Zulkifli (kanan) menceritakan keadaan bapanya selepas mengalami muntah-muntah.
SUNGAI PETANI – Mangsa terbaru keracunan makanan, Ibrahim Mohamad, 62, disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 6.30 petang tadi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
Jenazah yang dituntut keluarga akan dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu sebaik sahaja selesai bedah siasat di HSAH.
Anak mangsa, Zulkifli, 31, berkata, bapanya dikatakan mengalami cirit-birit sejak pagi Ahad lalu akibat dipercayai keracunan makanan selepas dikatakan menghadiri majlis perkahwinan berdekatan rumahnya di Kampung Huma, Tanjung Dawai, jam 6 petang Sabtu lalu.
“Pagi itu (Ahad), ayah dah mengalami cirit-birit serta beberapa kali masuk ke tandas, bagaimanapun keadaannya masih baik serta boleh bercakap seperti biasa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HSAH hari ini.
Menurut Zulkifli, keadaan Ibrahim dilihat semakin tidak bermaya beberapa jam selepas itu menyebabkan ahli keluarga membawanya ke Hospital Daerah Yan tengah hari semalam bagi mendapatkan rawatan.
“Walaupun dibenarkan pulang selepas ditambah air dalam badan, keadaan ayah semakin lemah serta tidak mampu berjalan menyebabkan ayah terus ditahan wad.
“Disebabkan makin kritikal, ayah kemudian dirujuk ke HSAH lebih kurang jam 2 petang tadi,” katanya.
Bagaimanapun, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia jam 6.30 petang.
Sementara itu, penduduk, Puan Md Noor, 55, berkata, anaknya yang berusia 25 tahun juga menerima rawatan di HSAH akibat keracunan selepas menghadiri kenduri yang sama.
“Anak kelima saya, Mohd Nazri Deraman, turut mengalami loya dan muntah serta cirit-birit dipercayai selepas makan kenduri.
“Nazri terlebih dahulu menerima rawatan di sebuah klinik di Semeling pada jam 9 malam semalam.
“Tetapi, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan keluarga membawanya ke HSAH pada jam 2 petang tadi,” katanya.
Mohd Nazri dikatakan makan kenduri pada jam 3 petang Sabtu lalu dan mula mengadu sakit pada jam 7 pagi keesokan hari.
“Tetapi Alhamdulillah selepas dimasukkan air dalam badan, dia dibenarkan pulang jam 7 malam tadi,” katanya.
Puan berkata, dia juga menghadiri majlis kenduri yang sama tetapi makan masakan yang disediakan lebih awal pada tengah hari.
“Saya juga ada cubit sikit ayam yang dimasak itu tetapi mujur tidak sakit,” katanya.
Difahamkan, majlis kenduri yang diadakan Sabtu lalu disediakan secara bergotong-royong tetapi dikatakan hanya tetamu yang menghadiri jamuan sebelah petang mengalami keracunan.
Sumber mengatakan, lebih ramai mangsa yang telah mendapatkan rawatan di klinik berhampiran serta hospital berdekatan, namun jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan berikutan tiada pengesahan dari mana-mana pihak.
Kejadian turut dipercayai meragut dua nyawa lain termasuk Mohd Noor Rahmat, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan dan Nor Syazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Merbok.
Sumber