Friday, 17 April 2015

Turkish Airlines plane turns back after false bomb alert

The airline said the plane returned to Istanbul airport as a precautionary measure after the alert and underwent an investigation after all the passengers were taken off. - Filepic

ISTANBUL: A Turkish Airlines passenger plane flying from Istanbul to Basel turned back over Bulgarian air space Friday after a bomb alert that later turned out to be false, the airline said.

The airline said the plane returned to Istanbul airport as a precautionary measure after the alert and underwent an investigation after all the passengers were taken off.

"The necessary investigation onboard has now been finalised and it became clear that it was a false bomb alert," it added.

Reports said that the alert was caused by the discovery of a written note warning of a bomb on board.

The alert is the latest in a string of such incidents and several Turkish Airlines flights have in recent weeks been forced to turn back or make unscheduled landings due to false bomb alerts.

- Source: AFP

Pegawal keselamatan mengamuk: Pegawai bank, rakan sekerja cedera


Suspek berusia dalam lingkungan 40-an menggunakan pisau untuk menikam pegawai lelaki itu di bahagian leher dan muka sebelum menyerang seorang pegawai wanita. 

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai bank maut manakala seorang rakan sekerjanya cedera akibat ditikam seorang pengawal keselamatan yang tiba-tiba mengamuk di sebuah bank di Taman Molek, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Abdul Samad Salleh berkata kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang ketika pelanggan sedang menunggu giliran untuk berurusan di bank itu.

Menurutnya, suspek berusia dalam lingkungan 40-an menggunakan pisau untuk menikam pegawai lelaki itu di bahagian leher dan muka sebelum menyerang seorang pegawai wanita.

"Bagaimanapun, wanita itu hanya cedera dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan," kata Abdul Samad kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya suspek yang merupakan warga tempatan sempat ditahan di tempat kejadian susulan tindakan pantas orang awam memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

"Polis anggap kes ini selesai kerana sudah berjaya menahan suspek dan senjata yang digunakan juga telah dirampas.

"Soal berapa lama dia (suspek) berkhidmat (sebagai pengawal keselamatan) dan apakah motif dia berbuat demikian, semua itu sedang disiasat dan (rakaman) kamera litar tertutup (CCTV) yang ada dalam bank akan diambil untuk membantu siasatan," katanya dan menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, menurut saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 53, semasa kejadian, dia sedang menunggu giliran untuk berurusan dengan pegawai di kaunter bank berkenaan.

"Semasa saya datang, dia (suspek) sempat beri saya nombor giliran dan kemudian dia berlalu.

"Selepas itu, selang 10 minit saya terdengar bunyi bising di bahagian belakang sebelum pengawal itu datang ke arah kami mundar-mandir sambil memegang pisau. Semua pelanggan yang ada terkejut ketika itu dan terus lari keluar menyelamatkan diri," katanya.

Wong berkata beliau selalu berurusan di bank itu dan tidak pernah melihat suspek sebelum ini.
"Mungkin dia (suspek) masih baru di sini dan dia juga tidak dibekalkan dengan apa-apa senjata api berbanding dengan seorang lagi pengawal keselamatan," katanya. 

- Sumber: Bernama

Hina rupa: Wartawan sukan digantung kerja

Britt McHenry

VIRGINIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang wartawan sukan dari syarikat media gergasi digantung kerja kerana 'menghina rupa, pekerjaan dan pendidikan' seorang wanita, 6 April lepas.

Menurut Dailymail, Britt McHenry, 28 seorang wartawan sukan ESPN mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang pekerja selepas keretanya ditarik.

"Saya (bekerja) di dalam media. Saya akan saman tempat ini," kata McHenry dipetik dari rakaman kamera litar tertutup.

Rakaman tersebut yang tersebar secara meluas di Internet memaksa ESPN mengambil tindakan.

"Britt McHenry telah digantung kerja selama seminggu berkuatkuasa serta merta," menurut jurucakap ESPN.

McHenry akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka di laman mikro Twitter, semalam.

- Sumber : Dailymail

Tun M pun dulu dikritik, tapi dia tak layan...


SHAH ALAM – Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj disifatkan kerap juga menegur dan mengkritik kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal pentadbirannya khususnya ketika berdepan dengan beberapa isu termasuk krisis Perlembagaan, krisis Raja-Raja dan hakim, namun beliau tidak ambil pusing.

Demikian kata Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Abdul Halim Sidek sambil menegaskan, walaupun Dr Mahathir menerima teguran itu namun beliau tidak melayan kritikan tersebut.

