Wednesday 15 April 2015

Government announces broadband prices to drop up to 57 percent

SHABERY: More people in Malaysia will be able to enjoy the broadband facility at lower prices.

PUTRAJAYA: Prices for the basic broadband packages are expected to drop by between 11 and 57 per cent in a month or two, Communications and Multimedia Minister Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek said today.

He said the commitment was given by the telecommunications companies, namely Celcom, DiGi, U Mobile, Maxis, Telekom Malaysia and TIME.

Subscribers were expected to enjoy the cost reduction "in a month or two" because the telcos had to streamline their systems while TM needed more time than the other companies to resolve several related processes, he said.

"More people in Malaysia will be able to enjoy the broadband facility at lower prices," he told a news conference.

Ahmad Shabery said the monthly subscription for the portable packages would probably be RM25 for 1GB and at least 3G High Speed Packet Access (HSPA) for both prepaid and postpaid services.

"This reduction is estimated to be 14 per cent lower than the current average price," he said.

TM offers the basic broadband package at RM38 per month for 1Mbps up to 1GB of free data usage, which is 57 per cent lower than the current price of RM88 for the basic package.

Ahmad Shabery said he did not want the quality of service to be jeopardised following the drop in the broadband prices.

"We want them to relook their investments to raise their capability. What's the point of low prices when the service is not good?" he said.

The minister said it was hoped that the capital expenditure for infrastructure development, including fiberization, would be ongoing and in accordance with the benchmark global investment ratio of 16 per cent of the capital expenditure of the telcos.

Ahmad Shabery said the broadband cost in the country was among the most competitive in ASEAN except for Singapore and Brunei Darussalam.

"We cannot make a comparison with Singapore because it is a small country and does not require submarine cables like in the case of Sabah and Sarawak.

"Nevertheless, we want to ensure that we are always in the lead compared to the other countries in the region," he said.

- Source: Bernama

Petronas nafi potongan gaji, pemberhentian pekerja

WAN ZULKIFLEE: Tidak ada rancangan untuk menurunkan gaji pekerja, sama ada Petronas Carigali atau Kumpulan Petronas secara keseluruhannya.

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menafikan cabang penerokaan dan pengeluarannya, Petronas Carigali Sdn Bhd, akan melaksanakan proses pemotongan gaji dan pemberhentian pekerja.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata syarikat itu tidak ada rancangan untuk menurunkan gaji pekerja, sama ada Petronas Carigali atau Kumpulan Petronas secara keseluruhannya.

"Laporan itu tidak tepat. Ini merupakan proses pengoptimuman kos kami dengan para penyedia perkhidmatan.

"Kami mengkaji penyedia perkhidmatan yang menyediakan profesional kepada kami dengan gaji lebih daripada RM20,000 sebulan, malah sehingga RM100,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan Petronas Dagangan Bhd di sini hari ini.

Wan Zulkiflee mengulas laporan akhbar semalam yang menyebut Petronas Carigali akan memotong gaji pekerjanya berkuat kuasa 1 Mei, 2015, berikutan kedudukan pasaran yang mencabar yang disebabkan oleh harga minyak dunia yang rendah.

Laporan itu memetik Petronas Carigali sebagai berkata bahawa ia akan terus melabur bagi mengekalkan tahap pengeluaran meskipun persekitaran harga minyak yang rendah, yang menjejaskan perbelanjaan dan daya maju projek.

Ia berkata dalam kedudukan yang mencabar untuk berbuat demikian pada struktur kos sedia ada, syarikat memutuskan untuk mengkaji semula kadar gaji pekerja sebahagi sebahagian daripada usaha mengoptimumkan kos.

Petronas Carigali meneroka, memaju dan mengeluarkan minyak dan gas di Malaysia menerusi kontrak perkongsian pengeluaran, dengan sehingga 90 peratus kos asas syarikat adalah menerusi kontraktor rakan usaha samanya.

- Sumber: Bernama

Harga kerang naik RM3 jadi RM7.50 setengah piring

Alias Ahmad memberikan sidang media mengenai Cukai Barang Perkhidmatan (GST) di pejabat KPDNKK hari ini.

