52 peratus percaya bahawa orang ramai akan mengetahui apa yang sebenarnya terjadi
KUALA LUMPUR: Satu per sepuluh rakyat Amerika percaya pesawat MH370 diculik oleh makhluk asing, menurut undian yang dilakukan saluran berita CNN dan ORC International.
Undian dilakukan berdasarkan temubual bersama 1,008 orang dewasa rakyat Amerika dari 2 Mei hingga 4 Mei, iaitu dua bulan selepas pesawat milik penerbangan Malaysia dilaporkan hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke China.
52 peratus percaya bahawa orang ramai akan mengetahui apa yang sebenarnya terjadi dan 46 peratus responden berkata ia akan terus akan menjadi satu misteri.
Dua pertiga responden percaya kehilangan pesawat berkenaan adalah akibat tindakan juruterbang atau anak kapal. 42 peratus responden turut menyalahkan pihak pengganas atas kehilangan pesawat MH370.
Tentang lokasi pesawat MH370, 51 peratus percaya ia berada di Lautan Hindi dengan 46 peratus lagi berpendapat ia tidak berada di kawasan berkenaan.
Majoriti responden turut berkata operasi mencari harus diteruskan namun hanya 26 peratus sahaja yang memuji tindakan kerajaan menguruskan isu ini dan memberikan maklumat kepada orang ramai.
Pada 5 Mei, Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia berazam untuk meneruskan usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 dengan kerjasama negara-negara rakan walaupun sehingga kini masih belum berhasil.
Beliau berkata misteri kehilangan MH370 tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan dunia apabila sistem telekomunikasi pesawat dipadamkan sementara kaedah pencarian untuk mengesan pesawat belum diguna pakai.