apabila diperiksa lanjut ada syabu di dalamnya," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Noor Rashid berkata selain tangkapan itu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita Aceh di Sekinchan dan Sabak Bernam, Selangor serta merampas serbuk dadah syabu seberat 36.5 kilogram dan 275,314 pil ecstasy daripada mereka, Ahad lepas.

Beliau berkata dua lelaki itu ditahan dalam sebuah rumah di Sekinchan pada 3 petang dan susulan maklumat daripada mereka, polis menahan wanita terbabit di sebuah rumah di Sabak Bernam kira-kira 3 jam kemudian.

Mereka yang berumur antara 21 dan 38 tahun itu dipercayai anggota sindiket yang beroperasi sejak setahun lepas dan memperoleh dadah dari luar negara sebelum menyeludupnya semula ke bandar-bandar besar di Indonesia termasuk Jakarta.

Noor Rashid berkata kesemua rampasan dadah dalam pemeriksaan di KLIA dan serbuan di Selangor itu bernilai RM18.5 juta.

BERNAMA

Malaysia akan bida anjur Sukan Sea 2017

Khairy Jamaluddin

MALAYSIA akan membida penganjuran Sukan Sea 2017, umum Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini.

Beliau berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri minggu lepas dan penganjuran tersebut akan menetapkan kawalan perbelanjaan yang sensitif pada kedudukan kewangan negara.

"Kita akan membuat anggaran belanjawan yang terperinci dan bersetuju untuk tidak membina kemudahan baharu kecuali velodrom di Nilai yang telahpun dikeluarkan tender.

"Kita cuma akan membaikpulih kemudahan sedia ada dan tidak akan membina perkampungan sukan baharu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Menembak Asia Tenggara di di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan di Subang, di sini.

Kali terakhir Malaysia menganjurkan Sukan Sea adalah pada 2001 di Kuala Lumpur.

Beliau berkata pihaknya turut merancang untuk meluaskan penganjuran ke Sabah dan Sarawak, selain Pulau Langkawi untuk sukan pelayaran, Nilai (basikal trek) dan Johor (basikal lebuh raya).

"Saya difahamkan sebuah pusat akuatik bertaraf tinggi kini sedang dibina di Sarawak jadi kita turut merancang untuk menganjurkan acara renang di sana. Bagaimanapun ini semua masih dalam perbincangan dan harap kita dapat membuat kajian terperinci supaya kos tidak terlalu tinggi," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata MSN akan memastikan pengelolaan kejohanan itu menjadi contoh terbaik bagi negara-negara Asia Tenggara yang lain.

"Sukan Sea sepatutnya menjadi medan untuk penyediaan atlet ke sukan bertaraf lebih tinggi seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik, tidak hanya pertandingan acara-acara 'seasonal' yang akhirnya merugikan masa dan perbelanjaan," katanya.

Beliau berkata MSN akan berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memperhalusi perkara-perkara berkaitan seperti perkampungan atlet dan jenis sukan yang akan dipertandingkan.

BERNAMA