Tuesday, 6 January 2015

Infografik: List of public holidays in Malaysia for 2015



- Sumber: Astro Awani 

Toyota Hilux ditambah baik untuk 2015

Elok sahaja trak 4x4 mendapat status kenderaan ‘hero’ kerana kebolehannya meredah keadaan mencabar di lokasi-lokasi banjir di Malaysia sekarang ini, UMW Toyota Motor (UMWT) mengeluarkan varian Hilux yang ditambahbaik untuk tahun 2015.


Antara kelainan yang diberikan adalah lampu DRL, kerusi kulit (untuk varian 2.5G automatik); penambahan varian TRD Sportivo dan kunci tambahan untuk tayar gantian terpasang di bawah kenderaan, iaitu satu langkah yang dibuat bedasarkan permintaan pengguna yang tinggi.

Selain itu, varian Hilux 3.0G dan 2.5G diberikan roda aloi warna kelabu gelap baharu, grafik di sisi (seperti gambar di atas), fabrik rekaan baharu untuk 2.5G manual; dan juga tint keselamatan premium Toyota yang mengikuti piawaian JPJ. Ia juga tidak menggangu penggunaan SmartTag ketika di plaza tol.

Untuk Hilux 3.0G, 2.5G AT dan TRD Sportivo, sebuah pam tayar mudah alih akan disertakan sebagai peralatan standard. Pam ini adalah pilihan jika untuk varian-varian Hilux 2.5G MT, double cab dan single cab.

Hilux 2015 ini juga boleh disertakan sekali dengan sistem DVD-AVN yang mempunyai fungsi kamera undur, ketersambungan dengan telefon pintar (Android dan iOS) menerusi Bluetooth atau WiFi. Sudah tentu, ia juga mempunyai fungsi sistem navigasi GPS yang dipaparkan di atas skrin sentuh 7 inci.

Jika tidak, pilihan kedua aksesori unit audio adalah sistem DVD-AVX dengan kamera undur, USB dan fungsi bebas tangan menerusi Bluetooth. Skrin sentuhnya bersaiz 6.1 inci. Navigasi GPS tidak disertakan sekali.

Hilux TRD Sportivo

Pembeli boleh memilih antara varian 3.0G (AT) ataupun 2.5G (AT), kedua-duanya disertakan dengan bodykit yang direka khas oleh pihak TRD untuk memberi rupa yang lebih ranggi serta keunikan berbanding varian Hilux yang lain.

Selain itu, ia juga dilengkapkan dengan lampu DRL, aloi berwarna hitam, kemasan kabin kulit dan panel dalaman dengan corak gentian karbon. Sebuah palang ‘sport’ yang diperbuat daripada bahan ABS juga boleh dipasang pada bahagian belakang pikap ini. Kesemua peralatan TRD Sportivo ini turut mendapat liputan waranti sepertimana komponen lain yang terpasang pada Hilux ini.

Dan sepertimana model-model lain yang dijual UMWT, Hilux 2015 (termasuk varian TRD Sportivo) diberikan waranti 3 tahun / 100,000km.

Harga untuk varian TRD Sportivo bermula daripada RM105,622.20; manakala untuk double cab pula bermula daripada RM87,722 hingga RM109,967. (Harga untuk Semenanjung Malaysia, pemilik persendirian, metalik). 2.5 MT single cab pula berharga RM77,248.20. (Semenanjung Malaysia, pemilik persendirian, bukan metalik)

- Sumber: Astro Publication

Zizan dan bekas pengurus peribadi gagal selesai saman



Zizan dan bekas pengurus peribadi gagal selesai saman

KUALA LUMPUR: Dua saman difailkan terhadap pelawak dan pelakon terkenal Zizan Razak oleh pembantu peribadinya berhubung pembekuan akaun syarikat dan pelanggaran perjanjian kontrak akan diteruskan melalui perbicaraan selepas proses mediasi bagi menyelesaikan saman itu di luar mahkamah gagal.

Zizan, 31, atau nama sebenarnya Mohd Razizan Ab Razak ketika ditemui pemberita berkata beliau bersedia menghadapi perbicaraan kes itu dan berharap peminat mendoakan yang terbaik untuknya.

