Gambar terbaru pasangan berkenaan yang diambil Aidilfitri lalu di Kampung Ulu Rokan untuk kain rentang majlis perkahwinan mereka 29 November ini.
TAMPIN – “Segala persiapan perkahwinan telah kami siapkan dan kad jemputan kahwin juga sudah separuh diedarkan kepada saudara serta kenalan bagi majlis kahwin kami 29 November ini,” luah tunang mangsa kemalangan maut, Nor Hazaliza Rashid, 25, ketika ditemui di perkarangan
Bilik Mayat Hospital Tampin, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang kelmarin, mangsa, Mohd Affendi Arifin, 25, mengalami kecederaan parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 1.5, Jalan Gemencheh-Felda Bukit Rokan dan disahkan meninggal dunia di Hospital Tampin kira-kira dua jam selepas kejadian.
Menurut Hazaliza, kali terakhir dia berjumpa dengan tunangnya itu ialah pada Jumaat lalu apabila tunangnya itu membawanya keluar untuk makan malam di rumah kakak sulungnya, Rasyidah Rashid, 33, di Kuala Pilah.
“Semasa makan malam, kami ada berselisih pendapat sedikit dan kebiasaannya tunang saya akan meminta maaf. Namun, pada malam itu dia hanya berkata "sayang mahu abang pergi dahulu ke?" "
“Saya marahkannya mengapa berkata begitu dan dia tidak membalasnya. Jadi bila saya terima panggilan sekitar jam 3 petang menyatakan tunang saya kemalangan saya terkejut,” katanya.
Hazaliza berkata, sebaik mengetahui tunangnya meninggal dunia dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya lebih-lebih lagi segala persiapan telah dibuat dan tunangnya itu juga bakal melaporkan diri bertugas di salah sebuah kem tentera hari ini.
Menurutnya, tunangnya itu sememangnya seorang yang sangat baik dan mereka berkenalan melalui adik tunangnya itu yang pada mulanya menjadi adik angkatnya semasa menuntut tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Dato’ Mohd Taha.
“Perkenalan kami sudah lama dan majlis kami hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Bagaimanapun, keluarga saya sudah sepakat untuk meneruskan majlis pada tarikh berkenaan tetapi bukanlah majlis perkahwinan tetapi majlis tahlil serta doa selamat untuk arwah tunang saya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ulu Rokan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal dari arah Gemencheh terbabas masuk ke laluan bertentangan.
“Motosikal mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan. Mangsa dikejarkan ke Hospital Tampin bagi rawatan lanjut, bagaimanapun disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas kemalangan," katanya. - Sinar Harian