Friday, 16 May 2014

Artifak di Pulau Nangka azimat purba

MELAKA - Dua keping artifak berbentuk pingat yang ditemui di Pulau Nangka pada 31 April lepas merupakan azimat purba dipercayai berasal daripada kerajaan Majapahit, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata, berdasarkan kajian oleh pihak yang bertanggungjawab, antara ciri yang menunjukkan artifak itu adalah azimat purba bukan syiling perdagangan seperti andaian banyak pihak sebelum ini, ialah terdapat jampi serapah jawa kuno tertulis di atas azimat itu.

Katanya ada kemungkinan azimat itu mempunyai kaitan dengan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan Pulau Nangka itu sendiri bagaimanapun buat masa ini kaitan itu masih belum mempunyai bukti yang nyata.

"Azimat seperti ini juga didapati di kawasan sejarah lain seperti kota lama dan tebing sungai Melaka, maka sukar untuk kaitkan secara spesifik dengan Pulau Nangka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau terdahulu merasmikan Seminar Speaker Nasional 2014 yang dihadiri Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan speaker Dewan Undangan Negeri seluruh negara.

Dua keping artifak tembaga berbentuk medal dipercayai dari zaman Kesultanan Melayu Melaka ditemui oleh syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd yang mencari harta peninggalan zaman itu di Pulau Nangka dekat sini.

Idris berkata buat masa ini syarikat itu, yang telah tamat perjanjian untuk mencari harta itu pada 31 April lepas, dibenarkan meneruskan kerja-kerja pencarian itu buat sementara waktu. - Bernama

15 tukang urut diberkas

15 tukang urut diberkas
Antara tukang urut yang ditahan untuk membantu siasatan.


KUALA LUMPUR – Kegiatan tiga pusat urut yang menawarkan khidmat pelacuran terbongkar dengan tertangkapnya 15 tukang urut warga asing, dipercayai pelacur, dalam serbuan di Jalan Klang Lama dan Jalan Kuchai Lama, di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) B, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, yang diketuai Inspektor Mohd Nor Nahar Nayan, menahan 11 wanita warga Vietnam dan empat China berusia 20 hingga 30 tahun.

Mohd Nahar berkata, serbuan itu adalah hasil risikan dan maklumat orang awam.

“Mereka didapati tiada permit kerja dan dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya.

Menurutnya, tiga individu, termasuk dua wanita, dipercayai penjaga premis, turut ditahan bagi membantu siasatan.

- Sinar Harian 

Yuna dikecam kerana baju ketat paras pusat

Yunalis Zarai atau Yuna. --gambar fail


KUALA LUMPUR: Baru-baru ini nama penyanyi berbakat besar, Yunalis Zarai atau Yuna yang sedang rancak melebarkan di sayap seninya di Los Angeles, Amerika Syarikat telah menjadi bualan hangat.

Tetapi sayangnya nama Yuna bukan disebut kerana perkembangan terkini karier seninya tetapi mengenai fesyen terkini yang dikenakan penyanyi wanita ini.

Awal minggu lalu sekeping foto yang menampilkan Yuna memakai baju hitam ketat paras pusat telah dimuatnaik di laman Facebook.

Foto tersebut telah mendapat kecaman daripada pelayar laman sosial termasuk peminat Yuna yang kurang gemar dengan cara penyanyi Terukir Di Bintang itu berfesyen.

Ramai yang terkejut, ada juga yang tidak berpuas hati dengan cara Yuna berpakaian kerana baju yang dipakai Yuna terlalu ketat sehingga jelas menampakkan susuk tubuh dan lubang pusatnya.

Antara luahan hati peminat terhadap Yuna ialah, mereka mahu bintang pujaan mereka itu kembali berpakaian sopan seperti dahulu (awal kemunculan).


- Astro Gempak

Sarawak: Sembilan ADUN, dua ahli Parlimen tinggalkan parti

Tan Sri William Mawan Anak Ikom - Gambar fail

KUCHING: Persidangan hari terakhir Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-17 pada Khamis dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan Tan Sri William Mawan Anak Ikom sebagai Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP ) yang juga merupakan Ahli Parlimen P205 Saratok.