"Saya tidak buat apa-apa. Saya yang disaman dan saya bersedia untuk perbicaraan dan kes ini hanya melibatkan isu syarikat," katanya selepas proses mediasi di hadapan Hakim Zainal L. Salleh di Pusat Mediasi, Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Peguam Harjit Sandhu yang mewakili plaintif, Marina Juki memberitahu pemberita bahawa proses mediasi bagi kedua-dua saman itu gagal selepas kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

Harjit berkata mahkamah menetapkan November ini untuk perbicaraan kes saman berhubung pembekuan akaun syarikat di hadapan Hakim Datuk John Louis O'Hara manakala esok bagi pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Sivil untuk kes saman berhubung pelanggaran kontrak.

Pada 30 Sep tahun lepas, Marina, 31, memfailkan saman terhadap Zizan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil berhubung pembekuan dua akaun syarikat Wire Fame Entertainment Sdn Bhd untuk satu tempoh yang lama.

Wanita itu mendakwa akibatnya beliau menanggung kerugian besar kerana artis-artis di bawah naungan syarikat Wire Fame tidak berminat lagi menyambung kontrak kerana pembekuan akaun syarikat itu menunjukkan syarikat itu bermasalah.Dalam saman itu beliau menamakan Maybank Islamic Berhad, Zizan dan syarikat Wire Fame sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Pada 5 Nov tahun lepas, Marina memfailkan saman kedua di pejabat pendaftaran Mahkamah Sesyen Sivil terhadap Zizan atas dakwaan melanggar kontrak perjanjian yang ditandatangani antara Zizan, syarikat Wire Fame dan plaintif (Marina) pada 3 Mei 2011 iaitu Zizan telah bersetuju melantiknya sebagai pengurus peribadi dan perjanjian itu untuk tempoh empat tahun dan akan tamat pada 2 Mei 2015.

Marina dalam pernyataan tuntutannya berkata bagaimanapun pada Mei 2014, pihak Astro telah mengesahkan Zizan kini berada di bawah pengurusan Astro dengan kontrak bernilai RM2,000,000 tanpa persetujuan syarikat Wire Fame dan plaintif.

Wanita itu mendakwa Zizan telah melanggar perjanjian kerana perpindahannya ke Astro dilakukan sebelum tamat tempoh kontrak dengan plaintif dan syarikat Wire Fame.

Marina mendakwa akibat pelanggaran perjanjian itu beliau menanggung kerugian teruk, oleh itu beliau memohon ganti rugi khas sebanyak RM535,500, ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

- Sumber: Bernama 

Trio filem 'The Raid' bakal muncul dalam filem terbaru Star Wars



Filem The Raid 2: Berandal arahan Gareth Evans pernah tersenarai dalam 10 filem terbaik dunia oleh IMDb

KUALA LUMPUR: Trio utama dalam jenama filem Indonesia yang terkenal di Hollywood, The Raid disebut-sebut sebagai bakal membintangi filem yang paling dinanti ramai iaitu Star Wars: The Force Awaken arahan JJ Abrams.

Nama Iko Uwais, Yayan Ruhian dan Cecep Arif Rahman dikatakan menarik perhatian Abrams selepas kejayaan mereka menunjukkan aksi seni mempertahankan diri yang mantap dalam sekuel The Raid, lapor twitchfilm.com.

Aksi silat, bermain cota, bilah dan beberapa kuasa hebat lain dikatakan bakal menyuntik kelainan dalam jenama filem Star Wars terbaru.

Bagaimanapun, Iko yang dihubungi CNN Indonesia pada Selasa berkata dia tidak dapat memberikan kata putus mengenai perkembangan terbaru itu.

“Saya tidak dapat bagi kenyataan berkenaan perkara ini. Mungkin bukan saya orang yang tepat untuk mengesahkan perkara ini , takut disalahertikan.

“Tunggu sahaja kenyataan dari penerbit Star Wars sendiri” kata pelakon yang mula mencipta nama melalui filem Merantau.

Sebelum Iko, bintang filem The Raid, Joe Taslim telah ditawarkan untuk berlakon dalam filem Fast and Furious 6 begitu juga dengan Cinta Laura dalam filem The Philosophers.

Filem The Raid 2: Berandal arahan Gareth Evans pernah tersenarai dalam 10 filem terbaik dunia oleh IMDb seangkatan dengan filem antarabangsa yang lain seperti Interstellar, Guardians of the Galaxy, Gone Girl, dan X-Men: Days of Future Past.

