Friday, 18 October 2013

'Kami tak sanggup pisahkan mereka'

'Kami tak sanggup pisahkan mereka'
Suasana sayu menyelubungi rumah keluarga Nik Zaieyahaliza ketika jenazah tiga beranak ini tiba dari Hospital Bentong pagi semalam


'Kami tak sanggup pisahkan mereka'
Pegawai dan anggota tentera memberi penghormatan terakhir selepas majlis pengebumian selesai semalam


BESUT - Jenazah pasangan tentera, Koperal Jiman Raup, 32, dan isteri Koperal Nik Zaieyahaliza Ya, 29 serta anak perempuan mereka, Nurul Damia, 2 tahun yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 49 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Benting kelmarin, selamat dikebumikan di sini, pagi semalam.

Kesemua mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gong Guchil dekat Jertih, di sini, jam 8 pagi dengan penuh adat istiadat ketenteraan.

Menurut bapa Nik Zaieyahaliza, Ya Ghani, 50, mayat anak, cucu dan menantunya tiba di sini dari Hospital Bentong, Pahang jam 5 pagi semalam dengan kenderaan tentera sebelum disembahyangkan pada jam 7.30 pagi.

“Walaupun sedih, saya dan ahli keluarga reda dengan pemergian arwah dan berdoa agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Ketiga-tiga jenazah tersebut disemadikan di dalam satu liang lahad dengan jenazah Nik Zaieyahaliza dan anaknya dikebumikan bersebelahan dalam satu keranda.

Difahamkan Nik Zaieyahaliza juga sedang hamil lima bulan, anak kedua.


Arwah berubah jadi pendiam

Sementara itu kakak Jiman, Jumariah, 48, berkata, dia yang tinggal di Bangkalalar, Beaufort, Sabah terkejut mendapat panggilan telefon menerima berita kemalangan tersebut jam 10,20 pagi kelmarin.

Menurutnya, kali terakhir dia bercakap dengan Jiman adalah pada Hari Raya Aidiladha pertama melalui telefon pada jam 2.03 petang iaitu sebelum adiknya bertolak ke Kuala Lumpur.
“Saya hairan kerana dalam perbualan itu Jiman memohon maaf kepada saya serta meminta saya menghalalkan makan minumnya.

“Tapi sikapnya sudah berubah sejak seminggu lepas apabila saya telefon, dia tak mahu bercakap dan isterinya yang menjawab telefon sedangkan antara kami tidak mempunyai masalah,” katanya yang tiba dari Kota Kinabalu, Sabah tengah malam kelmarin ditemani suaminya, Ali Asin Tusar, 61.

Jumariah berkata, kali terakhir dia bertemu satu-satunya adik-beradiknya itu ketika Jiman pulang ke Sabah menyambut Aidilfitri lalu bersama isteri dan anaknya.

Kata Jumariah, dia dan ibu Jumin yang sudah uzur mengizinkan jenazah Jumin disemadikan di Besut bagi memastikan mereka dikebumikan bersama dengan isteri dan anaknya.

“Kami tidak sanggup pisahkan mereka. Walaupun berjauhan tapi kami reda dan akan tetap mendoakannya,” kata Jumariah sebak.

Perubahan sikap pasangan suami isteri itu yang menjadi pendiam bukan saja disedari Jumariah, tetapi keluarga Nik Zaieyahaliza terutamanya ketika mereka pulang menyambut Hari Raya Aidiladha sebelum kemalangan.


Tragedi raya

Dalam pada itu menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Gong Guchil, Zahari Mat Din, pada awal Ogos lalu anak sepupu Nik Zaieyahaliza, Puteri Syaza Aryqa Adriana Mohd Roshazran yang tinggal bertentangan dengan rumah arwah di sini mati akibat lemas selepas terjatuh di dalam parit tali air di depan rumah.

Ketika itu umur Puteri Syaza sebaya dengan umur anak Nik Zaieyahaliza, Nurul Damia iaitu 2 tahun, namun kejadian lemas itu berlaku sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Dalam kemalangan pagi kelmarin, pasangan suami isteri yang bertugas di Bahagian Perkeranian Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi, Kuala Besut itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas bercuti sempena sambutan Aidiladha di kampung halaman Nik Zaieyahaliza di Jerteh, Terengganu.

Kereta yang dinaiki tiga beranak itu dikatakan merempuh besi pengadang jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu berlanggar secara berdepan dengan sebuah lori tangki minyak masak.
Mereka meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.


Sumber

No comments:

Post a Comment