Monday, 28 October 2013

Gantung diri kerana Facebook

Facebook

MAHARASHTRA - INDIA. Gara-gara ditegah melayari laman Facebook, seorang remaja India nekad membunuh diri.

Jurucakap polis berkata, Aiswarya Dahiwal pelajar kolej tahun dua ditemui tergantung dalam biliknya selepas bertengkar dengan ibu bapanya.

"Sebelum gantung diri dia meninggalkan nota menyatakan tidak boleh tinggal di rumah yang menyekat kebebasannya bersosial menerusi Facebook," katanya dipetik DailyMail.

Difahamkan, sebelum kejadian, Dahiwal meminta kebenaran ibu untuk melayari laman web itu, tetapi ditegah kerana diminta fokus terhadap pelajaran dan mengurangkan perbualan telefon bersama rakan-rakannya.

Berdasarkan kaji selidik Wall Street Jurnal, hampir 92 peratus pelajar sekolah di India memilih Facebook untuk berkomunikasi berbanding membuat panggilan telefon.

Sinar Harian 

Mayat mangsa banjir Cameron Highlands ditemui

Banjir lumpur

KUANTAN - Mayat wanita Indonesia yang dihanyutkan air dalam kejadian banjir lumpur selepas air Sungai Bertam melimpah ekoran pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar, Ringlet, di Cameron Highlands 23 minggu lepas, ditemui hari ini.

Mayat Jawarti Abdul Rahim, 24, ditemui dalam timbunan kayu dan sampah sarap di tepi Sungai Bertam kira-kira 2km dari tempat dia dilaporan hilang.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Supritenden Mohd Zahari Wan Busu berkata mayat wanita itu ditemui pada 12.30 tengah hari oleh seorang pemilik kebun di kawasan itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom di sini untuk bedah siasat, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian banjir lumpur 23 Okt lepas itu, tiga terbunuh - dua daripadanya lemas manakala seorang lagi akibat serangan jantung - dan seorang dilapor hilang.

Kejadian itu turut memusnahkan kira-kira 80 rumah dan lebih 100 kenderaan di kawasan penempatan Lembah Bertam itu.


Sumber: BERNAMA

JPN akan periksa kad pengenalan semua pengawal keselamatan

JPN akan periksa kad pengenalan semua pengawal keselamatan

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memeriksa kad pengenalan semua pengawal keselamatan di negara ini bagi mengesahkan identiti mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat dan pelaksanaannya tidak melibatkan tempoh masa.

"Pemeriksaan yang melibatkan lebih daripada 600 syarikat kawalan keselamatan ini akan membabitkan pengawal bersenjata dan tidak bersenjata," katanya kepada media selepas menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Othman Hassan, di pejabatnya di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata pihak juga akan meneliti cadangan agar syarikat kawalan keselamatan diklasifikasi mengikut kategori.

Pada masa sama, beliau turut mendedahkan pihaknya menerima maklumat ada pihak menggunakan lesen syarikat kawalan keselamatan dan permit senjata api untuk tujuan lain.

"Kami telah mendapat maklumat mengenai perkara ini dan tunggu tindakan yang akan diambil oleh pihak kementerian dalam masa terdekat," katanya.

Langkah yang diambil pihak berkuasa ini susulan kejadian seorang pengawal keselamatan yang memperoleh pekerjaan itu menggunakan kad pengenalan palsu menembak mati seorang pegawai bank ketika merompak bank berkenaan.

Dalam kejadian Rabu lepas, pegawai operasi Ambank cawangan Subang Jaya, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak pengawal keselamatan terbabit ketika membuka peti besi di bilik kebal bank itu di Jalan USJ 2, Subang Jaya.

Rentetan itu, Kementerian Dalam Negeri membatalkan lesen syarikat kawalan keselamatan terbabit kerana gagal mematuhi syarat Akta Agensi Persendirian 1971, sementara siasatan polis mendapati suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza itu menggunakan kad pengenalan palsu serta dipercayai berasal dari Sulawesi, Indonesia.


