Saturday, 16 August 2014

Wanita rugi RM348,050 ditipu rakan Facebook

Wanita rugi RM348,050 ditipu rakan Facebook

MIRI: Seorang kerani pentadbiran mendakwa kerugian RM348,050 akibat diperdaya seorang rakan lelaki yang dikenali melalui Facebook sejak Januari 2014.

Wanita berumur 52 tahun itu membuat laporan polis pada pukul 4.08 petang semalam mendakwa telah membuat 13 transaksi di pelbagai bank secara beransur-ansur, kata Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee.

Beliau berkata polis akan mendapatkan penyata bank milik mangsa dan meminta bantuan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur untuk menyiasat kes itu.

"Jangan mudah percaya kenalan melalui Facebook, lebih-lebih lagi yang menjanjikan memberi pulangan keuntungan tinggi serta lumayan, ini modus operandi menipu," katanya kepada Bernama hari ini.

Gan berkata, wanita itu berkata rakan lelaki yang mendakwa warga Britain memaklumkan akan menghantar 120,000 pound (RM632,400) yang diwarisi daripada bapanya, secara pos ke Malaysia dan wang itu kononnya untuk menjalani kehidupan bersama-sama dengan mangsa.

Katanya pada 10 Julai lepas seorang wanita yang mendakwa warga Britain menghubungi mangsa dan memberitahu wang itu telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Gan berkata, wanita tersebut meminta mangsa membayar yuran pos sebanyak RM6,450 dan mangsa telah mendeposit wang tersebut dalam akaun bank yang diberikan wanita itu.

Beliau berkata, mangsa sekali lagi dihubungi wanita berkenaan untuk menambah bayaran dengan mendakwa untuk tujuan bayaran yuran peguam bagi mendapatkan sijil untuk membolehkan mendapatkan wang berjumlah RM632,400 itu.

"Mangsa dihubungi lelaki tersebut pada 18 Julai lepas dan mendakwa telah tiba di Kuala Lumpur serta meminta mangsa membuat pembayaran cukai (bagi mendapatkan wang itu)," katanya.

Wanita itu membuat laporan polis selepas menyedari dirinya telah ditipu, katanya.

Gan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan. -

Lima individu hilang di Bukit Wawasan ditemui

KUALA LUMPUR - Lima individu yang dilaporkan hilang semasa menjalankan aktiviti riadah di Bukit Wawasan di Puchong, malam tadi, ditemui dalam keadaan selamat kira-kira pukul 4 pagi ini.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Sehat Bedol berkata mereka ditemui di kawasan hutan Saujana Puchong 10, bukit berkenaan. 

"Mereka merupakan dua wanita masing-masing berumur 52 dan 30 tahun manakala tiga lelaki berusia lingkungan 30-an.

"Mereka ditemui dalam keadaan selamat namun sedikit lemah dan dikeluarkan sejam kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kesemua individu terbabit dilaporkan hilang oleh suami seorang daripada wanita terbabit pada kira-kira pukul 10 malam tadi apabila isterinya tidak pulang selepas mendaki Bukit Wawasan bersama-sama rakannya sejak petang semalam. - Bernama

Bimbang gambar bogel tersebar

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja perempuan hidup dalam ketakutan selepas tindakannya menghantar gambar bogel kepada teman lelaki baru dikenali mengundang padah apabila dirinya diaibkan susulan penyebaran gambar tersebut.

Tidak cukup dengan itu, remaja berusia 13 tahun itu turut menerima beberapa ugutan akan diculik oleh teman lelakinya yang hanya dikenali melalui telefon.

Difahamkan, mereka tidak pernah berjumpa sepanjang tempoh perkenalan tersebut, iaitu sejak April lalu.

Bagaimanapun menurut sumber, selepas hampir sebulan berhubung tanpa bersemuka, teman lelakinya bertindak berani meminta mangsa menghantar sekeping gambar bogel kepadanya tetapi mangsa enggan berbuat demikian.