“Tunku Abdul Rahman biasa tegur Mahathir, dan Mahathir terima sahaja tetapi dia tidak layan walaupun ada orang hendak cabar Mahathir, dia terima saja. Zaman Tunku jadi Perdana Menteri, Mahathir yang tegur walaupun beliau di bawahnya, zaman Tun Razak pun begitu juga, ada orang tegur dia.

“Setiap perdana menteri, ada saja orang tegur, budaya ini baik dan bagus, walaupun teguran itu mendapat sokongan banyak pihak namun ia tidak sampai hendak menjatuhkan,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas teguran Dr Mahathir terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak akhir-akhir ini berikutan beberapa persoalan termasuk soal pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu serta pencapaian buruk BN pada PRU12 dan PRU13 lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Halim juga mengingatkan Dr Mahathir supaya tidak melanggar batas-batas perundangan dalam membuat teguran terbuka itu kerana ia didakwa telah mengganggu pentadbiran Najib termasuk menjejaskan keharmonian negara.

“Sekarang zaman Najib, Dr Mahathir tegur lagi, sebab dia ada idea, ini suatu amalan yang sihat, bekas perdana menteri itu memberi pandangan tetapi tidak sepatutnya mengganggu pentadbiran negara yang boleh menjatuhkan ketua pentadbiran sekarang.

“Sebenarnya apa yang Dr Mahathir buat ini ialah bersalahan dengan Akta Hasutan, perbuatannya itu boleh menimbulkan huru-hara negara, jadi oleh sebab hormatnya pemerintahan sekarang (Najib) terhadap beliau, maka tiada tindakan diambil oleh pihak polis untuk merekodkan kenyataan daripada Dr Mahathir dan penyokong-penyokong beliau,” ujarnya. 

Abdul Halim juga berkata, tindakan masih belum diambil susulan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar didakwa masih belum merujuk perkara itu kepada Perdana Menteri sebelum langkah seterusnya diambil.

“Pada masa sekarang belum lagi (ambil tindakan tegas), kita lihat KPN belum hendak bertindak lagi, kena ingat keutamaan sebagai bekas Perdana Menteri, biasanya KPN akan merujuk kepada Perdana Menteri dahulu sebab dia pengerusi Majlis Keselamatan Negara.

“Kalau ia menggugat keselamatan dan ketenteraman negara, maka tindakan boleh diambil,” katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

Guru tunjuk kemaluan dilarang mengajar

Gelagat Cudjoe-Calvocoressi yang berjaya dirakamkan.

ASCOT - BRITAIN. Seorang guru dilarang mengajar seumur hidup selepas didapati bersalah menunjukkan kemaluan ketika dalam sebuah tren, Jun lepas.

Menurut Dailymail, gelagat Nuku Vanonyi Cudjoe-Calvocoressi, 41, dirakam seorang wanita di dalam sebuah tren menuju ke Reading.

Wanita berkenaan kemudian memberitahu suaminya dan Cudjoe-Calvocoressi ditangkap beberapa jam kemudian.

Cudjoe-Calvocoressi merupakan seorang guru di sekolah popular, St George yang bertempat di Ascot.

- Sumber: Dailymail 

Bina atau tidak?: Jambatan bengkok Selat Johor

Pembinaan Jambatan Bengkok merentasi Selat Johor telah dibatalkan pada 2006. Setelah 9 tahun, adakah ianya akan dihidupkan semula?

Pengenalan

Pembinaan Jambatan Bengkok merentasi Selat Johor telah dibatalkan oleh kerajaan Malaysia pada 12 April 2006. Kini sudah sembilan tahun projek ini terhenti. Adakah terdapat apa-apa tanda yang ianya akan dihidupkan semula?

Tambak Johor

Pulau Singapura tidak lagi menjadi sebuah pulau yang sebenar-benarnya apabila Tambak Johor sepanjang 1, 056m menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dibuka untuk trafik pada tahun 1927. Sebagai penghubung darat pertama di antara Tanah Melayu dan Singapura, pembinaannya merupakan sebuah keajaiban kejuruteraan pada ketika itu. Namun, apa yang ggal dilihat oleh pemimpin Johor pada ketika itu adalah kelicikan pihak British – pembinaan tambak dapat mematikan Selat Johor sebagai jalur pelayaran utama di Kepulauan Melayu pada ketika itu.

Tambak Johor ini menghubungkan Lebuhraya Skudai di sebelah Malaysia dan Lebuhraya Bukit Timah di Singapura, ditelusuri lebih 60, 000 kenderaan setiap hari. Selain berfungsi sebagai laluan tiga lorong untuk kenderaan, Tambak Johor juga menempatkan paip air dan landasan keretapi yang menghubungkan kedua-dua negara. Selain dari Tambak Johor, Singapura juga dihubungkan dengan Malaysia menerusi Jambatan Link Kedua sepanjang 1.92km yang telah memulakan operasi sejak tahun 1998.