William Mawan membuat pengumuman tersebut kepada pihak media selepas selesai majlis penangguhan persidangan di bilik media Dewan Undangan Negeri Sarawak di mana William Mawan turut mengumumkan beliau akan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) .

Selain William Mawan, turut membuat pengumuman keluar dari SPDP adalah empat orang ADUN iaitu ADUN Tasik Biru, Datuk Peter Nansian, ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri, ADUN Batu Danau Paulus Palu Ngumbang dan ADUN Bekenu Rosey Yunus. Turut mengumumkan keputusan meninggalkan parti ialah ahli Parlimen Baram Anyie Ngau.

"Bagi menyelesaikan masalah dalam SPDP, saya ingin mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai Presiden SPDP. Ini bukan kes kapten meninggalkam kapal, tetapi kerana kurang berpuas hati," kata William Mawan.

Beliau juga menyatakan bahawa dia percaya Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem telah maklum tentang peletakan jawatannya dan beliau bersedia untuk mengambil risiko berkenaan.

Tindakan William Mawan dan beberapa ahli SPDP yang menyertai parti TEGAS turut diikuti oleh empat ADUN Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang terdiri daripada ADUN Bawang Assan iaitu Datuk Seri Wong Soon Koh, ADUN Bengoh, Datuk Jerip Susil, ADUN Opar Ranum Mina dan ADUN Engkelili Johnichal Rayong Ngipa.

Selain itu, ADUN Pelagus dari Parti Pekerja Sarawak (SWP) iaitu George Lagong juga turut membuat keputusan untuk menyertai parti TEGAS.

Dalam pada itu, Datuk Peter Nansian yang merupakan ADUN Tasik Biru memaklumkan bahawa parti TEGAS akan membuat permohonan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menyertai parti komponen BN negeri.

Peter turut menyatakan jawatan dalam parti TEGAS akan ditentukan kemudian selepas segala urusan selesai.

"Kami telah membuat permohonan kepada BN untuk menyertai parti komponen BN dan selebihnya kami serahkan kepada mereka. Selepas ini kami akan menghantar permohonan secara formal," kata Peter.

Namun demikian, kesemua mereka yang membuat pengumuman keluar parti SPDP masih lagi memegang beberapa jawatan menteri memandangkan mereka masih lagi bersama BN.

SPDP ditubuhkan pada November 2002 dan sebelum ini terdapat beberapa kekecohan dalam parti berkenaan dimana Ketua Wanita SPDP telah mengadakan serta meluluskan usul undi tidak percaya terhadap presiden parti.

Dalam satu mesyuarat yang diadakan oleh sayap Wanita pada Sabtu lepas, 18 daripada 20 orang yang hadir bersetuju untuk meluluskan usul tersebut.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak enggan memberi komen berkaitan penubuhan parti baru di Sarawak yang menjadi bualan ramai di negeri itu ketika ini di mana ramai di antara ahlinya merupakan individu-individu yang membuat pengumuman keluar parti SPDP mulai Khamis. 

Ketika ditanya tentang parti TEGAS serta pengumuman William Mawan tentang keputusan beliau keluar parti, Tan Sri Adenan Satem berkata, buat masa ini beliau hanya akan bertindak melihat dahulu perkara berkenaan dan akan membuat kenyataan rasmi kepada pihak media dalam masa terdekat.

- ASTRO Awani 

Lebih 2.6 juta bayar cukai guna e-Filing


2,614,486 borang BNCP telah diterima melalui kaedah e-Filing.


Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengucap terima kasih dalam sebuah kenyataan media kepada semua pembayar cukai yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) Tahun Taksiran 2013.

Menurut kenyataan tersebut, sebanyak 2,614,486 borang BNCP telah diterima melalui kaedah e-Filing sehingga 15 Mei 2014.