“Pada mulanya suspek memberi alasan kononnya meminta gambar berkenaan hanya sekadar simpanan dirinya sendiri, bagaimanapun, mangsa enggan berbuat demikian kerana malu dan tidak yakin dengan suspek.

“Keengganan mangsa telah mengundang kemarahan suspek sebelum mengugut mahu menculik mangsa sekiranya mereka terserempak di luar.

Bimbang dengan ugutan itu, mangsa yang ketakutan akur dengan arahan tersebut sebelum bertindak menghantar gambar separuh bogelnya,” katanya.

Bagaimanapun suspek yang masih tidak berpuas hati kerana permintaannya untuk mendapatkan gambar bogel tidak ditunaikan, sekali lagi memaksa mangsa menghantar gambar yang menampakkan keseluruhan badan.

“Suspek yang masih tidak berpuas hati tetap memaksa dan mengugut remaja malang itu dengan niat untuk menakutkannya.

“Risau dengan ugutan tersebut, mangsa tanpa berfikir panjang mengikut arahan suspek dengan menghantar gambar bogelnya,” katanya.

Jelas sumber lagi, mangsa hanya mengetahui berhubung penyebaran gambarnya pada minggu lalu selepas dimaklumkan rakan sekolah sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya dan ingin memastikan gambar terbabit tidak terus disebarkan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya sedang giat mengesan suspek.

- Sinar Harian 

Filem 'Penanggal' dominasi pencalonan akhir FFM26

Penanggal menerima 15 pencalonan pada FFM26

KUALA LUMPUR: Filem terbitan Astro Shaw dan Grand Brilliance "Penanggal" mendominasi pencalonan akhir Festival Filem Malaysia 26.

Filem arahan Ellie Suriati itu menerima 15 pencalonan akhir termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

Mengekori rapat adalah filem Sembunyi dengan 12 pencalonan diikuti KIL (11), Rock Oo (9), Tanda Putera (9), KL Gangster 2(7) dan Psiko Pencuri Hati (5).

Filem lain yang turut dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik adalah KIL, KL Gangster 2, Rock Oo dan Sembunyi: Amukan Azazil.

Pencalonan akhir dalam kategori ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila kesemua filem diterbitkan oleh Primeworks Studios (Grand Brilliance) secara persendirian mahu pun usahasama dengan produksi lain.

Pesaing dalam kategori Pengarah Terbaik menyaksikan dua muka baru iaitu Ellie Suriaty (Penanggal) dan Nik Amir Mustapha (KIL) bertembung dengan muka lama antaranya Kabir Bhatia (Sembunyi), Mamat Khalid (Rock Oo) dan Syamsul Yusof (KLG2).

Antara kejutan awal FFM26 termasuk ketiadaan nama pelakon Redza Minhat (KIL) dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik yang menyenaraikan pelakon Faizal Hussein (Longkai), Bront Palarae (Psiko Pencuri Hati), Syed Hussein (Psiko Pencuri Hati), Rusdi Ramli (Tanda Putera) dan Azry Iskandar (Penanggal).

Filem Psiko Pencuri Hati juga seakan tidak diberikan perhatian apabila gagal mendapat pencalonan dalam beberapa kategori antaranya Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Bertemakan Transformasi Sinema Malaysia, Festival Filem Malaysia ke 26 dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.