PUTRAJAYA - Sebuah restoran di Subang Jaya, Selangor bakal berhadapan tindakan mahkamah kerana menaikkan harga kerang daripada RM3 sepiring kepada RM7.50 setengah piring dengan menggunakan alasan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). 

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, kes itu adalah satu daripada 18 kes yang sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan akan dihantar kepada timbalan pendakwa raya minggu depan.

Menurutnya sembilan kes dikenal pasti di Melaka, Pulau Pinang (tiga), Kuala Lumpur (tiga), Selangor (dua) dan Putrajaya (satu).

"Ketiga-tiga kes di Kuala Lumpur melibatkan peniaga gagal menjawab notis tunjuk sebab. Di Putrajaya pula ada peniaga naikkan harga kacang bendi daripada RM12.50 kepada RM18.50 sekilogram.

"Di Melaka enam kes melibatkan peniaga menaikkan harga peti ais. Ada yang naik daripada RM2,999 kepada RM3,129 selepas GST dilaksana," katanya pada sidang media, di sini hari ini. 

Alias berkata, jika sabit kesalahan individu boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya atau denda RM500,000 ke atas syarikat.

Mengenai caj perkhidmatan, beliau berkata KPDNKK melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan memulakan siasatan di bawah Akta Persaingan untuk mengenal pasti jika terdapat elemen pakatan dalam kalangan syarikat untuk menetapkan kadar caj itu.

"Kalau ada pakatan dalam kalangan persatuan atau peniaga menetapkan misalnya 10 peratus caj perkhidmatan, mereka akan tertakluk kepada Akta Persaingan.

"Mereka sepatutnya bebas untuk tetapkan caj itu mungkin empat, lima atau enam peratus. Tetapi kita nampak semua tetapkan 10 peratus (kadar maksimum)," jelasnya.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan syarikat boleh dikenakan denda maksimum 10 peratus daripada keseluruhan perolehan global mereka.

Sementara itu, Alias berkata, pertemuan dengan wakil persatuan hotel dan restoran pula akan diselesaikan pada minggu ini dan laporannya dijangka dikemukakan kepada jemaah menteri hujung bulan ini.

KPDNKK juga telah mengeluarkan sebanyak 61 notis berkaitan caj perkhidmatan daripada 698 pemeriksaan ke atas premis perniagaan dari 8 hingga 14 April. 

- Sumber: Bernama

Pelajar maut dilanggar pacuan empat roda

Gambar hiasan

SANDAKAN - Seorang pelajar Tahun Lima maut dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Zabidi Mohd Zain berkata kemalangan kira-kira jam 5.30 petang itu berlaku ketika Mohamad Haqimi Rizan, 11, pulang dari sekolah.

Mangsa yang turun dari sebuah kenderaan dan kemudian melintas jalan raya untuk ke rumah keluarganya di PPR Taman Murni dilanggar sebuah kenderaan yang datang dari arah Kem Tentera Sri Kinabatangan, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya mangsa yang cedera parah di kepala dan muka dihantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 12 tengah malam.

Beliau berkata pemandu kereta itu, seorang wanita berusia 42 tahun, telah tampil ke balai polis untuk membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

- Sumber: Bernama

Kepala babi di pintu masjid


Kepala babi yang ditemui di hadapan pintu masjid.

SOLIHULL - ENGLAND. Empat kepala babi ditemui di hadapan sebuah masjid yang dikatakan beroperasi secara haram, Ahad lepas.

Menurut BBC, polis kini menyiasat kes berkenaan yang dikategorikan sebagai 'jenayah kebencian'.

Jenayah kebencian bermotivasikan kebencian terhadap suatu agama, kaum, jantina atau beberapa jenis prejudis yang lain.

Minggu lepas, akhbar tempatan Birmingham Mail mendedahkan seramai 1,000 orang menandatangani petisyen untuk menutup masjid berkenaan yang beroperasi tanpa kebenaran.