- ASTRO Awani

Pelajar MRSM Balik Pulau dakwa dipukul, ugut bunuh

Pelajar MRSM Balik Pulau dakwa dipukul, ugut bunuh
Seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau menunjukkan baju T sekolahnya yang koyak kesan daripada dipukul oleh sekumpulan pelajar maktab berkenaan manakala bapanya, Anuar Abu Kassim, 50, menunjukkan laporan polis yang dibuat ketika ditemui di kediamannya di Georgetown hari ini. - Foto Bernama


GEORGETOWN - Seorang pelajar lelaki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau di sini mendakwa dipukul sekumpulan pelajar selain menerima ugutan bunuh awal pagi semalam.

Pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai Arif, 16, berkata kumpulan pelajar terbabit berdendam dengannya ekoran beliau pernah menyerahkan nama mereka kepada Lembaga Disiplin Pelajar (LDP) minggu lepas.

"Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, kira-kira 20 orang kumpulan pelajar tingkatan empat itu datang ke katil saya serta menarik saya ke satu sudut bilik asrama dan saya ditumbuk di bahagian perut sebanyak dua kali selain ditendang di rahang kanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Beliau berkata dua pelajar tingkatan lima kemudiannya menyuraikan keadaan dan Arif mendakwa dia diserang lagi buat kali kedua dengan lebih teruk pada pukul 2.30 pagi.

"Masa itu hanya lima pelajar yang datang ke katil saya dan saya ditumbuk di bahu kiri, perut selain kepala dihentak ke dinding," katanya yang dilantik sebagai anggota LDP Jun lepas.

Arif mendakwa seorang daripada pelajar itu kemudian mengeluarkan serpihan cermin tingkap yang pecah dan berkata "kalau orang lain tak dak di sini dah lama aku bunuh hang".

Beliau yang trauma dengan kejadian itu kini berulang alik dari rumah ke sekolah dan belum membuat keputusan untuk bertukar sekolah.

Bapa pelajar itu berkata ketika ke MRSM itu awal pagi semalam, beliau mendapati baju anaknya koyak rabak selain kepalanya mempunyai kesan bengkak serta lebam.

Arif menerima rawatan di Hospital Balik Pulau sebagai pesakit luar, katanya sambil memberitahu satu laporan telah dibuat di Balai Polis Balik Pulau pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Suptritenden Mohd Hatta Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.


Sumber: BERNAMA

Bil elektrik rumah PM RM250 sejam?

Anthony Loke
Anthony Loke


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Seremban-DAP, Anthony Loke hari ini mendakwa kediaman rasmi perdana menteri telah membelanjakan RM250 untuk bil elektrik dalam tempoh satu jam.

Beliau berkata demikian merujuk kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyatakan kos perbelanjaan bil elektrik dan air sepanjang tahun 2012 adalah sebanyak RM 2.2 juta dan RM300,000.

Menurutnya, perbelanjaan untuk bil air dan elektrik bagi kediaman perdana menteri dan timbalannya telah meningkat dalam tempoh dua tahun sebanyak 40 peratus daripada RM6,000 kepada RM8,000 setiap hari.

"Bagaimana Najib boleh minta rakyat berjimat cermat, sedangkan beliau setiap hari melakukan pemborosan, membazirkan elektrik RM8,500 setiap hari bagi bil elektrik.

"Saya rasa ia keterlaluan, tidak ada rasa untuk kurangkan perbelanjaan tersebut, mereka tidak menunjukkan contoh yang baik dengan perbelanjaan bil elektrik tersebut.

"Kalau di Amerika, 'White House' itu bukan sahaja kompleks kediaman rasmi Presiden Amerika, tetapi pejabat rasmi, tetapi di Malaysia, Kompleks Seri Perdana hanya kediaman rasmi tapi ada lagi pejabat perdana menteri ada pejabat lain, itu perbelanjaan lain," katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Anthony sebelum itu meminta perdana menteri menyatakan butir-butir terperinci bil-bil elektrik dan air dan kos penyelenggaraan kediaman rasmi perdana menteri dan timbalan perdana menteri secara bulanan untuk tahun 2012.

Tambahnya, kompleks kediaman rasmi perdana menteri dan timbalan perdana menteri hanya digunakan beberapa jam untuk penganjuran majlis rasmi dan mesyuarat.

"Mengikut jawapan ini... berapa majlis yang dianjurkan setiap tahun?