The Raid 2: Berandal pernah ditayangkan di Festival Filem Sundance dan mendapat maklumbalas positif dari masyarakat antarabangsa.

- Sumber: Astro Awani 

Mahkamah diberitahu sijil nikah Awie dan isteri palsu



Mahkamah diberitahu sijil nikah Awie dan isteri palsu

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Yusoff Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa sijil nikah penyanyi Awie dan isterinya, Rozana Misbun adalah palsu.

Ketika ditanya peguam Jamal Lokman Mohd Sulaiman yang mewakili isteri penyanyi itu, Yusoff bersetuju dengan soalan yang dicadangkan peguam itu.

Katanya, pada 4 Julai lalu, carian data mengenai kesahihan itu dibuat dengan menggunakan sistem aplikasi Nikah, Cerai dan Rujuk atas talian iaitu E-Munakahat Pulau Pinang melalui nombor kad pengenalan dan nama Rozana.

"Carian kali ketiga turut dibuat pada 8 Julai tetapi berdasarkan nombor sijil nikah yang dimohon suami pemohon (Rozana) iaitu Ahmad Azhar Othman, nama sebenar Awie.

"Dan hasilnya, hanya nombor siri tersebut wujud tetapi atas nama individu lain," katanya yang merupakan individu yang mempunyai pengetahuan secara langsung terhadap pengeluaran surat perakuan sijil nikah yang didakwa palsu oleh Rozana.

Yusoff, 51, bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, dan kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelarasan Undang-Undang di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau diarahkan hadir ke mahkamah hari ini bagi memberi keterangan berhubung sijil nikah penyanyi itu yang diragui kesahihan oleh Rozana.

Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain menetapkan 13 Jan ini keputusan sama ada sijil nikah pasangan itu palsu atau tidak.

Dalam prosiding itu, Rozana, 37, hadir manakala Awie, 47, diwakili peguam Mohd Hafizal Parcho.

Pada awal Dis tahun lepas, Rozana, membuat laporan polis dan mendakwa sijil nikah mereka yang dikeluarkan Pejabat Agama Daerah Bukit Mertajam sembilan tahun lepas adalah palsu.

Penyanyi rock terkenal Kumpulan Wings itu bernikah dengan Rozana di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak - dua lelaki dan seorang perempuan.

Pada 4 Julai tahun lepas, Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di sini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Hulu Klang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun tahun lepas.

- Sumber: Bernama 

Januari 6: Identiti tiga lagi jasad dikenalpasti



QZ8501: Identiti tiga lagi jasad dikenalpasti

SURABAYA: Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) telah mengenalpasti tiga lagi jasad mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501.

Ketua DVI Polis Daerah Jawa Timur, Komisoner Besar Budiyono berkata, hingga kini 16 jasad telah pun dikenalpasti daripada 37 jasad yang dibawa ke Hospital Bhayangkara.

Tiga jasad yang baru dikenalpasti adalah, Indra Yulianto 51 tahun, Hindarto Halim 61 tahun dan Jou Brian Youvito 19 tahun.

Jasad Indra dan Hindarto dikenalpasti menerusi post mortem dan ante mortem kamera litar tertutup di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda sewaktu hari kejadian.

Sementara jasad Jou Brian Youvito dikenalpasti menerusi pemeriksaan gigi serta kad pengenalan mahasiswa dan kad bank di dalam kocek seluar mangsa.

Ketiga-tiga jenazah kemudian diserahkan kepada ahli keluarga untuk pengurusan pengkebumian. 

- Sumber: Astro Awani 

Kereta generasi baharu Honda masuk pasaran Malaysia Februari ini

Kenderaan yang digerakkan oleh enjin 1.8 liter i-VTEC SOHC yang dibina pada transmisi boleh laras berterusan. - Foto automobiles.honda.com

Honda Malaysia akan melancarkan HR-V (Hip and Smart Runabout Vehicle), sebuah kenderaan utiliti sukan kompak (SUV) generasi baharu dalam Februari depan.

"SUV kompak generasi baharu yang dinamik ini bakal mendapat sambutan yang baik di Malaysia memandangkan ia menggabungkan ciri-ciri kelapangan, mesra pengguna dan berfungsi.