Senarai penuh pencalonan akhir 

Filem Terbaik
KIL (Primeworks Studios (Grand Brilliance))
KL Gangster 2 (Skop Productions/Primeworks Studios (Grand Brilliance))
Penanggal (Astro Shaw/Primeworks Studios (Grand Brilliance))
Rock Oo (Primeworks Studios (Grand Brilliance))
Sembunyi: Amukan Azazil (Primeworks Studios (Grand Brilliance)

Filem Bukan Di Dalam Bahasa Melayu Terbaik
Dhusrajanam
The Wedding Diary II
Paper Moon
The Collector
The Golden Couple

Pengarah Terbaik
Ellie Suriaty (Penanggal)
Kabir Bhatia (Sembunyi: Amukan Azazil)
Mamat Khalid (Rock Oo)
Nik Amir Mustapha (KIL)
Syamsul Yusof (KL Gangster 2)

Filem Pendek Terbaik
Jahit (Reservoir Production)
Cerita Satu Malam (Nazri Mohd Annuar)
Kekasih (Diffan Sina Norman)
The Pillar (Thumbs Up Team)
Mimpi Mah Meri (Yu Chee Boon)

Filem Animasi Terbaik
The Adventure of Hoggie, Pinky Zero, Ali and Abu (Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK)
The Curse (Thumbs Up Team)
Jinggo (El Videographics)

Lakon Layar Terbaik
Ellie Suriaty (Penanggal)
Alfie Palermo (Sembunyi: Amukan Azazil)
Mamat Khalid (Rock Oo)
Nik Amir Mustapha (KIL)
Syamsul Yusof (KL Gangster 2)

Pelakon Lelaki Terbaik
Azry Iskandar (Penanggal)
Bront Palarae (Psiko Pencuri Hati)
Faizal Hussein (Longkai)
Rusdi Ramli (Tanda Putera)
Syed Hussein (Psiko Pencuri Hati)

Pelakon Wanita Terbaik
Diana Danielle (Sembunyi: Amuka Azazil)
Kalpana (Dhusrajanam)
Lisa Surihani (Istanbul Aku Datang)
Sharifah Amani (Psiko Pencuri Hati)
Ummi Nazeera (Penanggal)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Azad Jazmin (Kolumpo)
Khir Rahman (Rock Oo)
Rosyam Noor (KL Gangster 2)
Sharnaaz Ahmad (Juvana)
Zizan Nin (Tanda Putera)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Anne James (KIL)
Nell Ng (Kolumpo)
Normah Damanhuri (Penanggal)
Ruminah Sidek (Kolumpo)
Umie Aida (Sembunyi: Amukan Azazil)

Cerita Asal Terbaik
Ellie Suriaty (Penanggal)
Kabir Bhatia (Sembunyi: Amukan Azazil)
Mamat Khalid (Rock Oo)
Amin Shakib (Psiko Pencuri Hati)
Fadzil Zahari (Tokan)

Sinematografi Terbaik
S.Y. Chong (KIL)
Haris Hue Abdullah (Istanbul Aku Datang)
Raja Mukriz (Penanggal)
Filus Ghazali (Tanda Putera)
Norhanisham Muhammad (Sembunyi: Amukan Azazil)

Penyunting Terbaik
Rewan Ishak (KIL)
Wong Hui Lynn (Istanbul Aku Datang)
Akashdeep Singh (Penanggal)
Syamsul Yusof/Hisham Jupri (KL Gangster 2)
Adilan Azemi (Sembunyi: Amukan Azazil)

Skor Muzik Asal Terbaik
Sharon Paul (Tanda Putera)
Bell Foo/JT Ng (Paper Moon)
Nik Mustaza Nik Mustapha (Tokan)
Hafiz Hamidun (KL Gangster 2)
Hafiz Hamidun (Sembunyi: Amukan Azazil)

Penataan Seni Terbaik
Rewan Ishak (KIL)
Zahid Othman (Rock Oo)
Nazrul Asraff (Penanggal)
Aida Fitri Buyong/Kamarul Nizam (Tanda Putera)
Mazalan Zulkifli (Sembunyi: Amukan Azazil)

Penataan Bunyi Terbaik
Mohsin Othman (KIL)
Mohd Rashid Othman (Rock Oo)
Adzrey Abdul Kamal (Penanggal)
Syamsul Yusof/Hisyam Jupri (KL Gangster 2)
Hafiz Hamidun (Sembunyi: Amukan Azazil)

