Friday 26 July 2013

Anggota tentera maut dipanah petir ketika latihan

Anggota tentera maut dipanah petir ketika latihan

KOTA TINGGI:  Seorang anggota tentera maut manakala rakannya cedera akibat dipanah petir ketika menjalani latihan hutan di kawasan air terjun berhampiran Kampung Temenin Baru, dekat sini semalam.

Mohd Razid Sadiran, 25, dari Markas 6 Renjer yang berpangkalan di Kuala Lumpur, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Azwan Abdullah, 25, dari Markas 14 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Gemas, Negeri Sembilan, dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Difahamkan ketika kejadian kedua-dua mangsa bersama 11 anggota lain merupakan pasukan pendahulu bagi membuat persiapan sebelum pasukan lain tiba untuk latihan hutan selama seminggu di situ.

Kejadian malang yang menimpa kedua-dua mangsa hanya disedari anggota lain apabila mereka tidak muncul pada waktu berbuka puasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Mohd Nor Rasid yang mengesahkan kejadian itu berkata insiden berlaku ketika hujan lebat apabila mangsa sedang bersiap-siap mendirikan khemah di lokasi kejadian.

"Jenazah Allahyarham Mohd Razid dihantar ke Unit Perubatan Forensik HKT untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang dengan van jenazah tentera ke Pusat Latihan Pulada untuk pengurusan jenazah malam tadi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jenazah anak kelima daripada sebelas beradik itu dibawa ke rumah keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Nita, Mersing.

--BERNAMA 

"Penjara not bad," kata Alvin



KUALA LUMPUR:  Alvin Tan yang dipenjara selama lapan hari kerana tidak dibenarkan jaminan atas tuduhan mempersendakan umat Islam dan Ramadan, hanya menyatakan 'not bad' bagi menggambarkan pengalamannya di dalam penjara.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai urusan jaminan manakala pasangannya Vivian Lee, yang sentiasa menundukkan kepala enggan memberi komen.

Pada 10 pagi, Alvin dan Vivian, yang masing-masing masih bergari diiringi beberapa anggota polis ke Kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen/Majistret (Jenayah) bagi urusan jaminan dan kakitangan mahkamah membacakan syarat jaminan.

Kedua-duanya dilihat menandatangani dokumen jaminan sebelum beredar dari kaunter itu kira-kira 20 minit kemudian dan bergegas menaiki dua buah kereta yang menunggu di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Semalam, pasangan itu diikat jamin oleh ibu Alvin dan rakan perempuan mereka sebanyak RM30,000 setiap seorang.

Sementara itu, peguam Chong Joo Tian ketika ditemui pemberita sejurus anak guamnya beredar berkata: "Mereka gembira dapat keluar dari penjara. Mereka perlukan masa untuk berehat".

Pada 18 Julai lepas, Alvin dan Vivian masing-masing ditahan di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang selepas Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran tidak membenarkan mereka diikat jamin.

Namun, semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin membenarkan mereka masing-masing dijamin RM30,000 bersama empat syarat.

Empat syarat itu ialah pasangan itu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis pada minggu pertama setiap bulan, dilarang memuat naik artikel, komen, gambar lucah serta apa-apa bentuk penulisan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman serta dihalang menggunakan peranti komunikasi berangkaian bagi mengakses Internet.

--BERNAMA 

Pusat sembelihan ayam di Johor jijik, kotor dan tidak bertauliah


JOHOR BAHRU:  Beberapa pusat penyembelihan ayam di sekitar Johor dikesan menggunakan khidmat bukan Islam serta juru sembelih tidak bertauliah bagi melakukan aktiviti sembelihan.

Sikap tidak bertanggungjawab pengusaha pusat sembelihan itu terbongkar dalam pemeriksaan mengejut yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAJ).

Apa yang mengejutkan pegawai-pegawai itu, adalah apabila terdapat pusat sembelihan yang tidak memenuhi hukum Syarak dalam penyembelihan ayam yang dilabelkan sebagai Halal.

Malah, tahap kebersihan turut tidak diberikan perhatian, malah dibiarkan kotor serta dalam keadaan menjijikkan.

Pengarah operasi JAJ Ramly Jusoh berkata operasi ini mendedahkan sikap tidak bertanggungjawab pengusaha pusat penyembelihan yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan tanpa mempedulikan proses Halal yang perlu mereka penuhi.

Klik video untuk laporan penuh Astro AWANI.

Kontroversi ratu cantik, isu fatwa kembali jadi tumpuan


Kontroversi ratu cantik, isu fatwa kembali jadi tumpuan
KUALA LUMPUR:  Kontroversi empat wanita Islam yang dianggap telah menghina Islam kerana menyertai Miss World Malaysia 2013 telah menarik perhatian orang ramai kepada isu-isu mengenai fatwa.