"Pada dasarnya, HR-V serba baharu ini merupakan gabungan keindividuan dan kegunaan yang sempurna," katanya dalam satu kenyataan.

Kenderaan yang digerakkan oleh enjin 1.8 liter i-VTEC SOHC yang dibina pada transmisi boleh laras berterusan, dibangunkan di bawah teknologi impian bumi Honda, yang memberi tumpuan ke atas prestasi pemanduan serta ekonomi bahan api.

Sempena pelancaran tersebut, Honda akan membuat jerayawara di kompleks membeli belah terpilih di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Petaling Jaya, Johor Bahru dan Sungai Petani. 

HR-V serba baharu ini boleh ditempah melalui 77 pengedar Honda di seluruh negara mulai hari ini.

- Sumber: Bernama 

Bapa cari di empat hospital di Shanghai, sebelum dapat tahu anak terbunuh


Tan dan isteri tiba bersama mayat mendiang Tan Wei, pelajar di salah sebuah universiti di wilayah Hangzhou, wilayah Zhejiang, di sini pada Isnin.

KUALA LANGAT: Bapa kepada Tan Wei, 20, pelajar Malaysia yang terkorban dalam insiden rempuhan di Dataran Chen Yi, Shanghai, China Rabu lepas, terpaksa memeriksa empat buah hospital di bandar raya berkenaan sebelum mendapat tahu anak perempuan tunggalnya maut dalam kejadian tersebut.

Dalam nada sedih, Tan Chin Hin menceritakan bahawa sebaik tiba di Shanghai dari Kuala Lumpur pada Khamis lepas, setelah dimaklumkan oleh isterinya Lee Siew Yan yang sedang bercuti di China bahawa anaknya terlibat dalam kejadian rempuhan itu, beliau tidak dapat mengesan nama anaknya dalam senarai awal mangsa insiden itu yang dikeluarkan pihak berkuasa China.

"Saya tidak dapat mencari di mana anak saya berada, setelah bertanya kepada beberapa pihak saya difahamkan mangsa kejadian itu dihantar ke empat buah hospital berlainan sekitar Shanghai.

"....saya pun pergi ke setiap hospital yang dinyatakan. Setelah saya sampai di hospital keempat dan memeriksa bilik mayat hospital itu, baru saya tahu anak saya sudah tiada," kata Ketua Kampung Jenjarom itu kepada rakan-rakan dan pemberita ketika ditemui di Kuil FGS Dong Zhen, Jenjarom dekat sini.

Tan dan isteri tiba bersama mayat mendiang Tan Wei, pelajar di salah sebuah universiti di wilayah Hangzhou, wilayah Zhejiang, di sini pada Isnin.

Pesawat yang membawa mayat mendiang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira 7 petang Isnin dan sampai di perkarangan kuil di sini, kira-kira 40 minit kemudian.

Ketibaan mayat mendiang Tan Wei disambut kira-kira 300 orang yang terdiri daripada kaum keluarga, rakan-rakan serta penduduk setempat.

Selain Tan Wei, Tan Chin Hin mempunyai dua lagi anak lelaki.

Difahamkan mayat mendiang akan ditempatkan di kuil berkenaan sehingga Rabu ini untuk rakan-rakan dan saudara-mara memberi penghormatan terakhir, sebelum mendiang disemadikan di Taman Peringatan Nirvana, Shah Alam.

Dalam kejadian semasa sambutan ambang tahun baharu itu, seramai 35 orang terbunuh dan 48 yang lain cedera dalam kejadian yang disifatkan antara yang terburuk pernah berlaku di Shanghai.

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang tercedera dalam rempuhan itu, Ooi Hooi Yi masih menerima rawatan di Hospityal Changzheng dan dilaporkan bertambah baik.

- Sumber: BERNAMA

Kejatuhan nilai ringgit terburuk adalah fenomena antarabangsa

Kejatuhan nilai ringgit terburuk dalam tempoh lima tahun disifatkan fenomena antarabangsa berikutan hampir semua matawang negara pesat membangun mengalami kejatuhan berbanding dolar. 

KUALA LUMPUR: Kejatuhan nilai ringgit terburuk dalam tempoh lima tahun disifatkan fenomena antarabangsa berikutan hampir semua matawang negara pesat membangun mengalami kejatuhan berbanding dolar.

