Friday, 18 October 2013

28 tahun hidup tanpa MyKad

28 tahun hidup tanpa MyKad
Pisah dan Hasan menunjuk surat perjalanan yang diterima bagi melindungi dirinya untuk perjalanan.


PADANG SANAI - Seorang bapa merayu kepada pihak berkenaan supaya dapat meluluskan permohonan MyKad anaknya selepas berusaha hampir 28 tahun.

Bagi Hasan Che Mei, 62, dari Kampung Ulu, Mukim Batang Tunggang Kanan, dekat sini, dia kecewa sebab pelbagai ikhtiar telah dibuat untuk mendapatkan MyKad anaknya, Pisah Hasan, 28, walaupun sudah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya.

Menurut Hasan, anaknya gagal mendapat MyKad kerana tidak mempunyai kad rawatan sebelum lahir dari klinik berdekatan menyebabkan dia gagal untuk membuat laporan kepada polis ketika anaknya dilahirkan.

“Isteri saya tidak mempunyai kad rawatan klinik kerana hanya mendapat rawatan dari bidan di kampung ini dan lagi pun pada masa itu, jalan perhubungan di situ sangat teruk sekali gus sukar untuk mendapatkan rawatan di klinik.

“Pada 1985, tidak ada kenderaan di kampung ini yang digunakan penduduk kecuali basikal untuk ke sawah dan menoreh getah. Lagipun, pada masa itu, saya juga belum mampu membeli motosikal," katanya.

Sejak itu, Pisah sengsara dan takut pergi jauh dari kampung kerana bimbang dengan keselamatannya yang dianggap sebagai pendatang haram kerana tidak ada sebarang maklumat mengenai dirinya.

Bagaimanapun, Hasan sangat bersyukur kerana masih ada yang simpati kerana membenarkan anaknya mendapat pendidikan di sekolah berhampiran kampungnya.

“Selepas tamat tahun enam, Pisah sekali lagi menghadapi masalah untuk masuk ke sekolah menengah hinggalah terpaksa belajar di sekolah agama rakyat di kampung,” katanya.

Sementara itu, Pisah berkata, dia selalu memikirkan masa depannya disebabkan ketiadaan kad pengenalan hingga menyebabkan dia sukar diterima untuk bekerja di kilang.

Malah, ketiadaan butiran peribadinya itu juga menyebabkan dia bakal menghadapi kesulitan untuk berkahwin satu hari nanti.

“Pada 2010 saya cuba sekali lagi ke JPN Putrajaya dan menceritakan masalah saya, namun ditolak.

"Bagaimanapun saya dikehendaki ke JPN Alor Setar dan pihak JPN di situ hanya mengarahkan saya mengisi borang E sahaja, kemudian memberi sekeping surat perjalanan untuk melindungi diri saya. Bagaimanapun sehingga sekarang tidak ada sebarang maklum balas diterima,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment