Tuesday, 23 September 2014

Bayi cedera diserang biawak dalam keadaan stabil

Bayi lapan bulan cedera diserang biawak
Bayi malang ini stabil setelah mendapat rawatan lanjut. Bayi malang ini stabil setelah mendapat rawatan lanjut.


KUANTAN - Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan menerima 50 jahitan selepas cedera di bahagian muka dan kepalanya setelah diserang oleh seekor biawak ketika berada di dalam walker, di hadapan pintu dapur rumahnya di Pulau Tioman pagi semalam.

Dalam kejadian di kuarters pekerja Berjaya Resort pada 10 pagi itu, bayi berkenaan Nor Hidayah Abdul Rahman dilaporkan ditinggalkan di situ seorang diri sementara ibunya Noraudah Maisarah, 39, seorang suri rumah sedang menyenduk bubur di dapur.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata secara tiba-tiba datang seekor biawak dari arah luar terus menyerang bayi malang berkenaan.

"Melihat keadaan itu, wanita berkenaan terus bertindak menyelamatkan anaknya dan menghalau haiwan berkenaan," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di  sini hari ini.

Kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada bapa mangsa Abdul Rahman Ismail, 38, seorang penyelenggara di resort berkenaan yang ketika itu sedang bekerja, sebelum dilaporkan kepada pihak polis.

Johari berkata mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Daerah Mersing sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Baharu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Pihak Jabatan Perhilitan telah dimaklumkan tentang perkata tersebut untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu di JOHOR BAHARU, bayi malang berkenaan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di HSA.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata doktor dan kakitangan HSA terus memantau keadaan kesihatan bayi terbabit di wad  kanak-kanak hospital berkenaan selepas dipindahkan dari Hospital Mersing semalam.

"Keadaan bayi itu stabil. Bayi terbabit mengalami kecederaan di bahagian muka akibat dicakar haiwan itu dan doktor telah mencuci luka itu serta menjahitnya.

Keseluruhannya, lebih kurang 50 jahitan tetapi doktor menggunakan jarum dan benang paling halus. Luka paling panjang 8cm di atas kening kiri berbentuk 'L'.    

"Pihak hospital terus memantau keadaan kesihatannya terutama di bahagian yang mengalami kecederaan itu kerana bimbang dijangkiti bakteria," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Menurut Ayub, bayi perempuan itu dimasukkan ke wad di HSA 8.30 malam semalam selepas menempuh perjalanan selama beberapa jam dari Mersing. 


-Sumber: Bernama, foto dari Sinar Harian 

Rezeki Diana Amir

Diana Amir
Diana Amir


MULA melangkah dalam industri seni sebagai pelakon, namun keputusan untuk berhijrah tiga tahun lalu, mengubah cabang kerjaya seninya. Malah, penghijrahan dan imej Muslimah pemilik nama sebenar, Nurdiyana Amir Hashim, ini membawa kepada peluang baharu dalam bidang pengacaraan.


Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti termasuk pengacaraan, motivasi dan menulis, namun Diana Amir tetap merindui dunia lakonan. Malah, pelakon filem Salam Cinta, ini pernah memberitahu bahawa sekiranya ada tawaran lakonan yang bersesuaian dengan watak dan masa, dia akan menerimanya.

Setelah sekian lama menunggu untuk kembali aktif di lokasi penggambaran, akhirnya tahun ini penantian itu membuahkan hasil.

Diberi peranan menggalas watak utama menerusi drama bersiri untuk slot Zehra, Cinta Ilahi, isteri kepada Mohd Habibbullah A Rahman, ini menyifatkan ianya sebagai rezeki anak.

"Alhamdulillah, kini saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri ini sehingga hujung September. Sebelum ini, ada juga berlakon, cuma bukan selalu.

"Bidang pengacaraan banyak membantu saya untuk selesakan diri di hadapan kamera. Saya menganggap drama ini sebagai rezeki anak setelah lama tidak diberi peranan utama," katanya yang sedang hamil empat bulan.


Tambah Diana, dalam drama berkenaan, dia memegang watak sebagai Maryam dan bergandingan bersama pelakon, Johan As'ari.


Dalam drama ini, Diana memberitahu, Maryam seorang yang sangat lemah lembut, pandai mengaji, mengajar di surau, tinggi ilmu agama dan pelajar jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

- Sumber: Sinar Harian 

Impian terlaksana agenda Mizz Nina

Mizz Nina
Mizz Nina


PENGHIJRAHAN imej Mizz Nina sebaik pulang daripada mengerjakan ibadah haji pada Oktober 2013, sememangnya mengejutkan ramai. Apatah lagi, tidak perlu menunggu lama atau membuat sebarang pengumuman, Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, 34, perlahan-lahan bertukar imej.
 