"Setahu saya untuk Seri Perdana yang paling besar penganjuran majlis hanya sambutan rumah terbuka Aidilfitri, setahun hanya beberapa jam dibuka kepada orang ramai walaupun biasa dibuka tapi tak ada majlis besar seperti sambutan Aidilfitri.

"Ataupun perdana menteri terlalu senang berada di Seri Perdana untuk anjurkan majlis, kalau ada pun majlis itu adalah majlis tertutup atau dijemput, jadi bagaimana kerajaan boleh membelanjakan elektrik begitu besar sekali," jelasnya.

Anthony juga berkata, pengurangan perbelanjaan bil elektrik dan air dapat membantu mengurangkan perbelanjaan wang dan beban rakyat.

"Saya tak tahu kalau penggunaan elektrik itu dapat tingkatkan kekuatan seksual setiap lelaki, tapi saya tahu dapat kurangkan perbelanjaan elektrik ia dapat kurangkan bebanan rakyat dan baik untuk alam," katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian

"No Woman, No Drive" cecah 3 juta penonton dalam dua hari



Video “No Woman, No Drive” yang dihasilkan oleh pelawak terkenal dari Arab Saudi, Hisham Fageeh mencecah jumlah tontonan lebih tiga juta dalam tempoh dua hari.

Mula dimuat naik di laman YouTube pada 26 Oktober lalu, video itu menampilkan nyanyian Hisham membawakan lagu popular Bob Marley, No Woman, No Cry.

Ia merupakan video protes terhadap pengharaman mendapatkan lesen memandu kepada wanita di negara Arab Saudi.

Saksikan video tersebut.


 


Sumber: ASTRO Awani 

Bekas banduan bunuh isteri serah diri

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang baru dibebaskan daripada penjara 12 Oktober lalu, menyerah diri kepada polis selepas menikam isteri yang kemudian mati, dalam kejadian di Ladang Bukit Darah Kundang, Sungai Buloh dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek berusia 35 tahun itu menyerah diri di Balai Alam Jaya tidak lama selepas kejadian.

"Dalam kejadian 9 malam itu, suspek pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

"Suspek menggunakan pisau sepanjang 32 cm untuk menikam isteri yang berusia 36 tahun beberapa kali di bahagian belakang, bagaimanapun mangsa sempat melarikan diri ke rumah jiran dalam keadaan berlumuran darah dan meminta bantuan sebelum mati beberapa minit kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya siasatan awal juga mendapati pasangan itu sering bergaduh.

Abdul Rahim berkata, suspek sebelum ini menjalani hukuman penjara selama lima bulan dan 10 hari kerana menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.

Katanya suspek kini ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan.

Polis sedang meneliti rekod jenayah suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 506 kanun yang sama.

- BERNAMA

Pelajar dalam video Youtube dipanggil

Pelajar dalam video dipanggil
Sebahagian rakaman pelajar di tanah perkuburan yang tersebar di Youtube.


PORT DICKSON - Sembilan pelajar sekolah dipanggil polis bagi direkodkan keterangan berhubung sebuah video pendek memaparkan tingkah laku mereka di kawasan tanah perkuburan Cina di sini.

Video berdurasi 1 minit 32 saat itu, tersebar dalam Youtube memaparkan pelajar terbabit termasuk ada antaranya beruniform sekolah, menari dengan iringan muzik rancak serta bermain bola sepak di kawasan perkuburan itu sehingga menimbul rasa kurang senang masyarakat.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, tujuh daripada mereka merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di daerah ini, sementara dua lagi telah dibuang sekolah sebelum kejadian, atas faktor disiplin.

Menurutnya, kesemua mereka berusia antara 12 dan 14 tahun.

“Siasatan polis mendapati, kumpulan pelajar ini berbuat demikian tanpa niat untuk menghina ataupun cuba menggugat sentimen perkauman dan agama. Kelakuan yang dilakukan sekadar untuk bersukaria, bagaimanapun mereka berada di lokasi salah tanpa mengetahui kesan dan akibat daripada perbuatan tersebut.

Menurutnya, perbuatan kumpulan pelajar itu dilakukan Khamis lalu, sekitar 11 pagi hingga 12 tengah hari.

“Rakaman video itu dirakam menggunakan telefon bimbit salah seorang daripada pelajar terbabit. Polis juga percaya antara mereka juga yang telah memuat naik rakaman tersebut ke internet," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, semalam.