Lagu Tema Asal Terbaik
Aku Datang (Istanbul Aku Datang)
Tika (Rock Oo)
Tokan (Tokan)
Puisi Sang Dewi (Lemak Kampung Santan)
Tanda (Tanda Putera)

Pengarah Harapan
Ellie Suriaty (Penanggal)
Nam Ron (Psiko Pencuri Hati)
Esma Daniel (Zaiton Ceritaku)
Nik Amir Mustapha (KIL)
Syed Hussein (Langgar)

Pelakon Harapan Lelaki
Ahya U (Tanda Putera)
Shukri Yahaya (Ular)
Karl Shafek (Zaiton Ceritaku)
Syazwan Zulkifli (Juvana)
Zul Ariffin (Penanggal)

Pelakon Harapan Wanita
Cristina Suzanne (KIL)
Nadia Aqilah (Zaiton Ceritaku)
Nelyda Senrose (Cinderella)
Siti Saleha (Kerat 14)
Uqasha Senrose (Paku Pontianak)

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
Farrah Nadiah (Bisikan Syaitan)
Nur Adriana (Bencinta)
Putri Balqis (1 Lawan 1)
Rykarl Iskandar (Ajiboy)
Ahmad Ashraff Fahmy (Lemak Kampung Santan)

Pereka Kostum Terbaik
Hasnan Yaccob/Fadzilah Abdullah (Tanda Putera)
Akma Suriati Awang (Rock Oo)
Ameen Mustajab (Sembunyi: Amukan Azazil)
Sarah Lee Ann (Kara King)
Nasirah Ramlan (Penanggal)

Kesan Khas Terbaik
Pesona Pictures (Tanda Putera)
Showbiz Productions (Ular)
Tayangan Unggul (Husin, Mon & Jin Pakai Toncit)
Tall Order Productions (Lemak Kampung Santan)
Astro Shaw & Primeworks Studios (Grand Brilliance) (Penanggal)

Poster Terbaik
Primeworkds Studios (Grand Brilliance) (KIL)
Tripod Entertainment (War of The Worlds: Goliath)
MIG Pictures (Bencinta)
Primeworks Studios (Grand Brilliance) (Balada Pencinta)
Otto Film (Kolumpo)

-- Astro Awani

Surat terbuka Husam Musa kepada Khalid Ibrahim

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa

Berikut adalah kenyataan media Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dengan tajuk 'Tan Sri Khalid Ibrahim cukuplah memperalatkan PAS' berhubung kemelut Menteri Besar Selangor:

Saya memerhatikan pergolakan Selangor sambil mendisiplinkan diri dengan membisu sekian lama.

Diharapkan ia tidak menambahkan kekeruhan sedia ada sekalipun sekian ramai awak-awak telah mengharu birukan lagi keadaan dengan komen-komen yang sesetengahnya tidak bertanggung jawab, bahkan mencederakan nama baik PAS.

Tikus lebih mudah merosakkan labu kerana menghancurkan lebih mudah dari membina.

Namun begitu, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai seorang insan gentleman dan berakhlak mulia mesti tahu batas beliau boleh menumpang PAS. Beliau boleh mendapatkan simpati, perlindungan sementara dan sokongan PAS dalam lingkungan semangat Pakatan Rakyat. Presiden PAS telah menghulurkan ranting zaitun untuk beliau. Episod itu telah berlalu.

Perkembangan lain telah berlaku selepas episod itu. Di mana PAS tidak wajar timbul tenggelam bersekali Tan Sri Khalid dan menggorbankan prinsipnya yang lebih besar, nama baiknya, akhlak politik yang dipegangnya dan amanah atas nama Pakatan rakyat yang ia perolehi dari rakyat Selangor.

Tan Sri telah dipecat sebagai ahli PKR. Oleh kerana beliau belum diterima menjadi ahli mana-mana parti gabungan Pakatan Rakyat, ia bukan mewakili PR lagi.

