Wednesday 12 June 2013

Lionel Messi berdepan tuduhan penipuan cukai

Lionel Messi berdepan tuduhan penipuan cukai

BARCELONA: Pemain sensasi Barcelona, Lionel Messi bakal berdepan dengan undang-undang kewangan Sepanyol apabila pihak pendakwa jenayah kewangan negara itu telah memfailkan aduan penipuan cukai bernilai empat juta Euro (USD5 juta) terhadapnya.

Menurut laporan AFP yang memetik dari media Sepanyol, aduan “yang telah dibawa ke mahkamah” itu turut melibatkan bapa kepada pemain tersebut, Horacio Messi.

Sumber berkata, namun ianya tidak dipastikan samada mahkamah akan menerima aduan tersebut dan meneruskan tuduhan itu untuk dibicarakan.

Walau bagaimanapun, pasukan FC Barcelona tidak dapat memberikan untuk sebarang komen


- ASTRO AWANI

Motosikal dirempuh babi hutan: Pembantu pejabat maut

Pembantu pejabat maut, motosikal dirempuh babi hutan

ROMPIN: Seorang lelaki terbunuh manakala isteri dan tiga anaknya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh seekor babi hutan di KM21.5 Jalan Ibam-Rompin, dekat Rompin, malam tadi.

Mangsa, Syed Abdullah Syed Ali, 32, pembantu am pejabat dari Perumahan Mardi, Muadzam Shah di Rompin meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Bagaimanapun, isteri mangsa yang berusia 22 tahun dan tiga anaknya berusia antara satu dan empat tahun hanya cedera ringan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 8 malam itu, mangsa sekeluarga dikatakan sedang menuju ke bandar Muadzam Shah untuk membeli susu.

"Dipercayai seekor babi hutan tiba-tiba keluar dari semak berhampiran untuk melintas jalan sebelum merempuh motosikal yang dinaiki lima beranak itu sehingga menyebabkan mereka sekeluarga tercampak ke atas jalan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.

Seorang lagi suspek hina Agong akan serah diri Sabtu ini

Seorang lagi suspek hina Agong akan serah diri Sabtu ini


KUALA LUMPUR: Seorang lagi individu yang dikehendaki polis berhubung kes menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, dijangka menyerah diri Sabtu ini selepas pulang dari luar negara.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Abdul Aziz Zakaria berkata polis dimaklumkan wanita itu akan memberi keterangan kepada polis sejurus tiba di negara ini.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Pada 1 Jun lepas, akaun Facebook (FB) yang menggunakan nama 'Melissa Gooi' didakwa mengeluarkan kenyataan menghina titah ucapan Tuanku Abdul Halim sempena Hari Keputeraan baginda pada hari itu, dan turut menerima respons yang menghina Yang di-Pertuan Agong daripada rakan FBnya.

Susulan itu, polis menerima 35 laporan daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan yang mahu tindakan tegas diambil terhadap pemilik akaun FB itu serta mereka yang menyokong kenyataan berbaur hasutan berkenaan.


BERNAMA

Lelaki maut terkena bom buatan sendiri

SEMPORNA - Seorang lelaki Pakistan maut apabila sebutir bom, dipercayai buatan sendiri, meletup di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Air, Semporna awal pagi ini.
  
Kejadian pada pukul 4.20 pagi itu menyebabkan Attaulah Hukmat Khan, 35, yang sedang tidur di ruang tamu rumah itu, mati di tempat kejadian.
  
Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata rumah yang tidak bernombor itu didiami empat lagi rakan Attaulah dan ketika kejadian kesemua lelaki Pakistan yang berumur antara 22 dan 50 tahun itu sedang tidur dalam sebuah bilik.
  
"Pemeriksaan awal mendapati terdapat tanda goresan di bahagian perut dan dada mangsa namun polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,"  katanya ketika dihubungi hari ini.
  
Mohd Firdaus berkata empat lagi rakan mangsa tidak cedera.

Mohd Firdaus berkata kesan letupan itu dapat dilihat pada dinding ruang tamu yang pecah dengan tingkap kaca rumah berkenaan serta tingkap kaca beberapa rumah berhampiran turut bekecai.
  
Beliau berkata Unit Letupan dan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jenis sebenar bahan letupan itu.
  
Motif kejadian belum dikenal pasti namun polis mendapati kejadian itu lebih kepada kes jenayah.
  
Beliau menegaskan bahawa letupan berkenaan tidak ada kaitan dengan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna Februari lepas dan menasihatkan orang ramai supaya tidak panik.
  
"Orang ramai tidak perlu membuat andaian yang bukan-bukan. Mana-mana pihak yang ada maklumat mengenai kejadian itu diminta terus berhubung dengan pegawai penyiasat ASP Zairul di talian 089-781244 di Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna," katanya.  - Bernama