- Sumber: Sinar Harian 

400 dikhuatiri lemas bot karam

Bayi yang berjaya diselamatkan Isnin lalu. - Foto BBC

LIBYA - Seramai 400 pendatang Libya dikhuatiri lemas selepas bot yang mereka naiki karam di perairan Mediterranean, Jumaat lepas.

Menurut laporan BBC, bot tersebut membawa sejumlah 550 pendatang dan karam sehari selepas meninggalkan Libya.

Isnin lepas, pihak pengawal pantai dari Itali berjaya menyelamatkan seramai 144 mangsa bot karam berkenaan.

Agensi Save The Children memberitahu, kebanyakan mangsa yang berjaya diselamatkan adalah remaja dan kanak-kanak, termasuk bayi.

Sehingga kini, hanya sembilan mayat ditemui.

- Sumber: Sinar Harian 

MAS tawar lebih ganjaran jika sertai Enrich


MALAYSIA Airlines (MAS) akan menawarkan lebih banyak ganjaran kepada pelanggan apabila mereka menyertai program kesetiaan Enrich.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAS berkata anggota baharu akan meraih mata berganda bagi penerbangan kelas Pertama dan Perniagaan Kuala Lumpur-London, MH3 dan MH4, bermula 15 April hingga 15 Jun 2015.

"Program kesetiaan ini akan menawarkan promosi istimewa kepada anggota apabila mereka membuat tempahan dan terbang dalam tempoh itu," katanya.

Sementara itu, MAS berkata perkhidmatan beli-belah dalam penerbangannya 'Temptations' akan menawarkan lebih banyak jenama premium dan lebih 170 produk.

"Bagi meraikan 'Temptations' baharu, anggota Enrich berpeluang meraih dua mata 'Enrich Miles' bagi setiap US$1 yang dibelanjakan bagi tempoh 15 April hingga 15 Mei 2915," katanya. 

- Sumber: Bernama

Menari lucah: Sekolah tarian ditutup

Sedutan video tarian lucah yang dimuatnaik.

URALS - RUSIA. Sebuah sekolah tarian ditutup selepas didakwa bertanggungjawab ke atas sebuah pertunjukan tarian lucah melibatkan remaja bawah umur ketika sebuah pementasan.

Menurut BBC, keputusan tersebut dibuat selepas video tarian tersebut yang dimuatnaik ke laman YouTube tersebar dan membangkitkan kemarahan orang ramai.

Dalam video tersebut, sekumpulan gadis bawah umur melakukan aksi 'twerk' sebelum membuka baju.

Pelayar laman video tersebut yang terkejut dengan aksi berkenaan pantas melaporkan kepada polis di Rusia.

Pengetua sekolah tarian mendakwa ibu bapa kepada penari-penari tersebut sudah diberitahu dan kebenaran bertulis telah diberikan kepadanya.

Sekolah tarian berkenaan diarah ditutup sehingga siasatan selesai.

- Sumber: Sinar Harian 

Niloofar tak gentar ugutan bunuh oleh keluarga


Niloofar Rahmani


AFGHANISTAN - Juruterbang wanita Afghanistan, Niloofar Rahmani, 23, tidak gentar apabila menerima ugutan bunuh dari pengganas, Taliban.

Menurut Dailymail, Niloofar dan enam lagi ikon wanita dari serata dunia dianugerahkan Anugerah Keberanian Wanita 2015 dalam sebuah majlis di Amerika Syarikat, minggu lalu.

Menurut Niloofar, sememangnya bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang menghabiskan hampir setahun mempelajari bahasa Inggeris untuk memasuki kolej.

Beliau akhirnya menyertai Program Latihan Pegawai Afghan Air Force pada 2010 dan tamat pengajian pada 2012 dengan pangkat Leftenan Kedua.

Niloofar dikatakan mengingkari sebuah arahan selepas menemui beberapa askar Afghanistan yang cedera ketika sebuah misi dan menerbangkan mereka ke hospital.

Pegawai atasan membuat keputusan untuk tidak menghukum Niloofar kerana mengingkari arahan tersebut.