Menurut Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew, kebanyakan matawang dunia jatuh berbanding dolar berikutan pandangan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan menaikan kadar faedah dalam tempoh terdekat.

"Justeru, banyak tunai mengalir ke Amerika dan mengukuhkan nilai dolar," menurut Teng Siew ketika dihubungi Astro Awani, di sini baru-baru ini.

"Jika dilihat bandingan matawang dunia, 174 matawang dunia, hanya 18 matawang yang mengukuh berbanding Dolar. Kelemahan Ringgit perlu dilihat sebahagian dari kitaran pengukuhan dolar", katanya.

Beliau berkata kejatuhan ringgit juga boleh dikaitkan dengan kelemahan harga minyak mentah global yang ketika ini belum menunjukan tanda pemulihan.

"Kita tidak boleh anggap harga minyak akan kekal rendah selamanya. Ia kitaran lemah yang masih boleh pulih dan tidak perlu terlalu bimbang. Ia sementara dan saya percaya ia akan kembali pulih dalam tempoh tertentu."

Menurutnya lagi, ringgit diramal stabil kembali dalam tempoh tiga ke enam bulan selepas harga minyak kembali pulih.

Ringgit jatuh keparas RM3.51 berbanding dolar pagi Jumaat, terburuk sejak September 2009 dengan harga US$80 setong. Pada Isnin, harga minyak mentah pasaran Brent jatuh di bawah paras US$55.66 setong.

Fenomena ini menimbulkan kegusaran dikalangan pelabur dan pedagang bahawa pendapatan Malaysia akan terjejas sekaligus memberi sentimen negatif. 

- Sumber: Astro Awani

Indonesia arah pegawai penerbangan digantung kerja

Anggota BASARNAS mengusung mayat yang berjaya dibawa keluar daripada lokasi nahas pesawat QZ8501

PANGKALAN BUN: Kerajaan Indonesia hari ini mengarahkan pegawai penerbangan digantung kerja ekoran penyiasatan terhadap nahas udara yang melibatkan pesawat AirAsia QZ8501 selain berjanji akan mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat penerbangan domestic yang melanggar permit terbang mereka.

Tindakan keras itu hadir sewaktu operasi mencari dan menyelamat masuk hari kesembilan yang menyaksikan cabaran getir yang dihadapi oleh pasukan SAR akibat cuaca yang tidak menentu dan membantutkan operasi mencari lebih banyak mangsa dan kotak hitam penerbangan yang penting untuk mengenal pasti punca nahas tersebut.

Hanya tiga mayat berjaya dibawa keluar pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 37. Seramai 162 penumpang dan kru penerbangan berada dalam pesawat tersebut yang terhempas sewaktu dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.

Pihak Indonesia mendakwa pesawat itu tidak mendapat izin untuk terbang. Kementerian Perhubungan telah mengarahkan pihak lapangan terbang dan pengurus penerbangan udara untuk “menggantung kakitangan yang terlibat” dengan aktiviti yang melibatkan pesawat tersebut, kata Ketua Pengarah Pengangkutan Udara Indonesia, Djoko Murjatmodjo kepada pemberita.

AirAsia Indonesia telah digantung kebenaran untuk terbang dari Surabaya ke Singapura walaupun pegawai penerbangan di Singapura telah memberikan kebenaran tersebut.

Murjatmodjo berkata mereka akan menamatkan mana-mana syarikat penerbangan lain yang melanggar jadual penerbangan yang dibenarkan negara itu termasuk yang tidak mempunyai rekod keselamatan yang bersih.

"Jika selepas penilaian ada syarikat penerbangan lain yang tidak terbang mengikut jadual yang diluluskan, ia jelas satu pelanggaran undang-undang dan kita akan mengambil tindakan.," kata Murjatmodjo, sambil menambah yang mereka sedang menyiasat bagaimana AirAsia boleh terbang pada jadual yang tidak diluluskan tanpa pengetahuan Kementerian . 

- Sumber: AFP 

PM terkena jangkitan E.Coli, disuruh berehat


SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak difahamkan terkena jangkitan E.Coli semasa lawatan ke kawasan banjir.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Twitter rasmi Pejabat Perdana Menteri.