Disebalik kemegahannya sebagai penghubung dua negara, Tambak Johor mempunyai beberapa kelemahan. Tidak seperti Jambatan Link Kedua yang membolehkan kapal-kapal belayar di bawahnya, Tambak Johor menutup sepenuhnya Selat Johor sebagai jalan maritime penghubung Timur dan Barat. Kapal-kapal yang belayar dari Pelabuhan Tanjung Pelepas di tenggara barat laut Johor terpaksa mengelilingi Pulau Singapura untuk ke Pelabuhan Pasir Gudang yang terletak di sebalik tambak, sekaligus meningkatkan jangka masa pelayaran.

Lagipula, Tambak Johor menghalang pergerakan air laut secara berterusan di Selat Johor, mengakibatkan berlakunya pencemaran laut di kawasan-kawasan berhampiran tambak di sekitar Bandaraya Johor Bahru. Dengan peningkatan jumlah trafik keluar masuk Singapura setiap tahun, adalah dikatakan tambak berusia 88 tahun ini tidak lagi dapat menyempurnakan tugasnya dengan sebaiknya dan harus digantikan dengan sebuah jambatan.

Projek Jambatan Bengkok

Idea untuk menggantikan Tambak Johor dengan sebuah jambatan telah dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 5 Jun 1996. Selepas beberapa siri perbincangan, kedua-dua negara gagal mencapai kata putus untuk membina sebuah jambatan lurus merentangi Selat Johor menggantikan tambak yang sudah usang itu.
Malaysia berkeras untuk membina jambatan bengkok setinggi 25 meter di atas paras laut yang ketinggiannya turun secara perlahan menuju perbatasan antarabangsa di Selat Johor menyambungkannya terus dengan bahagian tambak sebelah Singapura. Jambatan Bengkok ini, sekiranya siap kelak, akan menjadi sebuah jambatan ikonik berbetuk ‘S” di dunia, meningkatkan reputasi Johor Bahru sebagai pintu masuk selatan utama bagi tanahair.

Namun, pada April 2006, Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Tun Abdullah Badawi, mengumumkan pembatalan projek tersebut. Setelah projek tersebut dibatalkan, terdapat beberapa cadangan bagi projek ini untuk dihidupkan semula, terutamanya dari bekas Perdana Menteri yang mendapat julukan Bapa Pemodenan Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bina Atau Tidak?

Sejak projek Iskandar Malaysia diwujudkan pada tahun 2006, daerah terselatan di negeri Johor telah mengalami pem odenan yang memberansangkan. Kawasan pembangunan ini merangkumi kawasan seluas 2,217 kilometer persegi mencakupi Bandaraya Johor Bahru dan kota-kota berdekatan seperti Pontiam, Senai, Pasir Gudang dan Nusajaya.

Daerah Johor Bahru, lokasi di mana jambatan bengkok ini akan di bina, terletak di tengah-tengah Iskandar Malaysia. Oleh itu, Malaysia sepatutnya mempertimbangkan bagi menghidupkan semula projek jambatan bengkok ini. Projek ini boleh meningkatkan potensi Johor sebagai hab perkapalan bagi rantau ini, standing Singapura.

Dengan ketinggian Jambatan Bengkok yang membolehkan kapal belayar menerusinya, Selat Johor boleh dibuka semula bagi tujuan pelayaran setelah ‘tertutup’ selama 88 tahun, menjadi nadi penghubung utama dua pelabuhan utama di Johor yakni Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang,

Dengan pembukaan Selat Johor kepada aktiviti pelayaran antarabangsa, kapal-kapal yang melayari Selat Johor boleh mengamalkan hak lintas transit sepertimana yang termaktub di dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Undang-undang Laut apabila Selat Johor menjadi nadi penghubung utama laluan maritime Timur-Barat di rantau ini.

Pembukaan semula Selat Johor kepada pelayaran antarabangsa boleh menyediakan pelaut dengan jalan alternatif untuk laluan perkapalan yang sememangnya sudah terlalu sesak menerusi Selat Singapura, yang direntasi lebih 75, 000 kapal setiap tahun. Walaubagaimanapun, luas Selat Johor yang sempit berbanding Selat Singapura akan mendorong kapal-kapal besar seperti very large crude carrier (VLCC) atau ultra large crude carriers (ULCC) untuk melayari jalur laut yang lebih sesuai iaitu menerusi Selat Singapura.


Pembinaan jambatan bengkok menggantikan Tambak Johor ini boleh membantu mengurangkan kesesakan trafik di pusat bandaraya Johor Bahru. Jambatan Bengkok yang dicadangkan ini boleh mengurangkan pencemaran kerana membolehkan air laut yang bertakung di Selat Johor untuk mengalir secara bebas.