Abd Wahab berkata, berikutan penyebaran video tersebut, satu laporan polis telah dibuat ahli jawatankuasa tanah perkuburan tersebut, Jumaat lalu.

"Dalam masa terdekat polis akan memanggil pelajar, ibu bapa mereka dan juga ahli jawatankuasa tanah perkuburan itu untuk menjernihkan kembali keadaan.

“Kejadian yang berlaku ini merupakan kes terpencil dan jangan jadikan ia sebagai punca untuk kita saling berbalah sesama kaum,” katanya percaya kes ini akan diselesaikan dengan baik.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 298 A (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun,” katanya.

Abd Wahab menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman video tersebut melalui apa juga medium komunikasi dan mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Sumber: Sinar Harian

Kanak-kanak nyaris maut terkena renjatan elektrik

SEMPORNA - Seorang kanak-kanak nyaris maut selepas terkena renjatan elektrik daripada wayar voltan tinggi di Kampung Batu, Jalan Kampung Simunul dekat sini semalam.

Kanak-kanak berumur 12 tahun itu dikatakan memegang wayar daripada tiang elektrik yang telah semalaman terjatuh di atas tanah.

"Ketika kami tiba, tubuh kanak-kanak itu dalam keadaan bergetar dan dia mengadu amat sakit di bahagian dada.

"Kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Semporna. Dia kini dilapor stabil," kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Penolong Penguasa Bomba Mohd Razali Awang Ahmad ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.46 tengah hari.

- Bernama

GST: 'Kami akan lawan habis-habisan' - Pakatan Rakyat

Walau apa pun usaha mereka, yang jelas saya tidak akan membantah pelaksanaan GST. 

Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim


KUALA LUMPUR - PR akan "lawan" habis-habisan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal bermula pada 1 April 2015.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PR akan mengadakan bantahan ke seluruh negara mengenai pelaksanaan GST tersebut.

Menurutnya, pelaksanaan GST itu adalah suatu jenayah apabila kerajaan masih membiarkan ketirisan dan rasuah terus berlaku sebaliknya membiarkan rakyat menanggung beban.

"Pelaksanaan GST... kami akan turun membantah di seluruh negara.

"Ini jenayah.. kami akan lawan habis-habisan," katanya pada perbahasan Bajet 2014, di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, PR mengulangi pendirian tempoh untuk melaksanakan GST masih belum sesuai sehingga rakyat mencapai pendapatan di tahap memuaskan.

"Kami berpendirian bahawa GST masih belum boleh dilaksanakan dan perlu terus dikaji sehingga pendapatan rakyat berada pada satu tahap yang memuaskan, kutipan cukai pendapatan diperbaiki seluruhnya dan sehingga kedudukan ekonomi negara berada pada tahap yang lebih memberangsangkan," katanya.

Jumaat lalu, bagi meningkatkan pendapatan negara dan menuju negara berpendapatan tinggi, kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan GST yang akan bermula pada April 2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, GST sesuai dilaksanakan ekoran kedudukan inflasi negara berada di paras rendah.

Dalam pada itu, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh turut menjangkakan GST akan terus meningkat daripada enam peratus kepada lapan peratus pada 2016.

"Lazimnya kerajaan yang melaksanakan GST akan menaikkan kadar GST di masa hadapan kerana cukai ini adalah antara yang paling mudah dikenakan.

"Perlaksanaan GST akan merangsangkan kerajaan yang boros ini untuk menaikkan kadar GST tatkala kesempitan," katanya lagi.


Sumber: Sinar Harian

Bos Chelsea rancang buru Rooney

Bos Chelsea rancang buru Rooney
Rooney jadi sasaran terbaru pengurus Chelsea, Mourinho.


PENGURUS Chelsea, Jose Mourinho merancang membida ayam tambatan Manchester United, Wayne Rooney sebanyak RM178 juta menjelang tahun baharu.

Laporan mengatakan Rooney yang juga pemain utama kebangsaan England masih belum capai kata sepakat berhubung masa depan di Old Trafford.

Rooney, 28, hanya berbaki 18 bulan kontrak dan dikatakan akan kekal menyarung jersi The Red Devils sehingga Jun 2015.