Tan Sri sedar sepenuhnya hal ini?

Kerajaan Selangor adalah kerajaan Pakatan Rakyat. Bukan kerajaan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagaimana seorang ADUN bukan anggota PR boleh terus menjadi MB Pakatan Rakyat?

Tan Sri memecat exconya dari PKR dan DAP. Juga mengambil pelbagai langkah politik lain lagi yang ikut memalitkan PAS tetapi PAS tidak pernah tahu mengenainya.

Tindakan ini boleh memecah belahkan Pakatan kerana seakan menunjukkan PAS terus mendokong MB yang sudah hilang legitimasi.

Ia merosakkan PAS dan Tan Sri tidak berhak berbuat demikian kepada PAS.

Untuk memecat Exco dari PKR dan DAP dan mengekalkan PAS, ia mesti dibincangkan lebih dahulu dengan PAS (Jawatankuasa PAS Pusat) dan mendapat persetujuan gabungan yang lain.

Setahu saya, PAS Pusat tidak pernah bermesyuarat dalam tempoh ini untuk memutuskan kedudukan itu.

Saya selaku salah seorang Naib Presiden tidak pernah dimaklumkan oleh mana-mana pihak tentang hal ini. Setahu saya, PAS Pusat juga tidak pernah memberikan mandat kepada sesiapa untuk memutuskan perkara ini.

Dengan ini, Tan Sri telah melibatkan PAS untuk survival Tan Sri sebagai MB dengan cara yang menjejaskan nama baik PAS di mata rakyat Selangor. Ini sangat tidak wajar.

Bagaimana Tan Sri boleh kekal sebagai MB dengan tidak melepaskan jawatan secara bermaruah pada hari sama Tan Sri dipecat sebagai ahli PKR? Sultan menitahkan untuk Tan Sri kekal adalah kebijaksanaan baginda tetapi Tan Sri mempunyai pilihan untuk menolak perkenan itu atas pilihan Tan Sri sendiri.

Apa lagi bertindak seakan Tan Sri masih berkuasa penuh pada hal asas legitimasi Tan Sri sudah runtuh. Untuk kekal sebagai MB, Tan Sri tidak boleh mencaturkan 15 ADUN PAS untuk menggenapkan cukup bilang bagi pembentukan kerajaan Selangor PAS + UMNO + TSKI + lompat parti DAP/PKR.

Itu sangat tidak bermoral. Itu meniru gaya UMNO di Perak. Perbuatan tersebut amat terkutuk dan ditolak oleh amalan demokrasi yang mulia. Memasukkan perkongsian kuasa PAS dan UMNO melanggar banyak prinsip yang dipegang oleh PAS selama ini.

UMNO adalah lawan PAS dan tidak ada mana-mana kuasa dalam PAS boleh mengizinkan PAS berkongsi kuasa dengan UMNO tanpa melalui kelulusan Muktamar Agung PAS.

Ia tidak mungkin dilakukan dalam jangka masa Tan Sri membilang jumlah ADUN untuk mengekalkan Tan Sri sebagai MB sekarang. Tan Sri sudah tidak mempunyai cukup bilang sekarang.

Jika itu dilakukan oleh PAS, bermakna PAS menerima hubungan 'sodomy'. 15 ADUN PAS dipilih oleh rakyat Selangor atas tiket kerja sama Pakatan Rakyat. UMNO ditolak oleh majoriti rakyat Selangor kecuali di 13 dun. Kedudukan UMNO adalah sebagai pembangkang dan PAS adalah sebahagian dari Kerajaan Selangor.

Membawa UMNO dari pembangkang dan duduk sebagai kerajaan bersama PAS dengan menolak dua lagi parti gabungan yang telah dipilih secara sah oleh rakyat adalah perbuatan terkutuk yang tidak dizinkan oleh Islam.

Islam tidak mengizinkan pengkhianatan. Islam tidak mengizinkan pecah amanah. Dalam hal ini, amanah majoriti pengundi Selangor memilih Pakatan sebagai kerajaan dan menolak UMNO.