Lebih membanggakan lagi, transformasi Ratu Hip Hop ini tidaklah hanya terletak pada imejnya semata-mata, sebaliknya ia turut mencakupi aspek muzik dan karier seninya. Biarpun mengambil keputusan untuk berehat panjang dan hanya akan menyanyi di depan wanita sahaja selepas ini, isteri kepada vokalis Hujan, Noh, turut mempunyai agenda baharu iaitu membuka butik Muslimah.

Ternyata, darah seni yang mengalir di dalam tubuhnya tidak hanya kepada industri hiburan semata-mata, tetapi juga kepada dunia fesyen.

“Saya rasa inilah masa yang baik untuk saya berehat panjang daripada nyanyian. Buat masa ini, saya mahu beri fokus sepenuhnya kepada perniagaan saya. Jadi, boleh juga dikatakan akan tinggalkan dunia nyanyian buat masa ini. Sampai bila saya tak pasti. Lagipun saya mahu menyanyi di hadapan penonton wanita sahaja selepas ini,” katanya.


Mizz Nina beri tumpuan pada Madeena

“Alhamdulillah, sudah lama saya impikan untuk membuka butik sendiri dan hari ini (Sabtu), ALLAH SWT telah mengizinkan segalanya. Saya rasa bertuah dengan pembukaan butik Madeena,” kata Nina dalam nada teruja sebaik ditanya media mengenai perasaannya selepas pelancaran butik dan kafe miliknya.

Ujarnya, dia sudah lama mengimpikan untuk membuka butik tersebut apatah lagi selepas melihat sambutan hangat terhadap jenama tersebut menerusi perniagaan atas talian sebelum ini. Tambahnya, selepas merancang untuk membuka butik tersebut kira-kira hampir dua tahun yang lalu, segala-galanya bagai dipermudahkan.

“Sebelum ini saya hanya menjual menerusi laman web, madeena.my dan fashionvalet.com. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Madeena menyediakan jubah wanita, abaya, hijab, ada juga jaket, skirt panjang yang sesuai dengan fesyen terkini dan paling penting, menutup aurat.

“Setakat ini, kami juga dapat banyak undangan untuk sertai bazar dan juga pertunjukan fesyen seperti KL Fashion Week. Saya bersyukur kerana saya mempunyai satu tema yang sangat bekerja keras dan mempunyai pereka fesyen yang memahami apa yang saya mahu,” katanya yang cuba menjual koleksi berlainan di laman web dan butik.

Memilih membuka butiknya di Heritage Lane, Empire Damansara, Damansara Perdana, Nina menjelaskan, dia jatuh cinta dengan lokasi dan konsep yang diketengahkan di situ.

“Saya akui tempat ini masih baru, tapi saya suka dengan suasananya, seperti pusat beli-belah di luar negara, santai dan eksklusif. Pada mulanya saya merancang membuka butik saya di sebuah lokasi di Kota Damansara, tetapi selepas seorang rakan memperkenalkan lokasi ini pada saya, saya tidak berfikir panjang untuk mendapat lot kedai di sini,” katanya.


- Sumber: Sinar Harian 

AC Mizal pilih Pitbull

AC Mizal
AC Mizal dan Luna Maya

AC Mizal
AC Mizal


TIDAK pernah mengehadkan aktiviti seninya, kini pengacara hebat, Datuk AC Mizal dilihat semakin agresif menjalani karier nyanyiannya.

Dalam perkembangan terbaharunya, AC Mizal kini sedang sibuk mempromosikan single ‘Paranoid’ hasil kolaborasi dengan selebriti dari Indonesia, Luna Maya.

Akui berpuas hati dengan hasil ‘Paranoid’, figura 42 tahun ini turut mendedahkan mahu berkolaborasi dengan rapper terkenal dunia, Pitbull dalam projek seterusnya bersama syarikat rakaman Sony Music Entertainment Sdn Bhd.

“Untuk projek seterusnya, Insya-Allah saya memang sasaran untuk berkolaborasi bersama Pitbull. Dia memang idola saya dan pihak Sony sedang dalam usaha untuk projek tersebut.

“Bila bercakap soal berkolaborasi dengan artis antarabangsa, apa yang kami perlu dapatkan adalah jumlah muat turun single pertama ini mencecah sebanyak satu juta.