Sumber

Azmin juga nafi usaha jatuhkan Khalid

Azmin Ali
Azmin Ali


KUALA LUMPUR - Selepas khabar angin mengenai usaha menukar kepimpinan kerajaan Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Pengerusi PKR negeri itu bertiup kencang, hari ini giliran Mohamed Azmin Ali menafikan adanya usaha ke arah itu.

Menurut Mohamed Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak, perkara tersebut tidak benar dan tidak pernah ada usaha sedemikian walaupun beliau sebelum ini setuju dengan pandangan ketua pembangkang berhubung isu kelemahan pentadbiran Abdul Khalid.

Beliau berkata, perkara itu hanya perjumpaan untuk mencari jalan memanfaatkan peranan Adun dan membangunkan negeri itu.

"Memang tidak ada kemelut dan tidak ada usaha menukar menteri besar, benda baru bagi saya perkara ini, saya bersetuju dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) malahan usaha kerja itu cukup baik bagi kepentingan negeri

"Kalau Abdul Khalid nafikan, Datuk Seri Anwar nafikan jadi di mana sumber berita ini, ia tidak benar.

"Cuma yang kita usahakan sekarang ialah peranan Adun dan Parlimen PR Selangor harus dimanfaatkan," katanya ketika ditemui pemberita, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Tambahnya, perbincangan yang diadakan bersama Abdul Khalid juga berjalan dengan baik.

"Saya mengambil peluang mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan menteri besar baru-baru ini yang mengambil masa hampir empat jam.

"Kita membincangkan soal pembangunan negeri berdasarkan memorandum yang diantarkan. Jadi perjalanan perbincangan cukup baik," ujarnya.

Semalam, Abdul Khalid telah menolak desas-desus bahawa jawatannya akan diambil alih oleh Mohamed Azmin.

Malah Abdul Khalid menyifatkan khabar angin itu itu sebagai 'asam garam dalam dunia politik'.

"Tidak mengapa, ia perkara biasa dan berlaku negara lain juga seperti di Australia mereka juga menggantikan presiden baru," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, beliau akan terus mengadakan perjumpaan dengan Abdul Khalid bagi membincangkan perkembangan isu berkaitan pentadbiran negeri tersebut.

"Kita juga ada bincang soal sampah, pendidikan, rumah mampu milik, banjir, ini isu yang kita bincang panjang bagaimana kerajaan negeri boleh jadi peneraju bagi menjayakan pogram-program ini.

"Esok saya ada perjumpaan dengan MB, petang esok ada perkembangan yang perlu saya bincangkan dengan beliau (Abdul Khalid)," jelasnya lagi.

Sumber: Sinar Harian

Kes tembak pegawai bank: Suspek guna IC palsu

Jariah Mohd Said
Jariah Mohd Said

TANAH MERAH - Nombor kad pengenalan pengawal keselamatan yang kini diburu selepas menembak mati seorang pegawai operasi Ambank di Subang Jaya, Rabu lalu, disahkan tidak wujud dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said berkata, perkara itu disahkan selepas pihaknya membuat semakan apabila siasatan polis mendapati suspek dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu.

“Kita (JPN) sudah semak dari segi rekod, nombor kad pengenalan itu tidak wujud dalam sistem JPN. Kes ini dalam siasatan polis, jadi kita tunggu hasil siasatan,” katanya pada sidang media selepas Perjumpaan Khas dan Dialog Bersama Ketua Pengarah JPN Mengenai Pengenalan Diri sempena Program Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Tanah Merah, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.18 petang, Rabu lalu, pegawai operasi bank terbabit, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak penjenayah kejam itu sejurus membuka sebuah peti besi berisi wang dan suspek melarikan wang berjumlah RM450,000.

Siasatan polis mendapati, suspek dipercayai warga asing itu menggunakan kad pengenalan palsu bagi membolehkannya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan bertugas di beberapa bank sekitar Lembah Klang.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua pengawal keselamatan dan isteri suspek, kesemuanya warga Indonesia yang dipercayai bersubahat dengan penjenayah terbabit.

Bagaimanapun, identiti sebenar suspek yang menggunakan nama Ardi Hamza dan mengikut kad pengenalan itu berasal dari Tawau, Sabah masih belum diketahui.

