Tuesday, 18 April 2017

Balkisyh: 'Jangan takut ambil saya berlakon'

Balkisyh Semundur Khan

NAMA Balkisyh Semundur Khan cukup sebati menerusi watak Saidatul atau Atul, dalam drama bersiri, Mak Cun.

Biarpun karakter itu membantu menaikkan namanya dalam industri hiburan, hakikatnya selebriti berusia 30 tahun ini ketandusan tawaran lakonan sejak tiga tahun lalu.

“Ya, memang watak Atul membawa saya ke tahap hingga dikenali. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur.

“Tapi, tanpa sedar, watak itu juga membawa kepada kejatuhan saya. Saya tak ada job,” katanya pada ketika ditemui pada pelancaran siri terbaru drama bersiri Mak Cun dan Mak Cun Mart, baru-baru ini.

Rentetan itu, katanya, ada juga yang mengatakan pelakon drama bersiri Rindu Awak 200% ini sebagai ‘anak emas’ Erma Fatima lantaran kekerapannya berlakon di bawah pengarah ternama itu.

“Saya bukan hanya berlakon di bawah arahan Erma. Tetapi, kebanyakannya cakap begitu kerana kebetulan keluar dalam drama Mak Cun, kemudian berlakon pula menerusi Akulah Balqis diikuti oleh Mak Cun 2.

“Selepas itu, apa yang saya sedar, tawaran lakonan semakin berkurangan dan ini buat saya tertanya-tanya. Mungkin ada yang berpendapat saya pelakon komedi hanya kerana watak Atul,” katanya.

Bukan itu sahaja, katanya, ada juga penerbit dan pengarah bimbang mengambilnya berlakon dan ada juga yang yang menganggapnya sudah bersara dari dunia lakonan.

“Saya masih lagi berlakon. Jangan takut ambil saya berlakon kerana Balkisyh Semundur Khan adalah pelakon versatil.

“Saya masih boleh comeback to normal apabila diberi peluang lagi untuk berubah atau bertukar watak. Saya cuma perlukan sedikit bimbingan. Insya-ALLAH.

“Saya pernah juga bertanya kepada mereka, tetapi mereka pula anggap saya yang tak mahu berlakon,” katanya.

Buka gerai tampung pendapatan

Pada masa sama, Balkisyh berpendapat trend drama bersiri yang panjang turut menjadi punca kepada kekurangan tawaran lakonan.

“Hari ini, trend drama bersiri agak panjang sehingga berpuluh-puluh episod, jadi jika nama tak terselit, untuk menunggu sesuatu produk baru yang lain memakan masa yang lama.

“Lebih sukar, apabila kita bukanlah dalam senarai nama kegemaran bagi sesebuah saluran televisyen,” katanya.

Lantaran itu, pelakon yang pernah membintangi drama Waris Kasih ini mula mencari pendapatan lain sejak dua minggu lalu iaitu mengusahakan gerai di tepi jalan di Wangsa Maju, bagi menampung kos perbelanjaan harian keluarga.

“Saya ni dah kahwin dan ada tanggungan. Saya tak boleh harapkan pendapatan berlakon semata-mata.

“Pada tahun pertama dan kedua saya masih mampu bertahan, namun selepas masuk tahun ketiga, saya perlu lakukan sesuatu bagi menampung perbelanjaan harian.

“Saya ambil keputusan untuk buka gerai di tepi jalan dan menjual nasi kukus ayam rempah dan laksa seterusnya membantu pendapatan suami.

“Alhamdulillah, walaupun baru dibuka, permintaannya sangat memberangsangkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Balkisyh bakal tampil dalam musim terbaru drama Mak Cun, jam 9 malam mulai 20 April ini.

- Sumber: SH Online | 18 April 2017

Didakwa masukkan botol dalam kemaluan pelajar lain

Empat pelajar Sekolah Tunas Bakti, Lereh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini.

BANDARAYA MELAKA - Empat pelajar perempuan sekolah pemulihan akhlak Tunas Bakti dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, atas pertuduhan memasukkan botol pewangi ketiak ke dalam kemaluan seorang penghuni lain.

Keempat-empat tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa telah pmelakukan hubungan seks dengan cara memasukkan objek iaitu sebotol pewangi ketiak ke dalam kemaluan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun 10 bulan.

Tindakan itu dilakukan kira-kira jam 5 petang di bilik Melor Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh, Tanjung Kling di sini pada 9 April lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama di bawah Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan dengan sebat.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd. Rawi memohon jaminan tidak dibenarkan dengan alasan bimbang salah seorang tertuduh akan menghilangkan diri kerana akan tamat tempoh perintah sekolah pemulihan akhlak pada Mei ini manakala tiga yang lain pada tahun depan.

Beliau bagaimanapun mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM30,000 setiap seorang dan syarat tambahan dikenakan sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara.