Sewaktu Menara Berkembar Petronas dicadangkan untuk pembinaan, banyak komen-komen negatif yang mengatakan projek ini adalah sebuah projek gajah putih. Namun kini, Menara Berkembar Petronas inilah yang berjaya meletakkan bandaraya Kuala Lumpur di peta dunia dengan menarik ramai pelancong ke Malaysia. Memang benar Kuala Lumpur mempunyai banyak kawasan tumpuan pelancongan tetapi Menara Berkembar Petronas inilah yang paling popular seantero dunia. Menurut majalah Business Insider, Kuala Lumpur telah disenaraikan sebagai bandar ke-sembilan paling dilawati di dunia pada tahun 2015 dengan menerima 11.2 juta pelancong mengalahkan bandar-bandar utama lain seperti Taipei, Dubai, Rome dan Istanbul. Seperti Menara Berkembar Petronas, Jambatan bengkok yang dicadangkan ini boleh menjadi ikon antarabanga bagi bandaraya Johor Bahru, melengkapi kota ini dengan kawasan tumpuan pelancongan yang lain seperti Desaru, Legoland dan Johor Premium Outlets.

Kesimpulan

Walaupun telah dibatalkan pada tahun 2006, projek jambatan bengkok yang dicadangkan ini wajar dipertimbangkan sekali lagi dan dihidupkan semula. Ianya adalah sebuah projek berwawasan yang mampu menjana ekonomi selatan Johor. Walaubagaimanapun, persoalan utama yang harus di jawab kerajaan Malaysia adalah – bina atau tidak?

------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia dan seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
**Disiarkan di Astro Awani

1MDB: Ramai tidak faham apa yang berlaku


SHAH ALAM – Meskipun isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hangat didebatkan antara kerajaan dan pembangkang, rata-rata rakyat di negara ini tidak faham apa sebenarnya 1MDB.

Berdasarkan satu kajian yang kendalikan oleh Merdeka Center dan stesen radio BFM, lebih 75 peratus responden yang merupakan rakyat negara ini mengakui tidak tahu peranan yang dimainkan oleh badan tersebut.

Manakala 70 peratus responden yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah; tidak tahu mengenai kontroversi yang melanda badan berkenaan.

Hasil pungutan suara juga turut mendedahkan 52 peratus responden tidak pasti siapa yang perlu dipertanggungjawabkan terhadap kontroversi melibatkan 1MDB, sementara 18 peratus lagi berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak wajar dipertanggungjawabkan ke atas 1MDB.

Dalam pada itu, 16 peratus pungutan suara mengundi kerajaan persekutuan, 5 peratus pula berkata, pihak pengurusan 1MDB patut bertanggungjawab ke atas badan itu dan baki responden tidak tahu pihak yang harus dipertangungjawabkan (6 peratus) dalam krisis membabitkan syarikat di bawah Kementerian Kewangan itu. 

Kajian tersebut mendedahkan bahawa pengundi muda lebih cenderung untuk menyuarakan keyakinan dalam pengendalian kes 1MDB oleh pihak kerajaan berbanding dengan pengundi yang lebih tua

Sementara itu, hasil kajian tersebut juga menyatakan majoriti 30 peratus responden mengakui tidak pasti sama ada mereka terjejas dengan kontroversi badan tersebut, manakala 23 peratus pungutan suara lagi tidak pasti dengan soalan tersebut.

Kajian dilakukan pada 12 hingga 27 Mac 2015 dan melibatkan 1,011 responden. Majoriti responden berusia 31 hingga 40 tahun diikuti dengan kumpulan berusia 41 hingga 50 tahun dan 21 hingga 20 tahun.

Enam puluh peratus responden berbangsa Melayui diikuti dengan Cina (31 peratus) dan India (9 peratus).

- Sumber: Sinar Harian 

'Kami terpaksa ikat perut, makan lauk bawang'


SEPANG - Usaha berterusan dan tindakan pantas kerajaan Malaysia membawa keluar 67 pelajar Malaysia dari Aden, kawasan paling bergolak di Yaman berjaya menyelamatkan mereka daripada menjadi korban konflik perang saudara di negara itu.

Mohd Luqmanulhakim Zulkifli, 16, berkata, hanya rasa syukur yang mampu diungkapkan setelah masjid yang menjadi kawasan perlindungan kesemua mereka yang belajar di Madrasah Ribat Al-Idrus musnah dibom beberapa jam selepas dipindahkan.