Tan Sri sebagai tokoh korporat yang biasa dengan angka tentu tahu, sekalipun 15 ADUN PAS campur 12 ADUN UMNO dan turut campur Tan Sri, ia hanya berjumlah 28 ADUN dari 56 jumlah ADUN.

50:50. Ia tidak membolehkan Tan Sri mendapat simple majority dari awal, sekalipun jika PAS dan UMNO sanggup bersekongkol untuk mendaulatkan seorang insan bernama Khalid Ibrahim lebih dari segala-galanya.

Sementalah PAS dan UMNO kedua-duanya, secara pendirian parti yang rasmi, tidak pernah memberikan persetujuan itu sehingga hari ini. Hari Jumaat yang mulia - 15 Ogos 2014 - hari ini.

Jika Tan Sri mengharapkan YB Rodziah dan YB Teng yang disebut-sebut kononnya akan bersama Tan Sri sehingga Tan Sri melewatkan pemecatan YB Rodziah berbanding yang lain, namun mereka telah mengambil pendirian insan bermaruah dan pendekar terbilang kerana kekal bersama parti masing-masing.

Syabas! Saya amat bangga dengan mereka dan ia telah memberikan hiburan bagi hati yang gundah di tengah kecenderungan menggunakan 'jual beli kuda taruhan'.

Kentalnya YB Rodziah menolak tawaran kekal dalam Exco sekalipun berkereta besar dan bergaji lumayan adalah satu tamparan yang patut menyedarkan Tan Sri pada saat itu juga.

Legitimasi Tan Sri sebagai MB sudah berakhir.

Harapan mendapatkan sekurang-kurangnya seorang ADUN untuk mendapatkan simple majority sudah tertutup. Apa lagi bila dua ADUN PAS mengambil langkah bersendiri mereka menolak Tan Sri sebagai MB secara terbuka.

Sekalipun jika jarum jam boleh berpatah ke belakang, saya akan menasihatkan mereka untuk terlebih dahulu mendapat restu parti. Itu yang terbaik.

Tetapi tindakan mereka telah meletakkan usaha pihak mana jua untuk mewujudkan sebuah kerajaan gabungan PAS+UMNO+TSKI+lompat gagal dan mustahil.

Tan Sri tahu ini.

Lantas, apa lagi yang ditunggu?

Tidakkah mulia untuk Tan Sri bermaruah melepaskan jawatan MB?

Atau Tan Sri kini berfikir untuk membubarkan DUN?

Bukankah tindakan itu akan menyusahkan Tuanku Sultan Selangor?

Kenapa tidak pada tarikh Tan Sri mengadap Sultan Selangor baru ini Tan Sri mencadangkan DUN di bubarkan?

Jika kerana Tan Sri gagal mendapatkan cukup bilang Sultan Selangor mengambil langkah membubarkan DUN, ia pada hemat saya, akan mencemarkan istitusi diraja.

Model Perak di mana tokoh yang mendapat sokongan majoriti dilantik tanpa pembubaran DUN dan tanpa sidang DUN hendaklah menjadi cermin.

PAS telah mengalami pengalaman yang pahit bila MB Kelantan yang dilantik atas tiket PAS dan hendak ditukar oleh PAS, antara lain bukan kerana kesalahan jenayah rasuah tetapi semata-mata kerana gagal mengikut semangat dan arahan parti, telah mencetuskan krisis disebabkan UMNO melanggar konvensyen urusan parti lain tidak boleh dicampuri oleh parti gabungan yang lain.

Malangnya UMNO melanggar konvensyen itu. Lama PAS mengutuk tindakan jahat UMNO. Dari dulu hingga kini. Ia tercatat dalam dokumen rasmi PAS, ucapan pemimpinnya dan tesis para mahasiswa.