“Sebab itu buat masa ini kami akan cuba mempromosikan ‘Paranoid’ dengan sebaik mungkin untuk realisasikan kolaborasi dengan Pitbull,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut, pengacara Maharaja Lawak Mega 2013 berkongsi strategi yang diatur bersama Sony Music dalam menguruskan kerjaya nyanyiannya.

“Perjanjian kontrak saya dengan syarikat rakaman Sony Music Entertainment adalah sebanyak 12 single di mana setiap daripadanya saya berkolaborasi dengan artis dari luar negara.

“Tambahan pula penjualan album sekarang tidak begitu mendapat sambutan jadi saya pilih untuk fokus pada penghasilan single terlebih dahulu.

“Mungkin selepas enam single saya keluar, kami rancang untuk memuatkannya dalam satu mini album,” katanya.


Kagum dengan Luna Maya

Berkongsi pengalaman menjalinkan kerjasama dengan Luna, AC akui teruja dan kagum melihat pengurusan kerja yang dijalankan selebriti jelita itu.

“Sepanjang menjalani projek ini, semuanya berjalan dengan baik walaupun masa yang kami terhad disebabkan komitmen masing-masing.  Tapi saya senang bekerja dengannya.

“Dia tidak cerewet malah apa yang membuatkan saya kagum adalah dia seorang yang bekerja keras untuk sama-sama hasilkan single ini,” dedahnya.

Tambah AC lagi, kejayaannya dalam bidang ini mungkin tidak dapat dicapai tanpa bantuan isteri tercinta, Emylia Rosnaida yang turut bergelar pengurus peribadinya.

“Apa yang boleh saya katakan, kejayaan saya pada hari ini tidak akan berlaku tanpa isteri saya kerana dialah yang menguruskan segalanya.

“Bukan saya mahu puji isteri sendiri, tapi semua ini sumbangan dari dia,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.

- Sumber: Sinar Harian 

Batalkan sahaja perkhidmatan Uber

Uber memasuki pasaran Kuala Lumpur pada Oktober tahun lepas secara dalam talian. Perkhidmatan ini dikritik oleh persatuan teksi kerana Uber tidak mempunyai permit untuk beroperasi sebagai pengangkutan awam.

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Uberyang kian popular dikalangan pengguna ibu kota perlu dibatalkan oleh kerana tidak mempunyai lesen yang ditetapkan pihak kerajaan Malaysia, menurut Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli).

Presidennya Datuk Aslah Abdullah memberi komen beliau susulan tindakan pihak berkuasa untuk memburu pemilik kenderaan persendirian yang menawarkan perkhidmatan Uber.

Kata beliau, jika berlaku apa-apa, para penumpang tidak dilindungi oleh insurans.

“Elok perkhidmatan Uber dibatalkan sahaja. Mereka tidak mempunyai lesen. Kalau berlaku kemalangan nanti susah. Kita tidak tahu tentang liabiliti penumpang,” kata Aslah ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambahnya, Uber hanyalah sebuah aplikasi yang memberi perkhidmatan dan menggunakan kereta persendirian yang mungkin tidak mempunyai permit untuk beroperasi sebagai pengangkutan awam dan pemandunya tidak mempunyai lesen memandu (Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

“Ada lagi kaedah lain seperti aplikasi MyTeksi dimana orang ramai boleh memesan teksi. Ia juga menggunakan teksi biasa yang berlesen,” kata Aslah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemandu Teksi Kepong Gor Bachan Singh mempunyai pendapat yang berbeza.

“Agak susah kalau kita mahu perkhidmatan itu diberhentikan. Lagipun, kalau kita cuba untuk memberhentikan Uber, nanti ada cara lain untuk mereka beroperasi semula.

“Namun saya nak tahu siapa disebalik syarikat ini. Bagaimana ia dapat beroperasi pada mulanya,” kata beliau.

Gor Bachan turut berkata persatuan beliau ada bertemu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan mengemukakan cadangan menubuhkan gred lesen public hire vehicle (sewa kereta kenderaan awam).

“Ia masih dalam proses cadangan namun mungkin itu adalah antara cara penyelesaian terbaik,” tambah beliau.