Peguam Andrew Lourdes yang mewakili keempat-empat tertuduh kemudian memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan alasan kesemua berasal daripada keluarga yang berpendapatan rendah.

Tambahnya, sekiranya jumlah tinggi dikenakan, tertuduh yang tidak mampu membayar akan di hantar ke Penjara Sungai Udang dan keadaan itu tidak sesuai bagi kesemua mereka yang masih muda.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Ahmad Sazali membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 setiap seorang dengan syarat tambahan perlu meneruskan perintah di Sekolah Tunas Bakti sehingga kes selesai, jika jaminan dibayar.

Tertuduh juga diperintah untuk diasingkan daripada mangsa dan saksi-saksi perbicaraan. Mahkamah kemudian menetapkan 17 Mei depan untuk laporan perubatan.

- Sumber: SH Online | 18 April 2017

Kesihatan Julia Perez semakin membimbangkan

Julia Perez - Foto Instgaram Juliaperrezz

KEADAAN kesihatan pelakon dan penyanyi Indonesia, Julia Perez atau mesra disapa Jupe semakin membimbangkan ekoran penyakit kanser pangkal rahim yang dihidapinya.

Menurut adiknya, Nia Anggia, keadaan kesihatan kakaknya itu semakin menurun malah dia sukar mengenali beberapa orang yang berada di sekelilingnya sejak seminggu lalu.

"Seminggu ini kondisinya menurun. Pihak keluarga dan doktor berusaha untuk tidak menerima ramai tetamu kerana kondisi Jupe makin lemah.

"Daya ingatan Jupe juga semakin lemah dan sudah mula tidak mengingati orang dengan baik.

"Ada yang kenal dan ada juga tidak kenal, dia perlu diingatkan," kata Nia Anggia dipetik Bintang.com.

Kata Nia lagi, ia mungkin kesan daripada ubat atau rawatan seperti kimoterapi, MRI dan sebagainya yang dilakukan Jupe.

"Saya tidak tahu ia berlaku kerana ubat. Masih belum tahu dan kami sedang mencari penyebabnya.," katanya.

Julia Perez telah disahkan menghidap penyakit barah pangkal rahim tahap empat.

- sumber: Sinar Harian | 17 April 2017

Perodua akan keluar model baharu

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua)

PERUSAHAAN Automobil Kedua (Perodua) merancang mengeluarkan beberapa model baharu kenderaan jimat minyak (EEV) untuk terus kekal bersaing dalam segmen kereta kompak menerusi rancangan lima tahun 2017-2021.

Pemangku Pengurus Besar Kanan Perodua Manufacturing Sdn Bhd, Mohd Saifuzzaman Mohammad berkata perancangan juga bagi memenuhi permintaan ke atas kereta kompak jimat minyak dalam tempoh tersebut.

"Saya tidak boleh bagi tahu (model yang akan dikeluarkan) sekarang kerana ini strategi perniagaan, namun model-model baharu ini akan lebih berkualiti, murah, lancar dan jimat minyak," katanya.

Beliau ditemui selepas membuat penyerahan rasmi lima unit mesin perkomputeran (CNC) terpakai pembuatan engin kereta kepada Universiti Malaysia Perlis (Unimap), yang diterima oleh Naib Canselornya, Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal di Kampus Uniciti, Sungai Chuchuh di sini, hari ini.

Mohd Saifuzzaman berkata pemilihan model Bezza yang meneirma penarafan lima bintang ASEAN NCAP baru-baru ini dan model Axia yang mendapat sambutan hangat pembeli, akan dipertingkatkan.

Mengenai CNC yang disumbangkan itu, beliau berkata dalam jangka masa panjang fungsi asas mesin tersebut dalam industri automotif, relevan untuk satu jangka masa yang agak panjang. 

"Kami telah memiliki beberapa mesin baharu bagi mengeluarkan model baharu, namun mesin ini sangat berguna untuk tujuan pendidikan kerana pelajar dapat meyesuaikan diri dengan bidang yang diceburi kelak," katanya.

Menurut Mohd Saifuzzaman harga mesin baharu antara RM800,000 dan RM1.3 juta seunit dan tapi bagi harga terpakai termasuk kos penghantaran, hanya RM330,000.

Sementara itu Zul Azhar berkata hubungan strategik UniMAP-Perodua sejak lima tahun lepas telah meningkatkan nilai kebolehpasaran graduannya selain mereka dapat menjalani latihan praktikum dalam suasana sebenar industri automotif.

"Cara ini akan melahirkan graduan yang holistik, relevan dan kompeten kerana keupayaan mereka menerap nilai-nilai yang diperlukan oleh industri menerusi latihan amali," katanya" katanya.

Zul Azhar mencadangkan syarikat automotif menjalin kerjasama lebih erat dengan UniMAP bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan. 

- Bernama | 17 April 2017