Selepas kejayaan Niloofar menyelamatkan askar-askar berkenaan diketahui umum, beliau menerima ugutan bunuh daripada Taliban dan ahli keluarganya sendiri kerana pilihan kerjayanya itu.

“Anda tidak boleh melihat diri anda sebagai seorang wanita sahaja, anda perlu percaya kepada diri anda sendiri,” kata Niloofar ketika ditemuramah WTKR.

Beliau bertegas akan terus meneruskan kerjayanya dan bercita-cita untuk menjadi tenaga pengajar untuk menggalakkan lebih ramai wanita menceburi pekerjaan tersebut.

- Sumber: Sinar Harian 

Isteri bergaya seksi, Farid terkilan


"SAYA terkilan," itu jawapan ringkas pelakon Farid Kamil ketika diminta mengulas mengenai aksi seksi isterinya, Diana Danielle yang mencetuskan kontroversi sekitar awal Mac lalu.

Bagaimanapun Farid enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan meminta agar hal tersebut diajukan kepada pihak pengurusan isterinya iaitu Prokuya Sdn Bhd yang juga merupakan syarikat milik adik Farid sendiri iaitu Fadzil Zahari.

"Sebagai suami, saya tidak mahu mencampur-adukkan soal peribadi dan kerjaya. Apa yang saya boleh katakan ia satu situasi atau 'hybrid problem' iaitu satu situasi yang tak pernah dialami.

"Ini mungkin salah satu dugaan dan ujian saya sebagai seorang artis. Saya hanya mampu berdoa untuk semuanya baik-baik saja," katanya yang ditemui media pada sesi tayangan filem terbarunya, Abang Lejen, malam tadi.

Pada Mac lalu, Diana mengejutkan industri hiburan dengan aksi beraninya bergaya untuk sebuah majalah gaya hidup lelaki.

Aksi tersebut memperlihatkan dia dalam keadaan seksi termasuklah gayanya tampil bercoli sambil membaluti badannya dengan bendera Amerika Syarikat.

- Sumber: Sinar Harian 

Wanita lembam jadi pemuas nafsu rakan di internet

- Gambar Hiasan

KAJANG - Seorang wanita lembam berusia 22 tahun menjadi pemuas nafsu seorang lelaki sejak mereka berkenalan melalui ruangan sembang di internet dua tahun lalu.

Mangsa dikatakan akan menghubungi suspek berusia 42 tahun itu datang ke rumahnya untuk melakukan hubungan seks ketika ketiadaan ibu bapanya di rumah.

Bagaimanapun, kelicikan lelaki terbabit terbongkar selepas ditangkap ibu bapa mangsa sendiri.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, ketika kejadian ibu bapa wanita berkenaan keluar rumah jam 1 tengah hari dan meninggalkan anaknya sendirian di rumah.

“Pada jam 3.30 petang, ibu mangsa yang pulang pergi ke bilik mangsa. Bagaimanapun, terkejut selepas mendapati seorang lelaki menyorok di belakang pintu.

“Apabila ditanya kepada anaknya, dia mengaku lelaki berkenaan meraba seluruh badannya. Bapa mangsa yang tidak berpuas hati kemudiannya membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa turut dibawa untuk menjalani pemeriksaan dan disahkan terdapat kesan koyakan pada alat sulit.

“Siasatan awal mendapati, mangsa sudah beberapa kali mengadakan hubungan seks bersama lelaki berkenaan ketika ibu bapanya tiada di rumah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol

- Sumber: Sinar Harian 

CEO potong gaji sendiri, naikkan gaji pekerja

Pekerja syarikat Gravity Payments meraikan pengumuman Dan Price. (Gambar kecil) Dan Price

SEATTLE - AMERIKA SYARIKAT. Seorang CEO membuat keputusan untuk memotong gajinya sendiri dan menaikkan gaji 120 orang pekerjanya, Isnin lepas.

Menurut Dailymail, Dan Price, CEO kepada syarikat Gravity Payments, sebuah syarikat pemprosesan kad kredit memperoleh pendapatan sebanyak USD 1 juta (RM 3.7 juta) setahun sebelum pengumuman berkenaan. 