Berbanding denagan jumlah tahun lepas iaitu sebanyak 2,290,788 , tahun ini jumlah telah meningkat sebanyak 14.13%.

Peningkatan bilangan BNCP ini menunjukkan bertambahnya kesedaran tentang faedah penggunaan e-Filing di kalangan pembayar cukai dalam mengemukakan BNCP mereka.

Menurut kenyataan tersebut juga, e-Filing bukan sahaja ternyata mudah, tepat dan selamat malah ia turut boleh dilakukan pada bila-bila masa dan dimana sahaja.

Ia juga membantu mempercepatkan pemprosesan taksiran cukai dan bayaran balik cukai terlebih bayar.

Pihak LHDNm juga memohon maaf dan memaklumkan bahawa system e-Filing akan mengalami gangguan sementara bermula dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam pada 17 Mei 2014 bagi tujuan penyelenggaraan.

Semua eplikasi e-Filing tidak dapat dicapai pada tempoh tersebut. Untuk maklumat lanjut sila layari www.hasil.gov.my.

- ASTRO Awani 

Kebakaran: Kanak-kanak lima tahun rentung,datuk dan sepupu melecur

Gambar Hiasan


KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui rentung, manakala datuk dan sepupunya, yang merupakan orang kurang upaya, melecur selepas rumah kayu didiami mereka musnah dalam kebakaran hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah di sini, kejadian berlaku di Jalan Tuaran Bypass, Kampung Inanam Laut Kalansanan dekat sini pukul 11.26 pagi.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas tiba di tempat kejadian empat minit kemudian dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira 11.51 pagi.

Lelaki berumur 60-tahun itu melecur di tapak tangan, tapak kaki dan bahagian belakang, manakala kanak-kanak perempuan OKU berumur enam tahun pula melecur di bahagian muka.

Punca kejadian sedang siasat dan mayat kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat, manakala dua mangsa lain dihantar ke Hospital Likas dekat sini untuk menerima rawatan.

- Bernama

Pornografi di Amerika Syarikat kini satu krisis kesihatan umum - Pakar

Pornografi perlu dilhat sebagai suatu krisis kesihatan umum


WASHINGTON: Penyebaran bahan lucah atau pornografi secara meluas di Amerika Syarikat perlu dilihat secara serius sebagai suatu krisis kesihatan awam.

Menjelang sidang dua hari berkenaan eksploitasi seksual, panel aktivis berpendapat bahawa aktiviti kelucahan ini perlu ditangani setara seperti juga aktiviti merokok di kalangan remaja dan juga memandu di kala mabuk.

“Terdapat pandemik yang tidak terawat hasil daripada pornografi,” kata Pengarah Eksekutif Morality in Media, Dawn Hawkins.

Beliau merupakan aktivis yang telah berkempen menentang pornografi semenjak 1962.

“Terdapat banyak kajian sains yang mendapati bahan lucah ini sangat memberi keburukan,” Hawkins memberitahu pemberita di Kelab Wartawan Kebangsaan di Washington.

“Seperti kita tahu setiap keluarga di Amerika ini terdedah dengan bahaya pornografi ini,” katanya.

Persidangan Ikatan Henti Ekploitasi Seksual yang akan dibuka pada Jumaat di Tysons Corner di Washington mensasarkan untuk melihat pornografi sebagai suatu masalah sosial yang kompleks dan perlu diberi penekanan sebagai suatu masalah kesihatan umum.

Persidangan ini akan dihadiri oleh peserta-peserta termasuklah profesional berkenaan kesihatan, pekerja sosial, akademik, feminis, ketua agama, aktivis kempen anti-pemerdagangan manusia dan juga mantan ahli industri hiburan dewasa.

' Kuasa politik yang sewajarnya ' -

"Ini adalah perniagaan dengan pengaruh politik yang besar, " kata Gail Dines, seorang pakar sosiologi dan profesor kajian wanita di Wheelock College, Boston.

Beliau juga adalah pengarang "Pornland: Bagaimana Porno Merampas Seksualiti Kami".

