KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan laporan media yang menyatakan Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR diberikan bonus RM200 juta pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Sebaliknya SPR memberikan elaun dan saguhati kepada 240 ribu petugas kerana membantu melicinkan proses PRU.
Penjelasan itu dibuat dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat pada Isnin.
"Bajet pilihan raya adalah RM400 juta, kemudian elaun petugas-petugas ini adalah pegawai kerajaan dan juga petugas lain yang bertugas adalah RM201 juta seperti mana yang telah disebutkan dalam pecahan (jawapan bertulis). Jadi tidak ada bonus kepada SPR" katanya di bangunan Parlimen hari ini.
Sebuah portal berita awal hari ini melaporkan para petugas SPR telah menerima wang bonus sebanyak RM200 juta.
ia juga menyebut petugas SPR diberikan sebanyak RM581 ribu untuk untuk elaun lebih masa, bayaran utiliti seperti sewaan pengangkutan, peralatan ICT dan lain-lain berjumlah RM98,465.
Kementerian Kewangan sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM400 juta kepada SPR untuk menjalankan PRU pada 5 Mei lalu.
Ia merupakan peningkatan sebanyak 100 peratus berbanding kos Pillihan Raya 2012 yang hanya berjumlah RM200 juta.
Sumber: Astro Awani