Oleh itu, TAN SRI harus tidak mengheret PAS dalam krisis TAN SRI. Parti TAN SRI berhak menukar TAN SRI dengan calon lain.

PAS boleh memberikan pandangan tetapi harus akur prerogative itu adalah hak PKR.

Itulah yang berlaku di Kedah semasa ada pandangan YAB Ustaz Azizan wajar ditukar sebagai MB.

PKR tidak menjamah urusan itu.

Jika Tan Sri berterusan mengheret PAS, seakan TAN SRI mahu PAS dilihat melanggar konvensyen yang ia telah junjung sejak ia kehilangan kuasa di Kelantan 1978.

Jika budi PAS yang telah menunjukkan setia kawan bersama TAN SRI dihargai, janganlah PAS diseret lebih jauh.

Meletakkan jawatan adalah langkah terhormat. Ia bukan akhir sebuah karier politik.

Namun, bertindak secara tidak bermaruah itulah sebenarnya akhir sebuah karier politik. Dan hitamnya rekod kehidupan.

_________________________________________________________
Sumber: Media Statement
Tulisan ini adalah pandangan peribadi Datuk Husam Musa yang disiarkan di Astro Awani pada 15 Ogos 2014

Polis Bali percaya kes mayat dalam beg pembunuhan dirancang

Mayat mangsa, Sheila von Wiese-Mack, 62, ditemui dalam sebuah beg yang diletakkan dalam sebuah teksi - AFP PHOTO / SONNY TUMBELAKA

Polis Indonesia menamakan anak perempuan mangsa bunuh yang ditemui mayatnya dalam sebuah beg di Bali serta teman lelakinya sebagai suspek utama kes dan sekiranya sabit tuduhan mereka boleh dikenakan hukuman mati mengikut undang-undang republik itu.

Mayat mangsa, Sheila von Wiese-Mack, 62, ditemui dalam sebuah beg yang diletakkan dalam sebuah teksi di perkarangan sebuah resort di Bali pada Rabu lalu.

Suspek utama Heather Mack, 19, adalah anak perempuan mangsa bunuh yang ditemui mayatnya dalam sebuah beg - (AP Photo/Firdia Lisnawati)

Anak perempuan mangsa, Heather Mack, 19, dan teman lelakinya, Tommy Schaefer, 21, kini dalam tahanan polis untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Bali, Inspektor Jeneral Albertus Julius Benny Mokalu percaya pihaknya ada bukti yang kukuh untuk mensabitkan kedua-dua suspek itu.

"Kita ada bukti termasuk rakaman CCTV, cap jari, beg yang menunjukkan bahawa merekalah pelakunya.

"Ini pembunuhan yang dirancang. Kenapa? Kerana kita boleh lihat mereka memasukkan mayat itu ke dalam beg tersebut," katanya seperti dipetik oleh laman web berita news.com.au.

Rakaman CCTV tersebut menunjukkan pasangan kekasih itu membawa turun beg dari bilik hotel mereka ke lobi menggunakan tangga kecemasan. Beg itu kemudiannya ditemui mengandungi mayat mangsa.

Teman lelaki Heather Mack, Tommy Schaefer, 21, kini dalam tahanan polis untuk membantu siasatan - (AP Photo/Firdia Lisnawati)

Menurut polis, pasangan kekasih itu menggunakan kad kredit mangsa untuk menempah bilik di sebuah hotel lain selepas mereka meninggalkan resort tempat beg berisi mayat itu ditemui.

Dalam siasatan awal, anak perempuan mangsa dilaporkan memberitahu polis bahawa dia kini mengandung. Dia mendakwa kandungannya berada di luar rahim dan dia perlu pulang ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan rawatan.

Siasatan polis di Bali, Indonesia itu dibantu oleh siasatan polis di Chicago, Amerika Syarikat. Jurucakap polis di Chicago dilaporkan memberitahu media pihak mereka menerima banyak laporan polis berhubung masalah keluarga di kediaman mangsa sejak 2004.