Ramai pelayar Internet melayari laman-laman lucah melebihi laman-laman seperti Netflix , Amazon dan Twitter digabungkan.

“Satu pertiga daripada semua muat turun mengandungi unsur lucah dan Internet sekarang menjadi halaman kepada 4.2 juta laman web lucah , kata Dines , yang juga presiden kumpulan feminis antarabangsa Stop Porn Culture .- Astro Awani 

Cinta FB bawa ke hotel bajet

Cinta FB bawa ke hotel bajet

ALOR SETAR - Seorang wanita baru mengenali teman lelakinya melalui laman sosial Facebook (FB) dicekup dalam serbuan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) di sebuah hotel bajet, dekat sini.

Wanita berusia 26 tahun terbabit mendakwa berasal dari Sabah datang ke Semenanjung Malaysia semata-mata untuk mencari pekerjaan atas bantuan teman lelakinya.

Difahamkan, dia sanggup menaiki kapal terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum dibawa teman lelakinya ke negeri ini untuk mendapatkan kerja.

Malah, dia bagaimanapun memberikan alasan terpaksa menginap di hotel bajet terbabit untuk menjimatkan wang, malah mendakwa baru sahaja memasuki bilik itu.

Namun, teman lelakinya berusia 23 tahun bertindak menyembunyikan diri di bawah katil hotel berkenaan semasa serbuan sehingga memaksa penguatkuasa mengangkat katil itu.

Dalam operasi jam 12.30 tengah malam, pasukan penguatkuasa Jaik turut menahan beberapa pasangan termasuk seorang kanak-kanak di hotel bajet sekitar bandaraya Alor Setar, dekat sini.

Bawa anak OKU berkhalwat

Dalam perkembangan sama, seorang ibu muda sanggup membawa anak perempuannya berusia tujuh tahun semata-mata untuk bermadu kasih bersama teman lelakinya yang berusia 23 tahun.

Difahamkan, wanita berusia 25 tahun dari Teluk Kechai, dekat sini, dalam proses penceraian bersama suaminya, bagaimanapun masih memegang status isteri orang.

Ibu muda terbabit tidak bekerja, manakala pasangannya yang bekerja di sebuah pasaraya mendakwa hubungan dia bersama wanita terbabit hanyalah kakak angkat semata-mata.

Manakala, wanita terbabit mendakwa keluar dari kediaman mereka bersama anak perempuan orang kurang upaya (OKU) kerana tiada tempat berlindung selepas dihalau keluar.

Turut ditahan, suami orang berusia 32 tahun dari Jalan Datuk Kumbar, dekat sini, bersama anggota sukarelawan wanita sebuah jabatan dari Pulau Pinang.

50 penguatkuasa sertai Ops Khalwat

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Mohd Roshidi Mahmud, 50, berkata, penguatkuasa menyertai operasi demi membendung perbuatan tidak bermoral terbabit.

Katanya, serbuan dilakukan di beberapa lokasi seperti di Jalan Lencong Barat, Seberang Perak, Lebuhraya Darul Aman dan sekitar bandaraya Alor Setar, dekat sini.

“Dalam operasi kali ini, ada pasangan dikesan sudah beberapa kali ditahan termasuk di Lorong Petani sebelum ini. Tidak ketinggalan, pasangan tukang masak dan jurujual,” katanya.

Jika sabit kesalahan, mereka dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 9 (1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah) 1988.

“Ibu bapa dinasihatkan mengawal penggunaan laman sosial anak-anak mereka. Dari Facebook boleh membawa maksiat apabila mereka melakukan pertemuan di hotel,” katanya.

Malah, katanya, dia meminta masyarakat tempatan memandang serius isu sedemikian meskipun ia tanggungjawab pihak tertentu kerana ia amanah Allah SWT kepada semua. -- Sinar Harian 

‘Water pump’.. pembunuh senyap!

Water pump atau pam air enjin

WATER pump atau pam air enjin pada kenderaan adalah komponen penting dan perlu diberi perhatian.