"Doktor nasihat supaya berehat. Beliau akan kembali bertugas secepat mungkin," tulis kemaskini di laman mikro tersebut.

Sementara itu, Najib menerusi Twitter beliau berkata akan terus memantau perkembangan perasi bantuan banjir dari rumah.

Perdana Menteri baru-baru ini melawat beberapa kawasan yang dilanda banjir selepas pulang daripada bercuti. 

E.Coli atau Escherichia Coli ialah penyakit bawaan banjir, merupakan sejenis bakteria yang ditemui dalam usus organisma berdarah panas.

Biarpun kebanyakan jenis E.Coli tidak berbahaya, ada juga yang boleh menyebabkan keracunan makanan yang serius kepada manusia, ia juga menyebabkan jangkitan cirit birit.

- Sumber: Sinar Harian 

Hanya tiga bulan bergelar isteri

  • Khairul Azwan (dua, kiri) berbual dengan Nur Naszira (dua, kanan) dan ibu mertua, Kamaliah Ali (tiga, kiri) ketika mengunjungi keluarga berkenaan di Kampung Tanjung Jambu.
  • Khairul Azwan (dua, kiri) berbual dengan Nur Naszira (dua, kanan) dan ibu mertua, Kamaliah Ali (tiga, kiri) ketika mengunjungi keluarga berkenaan di Kampung Tanjung Jambu.

KUALA LIPIS - “Hampir luluh hati saya setelah mendengar berita abang terbabit dengan kemalangan dan meninggal dunia. Namun, saya terima dugaan ini dengan penuh kekuatan dan berdoa kepada ALLAH agar abang ditempatkan dalam kalangan para salihin."

Demikian luah Nur Naszira Nordin, 22, yang terpaksa menerima hakikat bahawa suaminya yang amat disayangi, Mohd Shazwan Kamarizan, 26, yang baharu dikahwini selama tiga bulan telah pergi buat selama-lamanya.

Menurutnya, arwah Mohd Shazwan telah terbabit dengan kemalangan jalan raya berdekatan laluan Bentong ke Kuala Lumpur pada 29 Disember tahun lalu ketika dalam perjalanan pulang ke tempat kerjanya di Putrajaya.

Jenazah arwah selamat disemadikan di tanah perkuburan Kampung Tanjong Jambu, di sini selepas Asar hari sama ketika keluarganya masih bergelut dengan musibah banjir apabila kediaman mereka turut dinaiki air.

“Abang (Mohd Shazwan) yang bekerja di sebuah syarikat penyelenggaraan swasta di Putrajaya bertegas mahu pulang pada hari berkenaan untuk bekerja selepas menziarahi saya dan keluarganya ditimpa banjir di sini.

“Abang juga tidak menunjukkan apa-apa perubahan sebelum kejadian dan hanya sentiasa bergurau walaupun dalam keadaan mereka ditimpa musibah banjir,” katanya di Kampung Tanjong Jambu di sini, semalam.

Nur Naszira berkata demikian semasa dia dan keluarga Mohd Shazwan antara mangsa banjir kampung Tanjong Jambu, Lipis yang dikunjungi Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairul Azwan Harun.

Turut menziarahi keluarga itu, Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Shahar Abdullah; Ketua Pemuda Umno Lipis, Mohd Farid Mohd Noor dan Ketua Pemuda Cameron Highlands, Wan Kamarul Nahar Wan Mustaffa.

Nur Naszira yang bekerja di sebuah Taska di Putrajaya berkata, dia mengumpulkan segala kekuatan untuk menghadapi situasi yang hebat itu, malah reda dengan ketentuan ALLAH lebih-lebih lagi masih tertekan dengan musibah banjir.

“Sepanjang tempoh tiga bulan hidup bersama arwah, abang sentiasa menyuburkan kasih kasih sayang dalam melayari rumahtangga kami.

“Alhamdulillah, ALLAH beri pinjam seorang insan yang baik dan amat penyayang lagi bertanggungjawab terhadap isteri (saya) cuma dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Sementara itu, Khairul Azwan meminta Nur Naszira dan keluarga Mohd Shazwan tabah menghadapi dugaan yang hebat itu semasa musibah (banjir) dan perlukan kekuatan iman dalam saat pilu berkenaan.

- Sumber: Sinar Harian