Price mendapat ilham berkenaan selepas sebuah penyelidikan bagaimana kenaikan gaji mampu memberi kegembiraan untuk pekerja yang memperoleh pendapatan USD 70,000 (RM26,000) setahun. 

"Adakah anda terkejut? Saya sendiri terkejut," beritahu Price kepada kakitangannya yang bersorak gembira dalam sebuah mesyuarat. 

Price memberitahu THe Times bahawa beliau tertekan dengan kesusahan yang dialami oleh kawan-kawannya dan ahli keluarganya yang memperoleh pendapatan kurang USD 70,000 setahun. 

"Mereka menceritakan kesusahan mereka kepada saya hampir setiap minggu. Saya terharu dan rasa tertekan," kata Price. 

Price mengasaskan syarikat Gravity Payments pada 2004 ketika berusia 19 tahun.

- Sumber: Dailymail

Ditahan ketika asyik berasmara

Sepasang kekasih yang ditahan kerana disyaki berkhalwat dan menagih dadah ketika serbuan Ops Tapis di sekitar Paka

Antara yang ditahan ketika serbuan dalam Ops Tapis.

DUNGUN -Tiga pasangan sedang asyik berasmara ditahan dalam keadaan separuh bogel dalam dua operasi berasingan Ops Tapis yang dilakukan di sekitar Paka, di sini.

Tiga pasangan itu antara 23 lelaki yang berjaya ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dungun.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 20 lelaki dan 3 wanita berusia di antara 18 hingga 43 tahun termasuk tiga pasangan kekasih kerana disyaki terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah dan berkhalwat.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, menerusi operasi pertama serbuan dilakukan di sebuah inap desa di Paka yang berjaya menahan dua pasangan di dalam bilik berasingan.

“Ketika serbuan di bilik pertama didapati seorang lelaki bujang bersama seorang janda berusia 28 tahun sedang berpelukan dan berada dalam keadaan separuh bogel.

“Turut dijumpai 90 biji pil kuda dan 10 gram syabu bersama janda itu.. serbuan dilakukan menggunakan kunci pendua.

“Manakala, di sebuah lagi bilik pasangan muda berusia 18 dan 23 tahun sedang asyik berkucupan dan berpeluk ditahan.. pemeriksaan mendapati terdapat lima biji pil kuda dalam poket seluar lelaki," katanya.

Kata Ahmad Zailani, hasil pemeriksaan air kencing juga mendapati kedua-dua pasangan itu positif dadah dan pernah ditahan sebelum ini serta kes mereka diserahkan kepada Majlis Agama Islam Dungun kerana disyaki berkhalwat.

“Menerusi Operasi itu juga seramai 13 lelaki ditahan termasuk dua daripadanya berada di luar inap desa yang diserbu, manakala selebihnya di sekitar Paka dan kesemua mereka disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, serbuan kedua yang diketuai Inspektor Mohd Ridhuan Ismail bersama tujuh lagi anggota dilakukan di Nibong stesen iaitu di dua rumah berasingan berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia 20 tahun.

“Serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 20 tahun dipercayai pengedar dadah bersama rampasan tiga botol heroin dengan anggaran berat 15.3 gram.

“Manakala di sebuah bilik sepasang kekasih berusia 20 dan 22 tahun ditahan dalam keadaan sedang berpelukan selain ketika itu terdapat ibunya di dalam rumah berkenaan yang disyaki bersubahat," katanya.

Kata beliau, pasangan tersebut didapati positif dadah manakala seorang lagi lelaki berusia 29 tahun turut ditahan di luar rumah.

Seterusnya serbuan dilakukan ke sebuah lagi rumah dan pihak polis berjaya menahan dua lelaki serta empat botol heroin dengan anggaran berat 31 gram bersama 170 biji pil kuda yang diletakkan di dalam beg sandang.