Jariah berkata, majikan boleh membuat semakan dengan JPN jika ingin mengesahkan pekerja diambil adalah warga negara Malaysia berdasarkan maklumat kad pengenalan.

Katanya, selain untuk tinggal di negara ini secara haram, kebanyakan warga asing menggunakan kad pengenalan palsu untuk mendapatkan pekerjaan dan melakukan jenayah.

Sumber: Sinar Harian

36 ekor penyu mati dalam tempoh 9 bulan pertama

DUNGUN – Jabatan Perikanan mengesan 34 ekor penyu agar dan dua ekor penyu karah mati di pantai Terengganu dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Menurut laporan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, bulan Februari merekodkan jumlah kematian penyu tertinggi iaitu 15 ekor, diikuti Mac (sembilan), April (empat), Jun (tiga), Januari, Ogos masing-masing (dua) dan seekor pada bulan Mei.

Penyu berkenaan ditemui mati di pantai Mercang, Geliga, Pengkalan Atap, Gong Balai, Cakar Hutan, Kijal, Kuala Abang, Paka, Ma’Daerah, Jambu Bongkok dan Pulau Kapas.

Katanya dalam tempoh sama Jabatan Perikanan merampas rawai tanpa umpan sebanyak enam bidang di perairan Terengganu.

Menurut laporan berkenaan, bagi mengurangkan kadar kematian penyu di negeri ini pelbagai program dirangka dalam usaha menyemai rasa tanggungjawab dan keprihatinan orang awam.

Ia membabitkan program penghayatan penyu, penyu angkat, telur angkat dan sukarelawan penyu di kawasan penyu naik bertelur.

Program di luar kawasan penyu bertelur juga dijalankan seperti mengadakan pameran bergerak dan memberi ceramah kepada orang awam dan kanak-kanak sekolah.

Pusat itu, yang merupakan program pengurusan dan pemuliharaan penyu negeri Terengganu, berkata objektif pengurusan penyu ialah untuk melindungi dan mengurus sumber penyu secara mapan bagi memastikan haiwan purba khazanah negara dan negeri itu tidak mengalami kepupusan.


Sumber: BERNAMA

Nora oh Nora!

Nora Danish
Sumber: Sinar Harian

Nora
Sumber: Sinar Harian

Nora Danish


SEPANJANG minggu ini, aktres seksi, Nora Danish, masih menjadi perhatian ramai, bukan saja di kalangan peminatnya bahkan juga golongan 'haters'. Umum sudah mengetahui hubungan intim yang terjalin antara Nora dan juga anak menteri yang bernama Nadeem.

Meskipun masih belum mengaku hubungan cinta yang terbina, namun pasangan ini nampaknya lebih terbuka untuk mengisytiharkan 'kemesraan ' menerusi alam mikro.

Sejak dua bulan lalu, gambar kemesraan mereka banyak dimuat naik menerusi Twitter dan juga Instagram milik mereka. Selain pernah menghabiskan masa di Bali, mereka juga pernah ke Vietnam dan yang terbaru ke Eropah.

Tindakan Nora bercuti dengan kekasihnya itu menimbulkan pelbagai reaksi peminat. Ada yang memuji dan tak kurang yang mengeji.

Semakin berani, baik Nora dan Nadeem, masing-masing memberikan kenyataan balas menerusi laman sosial mereka bagi mempertahankan hubungan mereka.

Sumber: Sinar Harian

Bollywood: Percaturan baru Aamir Khan

Aamir Khan

SERING tampil dengan watak hero, kali ini pelakon berbadan sasa Aamir Khan muncul dengan watak antagonis dalam filem terbarunya, Dhoom 3.

Malah, demi mempromosikan filem tersebut, Amir sanggup mempercepatkan penggambaran untuk filemnya yang akan datang bagi beri sokongan kepada rakan seangkatannya.

"Amir meminta Hirani (pengarah) untuk meminda tarikh penggambaran filem lebih awal supaya dia sempat untuk berada di Mumbai pada 30 Oktober ini.

"Dia juga sanggup bekerja lebih masa kerana ingin bercuti pada tarikh tersebut untuk pelancaran trailer filem itu akhir bulan ini," kata sumber.

Malah krew produksi tidak kisah dengan tindakan aktor itu kerana mereka juga dapat bercuti sehingga perayaan Diwali.

Sumber: Sinar Harian