Beliau berkata, keadaan yang semakin teruk memaksa mereka menjadikan masjid itu sebagai tempat berlindung dan selama tiga minggu berada di situ mereka terpaksa 'mengikat perut' dan hanya memakan nasi berlaukkan bawang selepas bekalan makanan sukar diperoleh.

"Keadaan tegang di Aden amat luar biasa dan semua pelajar perlu berada dalam keadaan bersedia untuk sebarang kemungkinan termasuk mencari kawasan perlindungan lain.

"Saya rasa jika kerajaan lambat mengeluarkan kami dari sana mungkin ketika ini kami semua sudah tiada lagi," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dari Dubai, hari ini.

Pelajar jurusan Syariah Islamiah itu merupakan antara 42 daripada 67 rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Aden ke Djibouti sebelum diterbangkan ke Kuala Lumpur menaiki pesawat Emirates Airlines.

Kumpulan kedua yang membawa 25 lagi pelajar dijangka tiba di KLIA dari Colombo, Sri Lanka kira-kira pukul 6 petang ini.

Semalam, kesemua pelajar berkenaan dibawa menaiki bot selama lebih 22 jam dari Aden ke Djibouti sebelum diterbangkan ke Jeddah menaiki pesawat Hercules C130 milik Angkatan Tentera Malaysia.

Mohd Luqmanulhakim berkata ketika waktu bergolak keadaan di Aden cukup tegang di mana bunyi tembakan dan letupan bom seakan-akan 'bunyian' biasa kepada mereka yang terpaksa mengelak berada di kawasan terbuka bagi menghindari kejadian yang tidak diingini.

Berkongsi pengalaman sama, Ahmad Zaidi Abdullah, 16, berkata ketika pergolakan, rata-rata penduduk setempat di kawasan mereka belajar membawa senjata api, namun tidak mengganggu pelajar di madrasah itu.

Beliau berkata, sepanjang mendiami masjid itu, beliau dapat merasai dengan jelas gegaran bom sebelum ia benar-benar terkena bedilan selepas dipindahkan pasukan keselamatan Malaysia.

Anak ketiga daripada tujuh beradik dari Paka, Terengganu itu berkata perkara yang paling tidak dapat dilupakannya ialah pengalaman menaiki bot dari Aden ke Djibouti, Afrika yang mengambil masa 22 jam.

"Walaupun terpaksa berhimpit di dalam bot yang seakan bot nelayan bersama kira-kira 200 penumpang lain yang mahu meninggalkan Aden, saya rasa ia pengalaman yang berbaloi kerana kami semua selamat daripada menjadi korban konflik di Yaman", katanya.

Seorang lagi pelajar tahun pertama di madrasah sama, Syed Hafiz Syed Mohd Alwi berkata perjalanan menggunakan bot terutamanya ketika menempuh ombak yang kuat di waktu malam adalah sesuatu yang memeritkan.

Katanya perjalanan yang sepatutnya mengambil masa hanya 15 jam menjadi terlalu lama ekoran arus deras yang menghalang pergerakan sehingga terpaksa menggunakan laluan berbeza daripada biasa.

"Bot itu besar, namun tidak ubah seperti bot nelayan dan kami hanya memakan kentang rebus sahaja sepanjang perjalanan," katanya. - Bernama

- Sumber: Sinar Harian 

Tak janggal ditemukan semula dengan Neelofa - Hans Isaac


KUALA LUMPUR : Selebriti Hans Isaac menepis dakwaan beliau kelihatan janggal apabila disatukan dalam segmen program hiburan Meletop yang menampilkan bekas kekasihnya Neelofa selaku pengacara.

Hans berkata, beliau sememangnya maklum dengan situasi yang mana mereka perlu bersua muka juga akhirnya kerana bekerja dalam industri yang sama.

"Saya tidak merasa janggal langsung sebenarnya ketika bertemu di Meletop tempoh hari. Cuma saya tahu kawan-kawan gemar menyakat dan sebolehnya saya cuba untuk tidak menjadi bahan usikan pada hari itu.

"Lagipun industri hiburan kecil dan kami tahu satu hari nanti memang akan berjumpa juga. Tiada masalah dari pihak saya berkenaan isu ini.

"Hakikatnya memang tiada masalah dan saya bersikap professional sewaktu ditemu bual oleh beliau (Neelofa) pada masa itu," kata Hans kepada BH Online.

Selain itu, Hans turut menjelaskan bahawa beliau kini sudah menemui pengganti namun belum bersedia untuk bercerita lanjut.

"Apa yang boleh saya katakan adalah saya sedang mengenali seseorang ketika ini. Namun saya tidak mahu bercerita lanjut.

"Kali ini biarlah saya bersikap tidak terlalu terbuka dengan urusan peribadi yang mana saya belajar dari kesilapan lalu," tegas Hans.