Ia bertindak sebagai pengalir kitaran air ke dalam enjin untuk sistem penyejukan dan suhu ini akan disukat melalui kepanasan air oleh pengesan tolok suhu yang terletak di bahagian intake manifold.

Tolok akan memberi isyarat untuk mengaktifkan kipas pada radiator apabila suhu air mencapai tahap kepanasan.

Jika terdapat kebocoran, pam air akan pengepam keluar semua air dalam enjin. jika ini berlaku, tolok suhu enjin pada bahagian meter kenderaan tidak akan menunjukkan sebarang perubahan kerana gagal mengesan tahap kepanasan enjin disebabkan ketiadaan air di dalam enjin.

Ini amat merbahaya kerana pemandu tidak menyedari kebocoran pam ketika memandu. Sebarang perubahan yang berlaku adalah seperti enjin akan menghasilkan bunyi lebih kasar diikuti dengan prestasi enjin menurun dengan ketara misalnya menjadi berat ketika memandu.

Jika pemanduan diteruskan, kepanasan yang melampau akan terbentuk dan bagi sesetengah kenderaan, situasi ini menyebabkan minyak enjin terbakar dan menjadi kering seperti tar.

Pada sesetengah kenderaan pula, minyak enjin akan menyembur keluar atau mengalir ke lubang air melalui retakan dalaman enjin atau gasket yang terbakar akibat kepanasan melampau.


TIP PENJAGAAN :

Pastikan air radiator selalu diperiksa sebelum melakukan perjalanan. Jika sudah berkarat, hantar ke bengkel yang bertauliah untuk diselenggara dan membersihkan tangki radiator.

Jika menggunakan coolant, perubahan warna cecair itu perlu diberi perhatian serius. Gantikan cecair ini pada setiap 20,000 km perjalanan atau enam bulan sekali.

Ganti water pump pada setiap kali penggantian timing belt bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

- Sinar Harian 

Tak patut: Pesawat MAS dilanggar kereta


Keadaan Perodua Viva yang merempuh bahagian bawah pesawat MAS MH740

SEPANG – Negara dikejutkan dengan satu lagi insiden melibatkan pesawat MAS apabila penerbangan MH740 dilanggar oleh sebuah Perodua Viva di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Memetik laporan portal Malaysiakini, pemilik kereta tersebut mengakui tidak menarik brek tangan kenderaan terbabit sehingga kenderaan terbabit bergerak sendiri menuju ke arah pesawat sebelum merempuh bahagian bawah pesawat.

Kesemua penumpang yang berada di dalam pesawat terbabit berjaya dipindahkan sepenuhnya dan menaiki penerbangan lain pada jam 10.45 pagi tadi.

Pesawat yang dijadualkan berlepas pada jam 10.05 pagi ke Yangon terpaksa menangguhkan penerbangan dan berlepas semula ke destinasi yang ditetapkan pada jam 12.30 tengah hari tadi.

- Sinar Harian 

Nor Azna: Pakcik Aqim macam bapa sendiri

Nor Azna: Pakcik Aqim macam bapa sendiri
Keprihatinan petugas restoran yang mendapat pujian di laman sosial. Gambar kecil: Noor Azna


JOHOR BAHRU - Seorang warga emas yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dikenali sebagai Pakcik Aqim sudah dianggap seperti bapa sendiri oleh pekerja Restoran Nasi Ayam Penyet Ria di Plaza Angsana, di sini.

Isnin lalu, status seorang pemilik laman sosial Facebook menjadi perhatian ramai apabila berkongsi pengalamannya melihat seorang pelayan restoran yang dianggap berhati mulia kerana sanggup melayan dan menyuap makanan ke mulut seorang warga emas OKU.

Sinar Harian ke restoran berkenaan untuk mendapatkan reaksi pelayan yang dimaksudkan, namun hampa apabila Alif Fitri Radzuan, 19, bercuti kerana menghadiri kenduri.

Bagaimanapun Penyelianya, Nor Azna Kadir berkata, semua anak buahnya sudah sedia maklum mengenai kehadiran Pakcik Aqim dan menjadi rutin kepada pelayan restoran yang berkelapangan ketika itu untuk melayannya.