Polis percaya apa yang berlaku di rumah itu mungkin boleh membantu mereka mendapatkan gambaran sebenar tentang apa yang terjadi di Bali.

Saksi juga dilaporkan melihat mangsa bertengkar di lobi resort mewah itu pada pagi Rabu tentang siapa yang sepatutnya membayar bil hotel apabila mereka keluar pada Khamis.

Kedua-dua suspek pada Jumaat menjalani pemeriksaan psikiatri. Anak perempuan mangsa juga menjalani ujian bagi mengesahkan dakwaan kononnya dia mengandung.

Dalam keterangan awalnya kepada polis pada Rabu, Heather yang menangis memberitahu kononnya dia dan ibunya cuba dirompak oleh tiga lelaki yang tidak dikenali di resort tempat mereka menginap.

Siasatan polis mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dipercayai dihentak dengan benda tumpul. Mangsa juga dipercayai bergelut dengan penyerangnya.

Kedua-dua suspek meninggalkan resort tempat mereka menginap bersama mangsa dan ditahan di sebuah hotel lain. -- Agensi

Kertas siasatan kes pelajar 'Like' I Love Israel di Facebook siap

Datuk Abdul Rahim Hanafi - Gambar Fail

NIBONG TEBAL: Kertas siasatan kes seorang pelajar tingkatan lima menekan butang 'Like' I Love Israel laman sosial Facebook telah dihantar kepada Ketua Unit Pendakwaan (KUP) hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan kes itu mengikut Akta Hasutan dan menyerahkan kepada KUP untuk semakan dan tindakan selanjutnya.

"Kami telah rekodkan lima keterangan iaitu dua daripada guru sekolah berkenaan dan tiga daripada rakan pelajar itu...sama ada pelajar itu akan didakwa atau tidak bergantung kepada keputusan KUP," katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) ACP Shafien Mamat di sini hari ini.

Rabu lepas, seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan tindakannya menekan butang 'Like' I Love Israel di laman sosial Facebook yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan warga sekolah itu.

Media juga melaporkan bahawa seorang guru dari sekolah sama turut mengkritik tindakan pelajar itu di akaun facebook miliknya sehingga mengundang komen daripada pengguna lain yang mengecam termasuk mencadangkan pelajar itu dibakar.

Abdul Rahim berkata polis turut menyiasat berhubung ancaman yang didakwa diterima pelajar berkenaan. - Bernama

Dua anggota keselamatan maut dalam insiden letupan bom di Narathiwat dan Yala

Salah satu insiden letupan bom di Yala baru-baru ini - Gambar Fail

YALA: Dua anggota pasukan keselamatan Thailand maut manakala empat lagi cedera dalam dua kejadian letupan bom di selatan Thailand pada Jumaat.

Dalam kejadian pertama di Yala pada 10 pagi, seorang anggota polis maut manakala seorang lagi cedera parah apabila sebutir bom buatan sendiri seberat 15 kilogram diletupkan ketika empat anggota pasukan keselamatan itu melakukan rondaan dengan menunggang dua motosikal di Jalan Yaha-Kabang.

Timbalan Ketua Polis Wilayah Yala Kolonel Banlue Shuvet berkata bom itu dipasang dalam kotak besi yang diletak di tepi jalan di Kampung Bendang Dama, daerah Kabang.

Insiden kedua, yang berlaku di Narathiwat, pula menyaksikan seorang anggota renjer maut manakala tiga lagi cedera apabila bom dipasang pada sebuah motosikal yang diletak di tepi jalan diletupkan ketika kesemua mangsa, yang menaiki sebuah trak, melalui Jalan Takbai-Narathiwat di Kampung Banmai dalam daerah Muang.

Ketua Polis Daerah Muang Narathiwat Kolonel Somporn Meesuk berkata motosikal yang dipasang bom itu dilaporkan dicuri pada 13 Julai lepas di daerah Takbai. - Bernama