Selain itu, Hans turut berbangga dengan barisan pelawak pilihannya untuk Lawak Ke Der kali ini kerana berjaya membuktikan bahawa beliau membuat pilihan yang tepat.

"Ada yang mempersoalkan barisan pelawak yang dipilih oleh saya kali ini. Mereka mengatakan bahawa nama mereka tidak cukup kuat menarik minat orang ramai untuk datang menonton.

"Saya begitu berbangga kerana mereka berjaya membuktikan bahawa bakat dan komitmen yang diberikan mampu menghidupkan persembahan itu," kata Hans.

- Sumber: BH Online 

Di mana Izzati

Siti Nur Izzati

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Taman Melawati, Siti Nur Izzati Mokhtar, 15 dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar ke sebuah pusat beli-belah di ibu negara, sejak Sabtu lalu.

Kakaknya, Fatimah Ihsan, 26, berkata, adik bongsu daripada tiga beradik itu meminta izinnya untuk keluar berdua bersama rakan sekolahnya dikenali sebagai Azizah.

Dia menghantar adiknya dan rakan ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai dan bercadang mengambilnya di pusat beli belah tersebut pada sebelah petang.

“Saya telefon dan mesej Izzati untuk mengambilnya tapi gagal dan sekitar jam 9 malam dia menghantar pesanan ringkas mengatakan dalam perjalanan pulang.

“Itulah kali terakhir saya dapat berkomunikasi dengan dia dan selepas itu hingga ke hari ini, kami sekeluarga gagal menghubunginya termasuk rakan yang keluar bersamanya pada hari tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Fatimah berkata, dia bimbang akan keselamatan adiknya yang tidak pernah meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama.

“Sebelum ini, dia tiada masalah dan tak pernah tidur di rumah rakannya apatah lagi tidak pulang ke rumah.

“Biasanya dia hanya ke Wangsa Walk, cuma pada hari itu Izzati mahu ke sana kerana ingin cuba permainan di pusat beli belah berkenaan,” katanya.

Fatimah amat berharap mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan Izzati boleh menghubunginya di talian 013-370 1104.

- Sumber: Sinar Harian | 16 April 2015

Rafizi: 'Saya tak takut Najib saman saya'

Rafizi Ramli 

SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui 'teruja' untuk mempertahankan kenyataannya berhubung saman yang difailkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berkenaan kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.

Jelas Rafizi, beliau dan barisan peguamnya sudah menjangkakan tuntutan tersebut akan dibawa ke mahkamah.

“Saya teruja untuk mempertahankan kenyataan saya di mahkamah. Semasa saya mendapat surat tuntutan dalam bulan Disember lepas, saya ada membincangkan kemungkinan saman ini dibawa ke mahkamah.

"Peguam-peguam saya turut teruja untuk menyoal balas Najib dan Rosmah di mahkamah nanti, seperti mana seluruh rakyat Malaysia ternanti-nantikan saat itu.

Najib dan isterinya memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Pandan itu dan pemilik portal online 'Mediarakyat.net' berhubung video ucapan penghapusan subsidi minyak dalam satu forum pada 22 November, tahun lalu.

Najib dan Rosmah masing-masing selaku plaintif pertama dan kedua atas kapasiti peribadi memfailkan saman itu melalui Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 April lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib, Rosmah fail saman terhadap Rafizi]

Mereka menamakan Rafizi dan pemilik portal Media Rakyat, Chan Chee Kong sebagai defendan pertama dan kedua.

Rafizi dalam pada itu menyifatkan tuntutan saman tersebut sebagai satu cara untuk menakutkan pemimpin PR.

“Saya percaya ini sebahagian dari usaha untuk menakut-nakutkan pimpinan Pakatan Rakyat dari terus bersuara mengenai isu-isu rakyat.

“Saya akan terus bersuara dan tidak akan takut dengan tindakan-tindakan mahkamah seperti ini,” tegasnya.

- Sumber: Sinar Harian 

TM perkenal dua pakej jalur lebar

Naib Presiden Eksekutif (Pelanggan dan PKS) TM Imri Mokhtar berkata pakej baharu itu akan membantu mendorong pelanggan menggunakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dan menambah pengalaman mereka di rangkaian TM.

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) memperkenalkan dua pakej jalur lebar untuk menyokong langkah kerajaan ke arah menggalakkan langganan jalur lebar dan meningkatkan penembusan isi rumah daripada 70 peratus pada masa ini.

Katanya pertama ialah pada RM38 sebulan, tidak termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), untuk 1Mbps dengan penggunaan data sehingga 1GB.

