PERNAH bergelar pelakon suatu ketika dahulu bukan bererti empunya nama Nora Asikin Rahmat ini terus dilupakan dalam bidang seni.


Walaupun sudah lama wajahnya tidak dilihat di layar-layar skrin namun masih ramai yang ingin mengambil tahu perjalanan hidup wanita yang lebih dikenali sebagai Ekin ini.

Siapa sangka, keputusannya meninggalkan bidang seni bukanlah langkah yang merugikan dirinya, malah kerana keputusan itulah dia kini antara selebriti yang semakin berjaya dalam bidang perniagaan.

Berkongsi kisah hidupnya kini, ibu kepada Cahaya Malaika ini memberitahu, meskipun perniagaan yang dijalankan sangat memberangsangkan, ia bukan bererti dia mengabaikan keluarga terutama puteri sulungnya itu.

"Biasanya saya akan membawa anak ke mana-mana saya pergi. Sama ada urusan itu di butik atau di luar Kuala Lumpur, saya tidak pernah meninggalkan," katanya kepada Zass.

Akui wanita berusia 33 tahun ini, masa bersama anak adalah paling berharga berbanding perkara lain.

"Anak adalah keutamaan saya, saya memang tidak boleh jauh dengannya. Saya tidak mahu dia kekurangan kasih saya kerana saya leka dan terlalu memberikan fokus kepada karier semata," jelasnya.

Tambah Ekin, walaupun di awal kelahiran Cahaya, dia sering menerima tawaran komersial bersama anaknya itu, tetapi dia nekad untuk tidak terlalu mendedahkan Cahaya kepada bidang seni.

"Cahaya masih kecil, rasanya dalam usianya sekarang pun, saya kurang selesa melihat dia melakukan kerja-kerja sedemikian.

"Tetapi jika apa yang ditawarkan menarik, saya sedia pertimbangkannya," katanya yang turut memaklumkan Cahaya kini menginjak usia 2 tahun 10 bulan.

Ditanya adakah dia sedang merancang menambah bilangan ahli keluarga, jelas Ekin, dia dan suami, Mawi AF, sudah bersyukur mempunyai Cahaya.

"Kerana masalah rahim saya, doktor nasihatkan supaya banyak berehat jika mengandung lagi. Kami tidak pernah merancang dan apa yang dianugerahkan Allah SWT kami terima dengan terbuka.

"Alhamdulillah, sekarang pun kami cukup gembira dan berseri dengan adanya seorang anak," katanya.

Ujar Ekin, adakala kesibukannya juga membuatkan dia hanya berkesempatan meluangkan masa bersama suami selepas habis bekerja.

"Lagi-lagi pada waktu hujung minggu, memang banyak kerja, kerana saya akan ikut mana-mana 'event' perniagaan.

"Mawi pula banyak mendapat undangan pada waktu itu, jadi kami perlu bijak mencari masa bersama," katanya akan makan malam bersama, tengok wayang dan membawa Cahaya ke tempat permainan jika ada masa terluang.

Dapat sokongan suami

Mengakui semakin sibuk dengan urusan perniagaan dan keluarga, Ekin memberitahu, dia gembira kerana masanya dipenuhi dengan perkara yang lebih bermanfaat kini.

"Selepas meninggalkan dunia lakonan dan berkahwin, saya memang tidak terikat dengan sebarang komitmen.

"Alhamdulillah, bidang perniagaan yang diceburi telah memberi warna baru dalam kehidupan saya.

"Selepas setahun lebih mengusahakan produk kesihatan dan kecantikan Unequein, saya kini mampu berbangga dengan diri sendiri," katanya kepada Zass.

Tambah Ekin, dia juga bersyukur kerana suaminya itu sentiasa memberi sokongan dengan jalan yang dipilihnya.

"Walaupun masing-masing terikat dengan karier dan komitmen, tetapi dia tidak pernah merungut kerana apa yang diusahakan saya berhasil," katanya 21 Disember lalu genap enam tahun usia perkahwinan mereka.

Dalam pada itu, Ekin mengakui sebagai kehidupan berumah tangga tidak lengkap jika tidak pernah bertikam lidah.

"Adatlah menjadi suami isteri pasti ada bertikam lidah, tetapi tidak pernah pula kami bergaduh besar.

"Biasanya kami hanya tidak sependapat mengenai perkara-perkara yang melibatkan perniagaan. Contohnya bila hendak mengeluarkan rekaan terbaru, ada sahaja percanggahan idea," katanya.

Mengenai perkembangan perniagaannya pula, katanya, dia kini sedang merancang membuka sebuah butik di sekitar Kuala Lumpur.

"Butik yang ada lokasinya di Bangi, walaupun sambutan memberangsang, tetapi sebagai peniaga saya perlu cari lokasi yang lebih strategik dan mudah dijumpai pelanggan.

"Insya-Allah, itu perancangan saya untuk tahun hadapan," ujarnya lagi.

Selain itu, bagi produk Unequein, selain tudung, Ekin turut menghasilkan pelbagai jenis selendang yang semakin menjadi kegilaan wanita bertudung.

"Wanita bertudung kini semakin bijak bergaya, pun begitu mereka masih kelihatan sopan," katanya.

 - Sumber: Sinar Harian