Fatwa merupakan ketetapan berkaitan hal-hal berkaitan agama Islam atau pandangan dari sudut akademik apabila timbul keraguan mengenai samada sesuatu amalan tertentu adalah dibenarkan (halal) atau dilarang (haram) dalam Islam.

Sehingga hari ini, masih terdapat perbezaan pendapat samada sesuatu fatwa yang dikeluarkan adalah satu garis panduan ibadah umat Islam sahaja atau ia dianggap sebagai sesuatu perintah yang boleh dikuatkuasakan.

Semalam, bekas menteri dan peguam Datuk Zaid Ibrahim berkata bahawa fatwa tidak boleh dianggap sebagai satu undang-undang.

Zaid turut membidas tindakan pihak berkuasa agama -- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang kini sedang menyiasat kesalahan menyertai pertandingan ratu cantik itu.

"Fatwa adalah untuk orang Islam, tetapi malangnya di Malaysia, ia anggap sebagai undang-undang. Tambahan pula, penganjur terdiri dari bukan Islam, mengapa mereka ini perlu membatalkan penyertaan empat wanita itu? " kata Zaid.

Zaid juga mengkritik Jawi kerana beliau mendakwa pihak tersebut "tidak faham konsep demokrasi dan kehidupan dalam masyarakat yang bebas... iaitu kerajaan tiada hak menghukum setiap dosa yang dilakukan. Hanya tuhan boleh berbuat demikian," katanya.

"Mari kita kembali kepada sejarah Islam di mana fatwa hanya merupakan satu pendapat untuk membimbing kita. Ia terpulang kepada umat Islam untuk mengikuti atau tidak. Ia bukan tugas manusia untuk menghukum mereka."

Zaid juga berpendapat bahawa undang-undang di negara ini hanya boleh dibuat melalui Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Bagaimanapun, peguam Syariah Kamar Ainiah Kamaruddin tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian.

Beliau berkata bahawa apabila fatwa sudah diwartakan, ia dianggap satu undang-undang yang sah.

"Semua umat Islam mesti mematuhi fatwa, jika tidak, tindakan boleh diambil, asalkan fatwa itu telah diwartakan oleh Dewan Undangan Negeri," kata Kamar.

Beliau menambah bahawa kesalahan yang dilakukan di dalam negeri yang mewartakan sesuatu fatwa dikira sah.

"Jika ia diwartakan di Selangor maka ia sah jika kesalahan itu dilakukan di sana," katanya.

Ditanya sama ada sesuatu fatwa boleh dicabar di mahkamah, Kamar berkata semua undang-undang boleh dicabar termasuk fatwa.

"Kalau anda rasa sesuatu fatwa adalah pendapat yang salah, ada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mencabar berdasarkan Hukum Syarak, dan jika anda mencabar ia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, maka ia berada dalam bidang kuasa mahkamah sivil. Tidak ada percanggahan langsung di sini. "

Fatwa mengenai ratu cantik telah dibuat pada 15 Jan, 1996 dan diwartakan pada 8 Feb 1996 di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan).

Fatwa itu menyatakan bahawa ia adalah "haram" dan "berdosa" bagi seorang Islam untuk menyertai, menganjurkan, atau menyumbang dalam apa-apa cara untuk pertandingan ratu cantik.

Dalam kes terbaru ini, pengarah Jawi Datuk Che Mat Che Ali berkata unit penguatkuasaan menyiasat kes itu berikutan laporan bahawa ada gadis yang cenderung untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik walaupun fatwa telah menegahnya. Dua dari peserta terbabit, walau bagaimanapun berkata bahawa mereka akan mematuhi perintah itu.

Empat finalis Miss Malaysia World  - Sara Amelia Bernard, Wafa Johanna De Korte, Miera Sheikh dan Kathrina Ridzuan - digugurkan daripada pertandingan itu selepas menerima kritikan dari mufti Wilayah Persekutuan Wan Zahidi Wan Teh bahawa penyertaan mereka dianggap "berdosa".

Pada 1997, dua peserta pertandingan Miss Malaysia Petite telah dikenakan denda oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur. Mereka didakwa di bawah Seksyen 9 Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa RM3,000 atau dua tahun penjara maksimum jika sabit kesalahan.

Di Selangor, tiga peserta lain dari ratu cantik yang sama telah dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar fatwa yang sama. Mereka didakwa mengikut Sek 2 (C) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang juga membawa hukuman yang sama.