“Pasangan kekasih itu turut diserahkan kepada Majlis Agama Islam Dungun untuk tindakan lanjut dan kesemua yang ditahan juga ditahan reman untuk siasatan seterusnya.

“Kes mereka juga disiasat di bawah seksyen 39 (B) ADB 1952 dan kesemua yang ditahan juga difahamkan mempunyai rekod lampau serta menjalani tahanan reman dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

MH370: Carian dalam air mungkin selesai pada Mei

Pencarian dalam air pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di kawasan terpencil di Lautan Hindi, mungkin akan diselesaikan pada Mei.

KUALA LUMPUR: Pencarian dalam air pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 di kawasan terpencil di Lautan Hindi, mungkin akan diselesaikan pada Mei.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia yang menyelia operasi pencarian, dalam satu kenyataan memaklumkan buat masa ini, lebih 60 peratus daripada kawasan carian telah diterokai.

Bagaimanapun, menurut JACC, sasaran itu dibuat dengan harapan agar tidak berlaku kelewatan melibatkan keadaan kapal, peralatan dan cuaca.

"Kerja-kerja kami akan terus dijalankan secara menyeluruh dan teratur, jadi kadang kala kemajuan setiap minggu mungkin kelihatan lambat.

"Kami akan pastikan bahawa kerja-kerja akan berterusan dan menyasar untuk mencari MH370 secepat mungkin," menurut JACC.

- Sumber: Bernama 

Che Det, kamu tidak akan berseorangan - Che Ta

CHE TA: Che Det, kamu tidak akan berseorangan - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Aktres jelita, Rozita Che Wan atau lebih dikenali dengan panggilan Che Ta menyatakan sokongan terbuka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selain menyatakan bekas Perdana Menteri itu tidak pernah berseorangan.

Dalam catatan di laman Instagram miliknya, Che Ta mengakui ramai lagi pengikut dan rakyat negara ini berada di belakang Dr Mahathir selain memberi sokongan kepada perjuangannya.

"Tun tidak keseorangan..kami sentiasa teguh di belakang.

"Tapi kami ni orang marhain, siapa hendak dengar suara kami," katanya.

Laman Instagram milik Che Ta yang menyatakan sokongan terbuka kepada Che Det - Gambar Instagram Che Ta

Pada Isnin, Dr Mahathir mengeluh di dalam blognya chedet.cc bahawa dia keseorangan ketika membangkitkan kritikan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kata Dr Mahathir, soalan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masih tidak berjawab dan ramai pihak masih bertanya kepadanya berkaitan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Sementara itu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang negarawan yang telah mengharungi pelbagai cabaran sehingga terkenal di mata dunia.

Antara catatan terbaharu di laman Instagramnya juga menyatakan secara terbuka rasa kagumnya kepada Dr Mahathir selain menyatakan bekas Perdana Menteri tidak pernah keseorangan.

"Love u Tun dan sentiasa bersama Tun..Sejarah kepimpinan Tun mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan membangunkan Malaysia hingga terkenal di mata dunia patut kita hargai serta contohi.

"Tiada yang muda kalau tidak kerana orang tua .. #sayaanakMalaysia #sebak," katanya dalam laman Instagram berkenaan.

Laman Instagram milik Siti Nurhaliza yang menyatakan sokongan terbuka kepada Che Det - Gambar Instagram Siti Nurhaliza

Tinjauan Astro AWANI mendapati, sehingga kini, catatan berkenaan mendapat lebin 17 ribu 'like' dan mendapat hampir 700 pendapat.

Kebanyakan pendapat berkenaan menyokong Siti selain menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir sendiri.

Sebelum ini, Dr Mahathir memaklumkan, Najib bakal menjadi penentu bagi masa depan UMNO.

Kata Dr Mahathir, seandainya UMNO kalah kelak, ia dilihat satu situasi yang tidak dapat dipulihkan semula.

Bagaimanapun Dr Mahathir turut mengakui bukan mudah untuknya menulis catatan itu namun diteruskan demi bangsa dan negara.