Mulai 1 Oktober, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), SPAD dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan operasi memburu pemilik kenderaan persendirian yang menawarkan perkhidmatan Uber.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata penggunaan kenderaan persendirian untuk mengambil penumpang adalah melanggar Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, yang boleh didenda tidak melebihi RM10,000, penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Ia juga bercanggah dengan Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 kerana tidak memiliki lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam, yang pelakunya boleh didenda tidak melebihi RM10,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Ini bagaikan teksi sapu. Kita banyak terima aduan daripada pengusaha teksi kerana ia telah mengancam industri teksi di negara ini. Perkara ini perlu dibendung agar pengusaha teksi tidak terjejas," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Uber merupakan sebuah syarikat yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan menerusi aplikasi telefon pintar.

Ditubuhkan pada 2009, ia menawarkan perkhidmatan di lebih 200 bandaraya di serata dunia.

Perkhidmatan ini mula memasuki pasaran Asia pada Februari pada tahun lepas di Singapura dan seterusnya di Kuala Lumpur pada Oktober tahun lepas secara atas talian melalui laman sesawang https: //www.uber.com/cities/kuala-lumpur.

-Sumber: Astro Awani

Istana perkenan lantik Azmin sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali sudah menerima surat rasmi pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu daripada pihak istana lebih kurang pukul 5 petang tadi.

"Sukacita dimaklumkan bahawa D.Y.M.M Sultan Selangor telah berkenan melantik Y.B Tuan untuk menjawat jawatan Dato' Menteri Besar Selangor berkuatkuasa mulai 23 September 2014." kata surat tersebut.

Majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu dijadualkan akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang esok (Selasa, 23-Sept-2014).



Azmin sebelum ini menafikan beliau akan dilantik untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan menganggap berita yang tersebar sebagai khabar angin.

Gambar raptai upacara mengangkat sumpah menteri besar Selangor yang baharu sudah tersebar di laman sosial, namun tidak kelihatan gambar ADUN yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar Selangor di dalam gambar tersebar itu.

Selain Azmin, dua Adun PAS, Iskandar Abdul Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi turut dikatakan tersenarai sebagai calon untuk menggantikan Abdul Khalid.

Bagaimanapun Iskandar menafikan beliau dipilih menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

PKR sebelum ini hanya menamakan presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai satu-satunya calon menteri besar yang baharu.

Namun pihak istana Selangor meminta agar semua parti dalam Pakatan Rakyat memberikan lebih dua nama untuk diperkenankan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setelah tarikh akhir menghantar nama calon menteri besar, hanya PAS menyerahkan tiga calon manakala PKR dan DAP tetap dengan pendirian menamakan Wan Azizah.

- Sumber: Astro Awani, 22/9/2014

Tiada telur tiruan dijual di pasaran

KP KESIHATAN: Tiada telur tiruan dijual di pasaran

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada telur tiruan dijual di pasaran tempatan selain meminta orang ramai tidak perlu risau mengenai isu tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung isu penjualan telur tiruan di pasaran tempatan yang disebarkan melalui laman sosial termasuk laporan berkenaan menyatakan bahawa wujudnya penjualan telur tiruan di pasaran tempatan yang menyamai telur asli.

"Pada tahun 2011 isu yang sama juga telah ditimbulkan dengan dakwaan wujudnya telur tiruan yang mengandungi bahan-bahan kimia dengan cengkerangnya diperbuat daripada kalsium karbonat.

"Kuning dan putih telur diperbuat dari natrium alginate, alum, gelatine, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan bahan pewarna makanan," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Tambah Dr. Noor Hisham, pihaknya memandang serius isu ini selain memaklumkan perbuatan menjual telur tiruan adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 14(1) dan 14(2), Akta Makanan 1983 dan Peraturan 171(1) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Seksyen 14(1) menyatakan larangan menjual apa-apa makanan yang bukan dari jenis, bahan atau kualiti bagi makanan tersebut dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya. Seksyen 14(2) pula melindungi pembeli yang meminta untuk membeli makanan yang mematuhi Akta ini.

"Peraturan 171(1) memperuntukkan definisi telur di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985," ujarnya.

Sehubungan itu Dr. Noor Hisham berharap orang ramai tidak perlu risau dan memohon kerjasama untuk tampil membuat aduan jika meragui tentang ketulenan telur berkenaan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my.

Pada 2011, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan pengguna di negara ini supaya berhati-hati ketika membeli telur kerana terdapat telur tiruan dijual di pasaran.

Mengikut satu laporan, telur tiruan adalah perkara biasa di China. Pengguna di negara itu telah dinasihatkan supaya mengawasi telur tiruan ketika mereka hendak membeli telur.

- Sumber: Astro Awani