Menurutnya, pemilik dan pekerja di restoran itu tidak pernah merasakan kehadiran Pakcik Aqim sebagai satu perkara yang menyusahkan kerana tidak pernah menimbulkan gangguan atau ketidakselesaan kepada pelanggan lain.

“Kami dah biasa dengan kehadiran Pakcik Aqim sejak restoran ini dibuka empat tahun lalu. Dia bukan datang hari-hari, tapi kalau dia datang memang kami akan beri dia makan walaupun dia tak minta.

“Walaupun ramai pelanggan, memang salah seorang pelayan akan ambil makanan yang dicarik-carik ayamnya untuk disuapkan kepada Pakcik Aqim kerana dia tak boleh makan sendiri,” katanya, semalam.

Nor Azna berkata, semua pekerjanya tidak pernah mengeluh terpaksa melakukan tugas itu, malah lebih istimewa apabila masing-masing sudah menganggap Pakcik Aqim seperti bapa sendiri.

“Lepas makan memang dia (Pakcik Aqim) akan tunjukkan sakunya supaya pelayan mengambil wang untuk dibayar, tapi memang kami tak pernah mengenakan bayaran kepadanya.Malah ada pelanggan yang melihat keadaan Pakcik Aqim turut menghulurkan wang untuk membayar makanan yang dimakannya.

“Kami tolong bukan kerana simpati, tapi Pakcik Aqim sudah kami anggap seperti bapa sendiri, begitu juga saya pesan kepada pekerja yang baharu masuk supaya memberi layanan sama seperti yang kami lakukan,” katanya.

- Sinar Harian 

‘Minta anak jaga saya’



BARU sahaja dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Sidek Hussein dan Datuk Aziz Sattar, kini giliran penyanyi veteran, Adam Ahmad, 50, pula yang meninggalkan kita.

Kembalinya Allahyarham ke rahmatullah pada awal pagi semalam, sedikit sebanyak menyentak memori kita ketika zaman popularitinya di sekitar era 80-an.

Sebut sahaja lagu Kau Pergi Jua, masih ramai yang bisa mengingati melodi dan bait-bait lagu ini dengan jelas.

Kehadiran penyanyi dan komposer ini dalam industri seni akan terus terpahat dihati dengan nukilan lagu-lagunya.

Kali terakhir penulis melihat Allahyarham adalah pada tahun lalu, ketika pertandingan realiti, Kilauan Emas Musim Ketiga apabila dia diundang sebagai penyanyi jemputan.

Menurut isterinya, Norliza Ayat, 46, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang pada jam 12.15 pagi, setelah dua minggu ditempatkan di hospital berkenaan.

"Pada 1 Mei lalu, arwah diserang tekanan darah rendah, lalu saya membawanya ke hospital. Sehingga 8 Mei, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana doktor memberitahu paru-parunya dijangkiti kuman.

"Selepas keadaannya stabil, arwah dimasukkan ke wad biasa sehinggalah dia 'pergi'. Walaupun keadaannya mula stabil, namun butir percakapannya sudah tidak jelas.

"Lima jam sebelum arwah 'pergi', dia sempat berpesan kepada anak-anak saya agar menjaga saya dengan baik sekiranya dia sudah tiada. Itu sahaja pesan arwah," katanya lagi.

Tambah Norliza, arwah sebelum ini tidak mempunyai sebarang penyakit serius melainkan darah tinggi dan sering berulang alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur untuk membuat pemeriksaan di hospital berkenaan.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Cempaka, Ampang sekitar jam 11.30 pagi, semalam.
Adam dan Norliza, baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada 2010 dan tidak dikurniakan cahaya mata.
Namun, Norliza yang juga rakan sekolah arwah, mempunyai dua anak, Mohd Radhi, 29, dan Mohd Taqbir, 21, hasil daripada perkahwinan terdahulu.