- Sumber: Astro Awani 

SPRM siasat semua kes termasuk cincin Rosmah

ABU KASSIM: SPRM siasat semua kes termasuk cincin Rosmah - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengamalkan pilih kasih di dalam siasatan dan tidak memberi pengecualian walaupun kes ia diklasifikan berprofil tinggi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, ia termasuk melibatkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam siasatan pembelian cincin yang hangat diperkatakan pada 2011.

"Kita siasat dakwaan pembelian cincin RM24.4 juta oleh Rosmah satu jam selepas laporan dibuat pada SPRM pada 2011.

"Dua jam kemudian, saya menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan meminta isterinya membawa cincin yang diperkatakan itu," katanya ketika dipetik Sin Chew Daily.

Kata Abu Kassim, pegawainya juga menghubungi Jabatan Kastam pada hari berikutnya dan mendapat pengesahan bahawa cincin itu dihantar balik ke New York.

"Ini kali pertama kami dedahkan perkara ini.

"Saya hendak beritahu kamu, kalau kami siasat isteri perdana menteri, apakah lagi ada kes yang kami takut untuk disiasat?" katanya. 

- Sumber: Astro Awani 

Ranking ke-164 dunia, skuad bola sepak negara parah

KHAIRY: pada masa ini, ranking bukan menjadi matlamat utama kerana kejayaan pada temasya besar seperti Sukan SEA, Piala AFF dan Piala AFC menjadi sasarannya. - Foto Fail

PUTRAJAYA: Kedudukan pasukan bola sepak negara boleh diklasifikasikan sebagai 'parah' selepas berada pada ranking ke-164 dunia berbanding ke-153 pada Februari, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, berdasarkan pencapaian skuad Dollah Salleh itu pada Sukan SEA dan Piala AFF Suzuki dengan layak ke separuh akhir dan final, kedudukan Malaysia yang berada di bawah sesetengah pasukan Asia Tenggara lain adalah seperti tidak masuk akal.

"(Namun) kita tidak boleh dikatakan negara paling buruk dari segi bola sepak di Asia Tenggara, tetapi ranking ini adalah berdasarkan kepada pemilihan perlawanan. FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) ada perancangan sendiri.

"Mungkin pemilihan perlawanan oleh FAM itu agak sukar dan ini menyebabkan kekalahan, sekali gus menyebabkan ranking terjejas. FAM telah buat penjelasan bahawa memang pemilihan perlawanan itu sengaja menentang pasukan hebat untuk pengalaman," katanya kepada pemberita, di sini pada Selasa.

Khairy, bagaimanapun berkata pada masa ini, ranking bukan menjadi matlamat utama kerana kejayaan pada temasya besar seperti Sukan SEA, Piala AFF dan Piala AFC menjadi sasarannya.

Ranking Malaysia jatuh 11 anak tangga selepas tewas 0-6 kepada Oman pada aksi persahabatan antarabangsa di tempat lawan pada 26 Mac lepas dan ia adalah keputusan terburuk negara bagi tahun ini.

Kedudukan terkini itu meletakkan skuad kebangsaan sebaris dengan beberapa pasukan seperti Bhutan (163), Grenada (165), Puerto Rico (166) selain Hong Kong dan Bangladesh yang berkongsi kedudukan ke-167 dunia.

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia turun dua anak tangga untuk berada di tempat kelapan di belakang Vietnam (125), Filipina (139), Thailand (142), Timor Leste (152), Myanmar (158), Indonesia (159) dan Singapura yang berada pada kedudukan ke-162 dunia.

Kedudukan Malaysia di peringkat Asia turut menyaksikan mereka turun empat anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-33 dari 46 negara.

Dalam perkembangan lain, Khairy menyokong cadangan FAM untuk menggunakan khidmat pemain naturalisasi selagi pemain tersebut mempunyai kaitan dengan Malaysia.

"Saya tidak menggalakkan naturalisasi warganegara asing untuk jadi atlet kebangsaan kecuali atlet itu ada talian kekeluargaan dengan (rakyat) Malaysia. Jadi langkah FAM dalam mencari pemain yang ada kacukan Malaysia, itu saya terima.