Tawaran ini 57 peratus lebih murah berbanding tawaran semasa pada RM88 untuk pakej 1Mbps yang sedia ada, katanya dalam kenyataan pada hari Khamis.

Pakej lain ialah pakej tiga serangkai 10Mbps UniFi yang baharu pada RM179 sebulan, tidak termasuk CBP.

Ia termasuk akses Internet jalur lebar tanpa had, panggilan telefon talian tetap percuma di seluruh negara dan 22 saluran asas HyppTV iaitu 10 peratus lebih murah berbanding pakej 10Mbps UniFi sedia ada pada RM199 sebulan.

Pelanggan boleh melanggan pakej 1Mbps mulai 16 Jun manakala pakej 10Mbps dari 15 Julai di mana-mana cawangan TMpoint di seluruh negara.

Naib Presiden Eksekutif (Pelanggan dan PKS) TM Imri Mokhtar berkata pakej baharu itu akan membantu mendorong pelanggan menggunakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dan menambah pengalaman mereka di rangkaian TM.

"Ini sejajar dengan usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk meluaskan capaian, terutamanya bagi yang tidak mendapat perkhidmatan itu, ke arah merapatkan jurang digital," katanya. 

- Sumber: Bernama

Zahid dedah kegiatan kumpulan kongsi gelap peras wang perlindungan

ZAHID: Kegiatan kongsi gelap telah menjadi satu trend di seluruh negara dan kegiatan pasaran gelap itu tidak boleh diizinkan.

IPOH: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan kegiatan kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang meminta wang perlindungan daripada para kontraktor sehingga menyebabkan projek-projek pembinaan terbengkalai.

Katanya, kegiatan terancang kumpulan-kumpulan kongsi gelap ini dikesan bukan sahaja di bandar-bandar malah di pekan-pekan kecil dan sasaran mereka ialah kontraktor yang mengendalikan projek besar kerajaan dan swasta.

Menurut Zahid, daripada laporan yang beliau terima, satu dua kes tangkapan telah dibuat oleh pihak polis setelah menerima pengaduan daripada pihak kontraktor bahawa pejabat projek mereka dibakar manakala barang binaan dicuri kerana gagal membayar wang perlindungan.

“Ini (memeras wang) akan membunuh para kontraktor berkenaan ataupun jika wang perlindungan itu tidak dibayar atau dibayar sedikit daripada jumlah yang diminta, maka projek ini ditangguhkan menjadi projek terbengkalai.

“Saya ingin memberi jaminan mana-mana projek yang dijalankan oleh mana-mana kontraktor supaya membuat laporan dan memberikan maklumat kepada pihak kami serta pihak PDRM bagi tindakan segera dilakukan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-38 Persatuan Kontraktor Melayu Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh Pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Perak, Datuk Wira Jamaludin Abd Rahim.

Menurut Ahmad Zahid, kegiatan kongsi gelap telah menjadi satu trend di seluruh negara dan kegiatan pasaran gelap itu tidak boleh diizinkan.

Sehubungan dengan itu beliau berharap para kontraktor tidak akan tunduk terhadap ugutan dan tekanan yang dibuat kumpulan kongsi gelap ini sebaliknya melaporkannya kepada pihak PDRM supaya tangkapan dapat dibuat terhadap mereka yang terbabit.

Katanya, walaupun tidak ada statistik jumlah sebenar terhadap kes wang tebusan ini tetapi pihak KDN mendapat tahu ada aduan dibuat oleh para kontraktor bahawa wang tebusan terpaksa dibayar kepada kongsi gelap. 

- Sumber: Astro Awani 

Kubur besar di Tikrit digali semula

Anggota keselamatan Iraq memeriksa kubur besar yang ditemui di Tikrit, minggu lalu.

BAGHDAD - IRAQ . Kerajaan Iraq menggeluarkan 165 mayat yang menjadi mangsa pembunuhan kejam kumpulan militan IS dari beberapa kubur besar di Tikrit, menurut media tempatan, kelmarin.

Kementerian Hak Asasi Manusia Iraq memaklumkan kesemua mayat tersebut berkemungkinan besar adalah milik anggota Akademi Udara Tikrit atau dikenali sebagai COB Speicher ketika di bawah pemerintahan Saddam Hussien.

"Kesemua mayat tersebut dipindahkan ke pusat perubatan untuk proses pengambilan DNA bagi mengenal pasti identiti mereka.

"Penemuan itu dilihat sebagai satu lagi bukti kekejaman IS terhadap nyawa tidak berdosa," kata jurucakap pihak berkuasa, Mohannad Okabi.

Difahamkan, sebanyak 10 kubur besar ditemui di bandar tersebut dan tiga daripadanya adalah di dalam kawasan istana Saddam Hussien. 