Kehilangan yang dirasai


Walaupun baru empat tahun mendirikan rumah tangga, namun akui Norliza, pemergian arwah adalah satu kehilangan amat dirasai.

Menurutnya, dia mula mengenali arwah sejak di zaman persekolahan lagi, namun jodoh mereka agak lambat.

"Kami sudah lama kenal walaupun baru sahaja berkahwin. Bagi saya, dia adalah suami terbaik yang pernah saya kenali.

"Namun, saya reda di atas pemergiannya kerana percaya pada Qada' dan Qadar ALLAH SWT. Selepas ini, saya ditemani dua anak.

"Pun begitu, saya masih mempunyai ibu bapa lagi dan kami akan pulang ke Pulau Pinang nanti," katanya yang akan meneruskan perniagaan, Adam Ahmad Cafe, di negeri itu.

Tambah Norliza, sebelum ini mereka sekeluarga menetap di Pulau Pinang, namun mereka mempunyai kediaman di ibu kota.

"Sebenarnya, kami ke sini (Kuala Lumpur) kerana ada urusan dan setiap kali ke sini, kami akan tinggal di rumah persinggahan ini di Taman Cempaka," katanya.

Cipta dua lagu baharu

Menyelak pembabitan seniman ini dalam industri hiburan, Allahyarham amat meminati bidang nyanyian sejak dari kecil lagi.

Arwah juga mempunyai kebolehan bermain alat muzik seperti gitar dan piano serta meminati lagu-lagu yang berirama sentimental.

Allahyarham juga pernah mencipta beberapa lagu untuk penyanyi syarikat rakaman, Polygram Records, antaranya Di Hari Persandingan Mu dan Di Pantai Cinta Berahi, nyanyian Yunizar Hussein.

Pada 1983, album pertamanya, Untukmu Sayang dikeluarkan di bawah label, Omry Records dan diterbitkan oleh Omar Taib.

Allahyarham turut memiliki lebih empat album lain termasuk Kau Pergi Jua (1984), Kembali Bersama (1985), Agar Dia Kembali (1985), Rindu Menghempas Hati (1987) dan album duet bersama Zaiton Sameon, Bersamamu (2006).

Antara lagu-lagunya pula, termasuk Ku Ingin Kembali, Bahagia Oh Di Mana, Hanya Mainan Mimpi, Biarlah Ku Sendiri, Di Mana Cahaya, Kehilangan Abadi, Gerimis Hati, Kasihmu Oh Ibu, Masa Masa Lalu, Kisah Dua Insan, dan Untukmu Sayang.

Mungkin ramai tidak tahu, seniman ini adalah tulang belakang dalam menaikkan nama penyanyi, Aishah, menerusi lagu ciptaannya, Janji Manismu apabila berjaya menjuarai Anugerah Juara Lagu kelima (AJL5).

Bukan itu sahaja, lagu ciptaannya, Teratai Layu Di Tasik Madu nyanyian Fauziah Latiff juga memenangi AJL8, pada 1993.

Walaupun namanya semakin dilupai sebagai komposer hebat satu ketika dahulu, namun arwah sempat mencipta dua lagu baharu.

Menurut Norliza, dua lagu iaitu, Andai Ada Bahagia nyanyian Fakhrurrazi dari Brunei dan Permaisuriku Ratu Hatiku, nyanyian Haikal Othman, baharu sahaja diperkenalkan.

"Kedua-dua penyanyi itu adalah bakat baharu yang dicungkil. Lagu itu sudah mula diperdengarkan di radio Brunei, namun saya tidak pasti di radio tempatan.

"Itulah antara peninggalan terakhir arwah untuk industri," katanya mengakhiri perbualan. -- Sinar Harian 

Lisdawati maafkan Sharnaaz?


BEBERAPA bulan lalu, heboh memperkatakan tentang persengketaan Lisdawati bersama Sharnaaz Ahmad apabila perang mulut dua pelakon ini dikatakan agak serius sehingga bakal berdepan dengan tindakan mahkamah.