"Kita bukan macam negara lain, boleh ada pemain yang tiada kaitan langsung dengan negara mereka. Tapi kalau macam kes pemain bola sepak yang dicari, saya rasa itu adil," katanya.

- Sumber: Bernama

Pengeluaran pada umur 60 tahun: Kami tiada agenda tersembunyi - KWSP


KUALA LUMPUR: Cadangan menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ahlinya hampir kepada usia persaraan 60 tahun dibuat khusus untuk menangani isu ketidakcukupan simpanan persaraan majoriti besar ahli apabila mereka bersara pada umur 55 tahun.

Dalam catatan di laman Facebook KWSP, mereka menyifatkan tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi berhubung pelaksanaan isu pengeluaran umur 55 tahun yang dicadangkan dinaikkan ke 60 tahun.

"KWSP tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi berhubung pelaksanaan isu Pengeluaran Umur 55 Tahun yang dicadangkan dinaikkan ke 60 tahun sepertimana, pandangan sesetengah fan FB KWSP yang mencurigai cadangan ini.

"Adalah penting dijelaskan di sini, bahawa perubahan kepada umur pengeluaran ini dibuat khusus untuk menangani isu ketidakcukupan simpanan persaraan majoriti besar ahli KWSP apabila mereka bersara pada umur 55 tahun," katanya di laman Facebook berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, agensi itu sedang menimbang menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya hampir kepada usia persaraan 60 tahun.

Kata Shahril, negara perlu menangani isu pengeluaran simpanan pada usia 55 tahun berbanding usia persaraan baharu pada 60 tahun, jika tidak ia akan menjadi bebanan kepada masyarakat untuk menguruskan orang-orang yang bersara tanpa wang yang mencukupi dalam akaun mereka.

Shahril memetik kaji selidik bebas yang dijalankan oleh pakar ekonomi serta penyelidikan dalaman KWSP yang menunjukkan rata-rata orang cenderung untuk menghabiskan simpanan persaraan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh.

Jelas laman itu, hasil kajian KWSP menunjukkan bahawa 70 peratus ahli KWSP yang mengeluarkan simpanan pada umur 55 tahun menghabiskan wang simpanan KWSP mereka antara 1 hingga 10 tahun selepas bersara.

"Sesungguhnya, perkara ini amat membimbangkan KWSP kerana keadaan ini akan menyebabkan ahli KWSP berada dalam kesempitan kewangan. Atas sebab itulah KWSP merupakan agensi yang bersungguh-sungguh menyokong agar had umur persaraan dilanjutkan kepada 60 tahun.

"Dalam hubungan ini, adalah tidak memberikan kesan yang bermakna kepada inisiatif meningkatkan simpanan persaraan ahli, jika Pengeluaran Umur 55 Tahun ini dikekalkan," ujar laman itu.

Dalam pada itu kata KWSP, sebarang perubahan terhadap Pengeluaran Umur 55 Tahun selaras dengan umur persaraan baru iaitu 60 tahun tidak akan berkuatkuasa serta-merta.

"Tempoh peralihan (grace period) yang sesuai akan diberikan kepada ahli untuk membuat persediaan dan penyesuaian terhadap perancangan kewangan untuk persaraan mereka," kata laman itu.

Tambah laman itu lagi, mereka juga tidak akan lagi memberikan sebarang ulasan berhubung dengan perkara ini sekiranya ia dibangkitkan sekali lagi melainkan satu keputusan baru dibuat mengenainya.

Pada Isnin, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata kerajaan belum memuktamadkan untuk menetapkan had umur pengeluaran simpanan persaraan KWSP kepada usia 60 tahun.

Kata Tee Yong, perkara itu hanya cadangan daripada pihak KWSP, selaras dengan pelanjutan had umur persaraan yang ditetapkan kerajaan sebelum ini iaitu daripada 55 tahun kepada 60 tahun.

Dalam pada itu, Tee Yong turut mencadangkan agar had umur tersebut diturunkan daripada umur 55 tahun kepada 50 tahun. 

- Sumber: Astro Awani