- Source: Press TV

Dr M: 'Saya tidaklah begitu jahil bab agama'

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan selepas hampir sebulan Pas Kelantan membentang dan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Dun Kelantan.

Melalui catatan terbaru dalam blognya, Dr Mahathir berkali-kali menyatakan bahawa hudud yang dibawa Pas itu bukan hudud Islam.

“Saya terkejut mendengar bahawa Umno Kelantan menyokong hudud Pas. Saya harap mereka faham apa yang dilakukan oleh mereka. Hudud Pas bukan hudud Islam sebab ia sangat tidak adil sedangkan al-Quran menuntut keadilan apabila menghukum.

“Hukum potong tangan, rejam sampai mati dan penggal leher ke atas orang Islam tetapi mengenakan hukum yang amat ringan kepada orang bukan Islam dalam masyarakat yang sama amatlah tidak adil. Justeru itu hudud Pas bukan hukum hudud Islam," tulisnya.

Beliau turut berpandangan niat Pas dan Umno Kelantan untuk memperkenalkan hukum itu di negeri tersebut hanya untuk kepentingan politik.

“Yang kedua ialah niat Pas dan juga Umno Kelantan apabila memperkenalkan hudud Pas adalah untuk kepentingan politik. Ini menjadikan hukum hudud Pas dan sokongannya oleh Umno tidak Islam. Bahawa niat Pas adalah untuk politik adalah jelas daripada ‘Amanat Perdana Pemangku Presiden Tuan Guru Datuk Abdul Hadi Awang - Pilihan Raya ke-11 Formula Kemenangan pada 18 Januari 2003’.

“Amanat ini berbunyi demikian, ‘yang pentingnya perlu ada kerjasama untuk menjatuhkan atau mengurangkan penguasaan atau hegemoni BN di Parlimen dan kali ini DAP perlu diyakinkan bahawa mudarat kerjasama ini dapat dikurangkan sebab konsep kerjasama ini berbeza dalam strategi 2 Arca berbanding BA-1999...Justeru kerana isu Negara Islam dan pelaksanaan hudud dan syariah menjadi punca perpecahan BA dahulu, maka Pas perlu membuat satu pengorbanan dan ijtihad-besar untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan pelaksanaan Hudud di peringkat Pusat.

“...Peruntukan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini di peringkat Pusat. Seandainya menang dalam pilihanraya akan datang, BA atau pembangkang akan menubuhkan sebuah Kerajaan Demokratik dan adil di peringkat Pusat, yang mendukung Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada.”

“Nawaitu (niat) orang Islam semasa membuat ibadat amat penting. Jika niat semasa solat, tawaf dan sai’e ialah untuk senaman, ia tidak lagi menjadi ibadat. Kerana hudud Pasmempunyai niat menang pilihan raya, maka ia tidak lagi Islam,” tulisnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa enakmen yang diluluskan bulan lalu di Kelantan itu tidak boleh diterima sebagai hukum hudud Islam.

“Datuk Haji Hadi berkata saya tidak tahu syariat Islam. Oleh itu saya tidak layak bercakap berkenaan hukum hudud. Saya juga boleh kata Haji Hadi tidak tahu berkenaan pentadbiran dan tidak layak mentadbir negeri.

Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang perubatan saya boleh kenal pasti penyakit, termasuk penyakit pentadbiran dan mengubatinya. Saya tidaklah begitu jahil dalam bidang agama. Hasil semasa pentadbiran oleh saya boleh dikaji.

“Ingatlah orang-orang yang fasih bahasa Arab dan dipimpin oleh pemimpin yang terpelajar dalam bidang agama; orang-orang inilah yang berperang dan membunuh orang yang seagama dengan mereka. Apakah mereka tidak tahu akan larangan membunuh dalam Islam?

Mereka mencipta jenayah yang tidak pun ada dalam Islam dan menjatuh hukum yang ditentukan oleh mereka tanpa menitik berat soal keadilan yang dituntut oleh Islam,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Jumpa tikus hidup dalam bungkusan roti

Tikus yang dijumpai dalam bungkusan roti

MILTON KEYNES - BRITAIN. Seorang pelanggan sebuah kedai terkejut apabila mendapati terdapat seekor tikus yang masih hidup di dalam bungkusan roti yang dibelinya, Selasa lepas.

Menurut Dailymail, Andrew Odell berkongsi penemuan berkenaan di laman mikro Twitter dengan harapan dapat menarik perhatian pengurusan kedai @AldiUK.

"Ini kali pertama dan terakhir saya membeli di kedai anda," kata Odell di laman Twitternya.

Jurucakap Aldi hari ini memberitahu mereka sedang menyiasat perkara berkenaan.

- Sumber: Dailymail