Namun, keadaan menjadi reda apabila pelakon yang popular dengan filem KL Menjerit ini mengambil tindakan wajar apabila mengumumkan dirinya sedia memaafkan Sharnaaz.

Lisdawati yang sebelum ini mendakwa Sharnaaz memaki dan memarahinya di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta itu nampaknya kini kelihatan lebih tenang apabila diajukan soalan berkaitan perkara itu, ketika ditemui di majlis pelancaran program hiburan H Live! malam kelmarin.

Malah, pelakon ini mengakui sudah menutup kisah lama yang boleh mendatangkan masalah dan kini hanya mahu ketenangan bersama suaminya yang tidak sabar menanti kelahiran anak ketiga.

Ditanya adakah suaminya, Fauzi Nawawi juga sedia menjernihkan keadaan dan memaafkan Sharnaaz, menurut Lisdawati mereka sepakat dan tidak mahu mengenang masa lalu.

Menganggap ia sebagai salah faham, Lisdawati berharap supaya perkara itu diselesaikan segera.

“Selepas pergi ke sana (umrah) saya dan suami dah tutup buku. Jadi segala perkara buruk saya dah buang. Saya dah maafkan segala yang berlaku.

"Dan jika dia (Sharnaaz) mahu bersemuka, saya mengalukan dia supaya telefon secara terus saja, saya akan memaafkannya,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kesihatannya, Lisdawati mengakui kandungannya berada dalam keadaan sihat begitu juga dengan dirinya.

“Saya sihat dan kandungan sihat. Sebelum ini tak payah cakap lagilah. Itu semua cerita lama,” katanya.

- Sinar Harian 

#MyGuru: Kerana terlalu nakal Shaheizy Sam kena denda

Shaheizy Sam (tengah) - Gambar Fail


KUALA LUMPUR: Sewaktu berada di alam persekolahan sudah pasti ada kenangan-kenangan manis yang tidak dapat dilupakan begitu juga dengan pelakon Shaheizy Sam.

Menurut Sam semasa zaman persekolahan dia adalah seorang yang nakal dan suka bergurau sehinggakan dia pernah didenda kerana sikapnya itu.

“Menurut kawan-kawan, Sam ni tak adalah jahat masa sekolah dulu-dulu cuma saya ni jenis nakal yang manja-manja macam tu.

“Sam selalu buat cikgu macam kawan, kadang-kadang tu bila cikgu serius pun Sam boleh pulak main-main.

“Sebab sikap saya yang nakal tu sampaikan saya pernah kena denda masa perhimpunan… Siap kena panggil berdiri atas pentas lagi.

"Kadang-bila bila fikir balik, rasa macam hish tak baiknya buat cikgu mcam tu,” katanya ketawa.

Tambah Sam lagi, hingga ke hari ini dia masih lagi berhubung dengan guru-guru yang pernah mengajarnya suatu ketika dahulu.

“Bila tiba hari guru Sam pasti akan teringat muka cikgu-cikgu yang pernah mengajar Sam malah ada juga yang kami masih jumpa… Mana mungkin saya dapat lupakan jasa mereka terhadap saya.

“Antara nama-nama cikgu yang Sam tak boleh lupa ialah Cikgu Nasarudin, Cikgu Rokiah, Cikgu Rozi, Cikgu John dan Cikgu Wahi.

“Mereka semua dalah cikgu yang buat Sam rasa segan sikit, segan bukan apa sebab mereka selalu berjalan dengan rotan.” ujarnya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan Shaheizy Sam sebagai duta kicap Mahsuri baru-baru ini.

Bagaimanapunm jelas Sam lagi walaupun nakal namun dia sama sekali tidak pernah bersikap kurang ajar terhadap guru-gurunya.

“Sebenarnya Sam selalu bergurau dengan cikgu adalah supaya Sam tidak berasa takut untuk bertanya ataupun berkongsi pendapat dengan cikgu.

“Malah saya rasa perkara itu membuatkan saya berasa lebih selesa dan tidak kekok dengan mereka.” jelasnya. -- Astro Gempak